Khamis, 25 November 2010

Hargailah subsidi

Saya ingin ucapkan syabas kepada SPRM dan KPDNKK kerana berjaya menyanggah kegiatan penyelewengan diesel yang disubsidikan kepada golongan nelayan negara ini menerusi penahanan dan pembicaraan beberapa orang terlibat. 

Difahamkan kegiatan sesetengah pihak itu menyebabkan negara kehilangan berjuta-juta ringgit serta membabitkan berbilion liter diesel. Alangkah baiknya nilai sebanyak itu diberikan kepada projek-projek lain yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat terbanyak.

Niat asal kerajaan memberikan subsidi itu adalah untuk membantu golongan nelayan yang sebahagian besarnya dianggap sebagai golongan kurang berada di mana wajar diberikan bantuan menerusi skim subsidi . Namun niat baik itu terbantut disebabkan adanya kegiatan penyelewengan.

Sepatutnya hal ini wajar disedari oleh semua pihak. Kegiatan seperti penyelewengan subsidi itu patut dielakkan, malah ia memang boleh dielakkan jika kita semua mempunyai kesedaran sivik yang tinggi. 

Lebih mengecewakan sekiranya kegiatan itu dilakukan oleh sebahagian dari mereka yang berada dalam sektor nelayan itu sendiri. Jadi, harapannya ialah agar semua pihak sedar bahawa subsidi itu adalah satu pemberi ihsan dan bukan sedekah. Oleh itu setiap subsidi hendaklah dihargai.


Selasa, 23 November 2010

Rombakan kabinet, PRU satu `khabar angin'.

Perdana Menteri, Datuk Ser Najib Tun Abd. Razak menafikan akan berlakunya rombakan kabinet dan pilihanraya umum dalam masa terdekat ini, malah menyifatkannya sebagai `khabar angin' semata-mata.

`Khabar angin' juga bertiup di sana sini mengatakan Ketua Pemuda UMNO akan dilantik sebagai Timbalan Menteri di sebuah kementerian kanan. Tetapi isu ini belum ada pengesahan dan penafiannya.

Bagaimanapun ketiga-tiga isu ini amat menarik perhatian umum. Ini kerana ketiga-tiganya seandainya berlaku ia secara langsung melibatkan komintmen sebahagian rakyat dan akan memberi impak kepada boleh dikatakan keseluruhan rakyat.

Bilakah ia akan menjadi `khabar benar' atau sebaliknya terpulang kepada PM. Namun isu rombakan kabinet dan pilihan raya umum rasanya tidaklah begitu menyentuh sangat perasaan sebahagian rakyat tetapi isu perlantikan KP Umno itu lain sikit.

Ini kerana sebahagian besar penyokong Umno nampaknya masih lagi menanggung rasa `terguris' dengan apa yang dianggap sebagai `perbuatan' KP Umno itu sehingga membawa kepada BN rebah tersungkur pada PRU sebelum ini. Bahkan kesannya dilhat terus menerus mencucuk persada politik negara sehingga sekarang. Jadi, isu ini ada baiknya jika mendapat perhatian sejitu mungkin daripada PM.

Impaknya tentulah juga berbeza antara sebelum dan selepas PRU . Namun segala-galanya boleh membawa `kekecewaan' kepada sebahagian penyokong Umno khasnya dan penyokong BN amnya.


Apakah warna-warna politik seperti dihadapi kini akan terus berlabuh pada kertas politik negara dalam tempoh masa panjang? Pastinya bergantung kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan menanganinya.

 

Selasa, 16 November 2010

Selamat Aidil Adha, maaf zahir batin.....

Selamat Hari Raya Aidil Adha bagi tahun hijri 1431 kepada semua pengunjung, maaf zahir batin di atas segala kesilapan ungkapan yang tercatat di ruang blog ini.

Selamat melaksanakan ibadat korban dan akikah bagi mereka yang melakukannya. Buatlah cara terbaik mengikut sunnah, semoga mendapat keredhaaW Allah SWT.

Seboleh-bolehnya elakkan dari terjebak dengan unsur-unsur sifat mazmumah seperti riak dan ujub. Ingatlah bahawa korban dan akikah itu ibadat, bukan adat. Maka kenalah ikut ketentuan syariat , bukan kebiasaan adat. Wallahu alam.

Mulai malam ini juga kita (umat Islam) digalakkan bertakbir hinggalah selepas solat asar pada hari terakhir Hari Tasyrik, iaitu pada 13 Zulhijjah. Hari Tasyrik bermaksud hari `menjemur daging'. Oleh itu, marilah sama-sama kita ambil ruang dan peluang ini untuk bertakbir. Alhamdulillah pada malam ini saya diberi peluang mengimamkan solat maghrib di masjid kariah tempat tinggal saya, dan justeru saya berpeluang bertakbir bersama-sama rakan jemaah lain. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahil hamd.

Sabtu, 13 November 2010

Amalan 10 petama bulan Zulhijjah

Petikan dari Kuliah Subuh di sebuah masjid di Bertam, Kepala Batas yang saya hadiri selepas solat subuh pagi ini ialah kaum Muslimin dan Muslimat digalakkan memperbanyakkan amalan pada sepuluh pertama bulan Zulhijjah sama seperti mana ia digalakkan pada sepuluh terakhir bulan Ramadan. Antara amalan yang digalak mengamalkannya ialah memperbanyakkan zikirullah seperti Subahanallah, Wal-hamdulillah, Walaillaha illallah, Wallahu Akbar . Dipanjangkan untuk dimanfaatkan, Wallahu a'lam. 

Jumaat, 12 November 2010

Apa ada pada nama ?

Jika tidak silap ingatan saya pada sekitar pertengahan tahun 1960-an hingga 1970-an ungkapan "Apa ada  pada nama " sering menjadi perbualan ramai. Ia rasanya dicetuskan oleh kalangan ahli akademik pada ketika itu.

Apa ada pada nama ialah merujuk kepada maksud bahawa nama yang bagus-bagus pun tiada memberi apa makna sekiranya kualiti diri seseorang itu rendah atau tidak bagus. Tetapi nama yang bunyinya tidak sedap sekali pun dapat memberi makna jika kualiti diri tuan empunyanya tinggi dan bagus.

Dengan lain-lain perkataan kualiti diri yang tinggi menyebabkan nama seseorang dijulang , disebut selalu dan dikenang. Ia mungkin benar, namun cara menggunakannya juga harus betul dan baik tujuannya.  Ungkapan itu tiada kedengaran lagi di zaman ini. 

Bagaimanapun di zaman sekarang nampaknya orang ghairah mencari nama dan mempergunakan nama, baik untuk diri sendiri, keluarga, persatuan, pertubuhan, syarikat, organisasi politik dan sebagainya.

Semua platform akan dipergunakan semaksimum mungkin. Termasuk pada tempat dan masa yang tidak begitu sesuai seperti ketika sekumpulan manusia sedang menghadapi keperitan hidup, bencana alam dan sebagainya.

Terdapat sesetengah pihak dek kerana terlalu ghairah mencari nama , kebaikan diri sendiri ditonjolkan seberapa daya mungkin di samping pada masa sama menyahkan kebaikan orang lain. Ini rasanya tidak selari dengan ajaran agama .

Dengan fahaman saya yang sedikit tentang agama Islam, saya dapati Islam tidak menyuruh umatnya buat demikian, malah dilarang memberi bantuan atau sedekah dengan riak kerana `sedekah' seperti itu diibaratkan seperti lumut di batu licin. Ia mudah hilang . Ini adalah peringatan Allah.

Peringatan ini seboleh mungkin hendaklah tidak dipandang sebelah mata, kena juga diambil peduli kalau tak banyak pun sedikit sudah cukuplah tu.

Dalam Islam nama sememangnya penting. Sebab itu ketika bayi berusia tujuh hari disunatkan (disuruh) memberikan nama (yang baik-baik) malah dilarang memberikan nama yang bercanggah dengan akidah ketauhidan Allah.

Mengikut ajaran Islam juga setiap individu (kullu nafsin) akan dipanggil namanya di hadapan Tuhan Rabbul Jalil di Padang Mahsyar selepas berlakunya kiamat nanti. Oleh itu nama sangat penting kerana ia sebahagian daripada unsur-unsur pengenalan diri, keluarga, persatuan, pertubuhan dan sebagainya. Tapi jangan keterlaluan dalam mempergunakan nama kerana semata-mata hendak mencari nama itu. Wallahu a'lam.

Khamis, 11 November 2010

Akibat isu banjir wartawan jadi mangsa

Saya terkejut amat bila mendapati Ustaz Azizan, Menteri Besar Kedah `melenting' terhadap sekumpulan wartawan pada sidang media di pejabatnya kelmarin. Sungguh sama sekali tidak diduga insiden seumpama itu boleh berlaku.

Saya mengenali ustaz Azizan ketika sama-sama belajar di Maktab Mahmud Alor Setar pada sekitar tahun 1960-an dahulu. Beliau adalah senior saya. Semasa beliau menyambung pelajaran di universiti Al-Azhar, Mesir saya masih lagi belajar di MM.

Beliau mungkin tidak mengenali saya kerana pada waktu itu saya `orang baru' dan beliau adalah Ketua Pengawas. Sebagai KP tentulah ramai pelajar mengenalinya darpada beliau mengenali ramai pelajar.

Pada waktu itu beliau adalah seorang yang periang dan mudah bergaul. Namun setelah beliau pulang dari Mesir hingga sekarang saya tidak pernah menemuinya. Lebih-lebih lagi dengan kedudukan beliau sekarang.
Tidak mengapalah , ketepikan sahaja soal itu ! 

Yang ingin ketengahkan di sini ialah rasa terkejut saya dengan sikapnya itu. Beliau setakat yang saya tahu mempunyai kelulusan bukan sahaja dalam bidang syariah tetapi juga perundangan dan pernah menjadi pensyarah di institusi pengajian dalam dan luar negara. Ertinya beliau adalah seorang yang berilmu. Atas dasar itu beliau seharusnya lebih tenang dan rasional.

Memang mungkin terlalu tertekan. Tapi itu fenomena biasa bagi orang politik. Tekanan sana tekan sini, terutama oleh `musuh' dan pesaing, bahkan oleh rakan sendiri adalah perkara biasa saya kira bagi orang politik. Sebagai orang politik hakikat itu kena terimalah.

Saya bukan orang politik tulin tapi pergaulan saya dengan orang politik agak lama, iaitu tiga dekad lebih. Bagi saya itu satu tempoh yang agak lama untuk saya memahami sedikit sebanyak tentang `sepak terajang politik'.

Pada masa sama saya juga bergaul dengan rakan-rakan media . Boleh dikatakan semua jenis media . Bahkan pada masa dan tempat tertentu pergaulan saya dengan mereka saya anggap rapat seperti mana hubungan saya dengan rakan-rakan sekerja sendiri. Oleh itu, saya juga memahami seidikit sebanyak mengenai tugas mereka; selain saya memperolehinya menerusi kursus khas dan sebagainya.

Memarahi pemberita, terutama di lokasi sidang media atau di lokasi liputan saya kira ia bukan satu tindakan betul dan bijak. Ada cara lain yang lebih baik dan efektif. Antaranya perbetulkan fakta atau maklumat supaya mereka boleh laporkan semula di samping senentiasa wujudkan hubungan baik (PR) dengan mereka. Berbaik dengan semua orang adalah digalakkan oleh Islam.

Satu lagi yang boleh saya kongsikan di sini ialah bercakap di gelanggang politik tidak sama dengan bercakap dalam bilik darjah atau bilik kuliah. Ini kerana matlamat dan sasarannya amat berbeza dalam semua hal, termasuk kehendak dan keperluannya.

Kesimpulannya , bila mana mencebur diri ke dalam gelanggang politik mestilah bersedia menerima dan berhadapan dengan apa juga keadaan serta berusaha mendepaninya dengan lapang dada sekalipun ianya pahit untuk ditelan. "Mulut mesti manis, hati mesti baik...". Wallahu a'lam.

Rabu, 10 November 2010

Ancak : MB tidak melakukan syirik, kata Mufti

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria merumuskan Dr. Zambry Abdul Kadir "tidak melakukan syirik dan khurafat" di majlis ancak (menaikkan tiang seri) di sebuah kampung di Manong, Perak baru-baru ini..

Rumusan tu adalah susulan kepada dakwaan Dewan Pemuda Pas Perak sebelum itu yang mengatakan MB melakukan syirik dan khurafat di majlis tersebut di mana dilaporkan mereka telah menghantar memorandum kepada Mufti membantah tindakan MB itu.

Beliau membuat rumusan sedemikian setelah mendapat maklumat secara bersemuka daripada Menteri Besar, mengenai keturutsertaannya di dalam majlis ancak itu 

Menurut Dr. Zambry pada pertemuannya dengan Mufti itu beliau hanya memegang serta menolak tiang bersama-sama dengan orang-orang kampung dan tiada niat pun, malah tidak tahu langsung mengenai acara itu.

Dengan penjelasan Mufti itu maka  terjawablah sudah dakwaan Dewan pemuda Pas Perak . Dan masyarakat Islam pun khususunya di Perak hendaknya tiada lagi wujud sebarang buruk sangka terhadap Dr. Zambry mengenai isu itu.



Pendidikan awal kanak-kanak sejajarkan dengan tuntutan Islam

Saya sokong cadangan Datin Seri Rosmah Mansor supaya pendidikan seawal usia kanak-kanak iaitu di bawah usia lima tahun penting untuk menjana kualiti modal insan. Agama Islam juga menganjurkan supaya umatnya diberikan ilmu "sejak dari dalam buaian hingga ke liang lahad". Ini berkmasud ilmu itu perlu dibekal seawal mungkin usia seseorang.

Namun dari dahulu , hari ini, malah lebih-lebih lagi pada hari-hari muka pendidikan seawal usia bagi kanak-kanak Islam mestilah disandarkan kepada keperluan akidah, syarak dan akhlak. Sekiranya unsur-unsur ini diketepikan atau diabaikan harapan untuk melahirkan modal insan berkualiti mengikut acuan Islam akan gagal .

Ini kerana perubahan sosial dan persekitaran pada hari muka akan lebih mencabar akidah, syariat dan akhlak seorang Muslim dan Muslimah. Jadi, sebagai umat Islam saya berpandangan bahawa kita perlu sedar serta ambil perhatian akan hakikat ini.

Wallahu a'lam. 

Selasa, 9 November 2010

Aduh peritnya menjadi mangsa banjir, mangsa politik dan mangsa tindakan disiplin

Walaupun banjir di negeri Kedah dilaporkan semakin baik , namun macam-macam cerita terdengar di sana sini . Aduh kasihannya kepada mangsa-mangsa banjir yang dianggarkan lebih 40,000 itu, sudahlah kampung halaman, tempat kediaman dan harta benda ditenggelami air , tidur tidak menentu, makan ala kadar , pakai apa yang ada, bahkan dengar cerita ada sesetengahnya pula kena buat surat tunjuk sebab kepada majikan sebab tak hadir kerja kerana  jalan ditutp, bekalan elektrik dan air paip dipotong dan sebagainya . 

Semua pihak sepatutnya menumpukan perhatian kepada membantu mangsa-mangsa banjir atau paling kurang pun bersimpati dengan mereka; bukan dengan memangsakan lagi mereka dengan hal-hal lain yang sepatutnya boleh dimaafkan atau `dipejamkan sebelah mata' buat seketika kerana jika berlaku sesuatu di luar kebiasaan pun ia bukanlah disengajakan tetapi dek kerana darurat atau terpaksa.

Bagi pemimpin-pemimpin politik lupakan soal ideologi politik dan bagi majikan-majikan kerajaan atau swasta pula lupakan bakal tindakan keras disiplin kepada pekerja-pekerja. Jangan cepat minta surat tunjuk sebab kepada pekerja yang mungkin tidak hadir bekerja satu atau dua tiga hari tapi tangani isu itu dengan cara yang lebih sesuai.

Ini kerana semua orang di seluruh dunia tahu bah di negeri Kedah pada Novemvber 2010 ini adalah yang terburuk pernah dialami negeri itu.

Yang pentingnya semua pihak perlu ikhlas, termasuk pekerja-pekerja sendiri , tak kira kakitangan kerajaan atau swasta, dan hendaknya tidak ada yang cuba mengambil kesempatan air bah untuk `tuang' kerja.

Bukan senang untuk menjadi seorang pemimpin

Bukan senang untuk menjadi seorang pemimpin yang berjaya. Tidak kiralah apa juga lapangan yang ingin dipimpinnya. Sayugia diingat, pada setiap lapangan itu ada onak dan enaknya. Ada lurus dan likunya.

Oleh itu, apa yang perlu ada pada dirinya adalah beberapa ciri penting ketrampilan diri yang boleh membangkitkan keyakinan orang di bawah pimpinannya terhadap diri dan pimpinannyanya.

Antara ciri penting yang harus dimilikinya ialah sabar, tenang, bijaksana, berilmu, berakhlak, berbakat , berkebolehan tinggi di dalam berkomunikasi dan sebagainya. Ketiadaan ciri-ciri tersebut atau sebahagian besarnya maka akan gagallah seseorang itu untuk menjadi pemimpin yang dihormati meskipun dia dianugerahkan Tuhan dengan harta kekayaan dan lain-lain. 

Malah sifat sabar dan bijaksana dilihat cukup penting berbanding dengan yang lain. Tanpa kesabaran dan kebijaksanaan seseorang itu akan sentiasa berhadapan dengan suasana tidak tenteram, keluh kesah, lekas marah, cepat membuat keputusan, lekas berputus asa, hilang keyakinan diri dan sebagainya. Membuat keputusan kurang atau mungkin tidak tepat ketika berada dalam saat-saat sukar. 

Membuat sesuatu keputusan yang kurang atau lebih lagi tidak tepat boleh menghilangkan `kelayakan' seseorang untuk ditabalkan sebagai pemimpin . Oleh demikian perkara ini sayugia diambil perhatian. Jalan yang keluar terbaik harus dicari dengan penuh bijaksana.

Bagi seseorang Muslim ada caranya tersendiri. Ikut sahaja perintah Allah SWT seperti firman-Nya di dalam al-Quran yang bermaksud, " Wahai orang-orang beriman mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan cara bersabar dan bersolat; sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang bersabar". Surah al-Baqarah.  

Ahad, 7 November 2010

Antara bencana dan sentimen politik

Saya kini berada di rumah anak saya di Kepala Batas, Pulau Pinang . Ketika datang menunaikan solat berjemaah di masjid Taman Bertam Indah dekat sini , saya kagum dengan langkah yang diambil Jawatankuasa Qariah masjid berkenaan melancarkan tabung bantuan mangsa-mangsa banjir di Kedah dan Perlis.

Difahamkan kawasan perumahan itu dihuni oleh sejumlah ribuan isi rumah yang majoritinya Muslim. Pada kuliah Subuh pagi tadi penceramah dalam sentuhannya terhadap pengwujudan tabung itu antara berkata, "Hari ini, hari depa (mereka) ditimpa bencana, mungkin hari lain, entah kita pula, wallahu a'lam".

Ungkapan itu mencerminkan sentimen ukhuwah Islamiah yang mendalam dan ikhlas kerana sebahagian besar yang ditimpa bencana itu adalah terdiri dari kaum Muslimin dan berbagai ideologi politik Lantaran itu langkah tersebut dilihat tidak seperti sesetengah pihak yang melihat bencana itu dalam ruang lingkup sentimen politik parti masing-masing .

Saya kira biarlah kita sederhanakan diri kita , bukan sahaja dari segi tingkah laku tetapi juga dari segi-segi lain termasuk sentimen politik dan sebagainya. Bukan tidak boleh sentimen politik tetapi biarlah berpada dan kena pada waktu dan tempatnya.

Sabtu, 6 November 2010

PLBE dikaitkan dengan banjir buruk di Kedah: Kementerian berkaitan perlu beri penjelasan

Salah satu penyebab yang dikaitkan secara rasmi dengan bencana banjir paling buruk di Kedah adalah projek pembinaan landasan berkembar kereta api elektrik yang sedang rancak berjalan di Kedah sekarang,  namun ia dinafikan oleh pihak KTMB seperti disiarkan media hari ini.

Penafian mutlak itu boleh menimbulkan kemarahan orang ramai. Ini kerana dalam situasi sukar sebegini emosi manusia mudah menjadi tidak menentu atau cepat marah . Bukan sahaja rumah dimasuki air, makanan, minuman pakaian dan lain-lain juga tidak menentu dan terurus. Semua pihak sepatutnya memahami situasi ini .

Cara terbaik mengapa tidak gunakan pendekatan yang lebih berhemah atau diplomasi dengan misalnya membuat siasatan terlebih dahulu. Tak kan ini pun pihak unit komunikasinya tidak memahami .      

Harus diambil ingatan bahawa projek itu di bawah kerajaan pusat. Trend berpolitik di Malaysia berbeza dengan di negara lain. Tindakan seumpama itu dari segi politiknya (di Malaysia) boleh mempengaruhi persepsi umum terhadap kerajaan pusat.

Justeru saya rasa adalah baik jika kementerian berkaitan sendiri dapat mengeluarkan kenyataan media  menjelaskan kedudukan sebenanya dan, jika boleh, zahirkan rasa dukacita terhadap kejadian itu. Seboleh-bolehnya menteri atau timbalan menteri berkaitan datang melawat ke kawasan kritikal, apa salahnya.

Habis cerita. 

 

Jumaat, 5 November 2010

BN jangan juak dengan kemenangan di PRK Batu Sapi dan Galas

Manjoriti pengundi di kawasan Parlimen Batu Sapi, Sabah dan DUN Galas, Kelatan telah memberi isyarat bahawa mereka menyokong BN. Andai kata itu boleh dijadikan simbol kepada keseluruhan pengundi maka ia adalah sesuatu yang positif kepada BN untuk menguasai sebahagian besar kawasan Parlimen dan DUN pada pilihan raya akan datang.

Namun begitu BN tidak harus juak dengan pencapaian itu. Isyarat yang diberikan itu hanya memperakukan kepada pemimpin BN bahawa majoriti rakyat (pengundi) bersedia mengembalikan sokongan mereka kepada BN , dengan syarat BN mestilah berterusan dengan dasar membantu golongan yang wajar dibantu seperti golongan marhen di luar bandar dan juga di bandar; bukan menumpukan kepada golongan elit sahaja.
Membantu bermaksud tidak menjadikan golongan bukan elit mangsa penindasan demi membantu golongan elit.

Selain itu janji BN kepada rakyat mesti ditunaikan mengikut waktunya. Perasaan majoriti rakyat jangan pandang sepi oleh pemimpin BN . Pemimpin BN juga harus berwaspada daripada percubaan `campur tangan' orang-orang di belakang tadbir di dalam perkara yang berkaitan dengan pentadbiran negara , sehingga urusan itu terdedah kepada pengetahuan umum atau sehingga memberi kesan buruk kepada rakyat kebanyakan.

Perasaan juak dan lupa diri harus dielakkan sama sekali. Setiap keputusan mengenai sesuatu dasar yang berkaitan langsung dengan kehidupan rakyat harus lebih berhati-hati dan berwaspada. Situasi yang berlaku antara tahun 2004 dan 2008 (sebelum PRU ke-12 ) harus dielakkan.

Sekiranya ini semua dan lain-lain penyebab hendaklah dijadikan landasan untuk bermuhasabah, maka tidak mustahil BN mampu memperoleh semula kemenangan pada PRU akan datang dan mampu bertahan lebih lama.

Kita mesti ingat dalam apa jua jenis makluk Allah apabila usianya semakin meningkat ia akan menghadapi zaman pengucupan atau akhirnya kepupusan. Ini sebahagian daripada petunjuk yang wajar diambil kira.

Sejarah telah membuktikan kepada kita bahawa kekuatan sesebuah kerajaan, termasuk pemerintahan kesultanan Melayu , menghadapi `proses fenomina' ini. Jadi mesti berwaspada selalu, dan jangan terlalu juak.

Hindarkanlah sifat ego yang keterlaluan..

Setiap orang mempunyai cara berfikir dan tingkah lakunya yang tersendiri. Ini adalah anuggerah Allah Subhanahu Wata 'ala. Sekiranya seseorang itu menjadi pemimpin, maimma menjadi Ketua Pengarah mana-mana agensi kerajaan sekalipun tentulah ada perbezaan gaya dan cara kempimpinan yang tersendiri.

Maknanya jika berlaku pertukaran KP maka besar kemungkinan akan berlaku juga perubahan gaya kepimpinan serta pendekatan. Ini perkara biasa . Namun ia akan menjadi luar biasa apabila seorang KP itu mengangkat-angkatkan kebolehan dan `jasanya' sendiri dan kondem segala jasa , kebolehan, dan gaya mereka sebelumnya.  Oleh itu jika ini berlaku ia cukup mengejutkan. 

Memang saya amat terkejut besar membaca dalam sebuah akhbar hari ini akan kenyataan seorang KP sebuah agensi kerajaan yang akan bersara , menggambarkan dia `kondem' rakan-rakan sejawatan yang sebelumnya. 

Ayat yang dirakamkan akhbar tersebut berbunyi, " Pendekatan saya berlainan dengan KP...sebelum ini . Saya berpegang bahawa tindak tanduk kita mesti selari dengan dasar yang hendak dilaksanakan oleh menteri....dan  sayalah KP...yang melaksanakan dasar yang hendak dilaksanakan oleh Menteri.....

Kenapa buat kenyataan macam ini tuan.....apakah KP sebelum tuan tak ikut dasar yang dibuat oleh menteri  ? .......masya Allah, subhanallah...Allahu akbar....janganlah terlalu ego  , tak baik....kita ni sama-sama hamba Allah...kalau kita dikurniakan kelebihan sekalipun janganlah kita merendah-rendahkan kebolehan dan peranan orang lain... Tak baik cara itu

Khamis, 4 November 2010

Di sebalik kenyataan Bassori Abu Hassan, Ketua Pemuda Umno Bahagian Jerai

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jerai, Bassori Abu Hassan memberi tahu media beliau `berada di landasan betul' ketika mencadangkan supaya kedudukan Datuk Seri Mohd. Shafei Apdal sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Kedah dikaji semula ketika membahas ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO di perhimpunan agung parti itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau adalah wakil pemuda Umno Kedah. Berikutan cadangannya itu difahamkan berlaku sedikit `perselisihan' pendapat di kalangan beberapa pemimpin UMNO Kedah.

Ada yang kata OK , ada yang kata tidak. Namun menurut Bassori seperti dalam kenyataannya kepada media dia tidak ada agenda peribadi, cuma sekadar ingin partinya dapat dipimpin dengan lebih sempurna. Malah, tambahnya lagi, hubungannya dengan Shafei juga adalah `baik'.

Saya yakin saudara Bassori ikhlas di dalam ucapannya itu . Oleh itu amat cantiklah jika isu itu dapat diselesaikan secara lebih baik daripada dicurahkan dalam media..

Lihat intipati ucapan Bassori itu dalam konteks yang lebih rasional dan positif . Jika itulah sebenarnya kehendak majoriti pendukung dan penyokong di akar umbi dan sebagainya , jadikan itu sebagai satu teguran membina ke arah perubahan seperti yang disarankan oleh banyak pihak .



Rabu, 3 November 2010

15,000 mangsa banjir di Kedah

Khabarnya mangsa banjir di Kedah yang dipindahkan sudah meningkat kepada 15,000 orang yang terdiri daripada daerah-daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Padang Terap.

Semoga kedudukan banjir akan bertambah baik dengan cepat. Pada mereka yang terlibat dengan bencana banjir itu diharapkan bersabar dan ikut arahan pihak berkuasa untuk berpindah.

Bercakap mengenai pemindahan mangsa banjir ini teringat saya semasa masih bekerja dulu dan terlibat dalam jawatankuasa banjir daerah yang dipengerusikan Pegawai Daerah, ada juga mangsa yang enggan berpindah apabila disuruh berpindah. Alasan yang diberikan kerana `sayang nak tinggalkan rumah sendiri' . Ini berlaku pada dekad 1980-an dulu. Diharapkan di zaman alaf baru ini perkara tersebut tiada bangkit lagi. 

Selasa, 2 November 2010

Oh ! Apa akan terjadi pada negaraku

Ketika berada di sebuah hotel di KL kelmarin saya terbaca laporan berita sebuah akhbar berbahasa Inggeris edaran percuma terbitan 1 November 2010 yang mengatakan sebuah kerajaan pimpinan parti gabungan Pakatan Rakyat bercadang membentangkan "Rang Undang-Undang Perhubungan Kaum" tahun depan yang kononnya untuk mewujudkan perpaduan dengan cara bahawa setiap orang tidak harus melihat dirinya sebagai Melayu, Cina , India, Kadazan, Iban dan lin-lain . Sebaliknya hanya perlu dikenali sebagai `Malaysian' sahaja.

Bunyinya seperti slogan 1Malaysia yang dipelopori DS Najib, Perdana Menteri. Tapi bila direnungi dalam-dalam seolah-olah macam ada benda tersirat atau `agenda tersembunyi' jangka panjang. Tak pandai pula saya nak meramalkannya. Bagaimanapun pada saya membaca laporan berita itu sungguh membimbangkan dan menggerunkan . 

Timbul pelbagai  tanda tanya ; apa akan terjadi jika parti itu diberi peluang memerintah negara ini . Sekarang ini , baru hanya memerintah sebuah negeri pun sudah berani nak `menidakkan' pengenalan kaum , apatah lagi andai kata dapat memerintah satu negara ? Pada hal keadaan yang ada sekarang ini pun tiada masalah sekiranya tidak ada golongan pelampau mengapi-apikannya . Oh ! apa akan terjadi pada negaraku.