Khamis, 13 Januari 2011

Kejadian aneh untuk kita bermuhasabah

Di samping kita asyik membaca cerita-cerita `berat' mengenai politik dan isu semasa lain, cuba kita alihkan perhatian kita dengan membaca atau merenungi cerita-cerita `ringan' yang membawa kita menginsafi diri dan mengingat akan kebesaran dan kekuasaan Allah Azzawajalla.

Hari ini misalnya akhbar Sinar Harian menyiarkan berita dari Perlis mengenai seorang warga emas yang `terkejut' apabila mendapati ikan puyu peliharaannya yang disimpan dalam sebuah akuarium , sebelum ini berwarna hitam bertukar menjadi keputihan.

Leha Mat Nor, 70 berkata, " Saya sebelum ini melihat kesemua ikan saya berwarna hitam tetapi sejak sebulan lalu iaitu selepas banjir baru-baru ini, saya menyedari terdapat seekor ikan (puyu) saya berbeza dengan ikan-ikan lain apabila berwarna putih".

"Anak saya juga mengesahkan tidak pernah membawa pulang ikan puyu yang berwarna putih sebelum ini", katanya ketika ditemui (pemberita SH) di rumahnya di Jalan Batu Empat Setengah, Padang Lati, Perlis.

Cukup setakat itu faktanya bagi kita mendapat sedikit gambaran tentang kejadian "luar biasa" itu. Ikan puyu yang kita ketahui yang banyak terdapat di kawasan sawah padi atau air tawar itu, biasanya berwarna hitam. Namun dalam kejadian seperti cerita di atas ia warna putih. Mungkin boleh diteliti lagi dari segi sentifiknya. Tetapi biarlah kita ambilnya sebagai bahan kita berfikir tentang kejadian Allah. 

Dari segi kejadian Allah, ia tidak aneh kerana Allah berkuasa menjadikan segala-galanya. Allah bukan sahaja boleh menukar warna ikan puyu tetapi lebih dari itu. Misalnya boleh menukar yang hidup kepada mati, yang sihat kepada sakit, yang di atas ke bawah dan sebaliknya, yang diberikan kuasa dan kedudukan kepada sebaliknya dan begitulah seterusnya.

Justeru, dalam kita sedang melayari hidup ini sesuatu yang ada pada kita itu sebenarnya tidaklah kekal abadi. Ia fana seperti mana fananya diri kita sendiri.

Oleh itu, sekiranya diri kita terpilih di antara berpuluh-puluh juta lagi umat untuk dianugerahkan dengan nikmat-nikmat tertentu , maka haruslah kita ingat..dan ingat.....bahawa Allah boleh menukarkannya pada bila-bila masa sahaja mengikut kudrat dan iradat-Nya kepada keadaan yang sebaliknya.

Ia bukan mustahil. Bermacam-macam peristiwa dan kejadian yang ditunjukkan Allah kebelakangan ini yang boleh kita saksikan , supaya kita jadikan peduman , teladan dan pengajaran. Misalnya ada yang kehilangan pangkat, darjat, kuasa , harta dan sebagainya.

Itu hanya secebis sahaja dari tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah untuk kita lihat serta renung, meski pun buat seketika waktu.    

Tiada ulasan: