Isnin, 7 Februari 2011

Kedah puji usaha Kerajaan Pusat pindah pelajar

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah berpuas hati dengan layanan Kerajaan Pusat yang membantu memudahkan urusan memindahkan pelajar negeri ini yang menuntut di Mesir ke Jeddah, Arab Saudi berikutan pergolakan politik di Mesir.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pelajaran dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul berkata, pihaknya tidak menghadapi sebarang masalah membantu pelajar negeri ini berpindah berikutan kerjasama dan layanan baik yang diberikan oleh Kerajaan Pusat di sana.

Katanya, kerjasama itu dapat dijalin kerana semua pihak mementingkan keselamatan dan kebajikan pelajar terbabit. “Ini bukan soal politik dan tidak harus dipolitikkan. Kita berpuas hati dengan layanan yang diberi oleh pihak Kerajaan Pusat dalam soal membantu memudahkan pemindahan pelajar yang berasal dari Kedah ke Jeddah.

“Bagi kerajaan negeri, kita sudah mencuba sedaya upaya untuk membantu dan buat masa ini kita sudah menghantar tiga lagi pegawai tambahan menerusi Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) untuk membantu pelajar kita di sana,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, Pengurus Besar YINK, Abd Rahman Ismail berkata, 866 pelajar Kedah terbabit dalam pemindahan dengan jumlah terakhir yang sedang dipindahkan semalam 155 orang.

Katanya, secara keseluruhannya pelajar dari Kedah berjumlah 1,116 orang namun hanya 866 saja yang mahu berpindah, manakala baki 17 orang mahu terus menetap di Mesir dan 133 lagi tidak dapat dikenal pasti statusnya.

Beliau berkata, daripada jumlah itu hanya 86 pelajar saja tajaan YINK, manakala bakinya dari Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) atau Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), selain pelajar persendirian namun tugas pegawai yayasan itu ketika ini adalah untuk membantu semua pelajar dari Kedah tanpa mengira status mereka.


 Berita Harian On Line

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

camni la jawapannya, jgn jadi cam mafhuz samdol tuh...otak kepala lutut