Khamis, 28 Oktober 2010

Anugerah Merdeka 2010 kepada Faaland memang tepat

Memang sesuai pada orangnya dan tepat pada waktunya kerajaan memilih  Tan Sri Just Faaland , seorang tokoh ekonomi serta Perunding Kanan Chr. Michelsen , Norway untuk diberikan Anugerah Merdeka 2010 baru-baru ini. Ini kerana beliau adalah merupakan di antara `orang penting' yang bertanggungjawab menggubal Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancar pada tahun 1970 - 1990.

Selama ini kebanyakan rakyat Malaysia menganggap DEB itu digubal oleh pemimpin kerajaan yang dikuasai orang Melayu dan pegawai kanan kerajaan (Melayu) . Lantas isu mengenai DEB ini sering menjadi isu `hangat' yang tidak berkesudahan hingga ke hari ini, meskipun tempohnya telah tamat.

DEB juga telah dijadikan isu `perkauman' oleh sesetengah pihak bagi menggambarkan ianya pencetus ketidakadilan sosial dan agihan ekonomi antara kaum di negara ini iaitu dengan hanya menitikberatkan agihan ekonomi kepada satu kaum sahaja, pada hal secara praktiknya semua kaum di negara ini memperoleh nikmatnya.

Dengan memilih Faaland sebagai penerima anugerah itu, ia diharapkan dapat memberi gambaran jelas kepada seluruh rakyat Malysia bahawa penggubalan DEB itu memang berasaskan kepada rasional ekonomi sebenar yang ada hubung kaitnya dengan keperluan situasi politik, sosial dan ekonomi negara ini.

Justeru, diharapkan juga agar rakyat Malaysia akan faham bahawa DEB bukanlah sesuatu yang sengaja direka untuk kepentingan satu kaum sahaja atau berasaskan sentimen perkauman semata-mata sebagaimana yang disangka selama ini. Tapi sebenarnya ia adalah sebaliknya.

Oleh itu, saranan beliau supaya semangat serta sasaran DEB itu perlu diteruskan bersama dengan dasar-dasar baru ekonomi negara ini wajar diambil peduli oleh semua pihak yang terlibat dan agar tidak ada lagi mana-mana pihak mempertikaikannya secara penuh prasangka. 

Tiada ulasan: