Khamis, 25 November 2010

Hargailah subsidi

Saya ingin ucapkan syabas kepada SPRM dan KPDNKK kerana berjaya menyanggah kegiatan penyelewengan diesel yang disubsidikan kepada golongan nelayan negara ini menerusi penahanan dan pembicaraan beberapa orang terlibat. 

Difahamkan kegiatan sesetengah pihak itu menyebabkan negara kehilangan berjuta-juta ringgit serta membabitkan berbilion liter diesel. Alangkah baiknya nilai sebanyak itu diberikan kepada projek-projek lain yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat terbanyak.

Niat asal kerajaan memberikan subsidi itu adalah untuk membantu golongan nelayan yang sebahagian besarnya dianggap sebagai golongan kurang berada di mana wajar diberikan bantuan menerusi skim subsidi . Namun niat baik itu terbantut disebabkan adanya kegiatan penyelewengan.

Sepatutnya hal ini wajar disedari oleh semua pihak. Kegiatan seperti penyelewengan subsidi itu patut dielakkan, malah ia memang boleh dielakkan jika kita semua mempunyai kesedaran sivik yang tinggi. 

Lebih mengecewakan sekiranya kegiatan itu dilakukan oleh sebahagian dari mereka yang berada dalam sektor nelayan itu sendiri. Jadi, harapannya ialah agar semua pihak sedar bahawa subsidi itu adalah satu pemberi ihsan dan bukan sedekah. Oleh itu setiap subsidi hendaklah dihargai.


Tiada ulasan: