Khamis, 9 Disember 2010

27,116 pasangan Islam bercerai tahun lalu ?

Masalah tiada persefahaman merupakan faktor utama kepada berlakunya 27,116 kes perceraian di kalangan pasangan suami isteri Islam di Malaysia pada tahun lalu . Angka ini disahkan oleh jabatan Kemajuan Islam malaysia (Jakim). Ia adalah jawapan yang diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Parlimen.

Agak mengejutkan dengan angka serta alasan yang dijadikan penyebab kepada kes perceraian tersebut. Ini kerana ia boleh dikatakan 99 peratus perkahwinan di zaman ini adalah berasaskan `suka sama suka'. Tentulah ia sudah dilihat adanya `persefahaman' terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk berkahwin.

Di satu sisi lain apa yang penting ialah pemahaman yang lebih mendalam terhadap `tatacara' perkahwinan dan pengurusan rumah tangga mengikut garis panduan dan hukum hakam yang ditetapkan oleh Islam, termasuk hubungan suami isteri dan sebagainya. Begitu juga cara `campur tangan' oleh kedua-dua ibu bapa masing-masing , jika berlaku `ketidaksefahaman' antara anak menantu.

Sebenarnya Islam telah menggariskan panduan yang jelas, baik menerusi ayat - ayat al-Quran, Hadis-Hadis Rasulullah SAW , dan para ulama Islam. Baik untuk suami isteri dan juga ibu bapa atau ahli keluarga jika berlaku permasalahn rumah tangga.

Oleh itu, dalam isu ini mendalami hukum hakam Islam mengenai nikah kahwin dan pengurusan rumah serta cara campur keluarga, khususnya ibu bapa perlu diberi perhatian dengan lebih mendalam lagi oleh semua pihak. Rasanya ini tidak sukar kerana zaman ini terdapat pelbagai saluran dan sumber ilmu, termasuk media massa, majalah dan lain-lain.

Hanya niat dan usaha ke arah kebaikan dan kebajikan serta kerdaan Allah sahaja perlu dipertingkatkan. Jalan lain saya rasa tidak ada. Tingkatkan ketakwaan kepada Allah adalah satu jalan penyelsaian yang terbaik, termasuk yang berkaitan dengan nikah kahwin dan urusan rumah tangga.

Tiada ulasan: