Khamis, 27 Januari 2011

Tuduhan Azmin tidak berasas

KUALA LUMPUR 26 Jan- Dakwaan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) , Mohamed Azmin Ali kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) menderhaka kepada raja disifatkan sebagai tuduhan yang langsung tidak berasas serta tidak bertanggungjawab.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, semua pihak perlu diingatkan bahawa krisis perlembagaan pada 1983 dan 1993 yang berlaku ketika di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah diselesaikan dengan baik.

"Ketika itu terdapat dua pindaan yang dibuat membabitkan institusi diraja iaitu peruntukan khas bagi menyabitkan raja yang terlibat dalam kegiatan jenayah untuk dikenakan tindakan undang-undang di bawah kuasa mahkamah khas.

"Satu lagi peruntukan melibatkan kuasa raja dalam satu tempoh masa untuk menandatangani undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan ia diguna pakai secepat mungkin.

"Berdasarkan kedua-dua pindaan yang dibuat itu, semua pihak termasuk institusi raja menerima baik perkara ini sekali gus membuktikan kenyataan Azmin itu tidak berasas dan tidak bertanggungjawab," katanya ketika ditemui selepas sidang media pada majlis pelancaran pejabat baru google, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mohamed Azmin Ali yang mengungkit kononnya kerajaan pimpinan Tun Dr. mahathir satu ketika dahulu telah menderhaka kepada raja dengan menghakis kuasa raja-raja.

Pada 23 Januari lepas, Sidang Khas DUN Selangor bertukar `panas' apabila berlaku pertikaman lidah antara Mohamed Azmin dan Ketua Pembangkang , Datuk Mohamad Satim Diman (BN-Sri Serdang) selepas Mohamed Azmin menuduh UMNO yang sebenarnya menderhaka kepada sultan. - Utusan.


Tiada ulasan: