Jumaat, 17 Disember 2010

Amal pluralisme adalah haram

MELAKA 16 Dis - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria (gambar) berkata, orang Islam yang berfahaman pluralisme agama iaitu mendakwa semua agama adalah sama baik dan sama benar adalah kafir dan murtad.

Menurutnya fahaman seperti itu adalah haram dan jelas berlawanan dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah. "Pluralisme adalah haram. Kita mana boleh kata semua agama sama dengan Islam. kalau orang Islam kata semua agama adalah sama dengan Islam, mereka yang berkata begitu adalah kafir.

 "Dalam kitab dan hukum syarak telah menyebut mereka yang mengamalkan fahaman pluralisme dianggap sebagai kafir dan murtad." katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditemui pada Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke 192 yang berlangsung di Hotel Equaltorial, di sini hari ini. Majlis tersebut dihadiri kira-kira 22 ahli jawatankuasa fatwa kebangsaan terdiri daripada mufti seluruh negeri dan dijadualkan berakhir esok.

Harussani berkata, di Malaysia semua agama dilayan sama adalah wajar malah tindakan itu turut disarankan oleh agama Islam. "Di Malaysia, kita wajar menghormati agama lain tetapi kita tidak boleh mengakui agama Islam sama dengan gama lain".

Beliau menambah, fahaman pluralisme atau kesamarataan di dalam agama perlu ditolak oleh semua umat Islam di negara ini kerana ia boleh merosak akidah.

Sehubungan itu, Harussani meminta kerajaan untuk menangani tidakan golongan tertentu yang cuba membawa fahaman pluralisme kerana ia akan membawa kepada kehancuran Islam.

UTUSAN MALAYSIA - JUMAAT 17 DISEMBER 2010.


Komen BBOK :  Pembantersannya mestilah secara bersepadu iaitu kerajaan dan rakyat. Tanpa jalinan kerjasama antara rakyat dan kerajaan langkah itu gak sukar dilakukan.

Tiada ulasan: