Ahad, 31 Oktober 2010

Hidupkan semula Kuiz Kenegaraan Jabatan Penerangan

Utusan Malaysia baru-baru ini telah memilih 200 orang rakyat Malaysia (yang tidak diperincikan keturunan kaumnya) untuk dijadikan responden kepada kajiannya mengenai pemahaman sejarah dan kenegaraan Malaysia. Seperti yang dilaporkan dapatan daripada kajian itu ialah kebanyakan mereka tidak menghayati sejarah dan kenegaraan Malaysia. Mereka adalah terdiri daripada golongan yang berumur antara 15 hingga 50 tahun.

Pada saya ia tidak begitu mengejutkan sangat meskipun cukup mengeciwakan. Ini kerana ada beberapa faktor agak saya yang memungkinkan keadaan itu wujud. Antaranya ialah sistem pendidikan kebangsaan kita sendiri sejak kebelakangan ini yang tidak lagi begitu memberi penekanan terhadap subjek sejarah dan kenegaraan.

Selain itu mungkin cara pemberian taraf kewarganegaraan kepada orang asing juga agak longgar dan tidak memberi penekanan dan tumpuan kepada aspek kenegaraan Malaysia , termasuk mengambil kira keupayaan menguasai bahasa kebangsaan kita, iaitu bahasa Melayu. Dengan sebab itu kita lihat ada mereka yang didakwa sebagai warga negara tetapi tidak fasih berbahasa kebangsaan. Jauh sekali barangkali untuk memahamai sejarah dan mengambil berat mengenai kenegaraan Malaysia.

Sekiranya ibu bapa sendiri berkeadaan begitu tidak myustahil keadaan itu akan diwarisi pula oleh generasi berikutnya. Maka akan lahirlah generasi demi generasi Malaysia yang tidak memahami sejarah dan kenagaraan negara ini.

Oleh itu, usaha perlu dilakukan oleh banyak pihak untuk memulihkan keadaan ini kepada yang lebih positif dan memberangsangkan. Pada pandangan saya selain Kementerian Pelajaran, Pendidikan Tinggi , Kementerian Penerangan , Komunikasi dan Kebudayaan juga perlu mengambil daya usaha dan langkah tegas bagi menjayakan program `penghayatan' sejarah dan kenegaraan Malaysia.

Pernah sepanjang tahun 1990-an hingga awal 2000 Jabatan Penerangan telah menganjurkan program Kuiz Kenegaraan dangan menjadikan salah satu aspek soalannya mengenai sejarah, politik dan kenagaraan. Tujuannya ialah untuk menyebar luaskan `kesedaran sivik' mengenai persejarahan dan kenegaraan Malaysia. Program itu dianjurkan pada peringkat daerah, zon dan pusat . Sasaran utamanya ialah pelajar-pelajar sekolah menengah.

Sekarang saya difahamkan ia tiada lagi. Jadi, tidakkah boleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menghidupkan serta menjenamakan semula program itu secara lebih meluas dan efisen lagi ?

Tiada ulasan: