Sabtu, 31 Disember 2011

Selamat sambut tahun baru dengan acuan kita

Selamat sambut tahun baru 2012 esok. Doa penulis agar semua pengunjung halaman blog ini khasnya akan terus diberikan taufik dan hidayah oleh Allah Subhanahu wa Taala, Tuhan Yang Maha Esa . Tiada Tuhan lain, selain daripada-Nya. Kepada Nya kita sembah dan daripada Nya kita mohon pertolongan.

Hanya dengan pertolongan Allah , taufiq dan hidayah Nya sahaja kita, manusia dan hamba yang serba lemah dan kekurangan ini dapat mengendalikan kehidupan di dunia ini dengan aman serta jayanya di dunia dan di akhirat. Jika sebaliknya sudah pastilah akan tunggang langganglah segala-galanya.

Seperti diajarkan untuk mendapat taufiq dan hidayah Allah itu kita antara lainnya mestilah sentiasa berusaha mendapat keredhaan Nya iaitu dengan cara mentaati akan segala perintahnya dan menjauhkan segala larangannya . Ia sama ada perlakuan, tingkah laku, tutur kata, cara berfikir, dan niat hati . Di samping itu hendaklah sentiasa berdoa serta bermunajat kepada Nya dari semasa ke semasa.

Oleh itu, ketika teruja dengan `sambutan tahun baru' ini, ingatlah dalam apa jua keadaan kita (orang yang beriman) kepada Allah dan Rasul Nya ada acuan dan batasan yang sendiri untuk kita lakukan . Jadi kita kenalah ikut acuan kita dengan bertunjangkan kepada batasan hukum serta peraturan agama kerdhaan Allah -Islam. Bukan acuan orang lain . Wallahu alam.

Syabas KWSP dan Tabung Haji

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Tabung Haji (TH) dilaporkan mengambil anisiatif menjalin kerjasama bagi memudahkan umat Islam di negara ini membuat pendaftaran menunaikan haji mulai awal tahun depan.

Sebelum ini urusan terebut hanya terdapat di TH sahaja. Alhamdulillah dengan hidayah serta taufiq Allah Subhanahu wa Taala pintu kemudahan semakin banyak terbuka . Justeru bagi umat Islam yang ada keinginan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu ambillah peluang menerusi kemudahan yang disediakan ini . 

Berita selanjutnya seperti petikan laporan berita di bawah :


Tunai haji melalui caruman KWSP


KUALA LUMPUR 30 Dis. - Bermula 3 Januari ini, semua ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) beragama Islam yang mempunyai simpanan minimum RM1,300 di dalam Akaun 1 boleh membuat pendaftaran menunaikan haji dengan Lembaga Tabung Haji.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, pendaftaran itu boleh dilakukan di semua kaunter Tabung Haji, cawangan Bank Rakyat dan Bank Islam dengan membawa MyKad dan penyata terkini KWSP masing-masing.

“Mereka yang layak mesti warganegara Malaysia atau pemastautin tetap yang belum mencapai usia 55 tahun dan mempunyai akaun simpanan Tabung Haji. Ahli yang tidak mempunyai akaun, mereka boleh membukanya dengan deposit minimum RM2,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, mana-mana ahli yang telah mendaftaran haji di bawah prosedur Tabung Haji boleh menukar pendaftaran tersebut kepada Pendaftaran Haji Ahli KWSP.

“Penukaran itu tidak melibatkan tarikh giliran haji yang telah diberikan dan tidak melibatkan sebarang urusan berkaitan tarikh kerana ia akan ditentukan oleh Tabung Haji,” tegasnya.

Maklumat lanjut boleh layari www.kwsp.gov.my atau www.tabunghaji.gov.my dan menghubungi talian 03-89226000 serta 03-62071919.  Utusan 

Selasa, 27 Disember 2011

Perkasakan fungsi lembaga penapis filem

Baru-baru ini dilaporkan kementerian dalam negeri (KDN) memutuskan tidak akan menapis lagi segala filem yang ditayangkan baik di panggung wayang mahu pun di kaca tv seperti mana dilakukan sebelum ini. Tanggungjawab dan tugas yang diberikan kepada lembaga penapisan filem itu tidak laku lagi !

Sebaliknya tanggungjawab dan tugas tersebut difahamkan akan diserahkan kepada pihak penerbit dan pengarah. Mereka diminta mengambil tanggungjawab sepenuhnya. Persoalan yang bangkit di kepala orang ramai ialah sejauh manakah tanggung jawab dan tugas itu akan dapat dipenuhi ?

Kedua-dua pihak tersebut masing-masing makan gaji dan berniaga. mana ada orang perniagaan tidak mahu untung ? Pasti nak untung. Untung bermakna perolehan melebih modal yang dilaburkan. Dalam konteks ini filem yang dibuat mestilah laris. Untuk melariskan filem tentulah kena muatkan adegan yang menjadi tarikan lebih. Termasuk adegan `luar biasa' . Adegan yang `luar biasa' biasanya ialah adegan yang mencarik adat budaya dan melanggar nilai agama . Ia dianggap ramuan yang sangat penting sebagai pelaris industri filem.  orang. Oleh itu pemindahan `kuasa' itu dilihat tidak praktikal dan relevan.

Bahkan secara tersiratnya pemindahan kuasa itu akan jatuh kepada setiap ibu bapa yang mempunyai akan-anak di peringkat kanak-kanak dan remaja. Persoalannya mampukah ibu bapa untuk memikul beban yang sangat berat selain beban lain selainnya ? Mampukah ibu bapa mengawal, mendidik dan seumpamanya  anak-anak mereka saban hari ? Mampukah setiap ibu bapa `bersila' besama anak-anak mereka untuk sama-sama menonton filem di tv, jika tidakpun di panggung wayang ? Lebih jauh lagi mampukah ibu bapa melarang anak-anak mereka menonton tayangan filem di tv yang tidak ditapis itu ?

Seperti maklum setakat ini dalam keadaan di mana dikatakan filem ditapis pun ada banyak ketirisan babak `luar biasa' seperti keganasan, tidak bermoral dan sebagainya berlaku. Inikan pula jika tidak ditapis dan dipantau.

Oleh itu, rasanya lebih baik jika peranan dan skop tanggungjawab dan tugas penapisan filem yang ada di lembaga penapisan filem itu dipertingkatkan atau diperkasakan . Tak mengapalah nak wujudkan masyarakat liberal pun tapi kenalah pada-pada juga kerana kita di Malaysia ini kebanyakannya masyarakat Islam dan mengamalkan budaya Timur dan Melayu. Rasanya dengan kebijaksanaan yang ada cara lain adalah lebih baik daripada cara `lepas tangan' . Walahu alam.

Selasa, 20 Disember 2011

Penggunaan dakwat kekal: Fatwa diperlukan

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum (PRU) akan datang ini seperti dilaporkan akhbar-akhbar hari ini.

Menurut laporan, dakwat kekal yang akan digunakan itu boleh tahan antara tiga hingga tujuh hari di kuku dan kulit (pengundi). Tiga hari untuk pemilih biasa dan tujuh hari untuk pemilih awal.

Pelaksanaan kaedah ini difahamkan adalah berasaskan kepada cadangan Jawatankuasa Terpilih Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang baru ditubuhkan baru-baru ini.

Persoalannya adalah dari segi implikasinya kepada pemilih-pemilih yang beragama Islam yang boleh dikatakan keseluruhannya di negara ini berpegang kepada mazhab Syafeii.

Ada dua perkara utama dalam isu ini saya kira. Pertama berkaitan dengan halal haramnya dan kedua sah atau tidaknya wuduk atau angkat hadas besar (mandi junub), haid dan lain-lain seumpama.

Tempoh tiga hingga tujuh itu adalah sanngat lama. Sekiranya ianya telah digunakan di negara Islam lain sekalipun belum tentu ianya boleh digunakan oleh umat Islam di negara ini kerana perbezaan petua dalam fiq mengikut mazhab. Misalnya dalam bab wuduk ada negara Islam lain yang sentuhan kulit lelaki/wanita tidak batal wuduk dan sebagainya tapi di negara kita berbeza amalannya .

Jadi jika sekadar mengambil kira pengamalan di negara Islam lain sahaja , saya kira itu belum memadai.Justeru ianya harus mendapat fatwa dari pihak berkuasa agama (Islam) terlebih dahulu sebelum keputusan muktamad diambil.

Keraguan mungkin timbul di kalangan pemlih Islam di negara ini berhubung dengan isu ini. Dan mungkin ada lagi perkara-perakara lain yang ada implikasi hukum syarak kepada umat Islam.

Demi mengelakkan daripada timbulnya segala macam keraguan dan mungkin boleh menjadi isu politik yang besar elok sangatlah pihak berkuasa agama memberi perhatian serta mengambil tindakan segera , malahan langkah itu adalah sangat-sangat diharapkan . 

Isnin, 19 Disember 2011

Isu SBPA perlu ditangani dengan lebih berhemah

Isu Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) antara Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS ) dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hendaklah ditangani segera dan dengan lebih berhemah; bukan dengan cara nak tunjuk iapa yang ada kuasa.

Isu itu sangat sensitif sama sensitifnya dengan isu kaum dan agama di negara ini. Silap-silap langkah cara mendepaninya akan membawa padah kepada kerajaan BN. Apatah lagi dekat dengan pilihan raya umum seperti ketika ini. PRU didesas-desuskan akan berlaku pada wala tahun depan.

PM kenalah dengar juga cakap CUEPACS kerana mereka mewakili 1.4 juta orang ahli yang terdiri dari pegawai kerajaan. Benar, bukan semua mereka akan turun membuang undi. Tapi pengaruh mereka juga tidak boleh diperlekehkan begitu sahaja kerana mereka adalah `jentera kerajaan.

Menurut CUEPACS , mereka tidak dimaklumkan lebih awal mengenai SBPA ini secara keseluruhannya atau tiada perbincangan langsung, khususnya mengenai beberapa opsyen di dalamya. Justeru mereka meminta tempoh tarikh membuat pilihan dilanjutkan, namun JPA nampaknya bertegas untuk tidak melanjutkan tempoh tersebut yang ditetapkan pada 31 Disember ini untuk kakitangan kerajaan menyerahkan borang-borang mereka. 

Sikap itu sesungguhnya JPA tidak wajar bersikap demikian. Kerana ini soal periuk nasi. Lebih-lebih lagi bagi golongan di peringkat sederhana dan bawah . Selain itu kesan dari sikap atau cara pendekatan seperti itu akan memberi kesan buruk kepada kedudukan kerajaan BN pimpinan DS Najib sekarang .

Kenalah sama-sama faham PRU sudah dekat. Niat PM Najib mengumumkan skim itu pada belanjawan lalu pun mungkin ada strategi politiknya menjelang PRU 13 ini, yakni untuk `mengambil hati' kakitangan kerajaan juga seperti kelompok lain rakyat Malaysia yang mana diumumkan pelbagai insentif. Jadi biarlah hati semua pihak dijaga dengan sebaik mungkin.

Apapun rakyat akan tunggu hasil pertemuan antara CUEPACS dengan PM yang dijadualkan pada Jumaat ini. 

Jumaat, 9 Disember 2011

Jangan kucar kacirkan sektor awam dengan membawa masuk `orang luar'

Isu terbaru membabitkan sektor awam ialah mengenai percubaan memasukkan `orang luar' memegang jawatan Ketua Setia Usaha (KSU) di kementerian-kementerian dan juga berkemungkinan jawatan Ketua Setia Usaha Negara (KSN). 

Sehingga kini jawatan-jawatan tersebut didapati hanya disandang oleh pegawai kerajaan dari kumpulan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) sahaja, yang sebelumnya dikenali sebagai Malaya Sivil Service (MSC).

Difahamkan untuk memperoleh jawatan PTD bukan satu perkara mudah kerana ia terpaksa melalui beberapa saringan serta tapisan ketat, termasuk ketajaman IQ dan sebagainya.

`Kod' pengenalan jawatan ini digunakan huruf M. Bermula dengan M41 hinggalah ke peringkat JUSA (Jawatan Utama Sektor Awam) dan seterusnya peringkat TURUS.

Lazimnya mereka yang berada di peringkat JUSA atau TURUS ini, baik dari kumpulan perjawatan M (PTD sahaja) atau lain-lainnya seperti U (perubatan) J (kejuruteraan), DG (perguruan) DS (pensyarah) N (pentadbiran) S (sosial) dan lain-lain lagi, adalah memegang jawatan sekurang-kurang pengarah Bahagian atau Jabatan atau lebih tinggi seperti Ketua Pengarah (KP), KSU dan seterusnya KSN.

Setekat ini jawatan-jawatan tersebut difahamkan adalah terdiri dari pelbagai kaum di Malaysia. Termasuk juga para Diplomat di luar negara.

Cuma apa yang menjadi isu dan yang pernah dibangkitkan sebelum ini ialah kenapa jawatan-jawatan  `penting' ini  `dibolot'  oleh PTD sahaja, tidak oleh mereka dari kumpulan lain seperti J,U, S dan sebagainya.

Oleh itu penyelesaian kepada isu ini tentulah dengan membuka ruang-ruang itu kepada mereka dari kumpulan lain dan tidak hanya terhad kepada mereka dari PTD sahaja.

Namun dengan percubaan membawa masuk `orang luar' terutama dari sektor swasta apakah isu yang sudah wujud sekian lama itu dapat diselesaikan ?  Saya rasa besar kemungkinannya  tidak .Malahan akan bertambah kusut lagi apabila nanti ramai pegawai kerajaan merasa kecewa dengan kerajaan. Dan ini akan memberi kesan yang sangat buruk kepada kerajaan.

Oleh itu, saya rasa sangat baik jika kerajaan tarik balik sahaja percubaan ini tetapi sebaliknya buka peluang itu kepada mereka yang berkelayakan dari kumpulan lain yang bukan PTD untuk memegang jawatan tersebut di kementerian-kementerian. Kalau ingin sangat sekalipun hendak membawa masuk orang luar buatlah secara `pertukaran selang' iaitu seperti KSU ditukar sebagai CEO di mana-mana syarikat dan sebaliknya secara kontrak. Ini saya rasa lebih baik lagi demi kepentingan dan kebaikan bersama - kerajaan dan pegawai kerajaan.

Sabtu, 29 Oktober 2011

Kursus wajib Bahasa dan Temadun Melayu kepada pelajar asing di IPT

Selaku bangsa Melayu dan rakyat Malaysia saya rasa amat sukacita dan berterima kasih kapada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kerana mengorak langkah menjadi pengajian bahasa Melayu (komunkasi) sebagai subjek wajib kepada pelajar antarabangsa yang belajar di Intitusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam di negara ini.

Sungguh pun ia hanya sekadar peringkat ataubertaraf komunikasi sahaja, namun satu langkah betul. Biarlah orang luar yang belajar di negara ini tahu dan faham bahasa kebangsaan negara ini .Sekurang-kurangnya mereka mampu bercakap dalam bahasa Melayu ketika berkomunikasi dan berinteraksi dengan sesama mereka selama mereka tinggal di negara ini.

Tindakan ini juga boleh dianggap satu langkah ke arah  `pemasaran' bahasa Melayu ke rantau lain. Rasanya sudah sampai masanya usaha memperkasakan kedudukan bahasa Melayu bukan sahaja lagi hanya berlegar di negara ini sahaja, malah jika termampu biarlah ke seluruh pelusuk dunia.

Saya rasa ia tiada masalah kerana kita ada pelbagai kemudahan seperti kementerian dan agensi yang boleh melakukannya. Cuma hendak dengan tak hendak sahaja. Dan jika boleh di samping itu, pemahaman mengenai ketemadunan Melayu yang lebih luas konsepnya juga wajar diterapkan dalam apa jua cara yang sesuai, termasuk menjadikannya sebagai satu subjek pengajian wajib di IPTA mahupun IPTS. Kerana kita ada kuasa melakukannya.   

Khamis, 20 Oktober 2011

Jangan ghairah sangat dengan slogan `calon boleh menang'

Sudah pasti pilihan raya umum (PRU) ke13 akan berlaku tidak lama lagi. Bagi rakyat biasa ia tidak menjadi masalah besar, berlaku bila-bila pun tiada mengapa tetapi bagi orang politik ia tentulah satu masalah besar. Ini kerana ia melibatkan periuk nasi dan masa depan kerjaya.

Bagaimana pun rakyat jelata yang menjadi pengundi adalah satu-satunya elemen penting yang mesti diambil kira. Tanpa sokongan jitu pengundi sesuatu parti itu, sama ada yang menjadi kerajaan atau pembangkang pasti akan tumbang di gelanggang dan hilang kuasa. Justeru pelbagai taktik dan langkah perlu dibuat untuk memenangi hati rakyat.

Bagi parti yang menguasai kerajaan pusat seperti Barisan Nasional (BN) ruang untuk tujuan itu sangat luas. Antaranya mungkin melalui strategi program dan dasar negara , termasuklah strategi belanjawan negara.

Jadi,tidak hairanlah jika baru-baru ini BN mengumumkan banyak dasar mengenai kewangan yang dianggap `melegakan' hati rakyat menerusi pembentangan belanjawan negara 2012 di Dewan Rakyat minggu sudah.

Bahkan hati kaki tanganya yang berjumlah lebih satu juta dan pesaranya yang lebih setengah juta itu juga diusap melalui perlimpahan dengan pelbagai `ganjaran' yang tidak perlu disebutkan secara satu persatu kerana telah diumumkan dan disebarkan. Hendaknya ianya disyukuri. 

Namun, dari segi politik juga diumumkan pemimpin BN tidak lama sebelum ini . Antara lainnya ialah meletakkan `calon boleh menang' sebagai pra syarat bagi memilih seseorang calon dari parti komponennya.

Berikutan itu, mutakahir ini terdapat laporan-laporan media mengenai sesetengah pemimpin BN di peringkat pusat dan negeri yang menyarankan beberapa pandangan dan langkah yang harus dilakukan.

Bagi pemimpin BN Negeri Sembilan pula dilaporkan menawarkan Presiden MCA untuk bertanding di mana-mana kawasan Parlimen di negeri itu kerana beliau dilihat sebagai `calon boleh menang'.

Tidak mengapa, namun ketika ghairah mencari `calon boleh menang' ini saya kira ada satu lagi faktor yang perlu juga diambil kira iaitu `kawasan boleh menang'. Maknanya dalam politik dan pola pengundian pilihan raya di Malaysia ini  `kawasan boleh menang' juga kena diambil peduli.

Ini kerana bagi kawasan yang berkategori ` kawasan boleh menang' meletak calon macam mana pun boleh menang, sebaliknya bagi `kawasan yang tak boleh menang' letak calon terbaik sekalipun boleh kalah. Tun Dr. Mahathir sendiri misalnya pernah kalah di kawasan Parlimen Kota Setar Selatan (Kedah) pada salah satu PRU tahun 1960-an. Ini kerana kawasan itu adalah `kawasan tak boleh menang' walaupun Dr. M adalah `calon boleh menang' Dan banyak lagi.

Oleh itu jangan ghairah sangat dengan slogan `calon boleh menang' tapi mengabaikan `kawasan boleh menang' kerana kedua-dua faktor tersebut sangat penting serta saling berkait antara satu sama lain dalam arena politik dan pola pengundian di negara ini.

Khamis, 6 Oktober 2011

Ayam dogiang juga yang kenyang..........!!!

Cerita ayam dogeng (ayam yang tiada bulu) sangat menarik dan boleh dijadikan pengajaran. Setiap ekor ayam lazimnya Allah ciptakan untuknya bulu dan berwarna warni pula. Tentulah antara tujuannya yang akal manusia mampu membacanya adalah untuk melindungi dirinya dri kesejukan. Yang lain dari itu pastinya untuk kecantikan. Oleh itu majoriti ayam semuanya ada bulu. Yang dogeng (atau dogiang dalam loghat utara Semenanjung) adalah golongan minoriti.

Dalam peribahasa Melayu ayam dogeng ini dikaitkan dengan lesung dan alu (atan). Lesung dan alu ini digunakan untuk menumbuk padi menjadi beras atau menumbuk beras menjadi tepung.. Pada zaman dahulu tidak ada mesin untuk memproses padi menjadi beras dan beras menjadi tepung seperti mana berlaku zaman sekarang ini. 
Justeru lesung digunakan. Ketika proses ini berjalan dan ia dijalankan oleh kalangan wanita, ayam-ayam  akan berkeliaran di sekeliling lesung untuk mendapat habuan padi atau beras tumpah untuk dimakankannya. Ini adalah peluang yang besar kerana tidak perlu bersusah payah mencari rezeki.

Biji-biji beras atau tepung yang tumpah itu akan direbut-rebut oleh ayam-ayam ini. Biasanya ayam dogiang mendapat sedikit habuannya kerana dicakar dan dipatuk oleh ayam-ayam biasa yang lebih banyak jumlahnya  Namun oleh kerana pertelingkahan antara alu dengan lesung terlalu lama maka menyebabkan peluang untuk ayam dogiang juga sangat luas.lalu peluang ini direbut sepuas-puasnya. Akhirnya ayam dogiang juga yang kenyang !

Masyarakat Melayu zaman dahulu mengambil senario ini sebagai pengajaran dan menjadikannya sebagai bidalan. Bunyinya amat indah iaitu: " Lesung dan alu bertelingkah, ayam dogeng (dogiang) yang kenyang"

Walaupun antara ayam dengan lesung dan alu itu tiada kaitan tetapi padi atau beras yang ditumbuk itu menjadi bahan penting kepada kedua-dua pihak

Fahaman mudah daripada bidalan ini ialah kesan perpecahan golongan tertentu yang tak habis-habis akhirnya orang lain termasuk kumpulan minoriti akan mendapat faedah serta nikmat yang melimpah ruah - minta apa sahaja nescaya akan ditunaikan oleh pihak kumpulan majoriti hatta waimma menggadai maruah diri, bangsa, agama dan negara sekalipun. Waiyazubillah. 

Isnin, 19 September 2011

Melihat hari ini, menanti hari esok

Sambil kita melihat, meneliti, merenung atau membaca isu-isu yang berat-berat yang berkiata dengan politik, ekonomi, kebudayaan, sosial, agama, pendidikan dan sebagainya marilah sama-sama kita ringankan otak kita dan kita cubalah menyemak sedikit berkenaan dengan `tanda-tanda' akan berlakunya hari kiamat.

Sebagai seorang Muslim dan Mukmin kita mesti percaya bahawa hari kiamat pasti akan berlaku , meski waktu sebenar tidak diketahui. Pun begitu menerusi hadis-hadis Nabi SAW kita diberitahu terdapat tanda-tanda ` kecil' atau `besar' mengenainya yang akan ditunjukkan dari semasa ke semasa.

Antara tanda-tanda yang sentiasa diingatkan kepada kita saban waktu ialah dikatakan apabila berlakunya matahari `terbit' di sebelah barat dunia ini. Sekarang ini dan sejak sekian lama matahari terbit di sebelah timur dunia.

Dalam pemahaman paling mudah ialah ia berlaku satu percanggahan dalam sistem putaran planet-planet ciptaan Allah SWT yang telah ditetapkan sedemikian sejak sekian lama seperti yang kita dapati sehingga sekarang.. Namun sekarang ini perubahan sistem itu atau `putaran sungsang ' itu tidak lagi berlaku.

Bagaimanapun kini seoalah-olah sudah wujudnya `tanda-tanda' ke arah itu sedang berlaku. Ia bukan berkait dengan makhluk planet tetapi makhluk manusia. Contoh paling ringan ialah mengenai sistem kehidupan manusia.

Misalnya sistem lazim ( dan sewajarnya) isteri sepatutnya `takut' kepada suami, anak-anak `takut' kepada kedua ibu bapa, murid/pelajar takut kepada guru, orang di bawah takut kepada ketuanya, pekerja takut kepada majikannya , rakyat takut kepada kerajaannya dan sebagainya.

Tapi nampaknya sistem itu sekarang sudah berubah sedikit demi sedikit di mana keadaannya menjadi sebaliknya.

Sesekali kita amat risau dan bimbang akibat berlaku fenomina ini suatu yang buruk akan menimpa kita apabila sistem itu terus berlaku dengan meluasnya . Ini kerana implikasi daripadanya bukan sahaja sistem sosial, dan keluarga sahaja akan menjadi kucar kacir tetapi juga sistem-sistem  lain . Lebih mendukacitakan dan membimbangkan apabila berlaku pada sistem pemerintahan negara .

Apa tidaknya apabila mungkin suatu masa nanti kerajaan yang memerintah akan takut kepada rakyatnya. Justeru segala dasar, program dan sebagainya yang sedia ada atau akan dibuat akan diubah atau berubah atas `tekanan' sebahagian rakyat tertentu dan sebagainya. 

 

Selasa, 13 September 2011

Menangguhkan caj enam peratus cukai perkhidmatan prabayar bukan sebab PRU dekat

Terima kasihlah kepada syarikat-syarikat telekomunikasi yang bersetuju menangguhkan pelaksanaan caj perkhidmatan sebanyak enam peratus kepada pengguna telefon bimbit perkhidmatan prabayar yang dijadualakan pada Khamis ini.

Keputusan itu difahamkan adalah hasil perbincangan dengan kementerian penerangan, komunikasi dan kebudayaan yang diketuai oleh menterinya Datuk Seri Dr. Rais Yatim pada kelmari. Seterusnya dilaporkan syarikat-syarikat terbabit bersama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membuat kajian dari beberapa segi termasuk dari segi kadar dan kesesuaian masa pelaksanaananya.

Masa dan kadar yang sesuai

Dalam keadaan ekonomi negara yang tidak memberangsangkan seperti sekarang ini di mana harga barangan semakin meingkat naik apatah lagi masa ini agak amat hampir dengan pilihan raya umum maka untuk mendapatkan masa yang sesuai memang sukar tetapi dari segi menentukan kadar sesuai memang tidak sukar. Pun begitu jika PRU nanti kemenangan memihak kepada BN sekalipun masa belum tentu sesuai jika rakyat masih beterusan dengan masalah harga barang yang tinggi.

Jadi, harapan saya dari golongan marhaen ini ialah agar pihak yang terbabit dapat mencari kadar yang lebih rendah daripada yang dicadangkan sebanyak enam peratus itu DAN seboleh-bolehnya dikenakan caj waktu membeli pek permulaan perkhidmatan sahaja. Memang tidak dinafikan sektor komunikasi ini menyumbangkan cukai perkhimatan yang besar kepada kerajaan tetapi di samping itu kemampuan pengguna pun kana juga diberi perhatian.

Golongan pelanggan/pengguna

Syarikat-syarikat telekomunikasi harus sedar bahawa yang menjadi pelanggan mereka bukan hanya terdiri daripada golongan kaya dan elit sahaja tetapi juga mereka daripada golongan marhaen yang berpendapatan sederhana dan rendah; jika tidak mana mungkin jumlah mencecah hingga 26 juta. Mereka pun perlu juga perkhidamatan komunikasi untuk menjalin hubungan sesama rakan, keluarga dan sebagainya.

Diharapkan juga keputusan yang akan dibuat selepas mebuat kajian nanti kedua-dua pihak (kerajaan dan syarikat) janganlah hanya mengambil kira kepentingan politik sahaja tetapi handaklah juga mrngambil kira masalah yang akan dihadapi rakyat terutama dari segi ekonomi. Oleh itu maksud kesesuaian masa itu bukan kerana dekat dengan pilihan raya semata-mata tetapi juga kerana kasihan serta keperhatinan kepada rakyat jika selepas pilihan raya sekali pun . Maka itu kadar yang dicari ialah yang termampu oleh  rakyat menanggungnya.  

Sabtu, 10 September 2011

Isu Bukit Kepong, siapa untung dan siapa pandai

Mat Sabu adalah seorang tokoh politik parti pembangkang. Beliau sangat terkenal, baik di kalangan penyokong partinya sendiri malah di kalangan parti lawannya. Kemasyhorannya adalah kerana mulut lidahnya yang pandai mencetus isu `kontroversi' melalui ceramahnya. Inilah hakikat yang harus diterima , baik di kalangan parti lawan atau partinya sendiri.

Isu kontroversi terkini yang dibangkitkannya menersui ceramah politiknya ialah isu yang berakitan dengan peristiwa Bukit Kepong.

Cerita bukit Kepong juga adalah peristiwa yang menjadi sejarah kepada rakyat dan negara ini. Ia sangat sensitif kepada sesetengah pihak kerana peristiwa itu membabitkan pihak komunis dan kerajaan yang memerintah pada masa itu.di mana sebuah balai polis diserang oleh pihak anti kerajaan.

Beberapa orang anggota pasukan keselamatan mati akibat serangan itu. Semua orang yang membaca sejarah tahu mengenai peristiwa itu. Namun Mat Sabu pandai mengolah ceritanya sehingga ia menarik perhatian bukan sahaja orang politik tetapi juga pihak-pihak lain termasuk tokoh-tokoh ilmuan, koperat dan bekas pegawai kanan kerajaan.

Media massa mengambil kesempatan menyiarkannya setiap hari dan masa dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini. Pelbagai pendapat diutarakan oleh pihak-pihak berkenaan itu, sehingga setengah mereka nampak tersasul apabila mengatakan negara ini tidak pernah dijajah oleh British dan sebagainya. Ia sungguh mengelirukan !

Namun Mat Sabu tetap mendapat keuntungan politiknya. Tapi selain beliau ada pihak lain juga keliahatan mendapat keuntungannya. Ini kerana pihak-pihak lain juga ada isu-isu panas mengenai diri masing-masing namun  telah ditenggelami oleh isu yang dibangkitkan Mat Sabu itu. Inilah mainan politik.

 

Khamis, 8 September 2011

Ops Sikap gagal ? Kaji semula punca kemalangan

Ops Sikap ke 24 yang dilaksanakan selama 15 hari , iaitu lebih kurang seminggu menjelang sambutan idilfitri dan seminggu lagi selepasnya dilaporkan mencatat angka kematian sebanyak 289 kes. Ia dikatakan `terburuk' sejak ops itu diperkenalkan.
 
Dari segi laluan yang digunakan pengguna jalan raya, jalan bandaran dilaporkan  mencatat jumlah kemalangan yang tertinggi (503 kes) berbanding dengan laluan lain seperti jalan persekutuan, jalan negeri dan labuh raya. Malahan labuh raya mencatatkan jumlah kemalangan yang relatif rendah (115) berbanding dengan laluan tersebut.
 
Had kelajuan yang dibenarkan pada laluan-laluan tersebut adalah berbeza di antara satu dengan yang lain di mana kelajuan lebih tinggi di lebuh raya dan lebih rendah di jalan bandaran. 
 
Jadi, apakah logiknya punca yang membawa jalan bandaran itu mencatatkan jumlah kemalangan yang lebih tinggi sedangkan ia kawasan yang mana had kelajuannya cukup sederhana , misalnya 60km/j ; sedangkan di laluan lain lebih tinggi.
 
Apakah faktor terlalu banyak lampu isyarat itu menjadi sebahagian daripada punca utamanya ? Ditambah lagi dengan sikap pengguna yang kalut, gelojoh , ego dan sebagainya ?
 
Pada saya kedua-dua elemen (sikap & teknikal) itu ada. Lampu isyarat yang banyak boleh membawa kepada tekanan emosi kepada pengguna jalan raya. Lebih-lebih lagi penunggang motorsikal yang kebanyakannya golongan remaja dan muda. "Darah orang muda kan panas "  ?
 
Sebab itu tidaklah mengejutkan jika jumlah kemalangan, malahan kematian melibatkan penunggang/pemboceng motorsikal lebih banyak daripada yang lainnya . Pun begitu fakta sebenar ada di tangan pihak berkuasa .
 
Sekiranya apa yang saya `nampak' ini berbetulan dengan fakta sebenar yang ada pada tangan pihak berkuasa saya rasa ada baiknya jika kedua-dua elemen ini dijadikan bahan kajian dan sasaran untuk mendapat kaedah baru mengatasi kemalangan jalan raya di negara kita , terutama pada musim perayaan.
 
Misalnya kursus-kursus `tambahan' selepas kursus sebelum kelulusan lesen memandu yang sah dan intensif patut diberikan  kepada golongan berkenaan di samping mencari jalan lain sebagai alternatif kepada penyediaan lampu isyarat yang di setengah-setengah tempat atau kawasan dilihat terlalu banyak sehingga menimbulkan kesulitan dan masalah `tambahan' kepada pengguna jalan raya.

Rabu, 7 September 2011

PRU akan datang, Kedah milik siapa ?

Ketika berkunjung ke rumah sanak saudara, ipar duai dan besan di Perak sempena idilfitri baru-baru ini saya ditanya sama ada parti Pas yang memerintah Kedah sekarang mampu `meneruskan' kuasa pemerintahan itu selepas pilihan raya umum akan datang ini?

Jawapan saya kepada pertanyaan itu ialah antara lainnya bergantung kepada faktor isu berbangkit dan pendekatan pucuk pimpinan parti itu sendiri di peringkat negeri.

Pada pemerhatian saya, isu dan pendekatan atau gaya kepimpinan Menteri besar sendiri memainkan peranan penting . Isu yang meresahkan rakyat dan pendekatan yang membosankan rakyat adalah satu-satunya yang mempengaruhi kedudukan pengaruh kerajaan baik di peringkat negeri mahupun di peringkat pusat.

Dalam konteks negeri Kedah sejauh pemerhatian saya sejak memegang tampuk pemerintahan negeri selepas PRU 2008 hingga sekarang tidak banyak berlakunya pendekatan dan tindakan yang boleh membangkitkan isu-isu benar yang boleh memberi kesan buruk kepada pemerintahannya.

Dalam hal ini saya nampak MB Kedah , Us. Azizan Abd. Razak pandai membaca hati budi rakyat Kedah yang majoiritinya orang Melayu yang masih `berpegang kuat ' dengan budaya Melayunya yang tidak suka kepada pendekatan `kasar' .

Tak tahulah saya sama ada pendekatan ini akan diteruskan atau tidak. Namun jika Us Azizan yang menjadi Menteri Besar `diturunkan' pangkatnya atau dipecat oleh pucuk pimpinan Pas pusat dan digantikan dengan orang lain yang mungkin pendekatannya serta juga gaya pentadbirannya berubah maka senario ini saya percaya akan berubah dan merupakan satu `advantage' kepada pesaingnya.

Di negeri Kedah sejauh pemerhatian saya jika pendekatan dan gaya kepimpinan terarah kepada kepentingan diri dan keluarga atau kroni yang ketara , kasar , angkuh serta mengenepikan budaya menghormati pihak lain, termasuk lawan; maka kuasa itu tidak lama. Tak kiralah parti apa sekalipun. 

Isu-isu besar yang membabitkan politik , agama, ekonomi dan sosial seperti isu tanah, perumahan, balak, dan sebagainya saya tidak nampak ia berlaku secara nyata dan meluas yang menjadi perbincangan umum , cuma isu tanah UUM yang mungkin sekarang sudah diselesaikan kerana tidak kedengaran lagi.

Tak tahulah kalau ada isu-isu lain yang pihak lawannya boleh memanipulasikan isu-isu terbut. 
Baru-baru ini parti Gerakan negeri Kedah misalnya cuba membangkitkan isu keperluan pengwujudan jawatan Timbalan Menteri Besar di negeri Kedah.

Namun pengenahan isu itu kelihatan satu tindakan yang `makan diri sendiri' apabila parti Gerakan tidak mampu berbuat apa-apa di negeri Pulau Pinang yang kini dikuasai DAP. Sedangkan beberapa dekad sebelumnya dikuasai parti Gerakan. Malah parti  Gerakan dilhat layu terkulai.

Bagi orang Kedah kalau di negeri di mana ia pernah memegang kuasa agak lama tidak mampu berbuat sesuatu tak payahlah nak kacau negeri lain. .

Mungkin BN atau UMNO sendiri mempunyai idea besar dan strategi mampan tak tahulah pula ; bagaimanapun siapa yang memegang kuasa pemerintahan jika tahu menghargai budi majoriti rakyat dan pengundi insya Allah kemenangan akan berpihak kepadanya. Wallahu a'lam.


Hanya dengan limpahan ramat-Nya jua

Sesungguhnya saya amat bersyukur kepada Allah SWT, Tuhan Pentadbir seluruh alam kerana memberikan saya kekuatan dan kesihatan yang baik ketika menjalankan ibadat puasa bulan Ramadan serta ibadat-ibadat lain yang berkaitan dengannya seperti mengerjakan solat tarawih, solat witir berjamaah, berbuka, bersahur, tilawah dan sebagainya pada tahun ini.

Dengan kehendak-Nya dan limpahan rahmat-Nya pada tahun ini saya mendapat kesempatan memegang puasa serta ibadat-ibadat lain yang berkaitan dengannya di Tanah Suci al-Makkah al-Mukarammah selama lebih kurang seminggu . Baki tiga minngu lagi dikerjakan di dalam negara.

Sungguh menyeronokkan ketika mengerjakan ibadat puasa serta ibadat-ibadat lain yang berkaitan dengannya di Tanah Suci. Sekalipun cuaca lebih panas dan siang lebih lama berbanding dengan negara kita, namun ia tidak merasa letih dan sebagainya. Bahkan dapat mengerjakan tawaf dan saii lagi pada jam menjelang beberapa  masuknya waktu solat Zuhur (lebih kurang pukul 12.35 tgh waktu tempatan). Saya merasakan ini satu nikmat yang cukup besar buat saya yang daif ini. Tentulah ini semata-mata dengan limpahan rahmat-Nya jua.

Kadang kala berada di dalam masjidil haram dari menjelang waktu asar hingga tamat solat tarawih , namun ia tidak terasakan masa begitu lama dan membosankan. Malah amat menyeronokkan . Masya Allah ! Begitulah limpahan rahmat-Nya.

Manakala berbuka di Masjidil Haram hanya dengan makan sama ada tiga, lima, tujuh atau sembilan biji tamar dan segelas air zamzam yang diberikan percuma oleh pihak tertentu di sana .Betul-betul mengikut sunnah. Apa tidaknya Nabi Muhammad SAW pernah bersabda supaya berbuka (puasa) dengan mengambil jumlah biji tamar secara gasal iaitu sama ada satu, tiga, lima, tujuh dan seterusnya.


Pun begitu sudah cukup untuk membekalkan tenaga bagi mengerjakan solat tarawih yang dibuat sebanyak 20 + tiga itu. Solat sunat tarawaih pula meskipun dibuat sebanyak 20 rakat tetapi tidak diselangi dengan yang lain. Jauh sekali dengan aktiviti `tazkirah' yang kini telah menjadi satu kelaziman (trend) bagi sesetengah tempat di negara kita. Saya tidak mahu mengatakan `tazkirah' itu tidak baik. Tetapi apakah ia menepati waktunya ?

Sekarang kita sekalian sedang berada di dalam bulan Syawal. Sepanjang bulan ini kita juga disunatkan (disuruh) berpuasa lagi selama enam hari. Sama ada secara berturut hari atau berselang hari, terpulang kepada kemampuan dan kesempatan masing-masing. Namun ganjarannya juga cukup besar kerana ia dikira seolah-olah berpuasa `sepanjang tahun' . Mudah-mudahan kita semua berkesempatan melakukannya insya Allah. 

Sabtu, 27 Ogos 2011

Selamat Hari Raya Aidilfitri - maaf zahir batin

Selamat Hari Raya (Aidilfitri) kepada semua dan maaf zahir batin. Jika ada terkasar bahasa dan ucapkata diharap tidak mengambil hati.

Selamat pulang ke kampung halaman dan selamat bertemu ayah dan ibu serta ahli kerluarga bagi mereka yang berkesempatan .

Sambutlah raya dengan seberapa sederhana yang termampu. Jangan terlalu berlebihan sehingga melanggar syariat dan sunnah. Berat dosa untuk menanggungnya.

Ingat juga bahawa sambut raya itu ibadat, bukan adat. Sambutlah cara ibadat bukan sebaliknya. Dalam ibadat ada `terma dan syaratanya' .

Pun jangan lupa , seboleh-bolehnya berpuasa pula pada hari berikutnya atau mana - mana hari sepanjang bulan Syawal selama enam hari agar memperoleh kebajikan dan ganjaran dari Allah SWT. 

Dan ingat juga bahawa mendapat keredaan Allah itu lebih baik daripada mendapat kesukaan/keseronokan gelora hawa nafsu.

Semoga berjaya pada hari raya tahun ini.  Allahu Akbar ! Allahu Akbar ! Allahu Akbar...walillahil hamd.


Selasa, 23 Ogos 2011

Seruan kepada pengguna jalan raya : hargailah Ops Sikap ke 24

Mulai hari ini hingga 6 September ini bermulalah Ops Sikap yang bertujuan untuk mengawal keselamatan orang ramai di jalan raya atau lebuh raya . Kali ini adalah yang ke 24.  

Menurut laporan media Polis Di Raja Malaysia (PDRM) akan mengerahkan 10,000 pegawai dan anggotanya di seluruh negara bagi menjayakan operasi berkenaan. Jumlah tenaga kerja ini belum lagi  termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Di samping itu, PDRM juga difahamkan akan mengguna kamera berteknologi tinggi bagi mengesan kesalahan lalu lintas yang dilakukan pemandu-pemandu kenderaan.

Berdasarkan jumlah tenaga dan peralatan yang digunakan itu tentulah kos operasinya juga amat besar selain dari tenaga kerja. Namun kesannya belum pasti lagi. Ia banyak bergantung kepada sikap pengguna jalan raya itu sendiri. Kerjasama mereka adalah sangat penting.

Pengguna jalan rayalah yang harus lebih memberi perhatian dan komitmen mereka terhadap keselamatan diri sendiri dan orang lain di jalan jalan raya di samping menghargai pengorbanan kerajaan secara umumnya dan pasukan keselamatan yang menjalankan tugas khanya.

Pengorbanan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan itu sama ada PDRM atau JPJ sudah pasti antara lainnya mereka tidak dapat bercuti seperti orang lain untuk beraya bersama dengan keluarga masing-masing.

Pengguna jalan raya juga kena ingat di samping pengorbanan jasmani dan psykologi pasukan keselamatan yang bertugas adalah juga penggunaan wang kerajaan yang banyak jumlahnya untuk membiayai operasi berkenaan. Wang kerajaan itu adalah wang rakyat juga. Wang kita !

Oleh itu, diharapkan Ops Sikap kali ini nanti akan menghasilkan natijah yang memberangsangkan dengan penurunan jumlah kemalangan dan kadar kematian berbanding operasi sebelum ini.


Ahad, 21 Ogos 2011

Pesanan kepada penceramah tazkirah; jangan ghairah sangat !

Memberi ceramah atau berucap di hadapan khalayak ramai atau apa sahaja istilahnya yang diguna pakai yang maksudnya bercakap kepada orang ramai adalah bukan kerja mudah.

Memiliki bakat sahaja tidak jadi jika tidak disertai dengan elemen-elemen seperti kemahiran bercakap, berhujah  dan sebagainya dan pada masa sama juga memerlukan kebolehan atau kemahiran berfikir secara kritis terhadap bakal khalayak pendengar yang sedang menanti .

Seseorang penceramah itu hendaklah tahu siapa yang akan menjadi khalayak pendengarnya , misalnya orang mudakah, orang tuakah, orang terpelajarkah, orang tidak terpelajarkah, lelaki sahajakah atau wanita sahajakah? atau separuh-separuhkah ?

Yang lebih penting lagi , terutama di negara kita ini apakah parti yang mereka cenderungi atau anuti ? Parti kerajaan kah, pembangkangkah , atas pagarkah ? dan sebagainya.  Kesemua ini dan banyak lagi kriteria lain yang kemunginan ada pada sejumlah besar khalayak pendengar, seseorang penceramah itu mesti tahu terlebih dahulu sebelum membuat persiapan dari segi bahan ceramah dan penampilan diri.

Penampilan diri adalah juga sangat mustahak diambil kira yang harus disesuaikan dengan majlis dan adat resam bakal khalayak pendengar yang akan ditemui. Mungkin kesalahan jarang berlaku tetapi ada juga sebahagian penceramah/pengucap melakukan sperti masuk dalam masjid/surau tidak aurat oleh penceramah wanita. 

Takkan pula misalnya datang ke masjid atau surau seperti pergi shopping atau majlis makan malam dan sebanaginya.

Untuk mengetahui semua perkara ini mestilah terlebih dahulu tanya orang yang membuat `contacs' dengan kita . Kerja ini dipanggil `analisis khlayak' sebelum majlis.

Lepas itu buat lagi analisis semasa majlis ceramah sedang berjalan untuk mengetahui sama ada cara penyamapian ceramah kita itu disukai oleh kebanyakan khalayak pendengar atau tidak; Jika didapati tidak disukai makka hendaklah diubahkannya dengan serta merta .

Ini supaya majlis itu berjalan dengan baik dan tiada kesan negatif wujud seperti ada yang `lari' keluar majlis dan sebagainya . Lebih parah lagi jika ada yang buat aduan poliis.

Jika semua itu berlaku nyatalah ia mmenunjukkan bahawa ceramah itu kita `tidak menjadi'. Lagi buruknya apabila orang kata kita `jahil' dalam memberi ceramah. Oleh itu jangan teruja sangat ketika berceramah sebaliknya perhatikan gelagat khalayak, seperti kata peri bahasa Melayu cakap siang pandang-pandang dan cakap malam dengar-dengar. 

Walau bagaimanapun sebenarnya untuk berbicara mengenai `teknik-teknik pengucapan awam' ini ia mengambil ruang dan masa yang banyak. Bagaimana pun saya ingin menyerulah kepada mereka yang  ghairah untuk berceramah, lebih-lebih lagi di dalam bulan Ramadan ini , berhati-hatilah ketika mengatur kata dan menyusun kalam agar tidak terlalu menyinggung perasan khalayak pendengar. Buatlah analiisis khalayak terlebih daulu dan laksanakan tugas itu dengan penuh jujur dan profesional. Tak kiralah apa istilah majlis yang digunakan ,seperti `tazkirah' dan sebagainya.  

Rabu, 17 Ogos 2011

Isu percubaan memurtadkan kanak-kanak: Mencegah lebih baik daripada merawatinya

Ketika membaca tulisan Zaini Hassan, seorang wartawan kanan di Utusan Malaysia dalam ruangan "Cuit"nya yang disiarkan hari ini, hati dan emosi saya amat tersentuh.

Menurut Zaini , beliau telah dihubungi oleh seorang guru sebuah sekolah rendah di ibu kota Kuala Lumpur yang mengatakan ada di kalangan muridnya yang beragama Islam pelajar tahun 1 dan 6 dapat menyanyi lagu `gereja' dengan penuh semangat . Kabarnya cik gu itu bukan beragama Islam.

Difahamkan menerusi tulisan Zaini itu kanak-kanak berkenaan mempelajari perkara itu menerusi kelas tuisyen yang dihadiri mereka .

Beberapa pihak yang berkaitan seperti jabatan Agama Islam dan jabatan Pelajaran difahmakan juga telah dihubungi mengenai keadaan itu.

Kabarnya juga kanak-kanak itu datang dari keluarga `miskin'.

Ini adalah cerita yang disampaikan kepada Zaini dan beliau dedahkan pada akhbar . Mungkin ada banyak lagi yang tidak didedahkan.

Sebagai seorang Islam cerita dan berita seumpama ini tentulah merupakan sesuatu yang sangat memilukan dan membimbangkan .

Ia kerana kita masing-masing ada zuriat , sama ada sudah besar atau masih kecil, dan pada masa sama berdepan dengan permasalahan mencari rezeki.

Apatah lagi kiranya tinggal di kota raya atau bandar-bandar besar yang taraf hidupnya amat tinggi. Pasti ruang masa untuk bersama anak-anak adalah sangat terbatas.

Namun kes ini kita harap dapat diselesaikan . Manakala kes-kes lain seumpama ini dapat didedahkan lagi dengan qudrat dan iradat Allah Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi dari semasa ke semasa .

Justeru tidak dapat delakkan lagi bahawa pihak-pihak berkuasa terutama yang berkenaan dengan agama, pertubuhan-pertubuhan (NGO) Islam hendaklah lebih bersikap pro aktif di dalam usaha mendepani isu-isu seumpama ini .

Pada masyarakat dan kita semua sama-samalah saling bekerjasama serta mengambil sikap lebih berhati-hati serta memberi lebih perhatian kepada gerak geri zuriat kita, terutama yang masih kecil. Bak kata orang bijak pandai `mencegah itu lebih baik daripada merawatinya ' . Wallahu a'lam.



Selasa, 16 Ogos 2011

Terima kasih Mufti Pulau Pinang

Terima kasih kepada Datuk Seri Hassan Ahmad, Mufti Pulau Pinang kerana sudi tampil memberi penjelasan mengenai isu `larangan' menggunakan pembesar suara di masjid dan surau di negeri itu menjelang masuk solat Subuh.

Isu ini telah menjadi tajuk perbincangan hangat di peringkat masyarakat umum Islam di Malaysia mengikut sudut pandangan dan sentimen masing-masing, sedangkan ia adalah berkaitan dengan hukum.

Seperti mana kebanyakan umat Islam sedia ketahui hukum syarak bukanlah macam hukum adat atau undang-undang negara yang siapapun boleh memperkatakannya mengikut pandangan sendiri meskipun tanpa berasas kepada keilmuan yang mendalam. Ia tidak mendatangkan dosa.

Oleh itu kesudian sohibul fadhilah DS Mufti menjelaskan kepada umum mengenai kedudukan sebenar `arahan' itu dikeluarkan kepada masjid dan surau di negeri Pulau Pinang itu sangat dinanti-nantikan oleh masyarakat Islam di negara ini.

Selepas ini diharapkan tiada lagi mana-mana pihak memperkatakan mengenainya secara melulu tanpa bersandarkan kepada keilmuan yang mendalam mengenai hukum hakam Islam atau ada kaitan dngan sentimen dengan sesuatu ideologi.

Memanglah pada permukaannya ia lebih kepada pentadbiran tetapi lebih jauh dari itu ia membabitkan hukum syarak yang bukan sahaja harus dihormati oleh masyarakat Islam tetapi oleh sesiapa juga.

Oleh itu setiap yang berkaitan dengan hukum hakam Islam umat Islam harus lebih berhati-hati ketika membincangkannya secara terbuka, manaklah pihak berwajib pula harus lebih peka dengan sensitiviti dan keadaan politik yang tidak menentu sekarang . Wallahu a'lam.

Isnin, 15 Ogos 2011

Isu agama ke isu politik ?

Sepanjang dua minggu berlalunya bulan Ramadan yang mana umat Islam keseluruhannya diwajibkan berpuasa apabila mencukupi syarat-syaratnya , timbul dua isu `besar' yang menghantui masyarakat Islam di negara ini.

Salah satunya isu jemputan `berbuka puasa' di sebuah gereja di Selangor yang menurut berita yang disiarkan media melibatkan 12 orang Muslim ketika diserbu oleh pihak berkuasa agama dan keselamatan di negeri itu. Isu itu tercetus minggu lalu dan heboh di seluruh negara. 

Keduaya isu `larangan menyiarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran beberapa minit menjelang masukya waktu solat subuh. Isu ini tercetus di Pulau Pinang beberapa hari lalu . Konon beritanya larangan itu berikutan dari arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Pulau Pinang. Ia juga heboh satu negara.

Sama ada ia satu kebetulan atau direncanakan , kedua-duanya berlaku dalam negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat (PR) yang juga merupakan parti pembangkang di Dewan Rakyat.

Kedua-dua isu itu menarik perhatian umat Islam kerana ia membabitkan kedudukan akedah seseorang Muslim dan satu lagi membabitkan kedudukan hukum iaitu dibolehkan (harus,sunat, wajib) atau sebaliknya (haram,makruh) dan sebagainya. .

Untuk mempastikkan kedudukan perkara ini tentulah pihak yang berwibawa dalam ilmu agama sahaja yang layak membincang dan merumuskannya.

Namun sebahagian dari kalangan orang Islam daripada kedua-dua parti politik terbesar orang Melayu/Islam telah tampil mengambil bahagian secara aktif.

Para pemimpin Pas dari pihak pembangkang dan Umno dari parti kerajaan msing-masing membuat kenyataan media yang seolah-olah menggambarkan mengikut kepentingan serta sudut pandangan parti masing-masing .

Yang jelasnya kedua-dua pihak adalah berpegang pada satu akidah dan mengamalkan satu syariat agama   tetapi barangkali kerana terdapatnya perbezaan ideologi politik mereka saling bercakaran antara satu sama lain yang seakan-akan menggambarkan bahawa pendirian mereka berasaskan kepentingan parti masing-masing .

Persoalan yang timbul di kalangan masyarakat biasa yang menjadi rakyat jelata yang ingin melihat sesuatu jawapan yang jelas terutama di bulan Ramadan ini terkeliru antara satu sama lain dan tertanya-tanya apakah isu yang diperbincangkan ini isu agama atau isu politik .

Sekiranya ia adalah sebenarnya isu agama, tidak bolehkah diselaraskan sahaja kesimpulan dan pendiriannya dan janganlah pula dipolitikkan semata-mata untuk menjana penghasilan keuntungan politik pada pilihan raya.

Sama ada di perigkat pusat atau di peringkat negeri kita ada agensi-agensi rasmi yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam, kenapa mereka diam sahaja dan tidak cuba merongkai isu ini secara mengikut lunas agama (syariat) di meja rundingan dan kemudiannya merumuskan kedudukan sebenar; terutama berkaitan larangan menyiarakan bacaan ayat-ayat al-Quran dan kelakuan menghadiri majlis tertentu di gereja yang tujuannya diragui.

Jsuteru lagi cepat pihak berkauas agama bertindak lagi baik untuk ummah dan syair agama (Islam) . Wallahu a'lam.  


Khamis, 11 Ogos 2011

Murtad: salah siapa ?

Isu murtad di kalangan masyarakat Islam di negara ini sebenarnya bukanlah isu baru yang berlaku di alaf baru ini, namun ia sudah didengari berlaku sejak di abad ke 20 lagi. Cuma perbezaannya barangkali isu di alaf baru ini lebih panas lagi kerana ia menarik perhatian banyak pihak dan kadang kala lebih cenderong ke arah isu politik daripada agama. Justeru `orang politik' lebih banyak memberi perhatian daripada `orang agama'. Tidak kisahlah pada sudut mana ia berada atau diletakkan. Namun kesannya adalah sama iaitu segelintir penganut Islam seolah-olah bersedia meninggalkkan agama mereka (Islam) dan imej agama Islam dicemari. 

Salah siapa ?

Jari tangan kita hendaklah tidak seharusnya secepat mungkin menghalakan ke arah orang lain tetapi lebih baik kiranya dihalakan ke arah kita terlebih dahulu.

Kita ada ulama, kita ada majlis agama, kita ada jabatan agama, kita ada pendakwah, guru agama, kita ada ustaz, kita ada masjid dan surau dan kita ada banyak lagi institusi yang berkaiatan dengan dakwah Islamiah, termasuk jabatan zakat dan baitulmal.

Namun setakat mana kita manfaatkan institusi-institusi berkenaan pada tujuan dakwah - meyebarkan Islam kepada orang lain dan memperkukuhkan serta mempertahankana akidahnya di kalangan umat Islam sendiri, kita kenalah sama tepuk dahi tanya diri kita . 

Mari kita renungkan cara kita berdakwah setakat ini.  Cara kita berdakwah rasanya agak berbeza dengan orang lain `berdakwah'.

Kita, sama ada mahu mengaku atau tidak, kita tidak turun padang dalam erti kata sebenar dalam mencari golongan sasaran atau kita tidak berusaha mengenalpasti golongan sasaran. Siapa yang harus kita awasi akidahnya dan siapa yang patut kita ubah akidahnya dan siapa pula yang kita kena perkukuhkan akidahnya ?

Semua persoalan itu harus dijawab oleh kita semua, khususnya oleh pihak-pihak yang ada kaitan dengan kerja-kerja dakwah secara langsung seperti para ulama, ustaz-ustaz, institusi-institusi keagamaan, pegawai-pegawai dan ahli jawatankuasa rumah-rumah ibadat kita dan sebagainya.

Memang kita buat aktiviti agama, kita adakan ceramah tidak henti-henti sepanjang tahun ; termasuk sepanjang bulan ramadhan yang seharusnya diutamakan aktiviti ibadat-ibadat lain kerana sepuluh bulan masa diperuntukkan untuk kita berceramah.

Tetapi kepada siapa kita harus kategorikan keutamaan berceramah atau berkuliah dan apakah pendekatan yang kita gunakan sejajar dengan latar belakang golongan sasaran kita , atau adakah kita (penceramah) pernah membuat analisis khalayak sebelum membuat sesuatu ceramah.

Berdasarkan pemerhatian , kerja itu tidak dibuat. Ini berdasarkan kebiasaannya penceramah pakai hentam sahaja ikut rasanya (self oriented) dan bukan ikut keperluan dan latar belakang khalayak (audience oriented) lantas keberkesanan mesej meragukan.

Sesetengah masjid pula mengadakan sehingga berbelas kali aktiviti ceramah (kuliah) dalam seminggu. Yang hadir ke majlis itu 90 peratus lebih adalah orang yang sama .

Tidak mampukah kita menggunakan pendekatan `pemujukan' seperti yang terdapat dalam ilmu `komunikasi'. Memujuk tidak semestinya dengan ceramah yang tidak henti-henti. Tetapi ia boleh digunakan menerusi perkara lain seperti kewangan dan kebendaan.

Menghulurkan bantuan secara berterusan kepada sasaran kemudian dalam tempoh tertentu secara berkala  di bawa ke masjid atau seumpama dan disampaikan ajaran-jaran agama sedikit demi sedikit sehingga diyakini iman atau akidah mereka sudah kukuh dan sebagainya. Teruskan usaha pemantapan akidah itu dengan cara lain pula dan sebagainya .

Sekarang ini kelihatan di mana-mana jua kita terus menerus menggunakan pendekatan yang sama di dalam berdakwah atau dalam `mempertahankan' akidah sebahagian rakan-rakan kita dari dinodai , sedangkan orang lain sentiasa menggunakan pendekatan yang lebih baik dan sistematik.

Rasanya kini wajarlah sekiranya pihak-pihak berkenaan mengubah cara pendekatan yang diamalkan selama ini  kepada cara dan pendekatan lain yang labih berkesan dan sistematik demi mempertahankan dan pada masa sama menyebarluaskan dakwah Islamiah sama ada dalam kalangan mereka yang sudah sedia beriman atau dengan mereka yang belum lagi beriman.   

Rabu, 10 Ogos 2011

Bonus raya : untuk penjawat awam persekutuan sahaja ke ?

Para pesara perkhidmatan awam Malaysia seramai lebih kurang 590,000 orang itu tentulah berasa seronok apabila Perdana Menteri dua hari lepas mengumumkan `bayaran khas' kepada mereka pertengahan bulan ini sebagai belanja hari raya.

Saya juga sebagai pesara perkhidmatan awam dan baru pulang dari tanah suci sehari sebelum berita disiarkan , kerana mengerjakan umrah tersentak membaca berita itu dan rasa amat bersyukur dengan nikmat pemberian itu.

Begitu juga rasanya dengan rakan-rakan yang masih bekerja yang akan mendapat sekurang-kurangnya RM500 atau setengah bulan gaji masing-masing. Namun difahamkan ia untuk kakitangan di bawah kerajaan persekutuan sahaja, tidak termasuk kakitangan di bawah perkhidmatan kerajaan negeri.

Bagi mereka yang bekerja di bawah perkhidmatan negeri tentulah juga turut mengharapkan bayaran sama daripada kerajaan negeri, khususnya negeri-negeri di bawah pemerintahan kerajaan pakatan rakyat. Dengar ceritanya mereka `risau' kemungkinan tidak dibayar .

Sehingga kini rasanya pengumuman mengenainya belum ada lagi. Harap-harapnya mereka juga akan mendapat habuan yang sama seperti rakan-rakan di bawah perkhidmatan kerajaan pusat.   

Ahad, 17 Julai 2011

Beberapa peristiwa di dalam bulan Syaaban untuk diingati dan dihayati

Bulan ini, bulan Syaaban. Sudahpun pertengahannya. Maka tak lama lagi iaitu kira-kira dua minggu lagi umat Islam akan menunaikan puasa sebulan dalam bulan Ramadhan.

Ketika menunaikan solat Jumaat dua hari lalu di sebuah masjid dalam daerah Seberang Prai Utara (SPU) , Pulau Pinang khatib dalam khutbahnya menyebut `dua peristiwa besar' telah berlaku di dalam bulan Syaaban semasa zaman Rasululah s.a.w. 

Dua peristiwa itu ialah perintah pertukaran qiblat bagi orang Islam iaitu dari Masjidil Aqsa di Palestin ke Masjidil Haram di Makkah oleh Allah s.w.t. Maka semenjak itu hinggalah ke hari ini dan seterusnya qiblat umat Islam , khususnya untuk solat adalah Kaabah (Baitullah) di Masjidil Haram. 

Satu lagi peristiwa yang disebut ialah berkenaan dengan bagaimana isteri Rasulullah s.a.w. , Saiditina Aisyah difitnah oleh puak-puak tertentu, dengan mendakwa beliau melakukan perkara sumbang.

Implikasi fitnah itu  terhadap diri beliau selaku isteri seorang Rasul dan baginda Rasulullah s.a.w sendiri selaku Nabi, Rasul dan suami, serta ayahanda beliau Abu Bakar Assidiq serta umat Islam seluruhnya adalah sangat besar kerana ia melibatkan maruah peribadinya, kenabian dan kerasulan serta kesucian agama Islam itu sendiri.

Berikutan itu , dengan perintah Allah SWT puak-puak yang membuat fitnah itu ditangkap dan dikenakan hukuman qazaf mengikut syariat Islam. Demikian setakat yang saya ingat. Wallahu a'lam.

.  

Selasa, 12 Julai 2011

Renungkan perumpamaan ini: api waktu kecil menjadi kawan, waktu besar menjadi lawan

Hari ini marilah kita bercakap fasal api. Dalam masyarakat Melayu lama api memainkan peranan sangat penting sebab zaman mereka tidak dibekal dengan `karan' atau bekalan elektrik dan gas untuk memasak. Jadi apilah yang digunakan sebagai bahan untuk memasak dan menerangkan rumah bila datang malam atau keadaan gelap. Api juga diguna untuk membakar sampah sarap dan rokok; bahkan sehingga ke hari ini.

Dan lebih `hebat' lagi pada zaman itu bila kejadian manusia dikaitkan dengan api seperti dikatakan "dalam diri manusia ada empat unsur iaitu tanah, air, api dan angin. Api juga pada suatu ketika dulu yang saya masih ingat lagi digunakan oleh orang tua-tua di tempat saya sebagai peduman untuk melakukan sesuatu `program' penting . Misalnya kalau hendak merisik atau meminang pun mereka mengguna `empat unsur' itu bagi memastikan sama ada tarikh untuk hari melakukan upacara jatuh pada unsur apa; jika jatuh pada api misalnya, maknanya suasana akan nanti menjadi panas dan sebagainya.

Selain itu, orang Melayu pada zaman dahulu juga memasukkan api di dalam perumpamaan untuk dijadikan pedoman atau teladan di dalam kehidupan bermasyarakat mereka seperti diumpamakan api itu"bila kecil menjadi kawan tapi bila besar menjadi lawan" atau musuh. Ia membawa maksud yang cukup simbolik dan boleh dibuat pengajaran daripadanya di antaranya secara tersurat, yang bermaksud supaya bila berhadapan dengan api janganlah terlalu leka nanti ia memusnahkan diri kita. Begitu juga jika digunakan secara tersirat.

Pada zaman ini perumpamaan itu bolehlah dikaitkan dengan pelbagai bentuk rupa kejadian atau insiden yang bersifat membawa kecelakaan atau kehancuran kepada masyarakat pada akhirnya jika ia dibiarkan berleluasa atau berterusan. Jadi sebelum ia membesar atau merebak atau berpanjangan lebih baiklah jika ia disekat. Sama ada penyekatan itu menerusi undang-undang atau lain-lain cara.

Pihak yang berkaitan dengan penguatkuasaan undang-undang, sama ada menterinya atau pegawainya hendaklah sentiasa berani bertindak dengan segera tapi penuh bijaksana lagi profesional supaya segala tindakan yang diambil itu tidak pula mendatang akibat `sampingan' yang juga nanti menyusahkan kita dan kemungkinan akan hilang pula keprcayaan orang terhadap kita.

Walau bagaimana pun api tetap api. Sifatnya yang panas dan mengganas ketika besar itu akan memusnahkan apa sahaja jika dibiarkan pada waktu kecilnya. Oleh itu berwaspadalah dengan api atau apa juga yang boleh diumpamakan sebagai api.  Kawallah dia, cegahlah dia, bertegaslah dengan dia dan janganlah biarkan dia terus membara dan membakar nanti akan segalanya terbakar . 


Khamis, 7 Julai 2011

GLC untuk siapa ya ?

Saya tertarik dengan pandangan dan komen yang diberikan oleh Timbalan Presiden Majlis Perunding Melayu, Tan Sri Muhammad Ali Hashim terhadap cadangan kerajaan untuk melupuskan pegangannya dalam syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) seperti dilapor Utusan Malaysia hari ini.

Menurut laporan itu beliau dipetik sebagai berkata , " Langkah ini jelas bertentangan dengan semangat `rakyat didahulukan'.

"Tambahan pula setelah GLC berjaya merekod prestasi menggalakkan dan berupaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara".

Menurutnya , dengan berbuat demikian kerajaan memindahkan hak milik ekuiti amanah rakyat Malaysia yang miskin dan berpendapatan rendah untuk meningkatkan kekayaan golongan pelabur saham swasta yang umumnya berpendapatan tinggi . (Utusan Malaysia);

Katanya lagi, " Sekalipun GLC bukan milik individu Melayu , ia adalah amanah yang harus dipegang untuk manfaat generasi akan datang".

Dan banyak lagi hujah-hujah beliau ( sila rujuk Utusan Malaysia hari ini di bawah tajuk : Kaji semula pelupusan 33 GLC)


Syabas Tan Sri...... Mudah-mudahan ada perhatian daripada pucuk pimpinan kerajaan.

Selasa, 28 Jun 2011

YB, orang korporat antara bernikah di Thailand

ALOR SETAR: Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) mendaftarkan semula perkahwinan 147 pasangan rakyat negara ini yang berpoligami di Thailand, termasuk membabitkan orang kenamaan (VIP) dan ahli politik sepanjang dua tahun lalu.

Pernikahan yang sebahagian besarnya dilakukan di Wilayah Songkla dan Narathiwat itu kebanyakannya membabitkan perkahwinan kedua bagi lelaki yang berumur lewat 40-an dengan pasangan wanita berusia awal 20-an, yang tidak mendapat restu isteri pertama.

Prosedur pernikahan yang mudah di Thailand termasuk membabitkan hal poligami menyebabkan ramai rakyat Malaysia memilih negara jiran sebagai tempat untuk melangsungkan perkahwinan, terutama bagi pernikahan yang bermasalah.

Sumber JAIK berkata, gagal mendapat kebenaran isteri pertama, selain menyorokkan pernikahan daripada pengetahuan isteri dikesan menjadi antara penyebab lelaki Malaysia memilih untuk bernikah di Thailand sebelum mendaftar semula perkahwinan di negara ini. Difahamkan, 49 permohonan daftar semula nikah di Thailand diselesaikan pada 2009 dan 44 kes tahun lalu.

“Kebanyakan kes berpoligami ini membabitkan lelaki berusia lewat 40-an dengan pasangan wanitanya berusia awal 20-an yang turut membabitkan orang kenamaan seperti ahli politik dan korporat," katanya.

Sumber itu menambah, aliran perkahwinan di Thailand ini dikatakan semakin meningkat tidak kira sama ada membabitkan poligami atau pernikahan kali pertama, berikutan prosedur pernikahan di Thailand yang mudah dan diyakini sah dari segi syarak.

"Dulu pasangan terdedah dengan sindiket jurunikah palsu tetapi sejak 2008, kerajaan Thailand sudah mewajibkan setiap pasangan yang mahu bernikah di Wilayah Songkla harus disempurnakan di Masjid Songkla dengan jurunikah bertauliah.

"Ini sekali gus memudahkan urusan nikah pasangan terbabit dan mengelak daripada pernikahan tidak sah atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata, pasangan yang berkahwin di luar negara tanpa kebenaran perlu memfailkan kes di mahkamah syariah di Malaysia untuk menentukan sama ada perkahwinan itu sah atau sebaliknya.

Katanya, pasangan perlu hadir di mahkamah syariah untuk mendaftar semula perkahwinan dengan membawa bukti perkahwinan seperti surat nikah untuk membuktikan siapa jurunikah, saksi dan di mana pernikahan itu berlaku.

"Mereka juga perlu mengemukakan pas sempadan atau pasport untuk membuktikan pasangan berkenaan pergi ke Thailand dan pengesahan konsul untuk membuktikan pernikahan berkenaan benar-benar berlaku,” katanya.

“Jika semua dokumen yang berkenaan lengkap serta pasangan dapat membuktikan kepada mahkamah bahawa pernikahan mereka sah dari segi hukum dan syarak, barulah perkahwinan itu boleh didaftarkan mengikut undang-undang,” katanya.    -  BERITA HARIAN



Ahad, 26 Jun 2011

Kemelut Ketua Pengarah JKR : Kesian JPA !

`Kemelut' isu jawatan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) seperti disiarkan oleh sebuah akhbar arus perdana sejak beberapa hari lalu sangat memalukan serta dilihat mencemarkan reputasi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) iaitu satu-satunya `agensi pusat' yang sangat terkenal dengan kewibawaannya dalam mengendalikan pentadbiran dan pengurusan sumber manusia termasuk penempatan, pertukaran dan malah `peminjaman' pegawai sektor awam ke sektor lain.

`Penempatan' bermaksud menempatkan seseorang kakitangan di sesebuah kementerian , jabatan atau agensi kerajaan di tempat tertentu; `penukaran' pula adalah menukarkan seseorang kakitangan ke tempat lain atas sebab tertentu seperti kenaikan pangkat dan sebagainya.

Lazim juga diamalkan ialah `peminjaman'. Ia bermakusud lebih kurang sebagai memberi pinjaman seseorang pegawai kerajaan yang masih berkhidmat (belum bersara) kepada jabatan / agensi lain dalam sektor awam atau sektor lain selain perkhidmatan awam. Wallahu a;lam. 

Semua urusan ini bukan baru bagi JPA tetapi berlaku dan sentiasa berlaku sejak berpuluhan tahun lalu. Juteru itu apabila tiba-tiba disiarkan akhbar mengenai perlantikan, penempatan dan peminjaman Ketua Pengarah JKR telah menjadi isu dan wujud `kemelut' ia sangat membengungkan . Pada masa sama kelihatan mencemarkan imej JPA.

Tulisan ini tidak bermaksud memihak kepada mana-mana pihak antara kedua KP dan `bekas' KP itu tetapi dirasakan semacam ada sesuatu yang `tak kena' di mana - mana di sebalik isu ini.

Tidak dapat dipastiakn `level' sebenar jawatan KP (JKR) itu, sama ada JUSA (Jawatan Utama Sektor Awam) atau TURUS. TURUS merupakan peringkat paling tinggi dalam sektor awam selepas jawatan Ketua Setiausaha Negara (KSN). Namun berdasarkan fakta yang disiarkan akhbar itu diyakini ia betaraf
TURUS.

Justeru `kemelut' isu ini sangat serius bukan sahaja dari segi maruah JPA tetapi juga kakitangan perkhidmatan awam keseluruhannya . Oleh itu hendaklah diseselsaikan segera dan diharap tidak berulang. Hendaknya tidak wujud benda yang `tidak kena' di dalam isu pertukaran kakitangan sektor perkhidmatan awam. Wallahu a;lam bissawab  

Sabtu, 25 Jun 2011

Mari mengundi PRU ke 13 . Pilih puak sederhana

Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 pasti semakin hari semakin dekat. Siapa yang akan memerintah negara ini selepas itu akan ditentukan pada pilihan raya berkenaan. Pastilah parti atau pihak yang mendapat undi terbanyak dialah yang akan menjadi kerajaan, baik di peringkat pusat mahu pun di peringkat negeri.

Seperti umum sedia maklum kuasa kerajaan di peringkat pusat (kerajaan pusat) adalah lebih besar daripada di peringkat negeri (kerajaan negeri). Soal-soal yang berkaitan dengan keselamatan, pertahanan, kewangan, kewarganegaraan , pendidikan, dasar luar dan beberapa lagi adalah di bawah kerajaan pusat. Manakala tanah, bekalan air, dan agama (Islam) adalah di bawah kuasa kerajaan negeri, kecuali beberapa negeri yang tidak mempunyai raja maka ursan hal ehwal agama di bawah pusat atau Yang Di Pertuan Agong.

Kebelakagan ini isu-isu mengenai keturunan dan agama nampaknya sangat menarik perhatian sesetengah pihak di kalangan parti politik. Bahkan ada yang sangat galak serta berani menyanggah undang-undang dan peraturan yang sudah diamalkan sejak merdeka lagi seperti yang berkaitan dengan status keagamaan, keturunan  di dalam pendaftaran kelahiran.

Malahan akhir-akhir ini menerusi laporan media kita dapati ada pihak yang berani mempertikaikan kerja pegawai-pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara yang didakwa kononya meletkkan status tertentu agama anak mereka seperti buddha dan sebagainya. Sedangkan mereka pula kononnya inginkan anak mereka tidak diletakkan status keagamaan pada surat beranak. Atau dengan perkataan lain `tiada agama',

Pihak-pihak tersebut nampak ketara sangat mereka ini berikap `melampau'. Andai katalah ditakdirkan parti mereka menang banyak dan dapat membentuk kerajaan pusat pada PRU ke 13 akan datang ini apalah nak jadi kepada negara ini seterusnya. Sama-samalah kita fikirkan  ! 

Oleh itu, rasanya tidaklah keterlaluan sekiranya para pengundi jangan pilih mereka pada PRU akan datang ini.  Pilihlah pihak-pihak lain yang lebih sederhana pendekatannya agar keharmonian negara dan rakyat tidak tergugat.  

Khamis, 23 Jun 2011

Ciri sistem demokrasi di Malaysia

Menteri Dalam Negeri memberitahu sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sekarang bahawa pihaknya menerima 6.147 permohonan  taraf kewarganegaraan Malaysia bagi tahun 2010 hingga 31 Mac tahun ini.

Katanya, permohonan bagi tahun 2010 itu sedang diproses dan keputusannya akan diketahui sebelum 31 Disember ini , sementara permohonan bagi tahun 2011 pula akan dikeluarkan sebelum 31 Disember 2012. (Utusan Malaysia 23Jun 2011)

Dengan itu sekiranya kesemua permohonan tersebut diluluskan nescaya akan bertambahlah lagi jumlah warganegara Malaysia yang kini dianggarkan lebih kurang 28 juta.

Di samping itu yang akan lebih menarik lagi ialah apabila mereka itu juga akan turut serta `mengimarahkan' persada politik negara dalam konteks sistem demokrasi dan sistem politik kepartian yang ada di mana pilihan raya adalah sebahagian daripada cirinya 

Saalah satu syarat yang dibenarkan secara undang-undang untuk mengundi ialah mereka yang memiliki kad pengenalan berwarna biru iaitu yang khas untuk wrganegara sahaja ,selain dari berumur 21 tahun ke atas.

Ini bermakna sesiapa yang menjadi atau diterima menjadi warganegara adalah layak membuang undi pada mana-mana pilihan raya yang diadakan.

Namun pada masa sama mereka juga adalah bebas untuk memilih mana-mana ideologi parti politik yang dikehendakinya , kerajaan atau pembangkang. Parti politik di Malaysia memang banyak. 

Inilah sistem demokrasi dan politik yang diamalkan di negara ini sejak merdeka hingga sekarang dan ia merupakan satu hakikat yang tidak boleh dinafikan. 

Rabu, 22 Jun 2011

Kedah bebas unsur JI, Salafiah

ALOR SETAR - Kerajaan negeri mengesahkan tiada sebarang maahad , pondok atau sekolah agama di negeri ini menyebar ideologi Jemaah Islamiah (JI) atau fahaman Salafiah Jihadiah .

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi Negeri, Datuk Mohamed Taulan Rasul berkata, justeru tidak timbul isu pelajar direkrut oleh mana-mana pihak bagi menyertai mana-mana kumpulan militan JI di negeri ini.

"Kita tidak pernah menerima sebarang laporan mengenai perkara ini kerana di Kedah sejak dari dahulu pengajian agama di sini bebas daripada unsur-unsur sedemikian dan kegiatan seperti itu (merekrut pelajar) tak wujud," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini (semalam)

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama pihak berkuasa sentiasa memantau perkembangan sekolah-sekolah berkenaan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada sebarang unsur yang menggugat keamanan negara dibawa masuk ke negeri ini -     Utusan Malaysia
  

Selasa, 21 Jun 2011

Kasihnya ayah membawa ke syurga

Ketika berada di pejabat pos pagi tadi kerana urusan membayar bil elektrik dan bil-bil lain saya bertemu dengan seorang kenalan yang sedang menunggu giliran ke kaunter. Semasa berbual beliau memberitahu kedatangannya untuk membaharui lesen memandu anak lelakinya yang telah tamat tempoh sejak lebih dua bulan lalu.

Katanya, dia telah beberapa kali mengingatkan anaknya supaya segera memperbahruinya kerana bimbang diambil tindakan pihak berkuasa tetapi katanya tidak diendahkan anaknya. Jadi hari ini ketika anaknya masih lagi tidur dia `mencuri' lesen anaknya itu untuk diperbaharui.

Inilah gambaran dari mungkin banyak lagi cerita serupa yang berlaku di kalangan anak-anak muda sekarang yang tidak begitu mengambil berat tentang undang-undang lalu lintas, termasuk memandu tanpa lesen yang sah.meskipun mungkin tidak berlaku kepada semua .

Salah satu sebab wujud sikap demikian , mungkin kalau kena apa-apa tindakan pun seperti denda bukan mereka yang membayarnya tetapi ibubapa yang tolong bayar.

Saya paparkan kisah ini adalah bertujuan supaya ia menjadi pengajaran kepada kita sekalian agar jangan dilakukan sedemikian rupa oleh sesiapapun dan kita mohon dilindungi Allah daripadanya  Kepada anak-anak yang masih muda atau remaja suka saya nasihatkan agar kasihanilah ibu bapa anda yang membesar anda dengan susah payah dan berhadapan dengan berbagai macam cabaran termasuk mental, jiwa, jasmani, kewangan, tekanan emosi dan sebagainya. Ikutlah nasihat ibu bapa agar hidup kita bahagia dan berkat.

Berhubung dengan `sikap' pengguna jalan raya yang dianggap menjadi sebahagian dari punca kemalangan antara lainnya adalah memandu tanpa lesen yang sah . Ia juga merupakan satu kecuaian yang patut dielakkan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kedah, M. Surrentharan memberi tahu akhbar Sinar Harian seperti disiarkan hari ini bahawa dianggarkan 70 peratus punca kemalangan jalan raya di negeri itu adalah disebabkan sikap individu sewaktu berada di jalan raya.

Manakala faktor-faktor lain adalah seperti struktur jalan , keadaan kenderaan yang dinaiki, faktor cuaca, dan haiwan yang melintas jalan tersenarai dalam 30 peratus punca kemalangan yang berlaku di negeri itu.

Isnin, 20 Jun 2011

Orang Kedah patut bersyukur

Kedah Darul Aman (KDA) . Saya rasa cukup berkat dengan gelaran itu bagi negeri Kedah, negeri kelahiran saya. Selama saya hidup di negeri ini tidak lagi saya dengar dan lihat berlaku insiden-insiden yang mengancam keamanan negeri ini , kecuali pada zaman peperangan dunia kedua dan zaman darurat (1948 - 1960) dan tidak juga berlaku kekecohan serius yang diakibatkan oleh selisih faham politik , sungguh pun di negeri ini terdapat pelbagai aliran fahaman politik sebagaimana di negeri lain juga. 

Malahan sehingga berlaku pertukaran parti politik memegang tampuk kuasa pun ( 2008 - sekarang ) ia masih terus berada dalam keadaan aman dan tenteram . Tidak banyak kelihatan berlaku permasalahan sosial , mahupun ekonomi dan politik. Ertinya rakyat secara keseluruhannya dapat hidup dengan baik dan terus mendapat nikmat `kebajikan' dan keperhatinan daripada kerajaan; baik dari kerajaan pusat mahu pun kerajaan negeri meskipun dari segi ideloginya kedua-duanya terdapat pebezaan.

Oleh itu, saya kira semua rakyat negeri KDA ini, tanpa mengira kaum, agama dan anutan politik, wajarlah bersyukur ke hadrat Allah di atas limpahan nikmat keamanan dan kesejahteraan itu.


Galak bukan Melayu perkasakan bahasa kebangsaan

Kuala Lumpur - Pertandingan Pidato 1Malaysia anjuran Jabatan Penerangan khusus untk bukan Melayu yang julung kali diadakan mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila 173 peserta mengambil bahagian.

Daripada jumlah tersebut hanya hanya seorang sahaja wakil akan dipilih mewakili setiap negeri untuk bertanding di peringkat akhir merebut kejuaraan.

Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Ibrahim Abdul Rahman berkata, pertandingan itu adalah salah satu program di bawah kempen Pembudayaan Bahasa Kebangsaan unuk memperkasakan penggunaan dalam kalangan rakyat.

Katanya, pertandingan yang terbuka hanya kepada peserta bukan Melayu berumur 18 tahun ke atas ini bertujuan meningkatkan kefasihan dan penguasaan bahasa Melayu di samping mengukuhkan semangat perpaduan masyarakat berbilang bangsa.

"Saya terharu kerana pertandingan di peringkat negeri April lalu mendapat sambutan menggalakkan dengan 71 peserta kaum Cina ,60 India dan 42 peserta dari kaum lainsperti Iban, Kadazan, Dusun dan masyarakat Siam mengambil bahagian.

"Pertandingan yang bertemakan `Gagasan 1Malaysia Wadah Perpaduan Nasional' mmberi peluang kepada para peserta meningkatkan pengetahuan dan kefahaman terhadap gagasan 1Malaysia dan dasar-dasar negara," katanya pada majlis aprisiasi bersama peserta pidato di Wisma Sime Darby,baru-baru ini.

Ibrahim berkata, penguasaan dan pembudayaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam kalangan bukan Melayu amat penting kerana ia merupakan asas kepada perpaduan bagi menyemai semangat cintakan negara.

beliau memberitahu , johan pertandingan akan dijadikan ikon jabatan dan dilibatkan dalam program anjuran jabatan dalam menyampaikan mesej kemasyarakatan dan kenegaraan .

"Pertandingan ini akan dijadikan acara tahunan dengan mensasarkan lebih banyak peneyertaan bagi mengetengahkan bakat bukan Melayu", ujarnya.

Program berkenaan merupakan kesinambungan program pidato kenegaraan yang pernah diadakan sebelum ini dan terbuka untuk semua kaum.

Johan akan menerima hadiah bernilai RM3,000 , piala pusingan , piala iringan dan sijil penyertaan. Tarikh pertandingan akhir belum dimuktamadkan dan dijangka diadakan dalam tempoh terdekat.


Petikan dari Utusan Melayu Mingguan 20/Jun/2011 

 Ulasan POK:  Teruskan dayausaha ini.  

Rupa-rupanya 661,000 ahli UMNO tidak berdaftar

Rupa-rupanya masih ada lagi ahli-ahli UMNO yang tidak mendaftar sebagai pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dilaporkan meminta semua jentera UMNO termasuk di peringkat cawangan di seluruh negara bergerak aktif bagi memastikan 661,000 ahli yang masih belum mendaftar sebagai pengundi agar berbuat demikian .

Katanya, meskipun sudah berlaku penambahan ahli namun ia masih rendah dan usaha lebih agresif perlu dilakukan terutama bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang (Utusan Malaysia) 

Pandangan Orang Kampung :  Jumlah melebihi setengah juta itu agak besar. Lebih-lebih lagi ketika berada di dalam keadaan politik yang `kritikal' .

Sungguh pun tidak dijelaskan sama ada mereka daripada golongan pengundi muda, namun semua pihak dalam parti itu tidak boleh ambil mudah.

Ahad, 19 Jun 2011

Yang mungkar tetap mungkar,yang makruf tetap makruf

Jika benar bagai dikata, maka negara kita akan menyaksikan pada 9 Julai ini tiga kumpulan yang berlainan entiti dan ideologi akan mempamerkan kehebatan dan keangkuhan masing-masing di gelanggang terbuka kota raya Kuala Lumpur, iaitu ibu negara Malaysia melalui apa yang dinamakan demontrasi membersihkan kekotoran sistem pengendalian pilihan raya di negara ini di satu pihak, manakala di satu pihak lain mendakwa kononnya untuk menyanggah pihak yang satu lagi itu.

Namun, dari satu sisi cara dan perlakuannya adalah sama yakni `berdemonstrasi' atau dengan perkataan lain ialah berarak beramai-ramai yang mana tidak terhad jumlahnya , mungkin ratus, atau ribu, atau puluh ribu atau ratusan ribu dan sebagainya.

Umum sedia maklum undang-undang di negara ini tdak membenarkan sebarang bentuk perhimpunan atau/dan perarakan , melainkan setelah mendapat kebenaran atau `permit' dari pihak berkuasa keselamatan iaitu Polis Di Raja Malaysia atau PDRM. Jika tidak perbuatan itu dikira salah kerana melanggari undang-undang negara ini.

Umum juga sedia maklum undang-undang itu sepertimana undang-undang lain digubal dan diluluskan oleh kerajaan yang memerintah menerusi sokongan suara majoriti lebih 2/3 di Dewan Rakyat dan dipersetujui oleh Parlimen.

Justeru, ia tidak begitu aneh jika yang cuba melangarinya itu datangnya dari pihak yang membangkang atau yang apa yang disebut sebagai sekutu dengannya tetapi adalah terlalu janggal jika ia dilanggari sendiri oleh pihak yang bukan sahaja mendakwa diri mereka sebagai penyokong kerajaan malah sebenarnya adalah sebahagian dari sayap parti kerajaan yang memerintah itu sendiri.

Barangkali inilah agaknya yang dikatakan `dunia' dan mungkin inilah juga agaknya apa yang dikatakan `zaman moden' yang `terbuka dan bebas' segala atau benar seperti apa yang disebut di dalam agama Islam sebagai petanda akhirnya zaman untuk makhluk Allah hidup di dunia ini , di mana anak tidak lagi mahu ikut kata ibu bapa mereka dan isteri tidak gemar menurut perintah suami, dan yang muda tidak rasa untuk hormat orang yang lebih tua dan sebagainya.

Namun yang mungkar tetap mungkar dan yang makruf tetap makruf walau berada di zaman mana sekali pun. Dan mustahak juga untuk diingat bahawa Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang adalah sebahagian daripada Prinsip Rukun Negara. Wallahu a'lam