Selasa, 19 Oktober 2010

Perhimpunan Agung UMNO 2010

Hampir 5,000 orang perwakilan UMNO kini berada di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) di Kuala Lumpur kerana menghadiri Perhimpunan Agung parti itu pada 2010.

Seperti pada perhimpunan-perhimpunan lalu, perhimpunan kali ini juga parti itu dijangka akan membincangkan isu-isu yang berkaitan langsung dengan perjuangan, hala tuju, dan lain-lain yang berkaitan dengan fungsi serta kedudukannya sebagai parti dominan dalam pemerintahan negara sejak lebih 50 tahun lalu.

Kekalahan teruk BN yang ditunjanginya pada pilihan raya umum lalu menyebabkan kedudukan pengaruh dirinya sendiri juga menjadi goyah, jika tidak pun tumbang; sedangkan ada parti komponennya boleh dikatakan terus tumbang . Dalam kedudukan yang lemah itu UMNO sebagai tulang belakang mesti mencari `jalan selamat' supaya ia dan rakan-rakannya mampu terus menerajui pemerintahan negara.

Namun dalam mencari jalan itu, hendaknya UMNO tidak harus tersasar dari landasan dasar perjuangan asalnya iaitu `memperjuangkan nasib bangsa dan agama' yang mendukunginya dan `negara' yang diperintahnya dan bukan memperjudikannya.

Dalam kegigihan dan keghairahan mencari perubahan bagi mencapai hasrat membina semula pengaruh dan kekuatan itu UMNO boleh melakukan macam-macam strategi dan kaedah, namun mesti berhati-hati agar ia tidak menjadi mangsa kepada mana-mana pihak berselindung di sebalik kejujuran dalam merangka sebarang perubahan. 

Jika tidak berhati-hati dalam hal ini, dibimbangi UMNO juga besar kemungkinan akan menerima nasib yang sama seperti rakan komponennya yang lain. Ini mungkin berlaku jika perasaan dan hati kaum (bangsa) yang mengdukunginya itu terluka parah akibat tindak tanduk pemimpinnya yang tidak relevan dengan asas perjuangan sehingga membawa kepada mereka rela segala-galanya, termasuk melepaskan UMNO dan memilih yang lain. Memang benar perubahan perlu dan penting tetapi mestilah konsisten dengan asas perjuangan dan matlamat asalnya. Jika sebaliknya ia akan mengundang banyak masalah.

Oleh itu, para pemimpin dan para perwakilan yang menghadiri PAT kali ini harus lebih-lebih berhati-hati dalam membawa usul dan hujah maka harus juga terfikir sama kesan buruk jika tersilap `mecari jalan keluar' daripada kesan himpitan keputusan PRU lalu itu. Jangan biarkan tindak tinduk yang tidak `betul' pada masa lalu itu kembali menghantui lagi pada PRU akan datang.  Wallahu alam.

Tiada ulasan: