Isnin, 31 Januari 2011

Syabas BN !

Barisan Nasional (BN) yang menerajui kerajaan pusat berjaya `mempertahankan' kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang di Johor dalam pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan kelmarin.

Pada pilihan raya umum (PRU) 2008 lalu BN memenangi DUN itu dengan memperolehi 6,367 undi dan Pas mendapat 3,875.

Pada PRK yang berlangsung kelmarin pula BN dapat 6,699 dan Pas dapat 2,992 , Undi rosak 142. Majoriti diperolehi pada PRU lalu 2,492 dan pada PRK kelmarin 3,707 - meningkat 1,243 undi.

Kejayaan sebenar BN ialah peningkatan jumlah undi . 

Sabtu, 29 Januari 2011

Akhirnya INTERLOK.......

Akhirnya kerajaan mengambil keputusan mengekalkan penggunaan novel INTERLOK hasil karya sasterawan negara, Datuk Abdullah Hussain , dengan beberapa pindaan.

Apakah keputusan kerajaan itu kerana berdasarkan nilai sebenar mutu penulisannya sebagai `hasil sastera Melayu' atau kerana ingin menjaga hati Abdullah sendiri yang sudah pun kini berusia lebih 80 tahun.

Atau  kerana kerajaan nak jaga hati pihak-pihak lain yang mendesak supaya novel itu disingkirkan dari penggunaan sebagai teks sastera bahasa Melayu tingkatan lima sekolah menengah atau dengan pilihan jika  nak guna juga, pinda pada mana-mana yang `tak sesuai'.

Jadi tindakan yang dipilih ialah supaya dapat diwujudkan suasana `menang - menang' kepada semua pihak. Namun tindakan itu mungkin sesuai dari segi kepentingan politik semasa . Tapi dari segi lain seperti kemanusiaan termasuk menjaga hati Abdullah sebagai seseorang sasterawan dan telah lanjut usia pula bagaimana ?   

Isu INTERLOK ini apabila ia dicetuskan kelihatan seolah-olah cuba meletakkan kerajaan , terutama kepimpinan kementerian pelajaran di persimpangan `sukar' antara kepentingan politik dan sastera negara /  bangsa.

Jumaat, 28 Januari 2011

Tazkirah Dhuha....Menghayati maksud al- Quran

Mafhum ayat 11, surah al-Hujurat:

" Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengah yang lain; dan janganlah kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman . Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya ) maka merekalah orang-orang yang zalim."


Mafhum ayat 12, surah al-Hujurat:

" Wahai orang-orang yang beriman ! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain ; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat akan sesetengah yang lain . Sukakah seseorang dari kamu memakan daging saudaranya yang telah mati ? (jika keadaan demikian mengumpat ) maka sudah tentunyu kamu jijik kepadanya . ( Oleh itu , patuhilah larangan-larangan tersebut ) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi amat mengasihani."


BK : Selamat meneruskan kehidupan dan semoga mendapat keredaan Allah. Wallahu a'lam.

 

Khamis, 27 Januari 2011

Tuduhan Azmin tidak berasas

KUALA LUMPUR 26 Jan- Dakwaan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) , Mohamed Azmin Ali kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) menderhaka kepada raja disifatkan sebagai tuduhan yang langsung tidak berasas serta tidak bertanggungjawab.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, semua pihak perlu diingatkan bahawa krisis perlembagaan pada 1983 dan 1993 yang berlaku ketika di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah diselesaikan dengan baik.

"Ketika itu terdapat dua pindaan yang dibuat membabitkan institusi diraja iaitu peruntukan khas bagi menyabitkan raja yang terlibat dalam kegiatan jenayah untuk dikenakan tindakan undang-undang di bawah kuasa mahkamah khas.

"Satu lagi peruntukan melibatkan kuasa raja dalam satu tempoh masa untuk menandatangani undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan ia diguna pakai secepat mungkin.

"Berdasarkan kedua-dua pindaan yang dibuat itu, semua pihak termasuk institusi raja menerima baik perkara ini sekali gus membuktikan kenyataan Azmin itu tidak berasas dan tidak bertanggungjawab," katanya ketika ditemui selepas sidang media pada majlis pelancaran pejabat baru google, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mohamed Azmin Ali yang mengungkit kononnya kerajaan pimpinan Tun Dr. mahathir satu ketika dahulu telah menderhaka kepada raja dengan menghakis kuasa raja-raja.

Pada 23 Januari lepas, Sidang Khas DUN Selangor bertukar `panas' apabila berlaku pertikaman lidah antara Mohamed Azmin dan Ketua Pembangkang , Datuk Mohamad Satim Diman (BN-Sri Serdang) selepas Mohamed Azmin menuduh UMNO yang sebenarnya menderhaka kepada sultan. - Utusan.


Rabu, 26 Januari 2011

Bezakan Islam dan Muslim

Sesetengah pihak dari kalangan umat Islam sendiri mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan mengenai Islam, meskipun mereka dari golongan berkedudukan tinggi dan profesional. Mereka seolah-olah tidak mampu membezakan antara Islam dan Muslim. Atau mungkin disengajakan.

Apakah bezanya antara Islam dan Muslim atau umat Islam. Dalam definisi mudahnya Islam itu agama dan Muslim/Muslimat itu penganutnya.

Penganut mungkin terdiri daripada kalangan manusia dan jin. Pada diri manusia Allah ciptakan apa yang dinamakan sikap, nilai, tingkah laku dan sebagainya, manakala dalam agama pula terdapat apa yang dinamakan `ajaran' atau `syariat' .

Justeru sikap seseorang penganut Islam itu tidak wajarlah diungkapkan atau diistilahkan sebagai `ajaran' agama Islam itu sendiri.

Sekiranya sikap orang Melayu itu `jumud' dan sebagainya jangan kata itu sebagai ajaran Islam yang jumud. Mana mungkin seorang Islam `kondem' ajaran agamanya sendiri. Melainkan seseorang itu jahil murakkab.

Ajaran Islam itu datang dari Allah Yang Maha Mengetahui, bukan ciptaan manusia. Jika sekali pun nampak ianya `keras' seperti terdapat di dalam Hukum Hudud misalnya; itu adalah ketetapan Allah.

Malangnya ada juga segolongan umat Islam sendiri memperlekehkannya.

Isnin, 24 Januari 2011

Usah perdagangkan agama dalam berkempen

Sudah menjadi lumrah dalam mana-mana kempen pilihan raya isu menjadi nadinya. Tanpa isu proses kempen pilihan raya itu tidak nampak serinya dan suasananya kelihatan pudar dan hambar. Parti-parti politik yang bertanding mencari, mengorek dan seterusnya membentangkan isu-isu yang boleh meyemarak imej pihak sendiri dan pada masa sama menjunam imej pihak lain pada pihak pengundi.

Berikutan itu berbagai jenis isu dicari dan dikumpulkan untuk dibentangkan kepada khalayak pengundi khasnya dan masyarakt amnya. Selain isu-isu berkaitan hala tuju parti masing-masing ialah isu-isu pembangunan dan kemajuan yang dianggap menjadi keperluan rakyat. Tidak mengapa.

Namun yang menyedihkan apabila isu-isu yang berkaitan dengan hukum agama, terutama agama Islam dibawa ke gelanggang kempen. Yang terlibat dengan kempen itu pula bukan semua betul-betul faham mengenai asas , jenis dan sumber hukum , seperti biasa ia ada pelbagai; malahan kadang kala terdapat otang bukan Islam `tumpang sekaki'..

Lalu isu itu menjadi bahan kepada pelbagai kehendak dan tujuan pihak-pihak terlibat sehingga kelihatan boleh menjurus kepada keadaan mempersendakannya. Ini sangat merbahaya; terutama dari segi akidah selain dari dosa besar.

Tidak kira parti apa atau pihak mana sekalipun jika boleh, elakkan dari memgunakan isu-isu agama, khusunya yang berkaitan dengan sesuatu hukum syarak. Biarlah mereka yang berwibawa dalam pemahaman hukum-hukum syarak sahaja bercakap mengenai hukum .

Sebaik-baiknya semasa berkempen jangan masukkan isu hukum Islam ke dalam agenda kempen, jika kita `bukan ahlinya'. Ingatlah bahawa Islam adalah satu-satunya agama dari `langit' terakhir. Allah tegaskan bahawa tiada agama lain di sisi Allah. Siapa lagi yang diharapkan memelihara kesucian agamanya selain dari umat Islam sendiri. Wallahu a'lam.     

Selasa, 18 Januari 2011

Isu Azan

Perkhabaran yang menarik hati saya pada hari ini ialah mengenai permohonan maaf seorang peguam yang sebelum ini memprotes laungan azan di sebuah masjid dekat tempat kediamannya di Kuala Lumpur dengan menghantar memorendum kepada beberapa pihak. Akibat tindakannya itu wujud tindak balas pihak-pihak lain termasuk pihak jemaah masjid berkenaan. 

Bagaimanapun peguam tersebut membuat kenyataan terbuka di satu sidang media kelmarin untuk mmemohon maaf dan memberitahu umat Islam khasnya dan rakyat Malaysia lain amnya bahawa beliau sebenarnya "langsung tidak tahu membezakan antara azan dan ceramah" 

Ini tidak mustahil kerana beliau bukan beragama Islam. Saya percaya dengan pengakuannya itu. Ini kerana berdasarkan kepada amalan oleh sesetengah pihak pengurusam masjid di sesetengah tempat sebelum azan diperdengarkan, terlebih dahulu dibaca `tarhim'. Tarhim boleh mengambil masa lebih lama dari azan dan lebih awal dari masuknya waktu solat subuh. Ia terpulang kepada cara bacaannya. Dan mungkin sesetengah orang menganggap tahrim adalah azan.

Tidak dinafikan juga bahawa ada juga sesetengah tempat dan oleh sesetengah pengurusan masjid melaungkan azan sebanyak dua kali, iaitu sekali sebelum masuk waktu solat subuh dan lagi satu ketika masuk waktu. Azan sebelum masuk waktu (kira-kira satu jam sebelum) dibolehkan (harus) tetapi bukan satu galakan atau perintah .

Azan dua kali hanya dibolehkan untuk solat subuh dan solat Jumaat sahaja.

Selain dari tarhim ada juga sesetengah-tengah tempat dan masjid menyiarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran . Ini bertujuan bagi mengejutkan umat Islam dari tidur dan bersiap sedia untuk menunaikan solat subuh.

Namun ia juga terpulang kepada pihak masjid berkenaan untuk sama ada menyiarkannya atau sebaliknya atau berapa lama mana masanya, mungkin ada yang 15 minit, 10 minit, atau lebih.

Berbalik kepada azan. Sedangkan azan itu sendiri hanya mengambil masa tidak lebih dari lima minit . Itupun bergantung kepada cara taranumnya. Bayangkan ia hanya ada 15 kalimat atau patah perkataan sahaja. Kalimatnya pun ringkas-ringkas sahaja. Ia juga tidak boleh dilakukan jika tidak masuk waktu solat. Jika mengambil kira waktu masuk solat subuh pula ketika ini ialah lebih kurang pukul 6. 12 pagi.

Pada hemat saya yang menjadi isu dan dianggap `mengganggu' sesetengah pihak itu bukannya azan tetapi mungkin aktiviti-aktiviti lain. Justeru jalan penyelesaiannya bukan mengenai azan tetapi harus kepada aktiviti-aktiviti lain. Ia bergantung kepada persekitaran di mana sesebuah masjid itu berada. Azan mengandungi kalimat-kalimat suci mengenai mengakui kebesaran Allah, syahadah, seruan-seruan untuk solat dan kejayaan (dunia akhirat) . Oleh itu pemahaman terhadap maksud dan makna azan itu sendiri perlu diperluaskan   
   

Isnin, 17 Januari 2011

Tazkirah Dhuha....Memahami Hadis Rasulullah SAW

Maksud hadis:

"Dari Abu Hurairah, r.a, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda," Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian maka hendaklah berkata akan yang baik atau hendaklah ia diam dan barang siapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian maka hendaklah ia muliakan jiran, dan barang siapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian maka hendaklah ia muliakan tetamunya ". Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.

Huraiannya:
 Pada hadis tersebut Rasulullah SAW menerangkan sifat yang baik menjadi adab sopan bagi orang-orang yang beriman. Sifat itu ialah berkata yang baik atau diam, muliakan jiran dan tetamu.

Mengenai berkata yang baik atau diam Rasulullah SAW menerangkan bahawa barang siapa beiman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia berkata baik atau hendaklah diam.

Imam Shafei menyatakan :makna hadis ini bahawa apabila seseorang hendak berkata, hendaklah ia berfikir . Bila ternyata tidak ada bahaya atasnya , berkatalah tetapi bila ternyata sebaliknya , diamlah. 

Rasulullah SAW mengajar supaya seseorang yang beriman selalu mengawasi perkataan dan membiasakan diam kalau diam itu ada faedahnya. Tetapi kalau diam itu bukan pada tempatnya maka ia dicela iaitu diam dari menyatakan yang hak dan menegur sesuatu yang salah.

Sumber :  Hadis 40 ( matan al-arbain Annawawiah)

Sabtu, 15 Januari 2011

Peluang Lepasan SPM Sambung Belajar

KUALA TERENGGANU  14 Jan - Mulai tahun ini, lebih ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berpeluang menyambung pengajian di peringkat diploma dan sjil apabila kerajaan menawarkan lebih 148,500 tempat di institusi-instiusi pengajian tinggi awam (IPTA)

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia melibatkan sejumlah 14,000 tempat bagi pengambilan kursus asasi dan 34,000 tempat untuk diplomadi IPTA.

Selain itu jelasnya, sebanyak 51,000 tempat ditawarkan untuk diploma di politeknik dan 11,000 tempat bagi peringkat sijil di kolej-kolej komuniti serta 38,500 tempat untuk sijil di Institusi Latihan kemhiran Awam (ILKA)

Beliau menjelaskan , peluang julung kali itu ditawarkan sempena Karnival Pengajian Tinggi Negara 2011 'Jom Masuk U' yang membawa pendekatan 1Malaysia: Pendidikan Untuk Semua yang bermula di sini hari ini.

"Penganjuran karnival kali ini akan membantu memastikan semua pelajar lepasan SPM dan setaraf dengannya memperoleh pendidkan lanjutan termasuk bidang kemahiran dan teknikal.

"Peluang ini juga untuk pelajar yang kurang cemerlang dalam SPM", katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran karnival tersebut yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ser Ahmad Said di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini.

Karnival dua hari berakhir esok itu dianjurkan oleh Kementerian pengajian Tinggi dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Mohamed Khaled berkata, jumlah tempat yang ditawarkan itu merupakan sebahagian daripada 469,500 tempat yang disediakan untuk lepasan SPM atau setaraf selain di IPS.

"Ia juga memberi peluang pendidikan lanjutan lain seperti tingkatan enam, matrikulasi, program ijazah sarjana muda pendidikan dan program persediaan ke luar negara secara tajaan", ujarnya.

Beliau berkata, kementeriannya juga merancang mengarusperdanakan program pengajian diploma di IPTA bagi memperkasakannya sebagai salah satu pilihan pelajar lepasan SPM. - Utusan.


ULASAN:   Berdasarkan fakta-fakta di atas kerajaan membuka peluang yang banyak kepada pelajar-pelajar lepasan SPM untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi dan berbagai bidang , termasuk kemahiran. Namun semuanya itu adalah di bawah kementerian pengajian tinggi.

Bagaimana dengan kedudukan kolej-kolej matrikulasi yang terletak di bawah kementerian pelajaran yang juga jumlahnya agak banyak di seluruh negara. Pada hemat saya peluang-peluang melanjutkan pelajaran di kolej-kolej matrikulasi juga perlu diketengahkan. Jika tidak, semakin ramai pelajar-pelajar tidak memilih belajar di kolej-kolej matrikulasi, terutama di kalangan pelajar Melayu.

Sementelah pula ia tidak mengeluarkan sebarang sijil yang ada nilai komersil kerana `tidak diiktiraf'. Pelajar-pelajar tentulah lebih suka memilih tempat belajar yang ada mengeluarkan sijil atau diploma selain dari ijazah yang ada nilai ekonomi/komersil untuk dijadikan `cagaran' mendapatkan pekerjaan.

Saya rasa, kerajaan perlu mengkaji semula kedudukan kolej-kolej matrikulsi ini, terutama dari segi memperkasakannya , misalnya dengan meletakkannya di bawah kementerian pengajian tinggi seperti asalnya di kendalikan pusat-pusat pengajian tinggi, bukan seperti sekarang di bawah kemepnterian pelajaran.

Ia lihat semakin hari semakin hambar kedudukannya di mata masyarakat. Oleh itu wajarlah dikembalikan kedudukannya seperti asal iaitu dibawah KPT.  




Khamis, 13 Januari 2011

Kejadian aneh untuk kita bermuhasabah

Di samping kita asyik membaca cerita-cerita `berat' mengenai politik dan isu semasa lain, cuba kita alihkan perhatian kita dengan membaca atau merenungi cerita-cerita `ringan' yang membawa kita menginsafi diri dan mengingat akan kebesaran dan kekuasaan Allah Azzawajalla.

Hari ini misalnya akhbar Sinar Harian menyiarkan berita dari Perlis mengenai seorang warga emas yang `terkejut' apabila mendapati ikan puyu peliharaannya yang disimpan dalam sebuah akuarium , sebelum ini berwarna hitam bertukar menjadi keputihan.

Leha Mat Nor, 70 berkata, " Saya sebelum ini melihat kesemua ikan saya berwarna hitam tetapi sejak sebulan lalu iaitu selepas banjir baru-baru ini, saya menyedari terdapat seekor ikan (puyu) saya berbeza dengan ikan-ikan lain apabila berwarna putih".

"Anak saya juga mengesahkan tidak pernah membawa pulang ikan puyu yang berwarna putih sebelum ini", katanya ketika ditemui (pemberita SH) di rumahnya di Jalan Batu Empat Setengah, Padang Lati, Perlis.

Cukup setakat itu faktanya bagi kita mendapat sedikit gambaran tentang kejadian "luar biasa" itu. Ikan puyu yang kita ketahui yang banyak terdapat di kawasan sawah padi atau air tawar itu, biasanya berwarna hitam. Namun dalam kejadian seperti cerita di atas ia warna putih. Mungkin boleh diteliti lagi dari segi sentifiknya. Tetapi biarlah kita ambilnya sebagai bahan kita berfikir tentang kejadian Allah. 

Dari segi kejadian Allah, ia tidak aneh kerana Allah berkuasa menjadikan segala-galanya. Allah bukan sahaja boleh menukar warna ikan puyu tetapi lebih dari itu. Misalnya boleh menukar yang hidup kepada mati, yang sihat kepada sakit, yang di atas ke bawah dan sebaliknya, yang diberikan kuasa dan kedudukan kepada sebaliknya dan begitulah seterusnya.

Justeru, dalam kita sedang melayari hidup ini sesuatu yang ada pada kita itu sebenarnya tidaklah kekal abadi. Ia fana seperti mana fananya diri kita sendiri.

Oleh itu, sekiranya diri kita terpilih di antara berpuluh-puluh juta lagi umat untuk dianugerahkan dengan nikmat-nikmat tertentu , maka haruslah kita ingat..dan ingat.....bahawa Allah boleh menukarkannya pada bila-bila masa sahaja mengikut kudrat dan iradat-Nya kepada keadaan yang sebaliknya.

Ia bukan mustahil. Bermacam-macam peristiwa dan kejadian yang ditunjukkan Allah kebelakangan ini yang boleh kita saksikan , supaya kita jadikan peduman , teladan dan pengajaran. Misalnya ada yang kehilangan pangkat, darjat, kuasa , harta dan sebagainya.

Itu hanya secebis sahaja dari tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah untuk kita lihat serta renung, meski pun buat seketika waktu.    

Rabu, 12 Januari 2011

Fahami makna `pariah' menerusi blog A.Kadir Jasin

Saya cukup teroja membaca catatan Datuk A. Kadir Jasin dalam entri terbarunya blognya hari ini yang bertajuk "Jangan Sauberungkan Interlok Kerana Jahil".

Huraiannya yang saya kira cukup mendalam itu perlu dibaca oleh pihak-pihak yang membantah novel itu dijadikan komponen teks sasatera Melayu tingkatan lima atau untuk peperiksaan sijil pelajaran malaysia (SPM). Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri , Datuk Murugiah pun saya kira elok juga membacanya.

Saya percaya ramai yang belum tahu atau langsung tidak tahu mengenai sejarah atau susur galur lahirnya istilah `pariah' yang dikatakan sangat sensitif kepada orang India beragama hindu itu.

Terima kasih Datuk kerana menyebarkan `info' yang berfaedah kepada rakyat dan sebahagian pemimpin parti politik Malaysia. 

Selasa, 11 Januari 2011

Tanganilah masalah pengeksploitasian sentimen perkauman dengan tegas

Apa akan jadi dengan negaraku ini (Malaysia) lagi sepuluh tahun akan datang dan seterusnya, jika masalah  sentemen perkauman dibiarkan sehingga semakin hari semakin menjadi-jadi dan terus dipergunakan bagi  membakar hati rakyat dan etnik-etnik utama .

Semuanya gara-gara kepentingan politik . Demi mendapat kerusi dan kuasa (kk) oleh pihak-pihak berkepentingan sikit sahaja terjumpa isu yang berkaitan dengan sesuatu etnik terus dicetus, diperbesar dan sebarkan dengan tujuan untuk membakar sentimen kaum-kaum berkaitan.

Terkini dan semasa ialah isu mengenai sebuah novel (Interlok) yang dijadikan teks kajian sasatera Melayu, bukan fakta sejarah atau seumpama dan cuma untuk peringkat sijil pelajaran malaysia (SPM) sahaja dan hanya bersabit dengan satu istilah sahaja iaitu "paria". Itu pun sudah riuh satu negara bagaikan letupan sebuah gunung berapi. 

Pun tidak setakat memperkatakannya sahaja tetapi disusuli pula dengan tindakan berdemonstrasi, membakar buku, membakar gambar pengarangnya dan entah apa-apa lagi. Apa ini semua ? Siapakah yang mula-mula mencetuskan isu ini ?

Pihak berwajib seperti KDN dan sebagainya, tolonglah tangani isu seumpama ini dengan tegas dan cepat supaya tidak berpanjangan. Benduglah permasalahan mengeksploitasikan sentimen perkauman ini dengan apa cara sekalipun sebelum terlambat - nasi belum jadi bubur.

Kini  mengenai novel , sikit masa lagi entah apa pula yang cuba dibangkitkan ? Susahlah nak hidup dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia ini, jika asyik dengan bersentimen sahaja.

Isnin, 10 Januari 2011

Tindakan tegas perlu terhadap penyeleweng subsidi minyak masak

Minggu lalu dilaporkan sebanyak enam syarikat dikesan menjalankan kegiatan menyeleweng subsidi minyak masak demi mencari keuntungan mudah dengan membungkus semula minyak untuk dijual dengan harga lebih mahal atau diseludup ke luar negara. Tapi menipu rakyat !


Atas dasar kerajan nak tolong rakyat , kerajaan memperuntukkan 70,323 tan minyak masak subsidi setiap bulan yang dijual dengan harga RM2.50 setiap kampit berat satu kilogram, semata-mata untuk meringankan bebanan ekonomi rakyat atau pengguna.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata syarikat-syarikat terbabit akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh didenda sehingga RM250,000.

Golongan seumpama ini memang wajar dikenakan hukuman berat supaya negara dan rakyat tidak `terseksa' disebabkan perbuatan mereka .

Betulkah harga gula nak naik lagi ?

Ketika berada di pasar pagi tadi terdengar cakap-cakap orang ramai harga gula akan dinaikkan lagi selepas tahun baru Cina nanti, daripada RM2.10 sekilogram ketika ini kepada RM2.40.

Harap-harap cakap-cakap itu tidak benar; padalah dengan harga ketika ini. Kalau naik tinggi sangat pun bimbang suatu hari nanti terdapat sebahagian rakyat tidak dapat makan gula pula.

Sungguh pun gula itu didakwa mendatangkan keburukan kepada manusia, tapi pasti ada kebaikan yang Allah kurniakan di sebaliknya.

Kementerian berkaitan pasti ada jawapannya !

Semoga Nurul Dahyatul selamat jalani pembedahan dan lekas sembuh

Seorang kanak-kanak yang berusia sembilan tahun, Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan di Terengganu yang mengalami kecederaan teruk di mukanya akibat terkena simbahan asid oleh bapanya sendiri akibat berlakunya `pertelingkahan' antara ibu dan bapanya, kini dilaporkan sedang menjalani pembedahan oleh beberapa orang doktor parkar di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu .

Ibunya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 29, memberitahu media , anaknya itu telah dimasukkan ke dalam bilik bedah pada pukul 12.30 tengah hari (9 Jan) dan dibawa keluar dari bilik itu selepas pukul 6 petang, kira-kira hampir enam jam.

"Saya bersyukur kerana semuanya berjalan dengan lancar walaupun pembedahan itu mengambil masa yang agak lama. Saya sangat resah menunggu". Ujarnya kepada media.

Ibu muda itu turut meminta orang ramai mendoakan agar Nurul Dahyatul akan pulih secepat mungkin.

Ya, semestinya kita sekalian bersimpati dengannya dan dengan sesiapa jua yang senasib dengannya. Oleh itu,  sama-samalah kita doakan agar selamat dan lekas sembuh. Juga semoga zuriat kita turut dilindungi Allah SWT daripada kejadian seumpama. Amin, Amin, Amin ,Ya ! Rabbal alamin.

Khamis, 6 Januari 2011

Kenaikan harga minyak Ron 97

Harga minyak patrol Ron 97 naik lagi sebanyak sepuluh sen seliter mula kelmarin. Sebelum itu harganya RM2.30 sen seliter dan ketika ini sudah RM2.40 sen seliter.

Semenjak 1 November tahun lalu sudah tiga kali kenaikan. Tidak mustahil dalam tempoh enam bulan akan datang ia akan dinaikkan beberapa kali lagi sehingga mencapai RM3.00 atau lebih seliter. Malangnya jawapan yang kerajaan berikan terhadap kenaikan harga minyak patrol Ron 97 ini ialah `kerajaan tidak boleh mengawalnya kerana ia tertakluk kepada harga pasaran dunia.Kerajaan hanya boleh kawal harga minya patrol Ron 95 sahaja.

Betul, tetapi punca kepada keadaan begitu kerana kerajaan menarik balik dasar pemberian subsidi. Ini puncanya. Dan alasan kerajaan menarik balik subsidi seperti berulang kali diumumkan ialah kerana kononnya ia membebankan kerajaan.

Berapa sangat beban yang kerajaan kena tanggung berbanding pulangan politik yang akan kerajaan perolehi , terutama pada musim pilihan raya . Sementelahan minyak adalah bahan keperluan untuk semua rakyat . Ia bukan macam barang-barang `make up' wanita yang penggunaannya amat terbatas, apatah lagi yang mahal-mahal dan yang diimpot. Sudah tentu implikasinya terhad kepada sebilangan kelompok sahaja.

Justeru kenaikan harga minyak akan menyusahkan semua rakyat. Maka dalam hal ini saya berpandangan adalah lebih baik kerajaan menanggung sedikit `beban' (kewangan) daripada semua rakyat jelata menanggun kesannya. Ini kerana jari-jari rakyat akan berperanan untuk menyatakan kesusahan atau penderitaan yang mereka alami akibat pelaksanaan dasar yang tidak wajar terhadap kehidupan mereka secara beterusan seperi kenaikan harga minyak.


Isnin, 3 Januari 2011

KPI dan JKKKP negeri Kedah

Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang diperkenalkan kepimpinan kerajaan pusat pasca PRU ke 12, untuk digunapakai di peringkat tertinggi pentadbiran kerajaan pusat dan semua kementerian, jabatan dan agensinya bagi mengukur pencapaian sesuatu sasaran kerja atau produktiviti masing-masing, kini kelihatan diperluaskan lagi ke peringkat lebih rendah. Misalnya di negeri Kedah ia juga khabarnya akan digunakan di peringkat Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Perseketuan (JKKKP) .

Ini diumumkan oleh Pengerusi Lembaga kemajuan Wilayah Kedah (Keda), Datuk Ahmad Bashah Hanipah yang juga Pengerusi (baru) Perhubungan Umno Negeri Kedah kepada media seperti dilaporkan hari ini .

Menurutnya,bagi memenuhi KPI yang ditetapkan setiap JKKKP perlu menghantar laporan mesyuarat setiap bulan, menyediakan profil kampung, menambah bilangan pendaftaran pengundi dan menyelesaikan masalah penduduk.

Katanya, tindakan itu bertujuan mempertingkatkan gerak kerja dan bagi memastikan setiap masalah rakyat dapat diselesaikan. 

Syabas Datuk ! Juga perlu perbanyakkan kursus pentadbiran/kewangan/perhubungan awam kepada JKKKP.


Nota:   kerajaan telah menaikkan elaun setiap pengerusi JKKKP daripada RM450 kepada RM800 sebulan serta menaikkan elaun kehadiran mesyuarat untuk setiap ahli jawatankuasa (AJK) daripada RM30 kepada RM50 setiap kali mesyuarat. 

Ahad, 2 Januari 2011

Kempen Hari Tanpa Beg Plastik, betulkah caranya ?

Mulai 1 Januari 2011 bersamaan hari Sabtu kempen Hari Tanpa Beg Plastik dilancarkan diseluruh negara.  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunan (KPDNKK) memberitahu media kempen itu `merupakan inisiatif kementerian itu untuk membantu usaha kerajaan memelihara alam sekitar selain menyemai budaya kehidupan lestari di kalangan pengguna . Baguslah , tapi nampak ia tidak meyakinkan pengguna. 

Ini kerana kaedah atau cara kempen tersebut dilaksanakan seolah-olah ianya memberi ruang kepada pengusaha pasar raya untuk buat untung . Mengapa tidaknya , mengikut laporan media satu beg dicaj 20 sen. Pengguna atau pembeli seolah-olah dipaksa membeli beg plastik itu .

Ini menunjukkan dari segi praktiknya penggunaan beg plastik tetap berjalan seperti biasa, cuma bezanya sebelum ini tanpa bayaran tetapi sekarang dikenakan bayaran. Mungkin satu masa nanti dinaikkan lagi harganya, entah berapa sen pula. 

Bayangkanlah dalam satu hari berapa banyak beg plastik dapat dijual oleh setiap pasaraya. Siapa yang dapat untung dan siapa yang kena tanggung .

Pengguna dilarang menggunakan beg plastik tetapi beg plastik dibenarkan dijual. Ia seolah-olah seperti satu `denda' (kompaun) kepada pengguna
Saya percaya adalah lebih baik jika pasar raya tidak dibenarkan langsung `menjual' beg plastik. Apa salahnya setiap pasar raya gunakan beg `kitar semula' sebagaimana dicadangkan oleh  sesetengah pihak. Pengguna terus diberikan beg jenis itu sahaja dan bukan plastik. Dan secara langsungnya beg plastik tidak digunakan sama sekali.

Dengan itu beg plastik tidak akan digunakan lagi oleh orang ramai . Sebaliknya jika dilihat apa yang cuba diamalkan sekarang iaitu dengan `menjual' beg plastik kepada pengguna , rasanya 2 x5 sahaja dengan apa yang diamalkan sebelum ini. Pi mai, pi mai tang tu juga. Wallahu alam. 

Nilai kasih seorang ibu terhadap anaknya

Nilai kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya sesungguhnya tiada bandingannya. Begitulah apa yang ditunjukkan oleh Azzahida Othman, 35 dan juga seorang guru yng mana sanggup mengejar dua lelaki yang mencederakan anaknya ketika meragut beg tangannya semasa dia sedang memandu . 

Katanya kepada media, " Kalau dia (peragut) nak ambil beg tangan, saya masih boleh terima tapi saya geram apabila dia tergamak cederakan anak saya".

Berikutan itu, Azzahida nekad mengejar dan melanggar dua peragut berkenaan sebelum mereka dibelasah oleh orang ramai yang melihat kejadian itu.

Menurutnya, ketika kejadian salah seorang peragut memecahkan cermin pintu sebelah kiri keretanya dengan menggunakan senjata tajam.

Tambahnya, dia cuba melawan dengan menarik beg tangannya, namun dia akhirnya mengalah apabila melihat peragut berkenaan seolah-olah mengacukan pisau ke arah anaknya yang berusia enam tahun.

Begitulah sebahagian dari cerita Azzahida kepada media mengenai kejadian dia diragut oleh dua lelaki yang juga cuba `mencedrekakan anaknya.

Dan begitulah jua gambaran perasaan seorang ibu terhadap anaknya - ibu yang mengandung setiap anak selama enam bulan di dalam perut, kemudian melahirkannya melalui proses yang penuh dengan pelbagai risiko. Tentu tidak tergamak anaknya diapa-apakan, jauh sekali membungkannya . Sesungguhnya itulah ibu yang sebenar-benar ibu.

Walaupun dewasa ini ada `ibu' yang sanggup membuang anak ke mana dan di mana jua tempat hatta di tong sampah, namun ibu yang dan anak yang sebenar dan melalui proses persetubuhan yang betul pasti tidak tergamak melakukan perbuatan terkutuk itu.

Jadikanlah cerita ini satu teladan.

Sabtu, 1 Januari 2011

Cerita-cerita kemanusiaan yang menarik.......

Cerita-cerita mengenai kemanusiaan memang menarik. Boleh dijadikan teladan atau pengajaran, mencuit emosi dan hati dan kadang-kadang menghiburkan. Cerita-cerita kemanusiaan ini tak akan habis selagi manusia masih hidup di muka bumi ini. 

Kelamrin seorang lelaki warga emas berusia 110 tahun dari Alor Setar yang menduda sejak lama dan telah berkahwin sebanyak lima kali melahirkan hasrat hatinya untuk berkahwin lagi dengan mana-mana wanita yang sudi menerimanya; baik yang sebaya usia dengannya atau yang lebih muda.

Akhbar menyiarkan luahan hatinya itu dan hari ini pula akhbar menyiarkan respon daripada seorang wanita warga emas yang berusia 82 tahun dari Kuala Lumpur dan dia telah menjanda lebih 20 tahun. Dia tertarik dengan lelaki itu kerana antara lainnya `namanya dan matanya' sama seperti bekas suaminya .

Melihat kepada usia kedua-duanya, secara logik dan kebiasaan pastilah kedua-duanya sudah tiada lagi `nafsu' keinginan seksual lagi.  Kalau begitu , apakah yang mendorongkan kedua-duanya untuk berkahwin lagi setelah sekian lama `membujang'.

Jawapan tepatnya agak sukar . Namun beberapa andaian uat dibuat. Antaranya mungkin kerana desakan naluri kemanusiaan semula jadi yang Allah jadikan setiap makhluk-Nya secara `berpasangan' iaitu lelaki dan perempuan dan saling perlu memerlukan antara satu sama lain. Dan mungkin juga mereka berdua masih lagi ada keinginan seksual. Wallahu alam.

Apa pun andaian kita bahawa niat dan cara yang mereka itu adalah sesuatu yang baik yang perlu dihormati oleh masyarakat bangsa dan agamanya. Mereka penuhi tuntutan naluri atau sebagainya menerusi cara yang betul dan `sah' dari sudut hukum agama dan adat. Berbeza dengan sesetengah pihak yang memenuhi tuntutan nafsu atau naluri semula jadi itu dengan cara yang tidak betul dan yang membinasakan diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Oleh itu kita tidak salahlah jika didoakan agar hasrat mereka berdua dimakbulkan Allah di samping direstui keluarga.   

Jangan jual agama kerana politik

Mencari populariti atau dalam bahasa orang kampung `mencari nama' adalah sesuatu yang sangat diingini oleh sesetengah golongan seperti golongan politikus atau `orang politik'. Tanpa populiriti kerja mereka kurang menjadi atau lebih dari itu hayat kerjaya tidak panjang.

Oleh yang demikian dengan apa cara sekali pun mesti dicari jalan untuk mendapatkan bintang populariti, meski pun ada di antara jalan yang digunakan itu boleh mendatangkan kesan buruk kepada pihak lain seperti berkaitan dengan agama, rumah ibadat, adat resam, keturunan dan sebagainya.

Ini kerana `keburukan' itu sendiri pun berada dalam keadaan subjektif atau relatif mmaknanya terutama dalam konteks kepentingan politik . Ia buruk pada pihak `lawan' tapi baik pada pihak `kawan'.

Justeru isu masuk masjid ke atau tak masuk masjid atau lain-lain lagi menjadi sesuatu yang sukar difahami oleh rakyat jelata. Betulkah tak boleh atau sebaliknya , atau bagaimana ? 

Pada sisi lain pula hukum agama seolah-olah menjadi `tidak menentu' dan mutlak di samping rakyat kebanyakan dalam kebengungan.

Inilah padahnya bila agama diseret sama dalam perkara lain secara tidak wajar dan berkepentingan diri sendiri. Kenapa kita harus `mangsakan' hukum-hukum agama bagi mencapai cita-cita `dunia' , khususnya yang membabitkan agama keredaan Allah ? 

Mana-mana pihak diharapkan tidak terlalu ghairah memanipulasikan hal-hal agama dalam mencari nama bagi meneruskan hayat kerjaya politik masing-masing.