Isnin, 13 Disember 2010

Menjauhi sifat angkuh

Apa beza antara angkuh dan keyakinan diri. Perbezaannya amat jelas. Angkuh apabila seseorang itu  mengangkat dirinya sendiri dengan begitu tinggi dan pada masa yang sama merendah-rendahkan pihak atau orang lain. Seolah-olah apa yang ada pada dirinya itu seperti keupayaan menguasai sesuatu tidak mampu dibuat oleh orang lain.Ini bermakna menafikan keupayaan orang lain serta menganggap keupayaan yang diberikan Allah kepada dirinya tidak boleh ditandingan oleh sesiapa pun.

Ia satu kesilapan yang cukup besar. Bagi orang Islam ia bukan sahaja satu kesilapan besar namun satu dosa besar juga. Sifat takbur (angkuh) adalah sifat yang sangat dilarang di dalam agama Islam. Ini kerana mengikut ajaran Islam hanya Allah SWT sahaja yang berhak memilik sifat itu kerana Dialah yang menjadikan segala-galanya.

Dalam al-Quran Allah murka dengan seseorang yang bersifat dengan sifat angkuh atau bongkak ini seperti firman-Nya yang bermaksud," Jangan pijak muka bumi ini dengan perasaan sombong (angkuh)". Dalam sebuah hadis sahih pula Nabi Muhammad SAW bersabda yang mahfumnya, "Apabila kamu merendahkan diri (tawadhuk) Allah akan mengangkat (darjat) kamu; (namun) apabila kamu mengangkat diri kamu (angkuh), Allah akan menjadikan sebaliknya ".

Kepada orang Islam peringatan Allah dan Rasul-Nya ini jangan sekali-kali dipandang ringan. Ambillah perhatian dan kawallah seboleh mungkin akan tingkah laku dan perkataan. Ingatlah sebagaimana dijelaskan di dalam al-Quran bahawa "Allah sahaja yang memiliki kekuasaan (pemerintahan), memberikan kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mencabut kekuasaan yang diberikan daripada sesiapa yang di kehendaki-Nya;  dan menganugerahkan kemuliaan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (dan) memberikan kehinaan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya".....al-ayat. Wallahu alam.

Ia tentulah berbeza dengan keyakinan diri. Kerana seperti kita sedia maklum keyakinan diri itu dizahirkan menerusi tingkah laku dan kerja kuat, bersungguh-sungguh, sabar dan lagi ikhlas sehingga mencapai apa yang didamkan di samping tidak meninggikan diri dan merendah-rendahkan kebolehan pihak lain. Bagaimanapun, sebagai umat Islam keyakinan diri hendaklah disertai dengan tawakkal (berserah) kepada Allah. Selagi kita mengingati Allah insya Allah Allah akan bersama kita . Rabbana a'laika tawakkalna wa a'laika anabna wa a'laika masir.    
     

Tiada ulasan: