Jumaat, 12 November 2010

Apa ada pada nama ?

Jika tidak silap ingatan saya pada sekitar pertengahan tahun 1960-an hingga 1970-an ungkapan "Apa ada  pada nama " sering menjadi perbualan ramai. Ia rasanya dicetuskan oleh kalangan ahli akademik pada ketika itu.

Apa ada pada nama ialah merujuk kepada maksud bahawa nama yang bagus-bagus pun tiada memberi apa makna sekiranya kualiti diri seseorang itu rendah atau tidak bagus. Tetapi nama yang bunyinya tidak sedap sekali pun dapat memberi makna jika kualiti diri tuan empunyanya tinggi dan bagus.

Dengan lain-lain perkataan kualiti diri yang tinggi menyebabkan nama seseorang dijulang , disebut selalu dan dikenang. Ia mungkin benar, namun cara menggunakannya juga harus betul dan baik tujuannya.  Ungkapan itu tiada kedengaran lagi di zaman ini. 

Bagaimanapun di zaman sekarang nampaknya orang ghairah mencari nama dan mempergunakan nama, baik untuk diri sendiri, keluarga, persatuan, pertubuhan, syarikat, organisasi politik dan sebagainya.

Semua platform akan dipergunakan semaksimum mungkin. Termasuk pada tempat dan masa yang tidak begitu sesuai seperti ketika sekumpulan manusia sedang menghadapi keperitan hidup, bencana alam dan sebagainya.

Terdapat sesetengah pihak dek kerana terlalu ghairah mencari nama , kebaikan diri sendiri ditonjolkan seberapa daya mungkin di samping pada masa sama menyahkan kebaikan orang lain. Ini rasanya tidak selari dengan ajaran agama .

Dengan fahaman saya yang sedikit tentang agama Islam, saya dapati Islam tidak menyuruh umatnya buat demikian, malah dilarang memberi bantuan atau sedekah dengan riak kerana `sedekah' seperti itu diibaratkan seperti lumut di batu licin. Ia mudah hilang . Ini adalah peringatan Allah.

Peringatan ini seboleh mungkin hendaklah tidak dipandang sebelah mata, kena juga diambil peduli kalau tak banyak pun sedikit sudah cukuplah tu.

Dalam Islam nama sememangnya penting. Sebab itu ketika bayi berusia tujuh hari disunatkan (disuruh) memberikan nama (yang baik-baik) malah dilarang memberikan nama yang bercanggah dengan akidah ketauhidan Allah.

Mengikut ajaran Islam juga setiap individu (kullu nafsin) akan dipanggil namanya di hadapan Tuhan Rabbul Jalil di Padang Mahsyar selepas berlakunya kiamat nanti. Oleh itu nama sangat penting kerana ia sebahagian daripada unsur-unsur pengenalan diri, keluarga, persatuan, pertubuhan dan sebagainya. Tapi jangan keterlaluan dalam mempergunakan nama kerana semata-mata hendak mencari nama itu. Wallahu a'lam.

Tiada ulasan: