Isnin, 24 Januari 2011

Usah perdagangkan agama dalam berkempen

Sudah menjadi lumrah dalam mana-mana kempen pilihan raya isu menjadi nadinya. Tanpa isu proses kempen pilihan raya itu tidak nampak serinya dan suasananya kelihatan pudar dan hambar. Parti-parti politik yang bertanding mencari, mengorek dan seterusnya membentangkan isu-isu yang boleh meyemarak imej pihak sendiri dan pada masa sama menjunam imej pihak lain pada pihak pengundi.

Berikutan itu berbagai jenis isu dicari dan dikumpulkan untuk dibentangkan kepada khalayak pengundi khasnya dan masyarakt amnya. Selain isu-isu berkaitan hala tuju parti masing-masing ialah isu-isu pembangunan dan kemajuan yang dianggap menjadi keperluan rakyat. Tidak mengapa.

Namun yang menyedihkan apabila isu-isu yang berkaitan dengan hukum agama, terutama agama Islam dibawa ke gelanggang kempen. Yang terlibat dengan kempen itu pula bukan semua betul-betul faham mengenai asas , jenis dan sumber hukum , seperti biasa ia ada pelbagai; malahan kadang kala terdapat otang bukan Islam `tumpang sekaki'..

Lalu isu itu menjadi bahan kepada pelbagai kehendak dan tujuan pihak-pihak terlibat sehingga kelihatan boleh menjurus kepada keadaan mempersendakannya. Ini sangat merbahaya; terutama dari segi akidah selain dari dosa besar.

Tidak kira parti apa atau pihak mana sekalipun jika boleh, elakkan dari memgunakan isu-isu agama, khusunya yang berkaitan dengan sesuatu hukum syarak. Biarlah mereka yang berwibawa dalam pemahaman hukum-hukum syarak sahaja bercakap mengenai hukum .

Sebaik-baiknya semasa berkempen jangan masukkan isu hukum Islam ke dalam agenda kempen, jika kita `bukan ahlinya'. Ingatlah bahawa Islam adalah satu-satunya agama dari `langit' terakhir. Allah tegaskan bahawa tiada agama lain di sisi Allah. Siapa lagi yang diharapkan memelihara kesucian agamanya selain dari umat Islam sendiri. Wallahu a'lam.     

Tiada ulasan: