Isnin, 4 Oktober 2010

Isu judi dijangka antara isu hangat dalam kempen PRK Galas

Isu yang boleh dijangka dibangkitkan dalam kempen pilihan raya kecil DUN Galas di Kelantan tidak lama lagi ialah isu `wang ehsan' warga emas di Pulau Pinang yang dikaitkan daripada sumber perjudian.

Sekarang ini isu itu sudah gah, bukan saja di negeri itu tetapi juga di seluruh negara. Ini berikutan dengan tindakan berpuluh-puluh warga emas yang menerima pemberian itu memulangkan semula wang itu.

Pakatan Rakyat (PR) mengaitkan tindakan itu sebagai ada unsur `campur tangan' Umno. Saya ada juga dengar hujah-hujah daripada pihak tertentu bahawa isu itu sengaja diputar belitkan dan dipolitikkan oleh pihak tertentu, khasnya Umno.

Jawapan kepada isu itu oleh pihak PR yang saya pernah dengar ialah kerajan BN sendiri yang menjadi punca kepada wujudnya aktiviti perjudian di negara ini , kerana BN lah yang `menghalalkannya' bukan sahaja terdapat di Pulau Pinang tetapi juga di seluruh negara- dari yang sekecil-kecilnya hinggalah yang paling besar (kasino).

Dakwa mereka kalau kerajaan BN tidak luluskan lesen judi di seluruh negara, masakan judi boleh ada di mana-mana tempat di negara ini. Oleh itu, saya lihat isu ini jika dibangkitkan ia akan memberi sedikit lebihan kepada PR berbanding BN .

BN mesti bersedia dengan hujah yang lebih meyakinkan pengundi dari kalangan rakyat biasa. Ulama BN kenalah bersedia merongkaikannya secara mudah difahami masyarakat biasa dan pada masa sama jangan lupa bahawa ia bukan saja isu politik tetapi juga agama - syariat dan akidah- yang memerlukan langkah lebih berhati-hati   

Tiada ulasan: