Selasa, 21 Disember 2010

Jalani kehidupan dengan peri kemanusiaan

Hari ini surat khabar melaporkan seorang yang berkedudukan tinggi dalam perkhidmatan awam (jusa/turus) mencadangkan agar kerajaan mengurangkan kakitangannya bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan. Ini dakwanya jumlah kakitangan kerajaan sebanyak 1.2 juta itu tidak sepadan dengan jumlah penduduk 28 juta dan dia membandingkan dengan beberapa negara maju seperti Korea Selatan yang katanya penduduk ada 48 juta manakala kakitangan awamnya 2 juta orang sahaja.

Saya hairan sungguh perangai orang-orang kita apabila ada rancangan untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan selalu sangat melibatkan golongan rakyat terbanyak atau `golongan marhaen'. Boleh dikatakan pada semua rancangan.

Keadaan serupa berlaku juga pada rancangan hendak menghapuskan subsidi. Ia juga dikaitkan dengan  `kerajaan rugi besar' , seolah-olah tiada jalan lain  Pengahapusan subidi pasti memberi kesan buruk kepada kehidupan golongan bawahan yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Golongan tinggi tidak terlibat sebab mereka itu dibayar dengan gaji yang tinggi dan ditambah pula dengan berbagai-bagai elaun seperti elaun keraian dan sebagainya. Tak apalah mereka boleh hidup mewah dan bersenang lenang dengan keluarga.

Tapi janganlah pula sentiasa berfikir mencari jalan untuk kacau periuk nasi dan rezeki orang lain. Dah nak dapat sesen dua pun payah ! Juga kena ingat dalam perkhidmatan awam di Malaysia ada yang bertaraf tetap dan berpencen, ada yang kontrak dan ada yang sambilan. Nak buang yang berjawan tetap memang payah tetapi nak buang yang bertaraf kontrak dan sambilan memang mudah. Dan mereka ini pula keseluruhannya berada di peringkat bawah dan sederhana. Sebab itu puak-puak yang duduk di peringkat tinggi suka sangat membuat cadangan macam itu. Kenapa mereka tidak cadangkan kerajaan potong elaun itu dan potong elaun ini yang banyak yang diberikan kepada mereka di peringkat tinggi itu.

Tolonglah kasihan sama kepada golongan bawah atau marhaen ini. Mereka pun makhluk Allah juga. Jangan terlalu pentingkan diri sendiri, tak baik. Jalanilah kehidupan dengan penuh rasa peri kemanusiaan . Wassalam.

Tiada ulasan: