Sabtu, 26 Februari 2011

Tapi, sampai bila ya ?

Al-hamdulillah, ......harga Ron 95 tidak naik sebagaimana dijangka .....terima kasih kerajaan , tapi sampai bila ya..?

Rabu, 23 Februari 2011

Penduduk 28 juta, parti politik 33 buah

Difahamkan sehingga kini Malaysia sebuah negara `kecil' dan mempunyai jumlah penduduk sekitar 28 juta orang mempunyai 33 buah parti politik dan difahamkan juga bahawa ada 25 lagi permohonan untuk menubuhkan parti baru.

Ia bermakna sekiranya kerajaan atau kementerian dalam negeri (KDN) yang bertanggunjawab dengan kelulusan pertubuhan berkenaan maka ia akan bertambah kepada 58 buah parti politik. Melihat kepada nisbah jumlah penduduk dan suasana serta cara berpolitik sekarang jumlah itu dilihat terlalu besar.

Oleh itu cadangan sesetengah pihak supaya KDN tidak meluluskan permohonan itu adalah satu cadangan yang baik yang wajar dipertimbangkan pihak berkuasa berkenaan. Saya setuju dengan pendapat demikian.

Ini tidak bererti mengenepikan semangat demokrasi yang diamalkan tetapi apalah ertinya demokrasi jika ketika memenuhi semangat itu berlaku pelbagai unsur-unsur tidak sihat di kalangan orang ramai seperti perpecahan dan sebagainya.

Ia mungkin disebabkan tahap `sporting' dalam menghayati aspirasi berpolitik dan pengamalan sistem demokrasi sebenar belum benar-benar wujud lagi dalam hati sanubari sebahagian besar pendukung parti-parti politik di negara kita . Kegilaan mendapat pengaruh dan kuasa dilihat terlalu kuat.

Sesetengah pihak dek kerana terlalu ghairah mengejar cita-cita politik sanggup lakukan apa sahaja sehinga melibatkan akidah keagamaan, ancaman kepada ketenteraman awam, kedaulatan negara, kepentingan bangsa, keaiban dan maruah seseorang secara keterlaluan dan sebagainya. 

Semua unsur-unsur ini jika berpanjangan tidak membawa apa-apa makna kebaikan kepada negara dan rakyat.  Rakyat biasa pula semakin `pening' dan keliru dengan sesetengah `fatwa' yang sering dikeluarkan oleh sesetengah pemimpin politik; baik yang berkaitan dengan agama khususnya Islam mahupun yang berkaitan dengan soal-soal lain seperti soal-soal kenegaraan dan sebagainya.

Jadi, jika lagi banyak parti-parti politik ditubuhkan mungkin lagi banyak kekeliruan dan ketidaktentuan akan wujud di dalam masyarakat dan negara . Dengan itu cadangan menghadkan bilangan parti-parti politik itu memang wajar dilaksanakan. Ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan suasana `politiking' yang berpanjangan di dalam masyarakat.

Selasa, 22 Februari 2011

Bersiap sedialah dengan kenaikan harga minyak

Antara berita yang dilaporkan media hari ini yang patut diberikan perhatian serius oleh semua rakyat Malaysia ialah mengenai kemungkinan harga minyak dinaikkan tidak lama lagi bila mana kerajaan menarik balik subsidi untuk semua jenis minyak. Kini kerajaan masih menanggung subsidi untuk RON 95. Manakala harga bagi RON 97 telah diapungkan baru-baru ini.

Laporan berita oleh media bolehlah diibaratkan sebagai peringatan untuk mengujudkan keadaan `kesediaan minda rakyat' terhadap sebarang kemungkinan kedudukan harga minyak di negara ini yang mana kini masih sebahagiannya disu bsidikan.

Dengan menggunakan dua pakar iaitu seorang merupakan pensyarah kanan di sebuah universiti tempatan dan seorang lagi bekas pensyarah sebuah kolej , beberapa fakta diutarakan untuk dijadikan asas `kukuh' kepada kewajaran kebarangkalian harga minyak dinaikkan, seperti mana dikemukakann dalam laporan berita yang diberi tajuk "Harga petrol mungkin naik ?".

Dengan memetik beberapa hujah kenapa petrol wajar dinaikkan iaitu misalnya masalah minyak (petrol) sebagai `masalah globalisasi dan Malaysia tentu tidak dapat mengelak daripada kesan kenaikan harganya  serta hujah bahawa kerajaan terpaksa menanggung beban subsidi sebanyak RM6.3 bilion untuk patrol dan diesel termasuk RM3.3 bilion untuk RON 95 pada tahun lalu, saya yakin ada kemungkinan harga petrol RON 95 juga akan diapungkan seperti mana dilakukan terhadap RON 97.

Oleh itu, saya lihat tiada pilihan lain yang harus dihadapi oleh rakyat, khususnya bagi golongan berpendapatan sederhana dan kecil, kecuali menyiapkan diri , mental dan emosi untuk menghadapinya. Persediaan itu bukan sahaja untuk membayar harga minyak yang tidak tetap untuk kegunaan kenderaan masing-masing tetapi juga untuk berhadapan dengan kenaikan drastik harga barangan dan perkhidmatan.

Apa yang membimbangkan saya rasa ialah kemungkinan berlaku kehakisan pengaruh dan kepercayaan rakyat terhadap BN yang kini dilihat semakin pulih selepas merudum sebelum , sewaktu dan sesudah pilihan raya umum ke 12 pada tahun 2008 lalu. Apakah keadaan seperti itu akan berulang lagi, wallahu a'lam bissawab. 

Bangsa Melayu dan Agama Islam

Malaysia sebuah negara yang unik. Ada pelbagai bangsa, agama, kebudayaan dan adat resam. Semata-mata kerana adanya kepelbagaian `bangsa' itu tadi. Malah yang lebih unik lagi apabila sesuatu agama itu dianuti oleh kebanyakannya kaum/bangsa tertentu. Seperti Islam dianuti hampir keseluruhan bangsa Melayu, Budha bangsa Cina, Hindu bangsa India, Kristian macam-macam `bangsa' dan Sikh bangsa Sikh , begitulah selanjutnya.

Dalam hubungan ini secara logik akal untuk membangun atau mempertahankan kelangsungan sesuatu agama itu bergantung secara langsung kepada kelangsungan sesuatu `bangsa' tertentu. Misalnya jika untuk mempertahan kelangsungan syiar Islam di negara ini, tidak dapat tidak mesti berusaha `melindungi' bangsa Melayu itu sendiri daripada sebarang ancaman, luar dan dalam.

Kuatnya bangsa Melayu , sama ada dari sudut politiknya, agamanya dan lain-lain lagi akan memudahkan syiar Islam dikembang serta dipertahankan. Lumpuh atau lemahnya sekalipun bangsa Melayu maka secara automatiknya akan melemahkan keupayaan untuk menegakkan syiar Islam.

Oleh itu, usaha untuk membangun dan mempertahankan `hak-hak' bangsa Melayu seperti tertulis dalam Perlembagaan `Tanah Melayu' tidak harus diambil mudah. Ia perlu dijadikan agenda utama parti-parti politik orang Melayu. Ini bukan bermakna mengenapikan agama dan mengutamakan bangsa atau atas alasan assabiah tetapi ia satu keperluan, malahan `urgent'. 

Kuatnya kuasa politk bangsa Melayu nescaya akan bertambah kuatlah daya memperkembangkan syiar Islam di negara ini . Ini adalah realiti. Jika tidak percaya lihatlah apa yang Allah `tunjukkan' kepada kita sekarang, iaitu kesan kedudukan keputusan pilihan raya umum ke 12 lalu. Bukan sahaja hak-hak bangsa Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan `terancam' tetapi juga bersekali dengan syiar Islam. Sebelum ini mana ada masjid atau surau diluntar `najis' dan sebagainya tapi sekarang sudah ada. Ini adalah satu iktibar . Wallahu a'lam.  

Jumaat, 18 Februari 2011

Pertahan nilai kemanusiaan

PUTRAJAYA 17 Feb - Sistem tadbir dalam masyarakat perlu mempertahankan nilai-nilai kemanusiaan yang diterima umum dan mengatasi perbezaan ideologi.

Ketua Setiausaha Negara , Tan Sri Sidek Hassan berkata, institusi awam dan swasta merupakan refleksi kepada nilai-nilai yang dipersetujui dalam sesebuah masyarakat atau negara.

"Jika kita merestui nilai-nilai yang buruk , tadbir urus dalam sistem kita turut akan memelihara nilai-nilai yang sama. Ini juga bermakna jika kita menginginkan kecemerlangan dalam masyarakat, kita mesti menunjukkan tahap kecemerlangan yang sama dalam perniagaan dan kehidupan kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perbincangan meja bulat mengenai kod tadbir urus awam di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Mohd. Sidek turut mengutarakan analogi mengenai kehidupan lebah ketika menggambarkan masyarakat yang mengejar kemajuan semata-mata dan masyarakat yang mempunyai nilai kemanusiaan. - UTUSAN

Nota : Petikan kenyataan di atas sangat menarik dan diharap ia dapat dijadikan pedoman di dalam mengurus tadbir kehidupan kita seharian termasuk dalam urus tadbir sesebuah rumah tangga. Dan cerita mengenai lebah digambar oleh Allah di dalam al-Quran (surah an-nahl)

Khamis, 17 Februari 2011

Jangan kelirukan umat Islam dengan `fatwa' sendiri

Hukum hakam agama Islam adalah berasaskan kepada wahyu, sunnah dan ijmak ulama; bukan berdasarkan logik akal manusia . Justeru, sebijak mana pun seseorang itu dia tidak layak untuk merumuskan sendiri terhadap sesuatu hukum jika dia bukan dari golongan yang benar-benar alim di dalam ilmu-ilmu yang berhubung kait dengan agama Islam.

Seperti maklum di negara ini kuasa untuk merumus dan menfatwakan sesuatu isu/hukum berkaitan dengan Islam diberikan kepada majlis fatwa kebangsaan/negeri.  

Oleh itu, tidak wajar sama sekali bagi seseorang yang bukan daripada golongan berkenaan cuba mengeluarkan hujah dan `fatwa' mengenai Islam hanya berdasarkan kepada logik akalnya semata-mata, kerana dikhuatiri akan mengelirukan sebahagian umat Islam lain .

Selasa, 15 Februari 2011

Umno tekad rampas Kedah

Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah dilaporkan bertekad menyelesaikan semua isu dalaman yang melanda parti itu menjelang Julai ini bagi membolehkannya `merampas' Kedah daripada pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah dilaporkan berkata, perkara tersebut diputuskan bersama oleh 15 Ketua UMNO Bahagian negeri ini dalam satu pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Ser Najib Tun Razak di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya kepada media , "Semua ketua-ketua bahagian (Umno) telah bersetuju bersama-sama mengatasi kemelut politik yang melanda negeri ini (Kedah) dan semua perkara itu akan diselesaikan secara muafakat dan perbincangan."

Beliau yakin, " Tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan, apa yang yang penting ialah apabila kita adakan perbincangan pasti akan wujud tolak ansur dalam isu berkenaan."

Sehubungan itu beliau dilaporkan berkata, semua pemimpin bahagian diminta memperhebatkan usaha turun padang bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat untuk memastikan parti itu kembali kukuh dan diterima oleh golongan akar umbi.

Selamat menyambut Maulidur Rasul hari ini

Kepada seluruh kaum Muslimin dan Muslimat, selamat menyambut perayaan Maulidur Rasul pada hari ini, bersamaan 12 Rabiul Awal 1432 hijri. Bersama-samalah kita banyakkan selawat ke atas baginda Rasul. Menurut Hadis setiap satu selawat yang diucapkan oleh seseorang (yang beriman) ke atas baginda Rasul SAW, Allah SWT akan berselawat (kurniakan rahmat) ke atasnya sebanyak 10 kali. 

Ahad, 13 Februari 2011

PRK lagi ?

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau , Pahang,  Datuk Zaharuddin Abu Kasim dilaporkan telah meninggal dunia pada petang kelmarin. Dihadiahkan al-fatihah untuknya dan ucapan takziah kepada ahli keluarganya.

Seperti biasa akan berlakulah satu lagi pilihan raya kecil selepas PRK DUN Marlimau pada 6 Mac nanti . Ya, apa boleh buat undang-undang yang berkaitan dengan pilihan raya di negara ini menetapkan demikian .

Bagaimana pun, harap - harap undang-undang yang sedia ada itu dikaji, ditambah baik atau digubal yang baru, demi menyelamatkan wang rakyat . 

Sabtu, 12 Februari 2011

`Hari Kekasih' umat Islam

Nabi Muhammad SAW yang merupakan nabi dan rasul terakhir dari kalangan 313 orang rasul dan ratusan nabi-nabi Allah adalah `kekasih' Allah. Oleh itu semua umat Islam sewajarnya menjadikan baginda SAW sebagai kekasih mereka.

Maka itu, sambutan `hari kekasih' sebenar bagi umat Islam adalah sambutan maulidur rasul. Di Malaysia sambutan maulidur rasul pada tahun ini jatuh pada 15 Februari bersama 12 Rabiul Awal. Ia diisytiharkan sebagai sebagai  hari cuti umum oleh kerajaan Malaysia.

Bersama-samalah menjayakan program sambutan maulidur rasul - hari kekasih seluruh umat Islam. 

Jumaat, 11 Februari 2011

Kawal nafsu dengan amalan sunat

Setelah membaca beberapa akhbar tempatan pada hari ini hati saya amat tersentuh dengan satu laporan berita yang disiarkan oleh akhbar-akhbar tersebut iaitu mengenai seorang datuk berusia 89 tahun dituduh di mahkamah merogol cucu perempuannya berusia 10 tahun di kandang lembu.

Saya tidak dapat membayangkan bagaimana kejadian semacam itu boleh berlaku, namun sebagai seorang yang telah berada di dalam `zon' warga emas serta mempunyai beberapa orang cucu termasuk empat orang cucu perempuan setakat ini, saya berasa sedih tak terkata dan memohon agar barang dijauhi Allah.

Memanglah rangsangan nafsu seks lelaki sukar luntur meskipun berada dalam usia emas dan lebih teruk lagi bila si isteri juga warga emas yang sudah luntur nafsu syahwatnya dek kerana kehabisan putaran haid yang pasti tidak terdaya lagi melayan kehendak nafsu suaminya . Itu dalam keadaan semula jadi ciptaan Allah tanpa ditokok tambah `kekuatan'nya dengan perkara-perkara lain seperti amalan `bersenam' tertentu atau `doa-doa' tertentu atau menerusi ubat-ubatan tertentu dan sebagainya.

Walau bagaimana pun saya amat percaya ia boleh di atasi dengan cara yang tidak memrlukan kos yang banyak iaitu dengan membanyakkan zikrullah seperti membaca al-Quran, tasbih, tahmid, takbir, tahlil, selawat , puasa sunat dan sebagainya. Lain hallah jika bukan daripada orang muslim. Mungkin mereka juga ada cara lain, wallhu a'lam.

Semua amal-amal solih tersebut pasti dapat mengurangkan rangsangan nafsu serakah atau nafsu-nafsu lain yang boleh mengakibatkan terjadinya perbuatan yang tidak elok dan keji , kerana kita diajarkan bahawa jika sentiasa ingatkan Allah dan Rasul-Nya syaitan sukar mencelah ke dalam ruang pernafasan kita atau meresap bersama aliran darah kita. 

Di samping amal-amal solih tersebut Rasulullah SAW menggalakkan kita berpuasa (sunat) dua hari seminggu atau tiga kali sebulan . Mari kita sama-sama amalkan perintah (sunat) itu, insya Allah mudah-mudahan kita diberi  taufik dan hidayah oleh Allah SWT. Wallahu a'lam bissawab.


Khamis, 10 Februari 2011

Cerita semut, anai-anai dan orang Melayu

Semut adalah makhluk Allah daripada jenis binatang. Tapi padanya terdapat banyak sifat-sifat yang boleh dicontohi manusia. Antara sifat-sifat positif yang ada pada makhluk semut itu ialah bermuafakat, bekerjasama, bergerombolan, berkasih sayang antara satu sama lain, saling hormat menghormati dan sebagainya. Di dalam al-Quran salah satu surahnya dinamakan surah `SEMUT' (ANNAMLU)

Anai-anai adalah salah satu dari makhluk ciptaan Allah yang mempunyai rupa paras dan bentuk tubuh seperti semut. Tapi terdapat beberapa sifat yang berbeza dengan semut. Anai-anai suka membina rumah kediaman  yang lebih besar daripada rumah kediaman semut. Bahkan semacam tidak munasabah kerana bersangat besar saiznya. Berbeza dengan semut anai-anai biasanya dikaitkan dengan sifat-sifat negatif seperti dengki, khianat, mementing diri sendiri dan sebagainya.

Misalnya dengan sifat `tamaknya' mereka membina rumah kediaman yang besar meskipun di atas hak orang lain atau demi mengisi perut dan kepentingan peribadinya terkadang-kadang dek kerana kerakusan membina tempat kediaman sendiri menyebabkan tempat-tempat kediaman orang lain menjadi musnah atau sekurang-kurangnya rosak.

Meskipun ini tidak berlaku kepada semua manusia tetapi sebahagian daripada mereka mungkin mengalami nasib demikian.

Orang Melayu adalah juga suatu bangsa daripada beribu-ribu bangsa dari jenis manusia yang Allah `izinkan' untuk mendiami dan menerokai muka bumi ini yang juga dikenali sebagai `dunia' kelihatan lebih banyak memilih cara kehidupan anai-anai .

Sebab itu tidak menghairankan jika sebahagian daripada bangsa Melayu sanggup melingkup , memusnahkan dan mengkhianati bangsanya sendiri demi kepentingan peribadinya. Siapakah misalnya yang sanggup mempertikaikan `habuan' yang dianugerahkan kepada bangsanya menerusi dasar ekonomi baru negara (DEB) atau dasar-dasar lain seumpama jika tidak sebahagian daripada orang Melayu sendiri, di samping orang lain , lalu menuduh sebahagian bangsanya yang memperjuangkan hak dan habuan itu sebagai `pelampau' - kanan atau kiri  dan sebagainya.

Pada hal benda yang diperjuangkan itu cuma hanya sekadar 30 peratus sahaja daripada keseluruhan habuan yang disediakan ! Tetapi oleh kerana dalam diri tidak perasaan kasih sayang terhadap bangsa sendiri , mereka sanggup berbuat apa sahaja asalkan . Masya Allah ! Beginilah halnya bangsaku - bangsa Melayu yang beragama Islam dan dipercayai sebahagian besarnya membaca al-Quran tetapi enggan mengambil contoh tauladan dan pengajaran daripada al-Quran.

ADUH ! Salah siapa ya ?

ADUH ! Dianggarkan seramai 465,201 penduduk Sarawak bakal terlepas mengundi pada pilihan raya negeri itu yang akan diadakan selewat-lewatnya Julai ini , jika tidak mengambil langkah bersungguh- sungguh mendaftar sebagai pengundi baru pada suku pertama tahun ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof dilaporkan berkata, mulai Januari lalu, bulan ini dan Mac depan adalah peluang terakhir untuk mereka mendaftar . Ini katanya, proses untuk mengesahkan status termasuk mewartakan daftar pemilih memerlukan masa empat bulan sebelum pilihan raya. Pilihan raya DUN Sarawak dijangka selewat-lewatnya Julai depan.

Menurutnya , andai kata Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan bulan depan bersempena cuti sekolah, kesemua 465,000 orang itu pastinya tidak boleh mengundi.

Bagaimanapun , beliau dilaporkan tidak menolak kemungkinan kebanyakan mereka yang telah mencapai usia kelayakan 21 tahun itu berada di Semenanjung sebagai pemastautin tetap dan bekerja.

Tapi "Salah siapa?" Tanya beliau .

"Sebab dah 'berbuih' SPR cakap, uar-uarkan namun kesedaran untuk mendaftar tidak ada langsung. Jadi, pada bulan ini dan Mac mereka kenalah mendaftar seberapa segera, itupun kalau ada kesedaran diri," katanya lagi kepada media .


BOK harap-harap mereka atau sebahagian besarnya akan segera mendaftarkan diri sebagai pemilih demi menunaikan tanggungjawab dan hak sebagai warganegara.

Rabu, 9 Februari 2011

Penipuan logo halal: Umat Islam kena waspada

Laporan khas Utusan Malaysia mengenai beberapa `penipuan' logo halal yang disiarkan hari ini amat merisaukan kita sebagai umat Islam yang tinggal di sebuah `negara Islam' seperti Malaysia.

Antara yang didedahkan itu adalah lima jenis barangan yang kebanyakannya daripada jenis makanan seperti mi segera dan kicap. Mi segera dan kicap merupakan makanan yang amat digemari oleh masyarakat Islam di negara ini.

Penggunaan logo halal yang tidak halal itu menjadikan pengguna Islam mudah tertipu dari segi halal haram penggunaannya, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan makanan.

Dalam keadaan masyarakat Malaysia yang majmuk ini, sungguh pun kita ada agensi-agensi kerajaan tertentu bagi mengawal status halal haram barangan yang digunakan khasnya makanan, namun umat Islam sendiri kenalah juga ambil perhatian serius dan mesti elakkan diri daripada mengambil barangan-barangan yang diragui kesahihan halal haramnya.

Publisiti logo halal yang diiktiraf hendaklah juga ditingkatkan dari semasa ke semasa oleh pihak berkuasa terbabit seperti Jabatan Kemajuan Islam malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kpenggunaan (KPDNKK). Ini untuk memudahkan orang ramai sentiasa mengenalinya. Biarlah imej logo itu sentiasa ada dalam minda dan ingatan pengguna.

Sediakan serta perbanyakkan paparan-paparan atau billboard-billboard di merata-rata tempat yang sesuai dan strategik agar ia sentiasa dilihat dan dingatkan di dalam minda umat Islam. Rasanya ia tidak sukar. Dengan hanya menggunakan sedikit peruntukan tetapi kesannya amat baik nescaya ia tidak merugikan. Pulangannya ialah umat Islam sentiasa diperingatkan dengan cara paling mudah sebagaimana diamalkan untuk iklan barangan lain juga.

Janganlah hendaknya hanya memadai dan berpuas hati dengan program `ceramah' dan kenyataan media  sahaja tanpa ada medium lain sebagai pilihan dan pengukuhan mesej.

Selasa, 8 Februari 2011

Kempen Hari Tanpa Plastik di Pulau Pinang

SAYA ingin catatkan di sini sedikit penglaman mengenai kempen `Hari Tanpa Plastik' yang saya tempohi pada hari ini . Catatan ini bertujuan untuk mendedahkan beberapa perkara yang dilihat patut diberikan perhatian, terutama pemilik kedai - besar atau kecil, bumiputera dan bukan bumi putera, semoga dapat direnungkan di mana betul dan tidaknya dan di mana patut dan tidaknya dibuat oleh pihak-pihak terlibat seperti pekedai sendiri dan beberapa pihak lain yang mungkin boleh dikaitkan.

Ceritanya begini : Pada pagi tadi saya telah pergi ke sebuah mini market milik bukan bumiputera di sekitar kawasan Kepala Batas, Pulau Pinang untuk membeli beberapa barang keperluan dapur yang dipeasn isteri, termasuk beberapa biji bawang besar dan sayur sayuran. Seperti biasa pekedai membekalkan saya beg plastik. Ia menyenangkan saya membawanya  !

Pada petang ini saya bersama isteri ke sebuah `pasar raya' milik bumiputera di sekitar kawasan yang sama. Barangan yang dibeli lebih banyak dan lebih besar saiznya daripada barangan pagi tadi, termasuk sebungkus serbuk pencuci berat 3 kg. Pekedai /petugas memberitahu "kami tak dak (ada) beg plastik." Namun, pada masa sama beberapa pembeli lain yang sama-sama membeli dilihat dibekalkan beg plastik tanpa banyak soal.

Tanpa banyak cakap saya dan isteri bawa semua barangan yang dibeli keluar dan meltakkan di dalam raga motorsikal. Dalam hal ini saya fikir terdapat beberapa perkara dan isu yang boleh difikirkan bersama, termasuk pendekatan-pendekatan yang digunakan oleh pekedai-pekedai atau antara bumiputera  dan bukan bumi putera. Dalam kepala saya juga terfikir betulkah cara dan strategi dalam pelaksanaan dalam kempen `Hari Tanpa Plastik' ini ?

Syabas ! Ops Piramid berjaya

SEGALA puji bagi Allah.

Dengan izin serta hidayah dan pertolongan-Nya `Ops Piramid' yang bermisikan membawa rakyat dan pelajar Malaysia di Mesir pulang ke tanah air telah berjaya dilaksanakan.

Operasi yang bermula 2 Februari lalu hingga kelmarin telah membawa pulang lebih 8,000 orang dengan jayanya , manakala kira-kira 2,000 orang lagi dilaporkan memilih untuk tidak pulang kerana membuat persediaan menduduki pepriksaan dalam masa terdekat ini.

Ops tersebut adalah atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan melibatkan beberapa agensi serta `peralatan' milik kerajaan, NGO dan sektor sawsta dan sudah pasti memakan belanja hingga berjuta-juta ringgit. Bagaimanapun difahamkan ia ditanggung oleh kerajaan.

Keputusan serta tindakan bijak PM dan kerja keras oleh semua pihak bagi menjayakan misi tersebut wajar mendapat penghargaan daripada semua pihak, terutama mereka yang terlibat serta keluarga masing-masing.

Ini adalah satu lagi simbol kejayaan Najib di dalam mengurus masalah dan emosi rakyat . Dan ini juga merupakan natijah daripada `kurang bercakap tapi banyak bekerja' dan semoga diberkati Allah SWT. Wassalam .

Isnin, 7 Februari 2011

Kedah puji usaha Kerajaan Pusat pindah pelajar

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah berpuas hati dengan layanan Kerajaan Pusat yang membantu memudahkan urusan memindahkan pelajar negeri ini yang menuntut di Mesir ke Jeddah, Arab Saudi berikutan pergolakan politik di Mesir.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pelajaran dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul berkata, pihaknya tidak menghadapi sebarang masalah membantu pelajar negeri ini berpindah berikutan kerjasama dan layanan baik yang diberikan oleh Kerajaan Pusat di sana.

Katanya, kerjasama itu dapat dijalin kerana semua pihak mementingkan keselamatan dan kebajikan pelajar terbabit. “Ini bukan soal politik dan tidak harus dipolitikkan. Kita berpuas hati dengan layanan yang diberi oleh pihak Kerajaan Pusat dalam soal membantu memudahkan pemindahan pelajar yang berasal dari Kedah ke Jeddah.

“Bagi kerajaan negeri, kita sudah mencuba sedaya upaya untuk membantu dan buat masa ini kita sudah menghantar tiga lagi pegawai tambahan menerusi Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) untuk membantu pelajar kita di sana,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Pengurus Besar YINK, Abd Rahman Ismail berkata, 866 pelajar Kedah terbabit dalam pemindahan dengan jumlah terakhir yang sedang dipindahkan semalam 155 orang.

Katanya, secara keseluruhannya pelajar dari Kedah berjumlah 1,116 orang namun hanya 866 saja yang mahu berpindah, manakala baki 17 orang mahu terus menetap di Mesir dan 133 lagi tidak dapat dikenal pasti statusnya.

Beliau berkata, daripada jumlah itu hanya 86 pelajar saja tajaan YINK, manakala bakinya dari Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) atau Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), selain pelajar persendirian namun tugas pegawai yayasan itu ketika ini adalah untuk membantu semua pelajar dari Kedah tanpa mengira status mereka.


 Berita Harian On Line

Ahad, 6 Februari 2011

Bersabar ketika dihadapkan dengan ujian

ISLAM mengajar umatnya supaya bersabar ketika menghadapi ujian Allah , dan Allah akan sentiasa menguji kita dari semasa ke semasa. Cuma masa dan keadaan sahaja berbeza mengikut kehendak dan ketentuan-Nya. DIA akan menguji kita dengan sesuatu daripada ketakutan, kelaparan, kehilangan harta benda dan jiwa.

Di samping kita disuruh bersabar , kita juga disuruh supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat-nikmat Allah SWT yang tidak terhetung itu, yang sebahagian daripadanya barangkali kita terlepas pandang, seperti Allah SWT menolong kita dengan pelbagai cara yang kita tidak perasaan. Misalnya antara lain berlaku antara sesama manusia ; sama ada ahli-ahli keluarga sendiri, sahabat handai atau pihak-pihak tertentu lain.

Oleh itu, tidak wajarlah kita merungut-rungut atau komlen dan seumpama, jika dalam keadaan tertentu misalnya, kita terpaksa makan `roti kering' dan sebagainya , yang bukan daripada makanan lazim kita. Begitu dengan hal-hal lain yang tidak perlu disebut satu demi satu . Lebih-lebih lagi ketika saat-saat kritikal, darurat dan sebagainya seperti mana yang sedang berlaku di Mesir dan beberapa buah negara lagi di dunia ketika ini.

 "Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang bersabar". 

Khamis, 3 Februari 2011

Terima kasih kerajaan Malaysia

Kerajaan kita telah menzahirkan kesungguhannya untuk menyelamatkan semua pelajar Malaysia yang sedang menghadapi suasana sukar di Mesir ketika ini.

Kesungguhan usaha itu ditunjukkan menerusi pelbagai langkah logistik bagi membawa semua pelajar itu dari bumi Mesir ke tampat lain. Ini termasuk menggunakan kapal angkut Charlie -130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kapal laut milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pesawat-pesawat milik MAS dan Air Asia.

Langkah `penerbangan ihsan' yang diambil oleh kedua-dua syarikat penerbangan swasta itu dilihat sangat baik dan kena pada tempat dan masanya. Ia menunjukkan komitmen mereka untuk bekerjasama dengan kerajaan ketika berhadapan dengan saat-saat `cemas' seperti ni.

Langkah-langkah yang diambil itu, wajar sekali mendapat penghargaan dari semua pihak rakyat negara ini terutama ibu bapa dan waris para pelajar. Lebih-lebih lagi apabila kementerian pengajian tinggi mengumumkan bahawa dalam usaha ini `tiada pilih kasih'.

Menurut laporan media, kementerian luar menjangka kira-kira 3,000 orang pelajar akan dibawa keluar setiap hari menerusi semua jenis pengangkutan yang terlibat. Bukan senang untuk membawa jumlah sebesar lebih 10,000 orang itu.

Oleh itu, di samping kita sama-sama berdoa agar kesemua pelajar kita berada di dalam keadaan selamat kita juga rasanya patut berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi komitmen tinggi dalam mendepani masalah ini.

 

Rabu, 2 Februari 2011

Selamatkan segera pelajar Malaysia di Mesir

Halaman ini ingin merayu kerajaan Malaysia agar segera selamatkan kesemua pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Mesir kerana keadaan di negara itu dilaporkan kian meruncing di mana lebih 200,000 orang berhimpun di Kahirah menyertai tunjuk perasaan besar-besaran bagi mendesak presiden negara itu berundur setelah 30 tahun memerintah.

Bekalan eletrik, perhubungan telekomunikasi , bekalan makanan dan lain-lain dilaporkan terputus yang mana mengakibatkan kejadian jenayah seperti pecah rumah dan mencuri semakin menjadi-jadi.

Lebih 10,000 rakyat negara ini dilaporkan sedang belajar di sana dalam pelbagai jurusan pengajian. Mereka dikatakan diselumbungi perasaan cemas dan takut. Dilaporkan setakat ini 10 buah rumah pelajar kita telah dimasuki pencuri. Banyak barang-barang penting dilaporkan hilang. Terdapat juga pelajar yang kini `diserang'  gastrik dan anemia kerana kekurangan bahan makanan.

Pelajar-pelajar dilaporkan "terpaksa bergelap bagi mengelak sasaran penembak curi serta kejadian pecah rumah. Manakala stok makanan dan kad prabayar semakin berkurangan untuk menghubungi keluarga di tanah air."

Laporan media berkata, kerajaan hanya menunggu lampu hijau daripada pihak berkuasa Mesir untuk menyelamatkan rakyat Malaysia di negara yang sedang bergolak itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, beberapa rancangan utama telah dirangka oleh kemeteriannya bagi memberi bantuan segera seperti makanan dan membawa mereka keluar menerusi jalan darat.

Namun katanya, altaernatif lain yang mungkin digunakan adalah dengan membawa rakyat Malaysia keluar melalui jalan udara ke Arab Saudi.

Apa pun diharapkan kerajaan dan pihak-pihak lain juga dapat membantu dan bekerjasama menangani masalah ini.

Di Indonesia , menurut laporan media , kerajaan mengarahkan kesemua 6,200 rakyatnya termasuk 4,200 orang pelajar dibawa pulang segera. Kesemua mereka akan diterbangkan menerusi pesawat Garuda Boeng 747 yang ditempah khas oleh kerajaan.


Selasa, 1 Februari 2011

Mampukah BN tawan Kedah ?

Melihat kepada pendekatan yang digunakan oleh Datuk Seri Us. Azizan Razak , Menteri Besar Kedah setakat ini, rasanya agak sukar bagi Barisan Nasional untuk menawan semula Kedah pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sehingga kini tidak nampak isu yang `besar-besar' yang panas membakar sehingga mampu mempengaruhi sikap dan pemikiran majoriti rakyat negeri ini untuk tidak memihak kepada pemeritahan Pakatan Pembangkang yang diterajui Pas di bawah pimpinan Us. Azizan.

Malah baru-baru ini misalnya yang memperlihatkan gaya kepimpinannya serta kebijaksanaannya menggunakan pendekatan berhemah  ialah beliau mengambil sikap positif mengumumkan  `memberi sokongan penuh' terhadap projek menara Langkawi yang diumumkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad.

Beliau sendiri selaku MB Kedah dilaporkan turut hadir bersama dalam majlis pecah tanah yang disempurnakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad .

Pendekatan begini diinginkan sebahagian besar rakyat, bukan cara `bermusuh' atau `berperang' antara satu sama lain atau `mencetus isu `panas' semata-mata kerana perbezaan fahaman politik.

Rakyat pentingkan pembangunan dan kemajuan dan pada masa sama perlukan kepimipinan yang berhemah. Mungkin kelemahan tertentu di sana sini, itu adalah perkara biasa dalam kehidupan seorang manusia.

Tidak tahulah kalau BN negeri khususnya Umno mempunyai strategi yang ampoh yang boleh `memecahkan' gaya kepimpinan Us Azizan , yang tidak diketahui umum

Bukan senang menjadi wakil rakyat

Oh ! Bukan senang nak jadi wakil rakyat.
Ia tidak semudah dan seindah
seperti yang dilihat
banyak ranjau, liku dan cabaran
yang harus dilalui sebelum terpilih
mahupun selepasnya.

Juga banyak prosesnya
selain dari proses perundangan
ada proses-proses lain lagi.

Selepas hari penamaan calon
atau ketika tempoh berkempen
silap-silap haribulan semua aib masa lalu
terdedah kepada umum
yang tidak tahu akan tahu
segalanya kerana disedahkan
oleh pihak lawan.

Jika tidak tahan,
kepala boleh pening
tubuh badan bisa sakit
dan rumah tangga boleh hancur

Kalau suami atau isteri
ada perasaan cemburu
jangan bagi pasangan jadi calon.
tolaklah tawaran atau
nyahkan keinginan
berikanlah sahaja kepada orang lain .

51 kematian dalam tempoh empat hari Ops Sikap

KUALA LUMPUR, 31 Jan - Hari keempat Ops Sikap Ke 23 semalam mencatatkan 14 lagi kematian menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang terkorban sejak ops itu dilancarkan bermula 28 Januari lalu , setakat ini seramai 51 orang.

Daripada jumlah itu , penunggang dan pembonceng motorsikal terus menyumbang angka tertinggi apabila merekodkan tujuh kematian.

Berdasarkan statistik laman web Polis Diraja Malaysia , empat lagi kematian dicatatkan oleh pemandu dan penumpang kereta , manakala masing-masing satu kematian melibatkan pejalan kaki, pengguna van dan lori.

Daripada 1,250 kes kemalangan pula , jalan bandaran mencatat jumlah tertinggi iaitu 515 kes, diikuti 316 di jalan Persekutuan, jalan negeri (176), lebuh raya (175) dan jalan lain (68).

"Kemalangan maut paling tinggi dilaporkan di jalan Persekutuan iaitu lima kes, jalan negeri (tiga) jalan bandaran (dua) dan masing-masing satu kes di lebuh raya dan jalan-jalan lain."

Selain itu, sebanyak 7,917 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan trafik. - Utusan .