Selasa, 18 Januari 2011

Isu Azan

Perkhabaran yang menarik hati saya pada hari ini ialah mengenai permohonan maaf seorang peguam yang sebelum ini memprotes laungan azan di sebuah masjid dekat tempat kediamannya di Kuala Lumpur dengan menghantar memorendum kepada beberapa pihak. Akibat tindakannya itu wujud tindak balas pihak-pihak lain termasuk pihak jemaah masjid berkenaan. 

Bagaimanapun peguam tersebut membuat kenyataan terbuka di satu sidang media kelmarin untuk mmemohon maaf dan memberitahu umat Islam khasnya dan rakyat Malaysia lain amnya bahawa beliau sebenarnya "langsung tidak tahu membezakan antara azan dan ceramah" 

Ini tidak mustahil kerana beliau bukan beragama Islam. Saya percaya dengan pengakuannya itu. Ini kerana berdasarkan kepada amalan oleh sesetengah pihak pengurusam masjid di sesetengah tempat sebelum azan diperdengarkan, terlebih dahulu dibaca `tarhim'. Tarhim boleh mengambil masa lebih lama dari azan dan lebih awal dari masuknya waktu solat subuh. Ia terpulang kepada cara bacaannya. Dan mungkin sesetengah orang menganggap tahrim adalah azan.

Tidak dinafikan juga bahawa ada juga sesetengah tempat dan oleh sesetengah pengurusan masjid melaungkan azan sebanyak dua kali, iaitu sekali sebelum masuk waktu solat subuh dan lagi satu ketika masuk waktu. Azan sebelum masuk waktu (kira-kira satu jam sebelum) dibolehkan (harus) tetapi bukan satu galakan atau perintah .

Azan dua kali hanya dibolehkan untuk solat subuh dan solat Jumaat sahaja.

Selain dari tarhim ada juga sesetengah-tengah tempat dan masjid menyiarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran . Ini bertujuan bagi mengejutkan umat Islam dari tidur dan bersiap sedia untuk menunaikan solat subuh.

Namun ia juga terpulang kepada pihak masjid berkenaan untuk sama ada menyiarkannya atau sebaliknya atau berapa lama mana masanya, mungkin ada yang 15 minit, 10 minit, atau lebih.

Berbalik kepada azan. Sedangkan azan itu sendiri hanya mengambil masa tidak lebih dari lima minit . Itupun bergantung kepada cara taranumnya. Bayangkan ia hanya ada 15 kalimat atau patah perkataan sahaja. Kalimatnya pun ringkas-ringkas sahaja. Ia juga tidak boleh dilakukan jika tidak masuk waktu solat. Jika mengambil kira waktu masuk solat subuh pula ketika ini ialah lebih kurang pukul 6. 12 pagi.

Pada hemat saya yang menjadi isu dan dianggap `mengganggu' sesetengah pihak itu bukannya azan tetapi mungkin aktiviti-aktiviti lain. Justeru jalan penyelesaiannya bukan mengenai azan tetapi harus kepada aktiviti-aktiviti lain. Ia bergantung kepada persekitaran di mana sesebuah masjid itu berada. Azan mengandungi kalimat-kalimat suci mengenai mengakui kebesaran Allah, syahadah, seruan-seruan untuk solat dan kejayaan (dunia akhirat) . Oleh itu pemahaman terhadap maksud dan makna azan itu sendiri perlu diperluaskan   
   

Tiada ulasan: