Ahad, 5 Disember 2010

Antara gajah dan manusia

Maha Suci Allah yang mencipta segala kejadian langit dan bumi dan yang ada pada kedua-duanya . Allah maha mendengar lagi maha mengetahu akan semua makhluk ciptaan-Nya.

Begitulah kalau dilihat pada seekor gajah. Gajah adalah termasuk dalam jenis kumpulan binatang liar yang hidup di dalam hutan belantara, tubuhnya bersaiz besar lagi kuat tenaga kudratnya. Kekuatannya sukar ditandingi oleh sesiapa pun sama ada dari kalangan binatang sendiri, lebih-lebih lagi dari kumpulan manusia
bahkan tumbuhan yang bersaiz besar pun boleh ditumbangkannya, kalau ia mahu.

Bukan sahaja tubuh badannya bersaiz besar tetapi juga kebanyakan anggota badannya, kecuali ekor dan matanya sahaja yang lebih kecil.

Mujur Allah SWT mencipta matanya lebih kecil saiznya, lantas ia tidak dapat melihat seluruh tubuh badannya yang besar, kebetulan pula ia bukan dari kumpulan manusia yang dianuggerahkan akal yang boleh berfikir dalam segala-galanya, termasuk ke atas apa yang ada pada dirinya.

Maka itu ia tidak mengetahui saiz tubuhnya yang besar dan tenaganya yang kuat , meskipun dengan saiz badan yang begitu rupa serta tenaga yang amat perkasa ia dapat memusnahkan segala tumbuhan dan tanaman juga rumah kediaman manusia.

Apa akan jadi jika Allah kurniakan kepada gajah mata yang besar yang dapat melihat secara meluas akan tubuh badan yang besar dan mengetahui pula tenaganya yang gagah perkasa itu ; tentulah ia akan musnahkan segala-galanya tanpa menunggu masa `tumpah minyak',

Tapi berbeza dengan kumpulan manusia meskipun hanya dikurniakan Allah SWT tubuh badan bersaiz kecil atau `kuasa' melalui kedudukan darjatnya yang `sementara' pun, mereka gunakan kuasa yang ada itu habisan-habisan untuk kepentingan diri sendiri dan malahan sehingga sesetengahnya sanggup merosak dan memusnahkan kehidupan manusia lain yang tidak dikurniakan kuasa apa-apa dengan apa cara sekalipun; meskipun mereka sendiri tahu (dengan kurniaan akal) jika perlakuan sebegitu diperlakukan ke atas mereka, mereka juga akan menderita nasib yang sama.

Namun atas nama manusia , lebih lagi yang gila kuasa , timbang rasa dan peri perkiraan kemunisaan terhadap sesama manusia pun sudah tiada lagi. Apatah lagi dengan makhluk yang lain. Apa yang dikira ialah `kesempatan dan ruang' . Ia menjadi sesuatu yang mesti dipergunakan secukup mungkin. Tidak seperti gajah, meski pun dikurniakan saiz tubuh yang besar, tenaga yang kuat dan digelar binatang liar pula tapi  perlakuannya tidaklah seliar perlakuan manusia terhadap sesama manusia lain yang datang dari kumpulan yang sama dengannya.

Demikianlah secara ringkasnya sorotan kejadian Allah ke atas makhluk yang diberi nama manusia dan gajah dari kumpulan haiwan yang tidak kurniakan akal dan budi agar hendaknya kita sama-sama merenung dan muhasabah diri sendiri. Wallahu alam.  

Tiada ulasan: