Isnin, 6 Disember 2010

Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali

Kebetulannya orang Melayu yang menjadi `peneroka' Semenanjung Tanah Melayu ini yang kini dikenali sebagai Malaysia sejak beratus-ratus tahun lalu adalah beragama Islam. Malah untuk menjadi seorang Melayu pun disyaratkan beragama Islam, mengikut Perlembagaan Persekutuan, selain dari bertutur , beramal dengan kebudayaan dan adat resam Melayu. Kesimpulannya orang Melayu itu adalah orang Islam.

Kebetulan juga orang Melayu di Malaysia ini sangat gemar berpolitik. Oleh itu setelah negara ini mencapai kemeredekaan pada tahun 1957 dahulu, semakin hari semakin banyak parti-parti politik yang dipelopori dan diceburi orang Melayu.

Kepelbagaian parti-parti politik orang Melayu itu tidak dapat tidak lazimnya wujudlah pula berbagai-bagai  ideologi kepartiannya. Ada yang dikatakan `Islamik' , ada yang `Nasionalis', ada yang `Sosialis' dan ada yang `Liberalis' dan sebagainya. Seperti biasa ada baik dan buruknya.

Di sini saya rasa melihat pada yang buruk itu adalah lebih baik daripada melihat pada yang baik. Ini bertujuan untuk mencari sesuatu yang baik di sebalik yang buruk itu.

Antara sesuatu yang buruk itu ialah orang-orang Melayu berlakunya perpecahan antara mereka sesama sendiri atau di antara satu sama lain. Ikatan antara mereka tidak kukuh dan utuh. Isu semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Lebih malangnya sekiranya ada pihak-pihak tertentu, sama ada dari luar atau dalam negara cuba mengambil kesempatan pada suasana yang tidak `menentu' itu untuk melaga-lagakan dan mengapi-apikan lagi menerusi perancangan tertentu dan sebagainya supaya ikatan orang Melayu menjadi luluh dan seterusnya hancur.

Mula-mulanya mungkin hanya sekadar hancur dari segi hubungan sesama sendiri sahaja, tapi lama-lama kelamaan tidak mustahil bangsa orang Melayu itu sendiri akan hancur dan terus hilang di duinia fana tanpa berlaku gempa bumi , tsunami dan sebagainya.

Oleh itu orang-orang Melayu di dalam kegigihan mereka mengemudi politik negara, dalam apa jua ideologinya, hendaklah lebih berhati-hati supaya bangsa jangan mudah tergadai. Hak-hak orang Melayu yang diperuntukan di dalam Perlembagaan itu misalnya wajib dipelihara sebaik mungkin.

Sekiranya beroleh kuasa melalui sistem politik yang sah sekalipun segala rancangan dan apa juga yang ingin dilakukan mestilah fikir tantang kesannya sama ada ia beoleh menhancurkan bangsa atau tidak pada kesudahannya.

Lebih parah lagi di negara ini seperti disebut pada awal tulisan ini bahawa orang Melayu itu agamanya Islam, maka kehilangan orang Melayu bermakna akan kehilangan bersamanya syiar Islam di negara ini. Negara ini bukan negara Arab atau mana-mana negara yang bangsanya satu tapi agamanya berlainan.

Jangan hendaknya kerana untuk mencapai matlamat politik sanggup pula kita mengatakan `bangsa itu  tidak penting' tapi  `yang penting adalah Islam'. Memang betul ungkapan itu tapi bukan untuk dipraktikkan di negara ini, ia untuk di negara lain.

Jadi berwaspadalah pemimpin Melayu. Tidak salah untuk berbaik-baik dengan sesiapa atau bangsa apa sekalipun . Kerana itu juga dituntut oleh syariat Islam dan oleh Perlembagaan negara tapi bak kata pepatah "buat baik berpada-pada buta jahat jangan sekali ".  

Tiada ulasan: