Selasa, 28 Disember 2010

Jazakumullahu khaira kepada semua tetamu walimatu urus anak saya

Mungkin agak terlewat, namun inilah sahaja saya rasa ruang masa yang ada pada saya untuk saya mencatatkan sedikit daripada banyak suara batin dan perasaan saya terhadap saudara mara, sahabat handai, rakan taulan, jiran-jiran saya kerana kesudian mereka semua menghadiri majlis kenduri kahwin anak lelaki saya yang dilangsungkan di Taman Bertam Indah, Kepala Batas, Seberang Prai Utara pada 25 Disember 2010 lalu.

Paling jauh adalah mereka dari Putrajaya, Bangi, Serdang dan Klang , Selangor. Dari Perak adalah keluarga dan saudara mara keluarga dari Sitiawan dan Ipoh. Sementara dari Kedah pula paling jauh adalah keluarga, saudara mara, rakan-rakan dan sahabat-sahabat serta keluarga mereka itu dari Jitra, Alor Setar, Yan, Pendang, Padang Serai , Kuala Ketil , Karangan dan Kulim.

Selain itu adalah dari Kampung Selamat, Perda, Bukit Tengah, Jalan Baru, Butterworth dan sekitar Taman Bertam Indah yang terdiri daripada rakan-rakan dan jiran-jiran baru saya yang kebanyakannya saya kenali di masjid Attaqwa melalui solat berjamaah dan lain-lain aktiviti pengimarahan masjid.

Saya dan keluarga amat terhutang budi dengan mereka, namun atas kelemahan yang ada pada diri-diri kami, kami tidak dapat membalasnya selain dari hanya diserahkan kepada Allah SWT sahaja untuk membalas kebaikan budi mereka itu.

Apa yang meninsafi saya dan keluarga adalah betapa agungnya sifat-sifat kamalat Allah SWT dan rahamt-Nya . Ini kerana sebelum beberapa minggu menjelang hari majlis kenduri itu diadakan di kawasan sekitar Kepala Batas boleh dikatakan saban hari hujan turun. Bahkan pada malam sebelum majlis kenduri itu pun hujan turun dengan amat lebat sehingga larut malam.

Pada munajat saya dengan Allah Yang Maha Besar dan Maha Agung saya hanya mampu memohon limpah rahmat dan barakah daripada-Nya sahaja.

Alhamdulliah . Dengan limpahan rahmat-Nya cuaca baik, majlis berjalan lancar , makanan mencukupi dan kehadiran juga memberangsangkan. Malah yang amat mengharukan saya ada di antara mereka yang saya jumput itu hanya melalui SMS dan percakapan telefon dan pengumuman di masjid sahaja. Tidak menerusi kad jemputan kerana bilangannya terhad.

Namun begitu dengan penuh rasa insaf saya dapati betapa besarnya nikmat silaturrahim sekiranya kita dapat memanfaatkannya untuk kehidupan kita seharian dan juga dalam aktiviti-aktiviti ibadah kita kepada Allah, termasuk imarah masjid dan surau dan lain-lain ; sementelah pula mengadakan majlis kenduri itu sendiri adalah salah satu aktiviti ibadah. Justeru saya serta keluarga cuba melaksanakannya mengikut kehendak dan garis panduan beribadah. Mudah-mudahan kita -  para tetamu saya dan tuan/puan - akan sentiasa mendapat taufik dan hidaya dan juga rahmat dan barakah daripada Allah Azzawajall.

Jazakumullahu khaira, wa syukran jazila.

2 ulasan:

Temuk berkata...

Assalamu'alaikum
Mohon izin singgah. Tahniah beroleh menantu & syukur majlis kenduri berlangsung sempurna. Semoga jodoh anak berkekalan dan kesemua ahli keluarga sentiasa di dalam peliharaan Allah.

SALLEH SAAD berkata...

Terima kasih saudara di atas ingatan dan doa, semoga jalinan ukhuwah islamiah terus berkekalan.