Khamis, 30 Disember 2010

Bonus RM100.9 juta kepada peneroka tanda terima kasih kerajaan

Saya bukan peneroka Felda tetapi mempunyai ramai ahli keluarga dan rakan-rakan yang menjadi peneroka Felda . Ada di antara mereka menjadi peneroka seawal tahun 1960-an lagi ketika tanah-tanah di bawah rancangan Felda dibuka . Kebanyakan ahli keluarga dan rakan-rakan saya yang menyertai Felda ada di beberapa kawasan Felda di negeri Kedah dan selebihnya di Pahang.

Saya berharap mereka adalah di antara 94,281 peneroka Felda yang akan mendapat bonus (insentif peneroka) sejumlah RM100.9 juta yang akan dibayar mulai Januari tahun depan . Sungguhpun bonus itu dilaporkan akan dibayar dengan kadar antara RM400 dan RM1,200 , namun pasti ia dapat mengurangkan beban kewangan hujung tahun di mana biasanya setiap keluarga di negara ini menghadapinya.

Pemberian itu bolehlah diibaratkan sebagai tanda `terima kasih' kerajaan kepada para peneroka Felda  dan bagi peneroka pula diharapkan dapat menerimanya dengan penuh kesyukuran dan lapang dada. Mudah-mudahan dengan itu rezeki dan nikmat Allah akan bertambah lagi dari masa ke semasa.

Sebagai rakyat Malaysia amnya dan sebagai seorang insan yang mempunyai ahli keluarga dan sahabat-sahabat yang menjadi peneroka , meskipun saya bukan peneroka saya amat terharu dengan pemberian bonus itu. Saya percaya peneroka yang terlibat juga mempunyai perasaan yang sama. Wassalam.

Selasa, 28 Disember 2010

Jazakumullahu khaira kepada semua tetamu walimatu urus anak saya

Mungkin agak terlewat, namun inilah sahaja saya rasa ruang masa yang ada pada saya untuk saya mencatatkan sedikit daripada banyak suara batin dan perasaan saya terhadap saudara mara, sahabat handai, rakan taulan, jiran-jiran saya kerana kesudian mereka semua menghadiri majlis kenduri kahwin anak lelaki saya yang dilangsungkan di Taman Bertam Indah, Kepala Batas, Seberang Prai Utara pada 25 Disember 2010 lalu.

Paling jauh adalah mereka dari Putrajaya, Bangi, Serdang dan Klang , Selangor. Dari Perak adalah keluarga dan saudara mara keluarga dari Sitiawan dan Ipoh. Sementara dari Kedah pula paling jauh adalah keluarga, saudara mara, rakan-rakan dan sahabat-sahabat serta keluarga mereka itu dari Jitra, Alor Setar, Yan, Pendang, Padang Serai , Kuala Ketil , Karangan dan Kulim.

Selain itu adalah dari Kampung Selamat, Perda, Bukit Tengah, Jalan Baru, Butterworth dan sekitar Taman Bertam Indah yang terdiri daripada rakan-rakan dan jiran-jiran baru saya yang kebanyakannya saya kenali di masjid Attaqwa melalui solat berjamaah dan lain-lain aktiviti pengimarahan masjid.

Saya dan keluarga amat terhutang budi dengan mereka, namun atas kelemahan yang ada pada diri-diri kami, kami tidak dapat membalasnya selain dari hanya diserahkan kepada Allah SWT sahaja untuk membalas kebaikan budi mereka itu.

Apa yang meninsafi saya dan keluarga adalah betapa agungnya sifat-sifat kamalat Allah SWT dan rahamt-Nya . Ini kerana sebelum beberapa minggu menjelang hari majlis kenduri itu diadakan di kawasan sekitar Kepala Batas boleh dikatakan saban hari hujan turun. Bahkan pada malam sebelum majlis kenduri itu pun hujan turun dengan amat lebat sehingga larut malam.

Pada munajat saya dengan Allah Yang Maha Besar dan Maha Agung saya hanya mampu memohon limpah rahmat dan barakah daripada-Nya sahaja.

Alhamdulliah . Dengan limpahan rahmat-Nya cuaca baik, majlis berjalan lancar , makanan mencukupi dan kehadiran juga memberangsangkan. Malah yang amat mengharukan saya ada di antara mereka yang saya jumput itu hanya melalui SMS dan percakapan telefon dan pengumuman di masjid sahaja. Tidak menerusi kad jemputan kerana bilangannya terhad.

Namun begitu dengan penuh rasa insaf saya dapati betapa besarnya nikmat silaturrahim sekiranya kita dapat memanfaatkannya untuk kehidupan kita seharian dan juga dalam aktiviti-aktiviti ibadah kita kepada Allah, termasuk imarah masjid dan surau dan lain-lain ; sementelah pula mengadakan majlis kenduri itu sendiri adalah salah satu aktiviti ibadah. Justeru saya serta keluarga cuba melaksanakannya mengikut kehendak dan garis panduan beribadah. Mudah-mudahan kita -  para tetamu saya dan tuan/puan - akan sentiasa mendapat taufik dan hidaya dan juga rahmat dan barakah daripada Allah Azzawajall.

Jazakumullahu khaira, wa syukran jazila.

Khamis, 23 Disember 2010

Badan siasatan bebas kaji operasi kenderaan perdagangan membazir

Semacam tiada pengalaman langsung dengan `kemalangan besar' jalan raya yang melibatkan kenderaan berat seperti bas pelancongan dan ekspres serta melibat korban nyawa yang banyak jumlahnya, lalu kerajaan mengambil langkah menubuhkan sebuah badan siasatan bebas bagi `mengkaji struktur dan operasi kenderaan perdagangan di negara ini yang tujuannya barangkali untuk dijadikan asas kepada tindakan susulan selanjutnya.

Ini berikutan kemalangan yang telah berlaku di suatu `selekoh berbahaya' dekat Simpang Pulai ke Cameron Highlands baru-baru ini yang mana telah menorbankan 27 orang, termasuk sebahagian besarnya pelancong asing .

Saya bersetuju sekiranya badan seumpama itu ditubuhkan khusus untuk mengkaji kemalangan tersebut kerana bukan sahaja melibat jumlah nyawa yang banyak tetapi juga pelancong asing. Imej negara juga perlu dijaga. Tapi saya kurang setuju sekiranya badan itu ditubuhkan untuk mengkaji keseluruhan kemalangan yang membabitkan kenderaan perdagangan. 

Ini kerana mustahil kemalangan-kemalangan lalu yang melibatkan kenderaan perdagangan serta melibatkan banyak nyawa terkorban itu tidak boleh membawa sebarang idea lagi bagi mendapatkan jalan atau kaedah penyelesaiannya.

Pengalama lalu menerusi banyak kali berlaku kemalangan `besar' itu saya rasa boleh dijadikan sumber rujukan atau sebagai `suapan' kepada kerajaan (kabinet) untuk mengambil tindakan seterusnya. Melainkan jika tidak ada perhatian serius atau adanya sikap suka menuding jari. Yang ini apabila wujud sampai bila pun atau apa badan pun ditubuhkan masalahnya tidak dapat diatasi.

Selasa, 21 Disember 2010

Hindarkan kempen politik perkauman secara melampau

Cara berkempen menjelang pilihan raya umum ke 13 ini saya nampak lebih kurang serupa dengan cara berkempen menjelang pilihan raya-pilihan raya umum tahun1964 dan 1969. Bahkan pada kali ini dilihat lebih teruk lagi.

Pada tahun 1960-an , masa itu para politikus di samping menonjolkan isu-isu perkauman seperti bahasa, agihan ekonomi dan agama; namun ada juga dibangkitkan isu-isu pembangunan . Tetapi pada kali ini nampaknya isu pembangunan langsung tidak lagi menarik minat para politikus, terutama DAP dan parti-parti pembangkang lain. Mungkin isu pembangunan sudah habis , tiada lagi boleh dijadikan modal kempen.

Justeru yang dijadikan tumpuan ialah isu-isu perkauman yang sangat sensitif dan sangat membakar perasaan kaum-kaum tertentu , khususnya orang Melayu. Terbaru misalnya dalam suatu konvensyen parti-parti pembangkang yang diadakan di Kepala Batas, Seberang Prai Utara pemimpin  sebuah parti pembangkang  dilaporkan menghentam UMNO, BN , orang Melayu dan akhbar Utusan Malaysia dengan mengatakan mereka itu `bukan rakyat Malaysia sebenar' . Suatu label yang sangat jelik. 

Pendekatan kempen pula dizahirkan secara agresif tanpa menghirau kesannya. Ini akan memberi impak yang sangat buruk dan menjijikkan kepada orang Melayu. Maka ia tidak wajar dilakukan atau dibenarkan berlaku
Apa yang telah berlaku pada 40 tahun dahulu beginilah caranya.Cara itu mungkin memberi keuntungan dan kelebihan kepada parti-parti pembangkang tetapi rakyat jelatalah yang akan tanggung risikonya dalam serba serbi .

Lihatlah pada pilihan raya umum tahun 1969 dahulu dengan menguna pendekatan begitu akhirnya parti - parti pembangkang seperti DAP, Pas dan Gerakan (yang belum lagi menjadi parti kerajaan) menang beberapa kerusi Parlimen dan menguasai beberapa negeri seperti Selangor, Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang.

Namun tiba-tiba dua hari selepas itu berlakulah peristiwa yang sangat pahit dalam lipatan sejarah negara iaitu pergaduhan `besar-besaran' antara kaum, terutama Melayu dan Cina yang mengakibatkan kehilangan banyak nyawa dan kerosakan banyak harta benda awam dan milik bersendirian. Dan akibatnya juga sistem demokrasi `digantung' seketika.

Mahukah kita peristiwa seumpama itu berulang lagi? Saya percaya ramai rakyat jelata yang berniaga, bertani, berkebun, dan sebagainya tidak mahu. Yang mahu begitu barangkali hanya segolongan politikus yang rakus kuasa sahaja. Oleh itu, hindarkanlah berkempen secara itu . Fahamilah segera keresahan hati rakyat jelata.

Pihak berkuasa bendungilah cara berkempen begini. Tiada siapa yang untung akibat dari berkempen cara ini. Pengalaman sudah ada dengan kita, buat apa kita biarkan lagi ia berterusan. Apakah ini ikutan daripada adanya `dasar terbuka' yang melampau sebelum ini. Justeru itu berhati-hatilah parti pemerintah ketika merumuskan dan melaksanakaan sesuatu dasar; janganlah sampai rakyat dan negara menjadi hancur macam negara - negara lain.  Cegah sebelum parah.

Jalani kehidupan dengan peri kemanusiaan

Hari ini surat khabar melaporkan seorang yang berkedudukan tinggi dalam perkhidmatan awam (jusa/turus) mencadangkan agar kerajaan mengurangkan kakitangannya bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan. Ini dakwanya jumlah kakitangan kerajaan sebanyak 1.2 juta itu tidak sepadan dengan jumlah penduduk 28 juta dan dia membandingkan dengan beberapa negara maju seperti Korea Selatan yang katanya penduduk ada 48 juta manakala kakitangan awamnya 2 juta orang sahaja.

Saya hairan sungguh perangai orang-orang kita apabila ada rancangan untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan selalu sangat melibatkan golongan rakyat terbanyak atau `golongan marhaen'. Boleh dikatakan pada semua rancangan.

Keadaan serupa berlaku juga pada rancangan hendak menghapuskan subsidi. Ia juga dikaitkan dengan  `kerajaan rugi besar' , seolah-olah tiada jalan lain  Pengahapusan subidi pasti memberi kesan buruk kepada kehidupan golongan bawahan yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Golongan tinggi tidak terlibat sebab mereka itu dibayar dengan gaji yang tinggi dan ditambah pula dengan berbagai-bagai elaun seperti elaun keraian dan sebagainya. Tak apalah mereka boleh hidup mewah dan bersenang lenang dengan keluarga.

Tapi janganlah pula sentiasa berfikir mencari jalan untuk kacau periuk nasi dan rezeki orang lain. Dah nak dapat sesen dua pun payah ! Juga kena ingat dalam perkhidmatan awam di Malaysia ada yang bertaraf tetap dan berpencen, ada yang kontrak dan ada yang sambilan. Nak buang yang berjawan tetap memang payah tetapi nak buang yang bertaraf kontrak dan sambilan memang mudah. Dan mereka ini pula keseluruhannya berada di peringkat bawah dan sederhana. Sebab itu puak-puak yang duduk di peringkat tinggi suka sangat membuat cadangan macam itu. Kenapa mereka tidak cadangkan kerajaan potong elaun itu dan potong elaun ini yang banyak yang diberikan kepada mereka di peringkat tinggi itu.

Tolonglah kasihan sama kepada golongan bawah atau marhaen ini. Mereka pun makhluk Allah juga. Jangan terlalu pentingkan diri sendiri, tak baik. Jalanilah kehidupan dengan penuh rasa peri kemanusiaan . Wassalam.

Isnin, 20 Disember 2010

Kementerian Pelajaran harap jangan akur

 Catatan ini sekadar untuk meminta kementerian pelajaran tidak akur dengan tuntutan sesetengah pihak khususnya dari kalangan pendukung politik tertentu supaya menarik balik keputusan menjadikan  Interlok (novel) sebagai teks sastera di sekolah menengah. Alasan yang diketengahkan adalah buku itu mengandungi unsur `menghina' orang Melayu dan India.


Interlok adalah sebuah novel karangan Sasterawan Negara , Datuk Abdullah Hussain dan telah dipilih oleh sekumpulan panel untuk dijadikan komponen mata pelajaran sastera bahasa Malaysia di sekolah menengah. Mustahil kumpulan panel itu jahil mengenai sastera, politik, sosial, sejarah negara dan sebagainya., lantas memilih buku yang rendah mutunya dari segi kepentingan negara dan bangsa. 

Mengenai sejauh mana ia `menghina kaum-kaum tertentu' atau sama ada ia  sebuah buku sastera atau buku politik, atau sama ada  ia sebuah rencana serius atau satu hasil kareatif seorang pengarang sastera, atau  lain-lain bidang yang boleh dikaitkan dengan isu perkauman yang membahayakan negara , terpulang kepada penilaian yang dibuat secara ilmiah oleh kementerian pelajaran sendiri. Di kementerian itu pasti ramai para intelektual yang mampu membuat penilaian dengan sebaik-baiknya. 

Rasanya dalam keadaan tertentu kita patut sangat jangan terlampau taksub dengan sentimen perkauman sehingga menyukarkan kehidupan kita dalam sebuah negara seperti Malaysia ini. Cuba kita sederhanakan pemikiran dan emosi kita dalam melihat aspek-aspek tertentu yang berkaitan dengan isu perkauman. Ini supaya tahap pransangka buruk kita antara satu sama lain boleh dikurangkan atau ditiadakan . Percayalah selagi sifat begitu kita tidak perkemaskan, selagi itulah semangat 1 Malaysia yang hendak dipupuk itu tidak berjaya. 


Sabtu, 18 Disember 2010

Ubahlah pusat hiburan dekat masjid di Pekan Tanah Merah

Aku terkejut besar Pekan Tanah Merah dalam daerah Pendang ada karaoke. Dahlah tu dibuka dekat dengan masjid pula . Aku rasa sangat pelik. Bukan aku tak tahu Pekan Tanah Merah tu macam mana. Zaman aku kecik-kecik dulu Pekan Tanah Merah tu bukanlah besar sangat.

Waktu itu tahun enampuluhanlah . Sekarang ini dah tahun 2010 , nak masuk 2011 . Sekali sekala bila aku balik kampung aku lalu juga ikut pekan Tanah Mereh tu dan aku tenguk macam-macam perubahan dah berlaku dan macam-macam pembangunan ada.

Projek perumahan ada, bangunan kedai-kedai baru pun banyak , bukan macam dulu lagi. Kata kawan-kawanku yang lama dan baru masih tinggal di kampung-kampung sekitar pekan itu, sudah ada `pekan baru'. Masjid pun masjid baru. Aku pun pernah beberapa kali solat di situ sejak bangunan baru. Baguslah tu. Akupun seronok dengan pembangunan pesat itu.

Tapi yang aku sangat sedih ialah macam mana pihak berkuasa boleh benarkan pusat hiburan dibuka dekat masjid. Pada hal yang duk kerja di jabatan kerajaan itu aku rasa hampir semuanya orang Melayu/Islam. Kerajaan negeri juga sudah bertukar dari BN kepada PR.

Tergamak sungguh depa buat macam tu. Subhanallah. Aku haraplah apabila perkara itu dah keluar dalam surat khabar maka pusat hiburan itu hendaklah diubah ke tempat lain. Ini kerana atas apa alasan pun kedudukannya dekat dengan masjid (yang menjadi rumah ibadat orang Islam ) itu memang tak baik dan siapa yang buat dan luluskan lesen tu memang tak tahu adat .

Jumaat, 17 Disember 2010

Amal pluralisme adalah haram

MELAKA 16 Dis - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria (gambar) berkata, orang Islam yang berfahaman pluralisme agama iaitu mendakwa semua agama adalah sama baik dan sama benar adalah kafir dan murtad.

Menurutnya fahaman seperti itu adalah haram dan jelas berlawanan dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah. "Pluralisme adalah haram. Kita mana boleh kata semua agama sama dengan Islam. kalau orang Islam kata semua agama adalah sama dengan Islam, mereka yang berkata begitu adalah kafir.

 "Dalam kitab dan hukum syarak telah menyebut mereka yang mengamalkan fahaman pluralisme dianggap sebagai kafir dan murtad." katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditemui pada Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke 192 yang berlangsung di Hotel Equaltorial, di sini hari ini. Majlis tersebut dihadiri kira-kira 22 ahli jawatankuasa fatwa kebangsaan terdiri daripada mufti seluruh negeri dan dijadualkan berakhir esok.

Harussani berkata, di Malaysia semua agama dilayan sama adalah wajar malah tindakan itu turut disarankan oleh agama Islam. "Di Malaysia, kita wajar menghormati agama lain tetapi kita tidak boleh mengakui agama Islam sama dengan gama lain".

Beliau menambah, fahaman pluralisme atau kesamarataan di dalam agama perlu ditolak oleh semua umat Islam di negara ini kerana ia boleh merosak akidah.

Sehubungan itu, Harussani meminta kerajaan untuk menangani tidakan golongan tertentu yang cuba membawa fahaman pluralisme kerana ia akan membawa kepada kehancuran Islam.

UTUSAN MALAYSIA - JUMAAT 17 DISEMBER 2010.


Komen BBOK :  Pembantersannya mestilah secara bersepadu iaitu kerajaan dan rakyat. Tanpa jalinan kerjasama antara rakyat dan kerajaan langkah itu gak sukar dilakukan.

Khamis, 16 Disember 2010

Tutup kes rasuah: Nik Aziz menang moral dan politik

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Menteri Besar Kelantan dan juga Mursyidul Am Pas terlepas daripada dakwaan rasuah yang melibatkan tuduhan menerima `suapan' sebanyak RM65,000.00 daripada sebuah syarikat sebagai pakej mengerjakan haji dan umrah pada tahun 2009. Nik Aziz membatalkan tunai haji pada tahun itu. Pejabat Peguam Negara (AG) mendapati tiada bukti untuk didakwa. SPRM menutup kes itu.

Dengan penutupan kes itu Tuan Guru memperoleh kemenangan moral dan pada masa sama menjana pengaruh politiknya sekali. Menang moral bermakna kedudukannya sebagai `Tuan Guru' tidak dicemari dengan perbuatan fasik, manakala mejana pengaruhnya dalam politik bermakna akan lonjakan dalam pengaruhnya di dalam politik dan khusunya Pas. 

Kedua-dua elemen itu pasti sedikit sebanyaknya akan mengalir juga kepada Pakatan Rakyat (PR) kerana Pas menjadi salah satu parti komponen PR, manakala Tuan Guru pula menjadi pemimpin tertinggi parti Pas .

Dalam kes ini Barisan Nasional (BN) menang moral  tidak menang politik. Menang moral bermakna ia mencerminkan BN di dalam melaksanakan dasar anti rasuh tidak memilih kawan atau lawan - yang salah  tetap salah dan yang terbukti buat salah pasti didakwa dan sebaliknya. Kalah dalam politik bermakna akan mengalami sedikit kehilangan sokongan , yakni kecenderungan pengundi terutama kumpulan atas pagar (AP) akan lebih memihak kepada PR kerana melihat pemimpin PR, terutamanya Pas lebih `bersih'.

Dalam apa juga keadaan ketika saat-saat pilihan raya umum semakin hampir BN harus mengatur strategi yang lebih `smart' dan berkesan kepada pemulihan dan pemantapan imej BN sebagai parti yang menggunakan slogan `rakyat diahulukan '.  

Selasa, 14 Disember 2010

Berhati-hati dengan program tahun pesta pancing

Syabas kepada Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah kerana meluluskan RM1.2 juta kepada Biro Pendidikannya untuk pembiyaan program kecemerlangan pendidikan dan bantuan kewangan pelajar-pelajar miskin.

Di atas kertasnya program kecermelangan pendidikan dan bantuan kewangan itu adalah untuk semua latar belakang golongan sasar tanpa mengira kaum, agama dan parti politik. Saya sangat setuju dengan pendekatan begini. Ia satu pendekatan geraksaraf yang begitu berkesan untuk `memenangi hati dan minda rakyat . 

Antara aktiviti program tersebut difahamkan mengandungi mengadakan kelas-kelas tuisyen dan pemberian bantuan atau `hadiah' kepada pelejar-pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang di dalam peperiksaan di peringkat-peringkat tertentu.

Program begini bukan sahaja baik dari segi konsepnya tetapi harus juga baik dari segi kaedah pelaksanaan dan cara pendekatannya agar tidak timbul di kemudian hari nanti unsur-unsur apa yang dipanggil sebagai  `caunter-productive' yang boleh memakan diri (tuannya).

Program itu untuk tahun 2011. Faham-faham sajalah...Tahun itu merupakan `tahun pesta memancing' . Silap-silap pancing ikan tak dapat, umpan habis. Oleh itu, kenalah jaga-jaga sikit agar umpan tak habis ikan tak terlepas. 

Isnin, 13 Disember 2010

Menjauhi sifat angkuh

Apa beza antara angkuh dan keyakinan diri. Perbezaannya amat jelas. Angkuh apabila seseorang itu  mengangkat dirinya sendiri dengan begitu tinggi dan pada masa yang sama merendah-rendahkan pihak atau orang lain. Seolah-olah apa yang ada pada dirinya itu seperti keupayaan menguasai sesuatu tidak mampu dibuat oleh orang lain.Ini bermakna menafikan keupayaan orang lain serta menganggap keupayaan yang diberikan Allah kepada dirinya tidak boleh ditandingan oleh sesiapa pun.

Ia satu kesilapan yang cukup besar. Bagi orang Islam ia bukan sahaja satu kesilapan besar namun satu dosa besar juga. Sifat takbur (angkuh) adalah sifat yang sangat dilarang di dalam agama Islam. Ini kerana mengikut ajaran Islam hanya Allah SWT sahaja yang berhak memilik sifat itu kerana Dialah yang menjadikan segala-galanya.

Dalam al-Quran Allah murka dengan seseorang yang bersifat dengan sifat angkuh atau bongkak ini seperti firman-Nya yang bermaksud," Jangan pijak muka bumi ini dengan perasaan sombong (angkuh)". Dalam sebuah hadis sahih pula Nabi Muhammad SAW bersabda yang mahfumnya, "Apabila kamu merendahkan diri (tawadhuk) Allah akan mengangkat (darjat) kamu; (namun) apabila kamu mengangkat diri kamu (angkuh), Allah akan menjadikan sebaliknya ".

Kepada orang Islam peringatan Allah dan Rasul-Nya ini jangan sekali-kali dipandang ringan. Ambillah perhatian dan kawallah seboleh mungkin akan tingkah laku dan perkataan. Ingatlah sebagaimana dijelaskan di dalam al-Quran bahawa "Allah sahaja yang memiliki kekuasaan (pemerintahan), memberikan kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mencabut kekuasaan yang diberikan daripada sesiapa yang di kehendaki-Nya;  dan menganugerahkan kemuliaan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (dan) memberikan kehinaan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya".....al-ayat. Wallahu alam.

Ia tentulah berbeza dengan keyakinan diri. Kerana seperti kita sedia maklum keyakinan diri itu dizahirkan menerusi tingkah laku dan kerja kuat, bersungguh-sungguh, sabar dan lagi ikhlas sehingga mencapai apa yang didamkan di samping tidak meninggikan diri dan merendah-rendahkan kebolehan pihak lain. Bagaimanapun, sebagai umat Islam keyakinan diri hendaklah disertai dengan tawakkal (berserah) kepada Allah. Selagi kita mengingati Allah insya Allah Allah akan bersama kita . Rabbana a'laika tawakkalna wa a'laika anabna wa a'laika masir.    
     

Sabtu, 11 Disember 2010

BN tidak wajar cetuskan persepsi buruk rakyat terhadapnya

Saya percaya tidak siapa pun boleh menafikan bahawa Barisan Nasional (BN) sejak pilihan raya umum tahun 2008 lalu hingga sekarang sedang berhempas pulas mendapatkan kepercayaan rakyat melalui pelbagai strategi dan pendekatan . Ini kerana BN telah dikalahkan dengan `teruknya' pada pilihan raya umum tersebut sehingga memperoleh `majoriti tipis' di Dewan Rakyat.

Ia bukan sahaja tidak mendapat sokongan padu dari kalangan orang Melayu tetapi juga dari kaum-kaum utama lain seperti Cina dan India.

Dalam usaha mendapatkan sokongan padu ini BN tentulah perlu memprojek imej baiknya di kalangan rakyat jelata semua kaum. Imej yang baik pasti menambahkan keyakinan khalayak sasar. Tetapi bagaimana hendak mendapatkan keyakinan masyarakat awam sedangkan ada di kalangan pendukung-pendukung BN sendiri, khususnya dari UMNO sering mewujudkan persepsi-persepsi `tidak menyenangkan' dalam benak rakyat  , terutama di kalangan bangsa Melayu. Misalnya dalam menangani isu `namewee' . Ia saya lihat sering berlaku sorong tarik; dan bahkan lebih menjurus kepada membangkitkan banyak prasangka buruk dan kebosanan di kalangan rakyat.

Mengapa harus mencetuskan persepsi buruk pada minda rakyat. Bukankah para sarjana dan intelektual psikologi sosial mengatakan `sikap dan perlakuan boleh terjadi mengikut persepsi seseorang'. Ini bermakna sekiranya persepsi buruk atau negatif sentiasa ditcetuskan pada minda rakyat, lebih-lebih lagi ketika waktu pilihan raya semakin hampir, saya rasa sikap rakyat terhadap BN akan menjadi buruk ; justeru usaha BN untuk mendapat sokongan padu golongan sasar tertentu juga akan gagal .

Ini tidak mustahil disebabkan mereka sering `dibakar' dengan isu yang tidak memuaskan hati mereka dan ada kalanya menimbulkan keberangan mereka terhadap BN. TUNGGU DAN LIHAT.  

Khamis, 9 Disember 2010

27,116 pasangan Islam bercerai tahun lalu ?

Masalah tiada persefahaman merupakan faktor utama kepada berlakunya 27,116 kes perceraian di kalangan pasangan suami isteri Islam di Malaysia pada tahun lalu . Angka ini disahkan oleh jabatan Kemajuan Islam malaysia (Jakim). Ia adalah jawapan yang diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Parlimen.

Agak mengejutkan dengan angka serta alasan yang dijadikan penyebab kepada kes perceraian tersebut. Ini kerana ia boleh dikatakan 99 peratus perkahwinan di zaman ini adalah berasaskan `suka sama suka'. Tentulah ia sudah dilihat adanya `persefahaman' terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk berkahwin.

Di satu sisi lain apa yang penting ialah pemahaman yang lebih mendalam terhadap `tatacara' perkahwinan dan pengurusan rumah tangga mengikut garis panduan dan hukum hakam yang ditetapkan oleh Islam, termasuk hubungan suami isteri dan sebagainya. Begitu juga cara `campur tangan' oleh kedua-dua ibu bapa masing-masing , jika berlaku `ketidaksefahaman' antara anak menantu.

Sebenarnya Islam telah menggariskan panduan yang jelas, baik menerusi ayat - ayat al-Quran, Hadis-Hadis Rasulullah SAW , dan para ulama Islam. Baik untuk suami isteri dan juga ibu bapa atau ahli keluarga jika berlaku permasalahn rumah tangga.

Oleh itu, dalam isu ini mendalami hukum hakam Islam mengenai nikah kahwin dan pengurusan rumah serta cara campur keluarga, khususnya ibu bapa perlu diberi perhatian dengan lebih mendalam lagi oleh semua pihak. Rasanya ini tidak sukar kerana zaman ini terdapat pelbagai saluran dan sumber ilmu, termasuk media massa, majalah dan lain-lain.

Hanya niat dan usaha ke arah kebaikan dan kebajikan serta kerdaan Allah sahaja perlu dipertingkatkan. Jalan lain saya rasa tidak ada. Tingkatkan ketakwaan kepada Allah adalah satu jalan penyelsaian yang terbaik, termasuk yang berkaitan dengan nikah kahwin dan urusan rumah tangga.

Rabu, 8 Disember 2010

Terpesona dengan syarat Pemuda UMNO

Pemuda UMNO menetapkan syarat kepada ahlinya untuk dipilih menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang yang antara lainnya adalah dari kalangan mereka "yang diterima rakyat serta mempunyai kemahiran, tidak semestinya memegang jawatan tinggi atau perl;u mengikut hieraki, merendah diri, senang bergaul dengan semua lapisan masyarakat" dan paling penting "tidak mengampu Khairy Jamaluddin sahaja".
Demikian laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini yang memetik kenyataan Ketuanya, Khairy Jamaluddin.

Dengan lain-lain perkataan ia bermakna bukan mereka yang berada di keliling kelalang YB Khairy . Syabas YB Khairy . Sedap bunyinya dan mempesonakan ! Benarkah bagai dikata atau hanya semata-mata satu retorik, sama-samalah kita tunggu dan lihat.  

Selasa, 7 Disember 2010

Saranan PM jauhi empat sifat mazmumah sesuai untuk semua pihak

Perdana Menteri, DS Najib Tun Razak meminta pendukung dan penyokong Barisan Nasional (BN) menyikirkan empat sifat mazmumah supaya BN kembali diminati ramai seperti masa-masa lalu. Empat sifat mazmumah yang disebut beliau pada konvensyen BN baru-baru ini ialah lupa diri, khayal, jumud dan angkuh.

Sebenarnya empat sifat mazmumah itu merupakan sebahagian dari berpuluh lagi sifat mazmumah yang perlu disingkirkan seperti tamak, rakus, hasad dengki, khianat, bermuka-muka dan sebagainya. Dan semua sifat mazmumah itu bukan sahaja untuk pendukung dan penyokong BN sahaja tetapi wajar untuk semua, termasuk parti pembangkang, pertubuhan-pertubuhan sosial dan sebagainya. Malah kepada setiap individu sekiranya inginkan hidup bahagia dalam erti kata sebenar dan disukai rakan dan bukan rakan. Atau (dengan mengguna istilah dalam ajaran Islam) mendapat keredhaan Allah.

Justeru sempena menyambut Maal Hijrah 1432 ini mari kita sama-sama muhasabah diri dan cuba sedaya mungkin lakukan seperti saranan PM itu meskipun di luar konteks pendukung dan penyokong BN. Lepas itu kita lihat apa akan terjadi....

Isnin, 6 Disember 2010

Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali

Kebetulannya orang Melayu yang menjadi `peneroka' Semenanjung Tanah Melayu ini yang kini dikenali sebagai Malaysia sejak beratus-ratus tahun lalu adalah beragama Islam. Malah untuk menjadi seorang Melayu pun disyaratkan beragama Islam, mengikut Perlembagaan Persekutuan, selain dari bertutur , beramal dengan kebudayaan dan adat resam Melayu. Kesimpulannya orang Melayu itu adalah orang Islam.

Kebetulan juga orang Melayu di Malaysia ini sangat gemar berpolitik. Oleh itu setelah negara ini mencapai kemeredekaan pada tahun 1957 dahulu, semakin hari semakin banyak parti-parti politik yang dipelopori dan diceburi orang Melayu.

Kepelbagaian parti-parti politik orang Melayu itu tidak dapat tidak lazimnya wujudlah pula berbagai-bagai  ideologi kepartiannya. Ada yang dikatakan `Islamik' , ada yang `Nasionalis', ada yang `Sosialis' dan ada yang `Liberalis' dan sebagainya. Seperti biasa ada baik dan buruknya.

Di sini saya rasa melihat pada yang buruk itu adalah lebih baik daripada melihat pada yang baik. Ini bertujuan untuk mencari sesuatu yang baik di sebalik yang buruk itu.

Antara sesuatu yang buruk itu ialah orang-orang Melayu berlakunya perpecahan antara mereka sesama sendiri atau di antara satu sama lain. Ikatan antara mereka tidak kukuh dan utuh. Isu semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Lebih malangnya sekiranya ada pihak-pihak tertentu, sama ada dari luar atau dalam negara cuba mengambil kesempatan pada suasana yang tidak `menentu' itu untuk melaga-lagakan dan mengapi-apikan lagi menerusi perancangan tertentu dan sebagainya supaya ikatan orang Melayu menjadi luluh dan seterusnya hancur.

Mula-mulanya mungkin hanya sekadar hancur dari segi hubungan sesama sendiri sahaja, tapi lama-lama kelamaan tidak mustahil bangsa orang Melayu itu sendiri akan hancur dan terus hilang di duinia fana tanpa berlaku gempa bumi , tsunami dan sebagainya.

Oleh itu orang-orang Melayu di dalam kegigihan mereka mengemudi politik negara, dalam apa jua ideologinya, hendaklah lebih berhati-hati supaya bangsa jangan mudah tergadai. Hak-hak orang Melayu yang diperuntukan di dalam Perlembagaan itu misalnya wajib dipelihara sebaik mungkin.

Sekiranya beroleh kuasa melalui sistem politik yang sah sekalipun segala rancangan dan apa juga yang ingin dilakukan mestilah fikir tantang kesannya sama ada ia beoleh menhancurkan bangsa atau tidak pada kesudahannya.

Lebih parah lagi di negara ini seperti disebut pada awal tulisan ini bahawa orang Melayu itu agamanya Islam, maka kehilangan orang Melayu bermakna akan kehilangan bersamanya syiar Islam di negara ini. Negara ini bukan negara Arab atau mana-mana negara yang bangsanya satu tapi agamanya berlainan.

Jangan hendaknya kerana untuk mencapai matlamat politik sanggup pula kita mengatakan `bangsa itu  tidak penting' tapi  `yang penting adalah Islam'. Memang betul ungkapan itu tapi bukan untuk dipraktikkan di negara ini, ia untuk di negara lain.

Jadi berwaspadalah pemimpin Melayu. Tidak salah untuk berbaik-baik dengan sesiapa atau bangsa apa sekalipun . Kerana itu juga dituntut oleh syariat Islam dan oleh Perlembagaan negara tapi bak kata pepatah "buat baik berpada-pada buta jahat jangan sekali ".  

Ahad, 5 Disember 2010

Antara gajah dan manusia

Maha Suci Allah yang mencipta segala kejadian langit dan bumi dan yang ada pada kedua-duanya . Allah maha mendengar lagi maha mengetahu akan semua makhluk ciptaan-Nya.

Begitulah kalau dilihat pada seekor gajah. Gajah adalah termasuk dalam jenis kumpulan binatang liar yang hidup di dalam hutan belantara, tubuhnya bersaiz besar lagi kuat tenaga kudratnya. Kekuatannya sukar ditandingi oleh sesiapa pun sama ada dari kalangan binatang sendiri, lebih-lebih lagi dari kumpulan manusia
bahkan tumbuhan yang bersaiz besar pun boleh ditumbangkannya, kalau ia mahu.

Bukan sahaja tubuh badannya bersaiz besar tetapi juga kebanyakan anggota badannya, kecuali ekor dan matanya sahaja yang lebih kecil.

Mujur Allah SWT mencipta matanya lebih kecil saiznya, lantas ia tidak dapat melihat seluruh tubuh badannya yang besar, kebetulan pula ia bukan dari kumpulan manusia yang dianuggerahkan akal yang boleh berfikir dalam segala-galanya, termasuk ke atas apa yang ada pada dirinya.

Maka itu ia tidak mengetahui saiz tubuhnya yang besar dan tenaganya yang kuat , meskipun dengan saiz badan yang begitu rupa serta tenaga yang amat perkasa ia dapat memusnahkan segala tumbuhan dan tanaman juga rumah kediaman manusia.

Apa akan jadi jika Allah kurniakan kepada gajah mata yang besar yang dapat melihat secara meluas akan tubuh badan yang besar dan mengetahui pula tenaganya yang gagah perkasa itu ; tentulah ia akan musnahkan segala-galanya tanpa menunggu masa `tumpah minyak',

Tapi berbeza dengan kumpulan manusia meskipun hanya dikurniakan Allah SWT tubuh badan bersaiz kecil atau `kuasa' melalui kedudukan darjatnya yang `sementara' pun, mereka gunakan kuasa yang ada itu habisan-habisan untuk kepentingan diri sendiri dan malahan sehingga sesetengahnya sanggup merosak dan memusnahkan kehidupan manusia lain yang tidak dikurniakan kuasa apa-apa dengan apa cara sekalipun; meskipun mereka sendiri tahu (dengan kurniaan akal) jika perlakuan sebegitu diperlakukan ke atas mereka, mereka juga akan menderita nasib yang sama.

Namun atas nama manusia , lebih lagi yang gila kuasa , timbang rasa dan peri perkiraan kemunisaan terhadap sesama manusia pun sudah tiada lagi. Apatah lagi dengan makhluk yang lain. Apa yang dikira ialah `kesempatan dan ruang' . Ia menjadi sesuatu yang mesti dipergunakan secukup mungkin. Tidak seperti gajah, meski pun dikurniakan saiz tubuh yang besar, tenaga yang kuat dan digelar binatang liar pula tapi  perlakuannya tidaklah seliar perlakuan manusia terhadap sesama manusia lain yang datang dari kumpulan yang sama dengannya.

Demikianlah secara ringkasnya sorotan kejadian Allah ke atas makhluk yang diberi nama manusia dan gajah dari kumpulan haiwan yang tidak kurniakan akal dan budi agar hendaknya kita sama-sama merenung dan muhasabah diri sendiri. Wallahu alam.  

Sabtu, 4 Disember 2010

Belum serik, atau sudah lupa ?

Tahun 2010 ini akan melabuh tirainya tidak lama lagi dengan pengumuman kenaikan harga minyak dan harga gula dan disebut dengan bahasa yang lebih `lunak' iaitu `penyelarasn subsidi. Alasan klasik yang diberikan ialah untuk digunakan bagi tujuan pembangunan lain.

Kerajaan (BN) tentu ada alasan kukuh ketika hendak membuat keputusan tersebut. Kenaikan harga gula 20 sen dan harga minyak Ron 95 sebanyak 5 sen itu memang tidak sebesar mana, terutama bagi mereka dari golongan kaya raya tapi ia satu bebanan bagi golongan marhaen. Apa lagi kesan kenaikan harga minyak , terutama diesel dan gula itu akan memberi kesan besar kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang amat berkaitan dengan kehidupan harian rakyat jelata.

Pada masa sama rakyat jelata itulah juga yang menjadi golongan terbanyak pengundi yang akan membuang undi mereka pada mana-mana pilihan raya - kecil atau umum- dan bila-bila masa sekalipun diadakan. Emosi mereka pasti terganggu dengan kesan ekonomi yang diakibatkan oleh kenaikan harga minyak dan gula. Emosi itu pasti akan mempengaruhi fikiran dan sikap mereka. Kita mesti ingat nabi Muhammad SAW pernah bersabad yang mafhumnya ," Kefakiran itu boleh membawa seseorang kepada kekafiran". Maksudnya prinsip, sikap dan tingkah laku manusia boleh berubah menjadi `luar kebiasaan' atau `menentang arus' ketika mana kehidupan harian dan saraan hidup untuk diri dan keluarga tertekan.

Apakah ini tidak boleh kita jadikan pelajaran dan apakah tidak boleh kita jadikan pengajaran dari hasil tindakan menaikkan harga minyak secara mendadak menjelang pilihan raya umum 2008 itu yang antara lain telah mengakibatkan keputusan mendukacitakan BN sehingga sekarang . Rupa-rupanya kita belum merasa serik dan seolah-olah ingin mencuba lagi. Ha, terpulanglah ..... 

Jumaat, 3 Disember 2010

Berwaspadalah wahai bangsaku

Bukan senang untuk menjadi seorang pemimpin, apatah lagi pemimpin negara. Dia bukan sahaja bertanggungjawab terhadap negara, rakyat, bangsa dan agamanya semasa hayat pemerintahannya tetapi juga selepas dia meninggal tampok pemerintahan atau setelah meninggal dunia.

Dia wajar meninggalkan legasi yang boleh dibangga dan dikenangkan oleh rakyat dan bangsanya. Sebahagian besar pemimpin negara ini seperti diketahui telah melakukannya sebelum ini seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allah yarham Tun Razak, dan Tun Dr. Mahathir.

Banyak legasi dan jasa besar mereka yang boleh dibanggakan oleh negara, rakyat , bangsa dan agamanya. Tak perlu disebut secara satu persatu. Semua rakyat negara ini pasti tahu mengenainya, sekiranya ada yang tidak tahu tentulah ada yang tak kena di mana-mana dalam dirinya.

Begitu juga dengan sesiapa jua yang ingin menjadi pemimpin besar seperti mereka , hendaklah elakkan dari merencanakan atau menggagaskan sesatu polisi, projek, atau apa sahaja yang boleh menjahanamkan bangsa, agama dan negaranya pada masa akan datang.

Ini akan menjadikan namanya disebut dan dikenang dengan sebutan yang buruk dan menjejekkan, mohon perlindungan Allah SWT. Jangan hancurkan negara, bangsa dan agama sendiri kerana demi mencapai matlamat politik dan kepentingan diri, keluarga dan rakan rapat. Allah memerhati segala-galanya dan rakyat tetap memerhatikan ucapan, kenyataan, dan tingkah laku, tanpa mengira dia seorang nasionalis atau Islamis. Berwaspadalah wahai bangsaku !