Rabu, 23 Februari 2011

Penduduk 28 juta, parti politik 33 buah

Difahamkan sehingga kini Malaysia sebuah negara `kecil' dan mempunyai jumlah penduduk sekitar 28 juta orang mempunyai 33 buah parti politik dan difahamkan juga bahawa ada 25 lagi permohonan untuk menubuhkan parti baru.

Ia bermakna sekiranya kerajaan atau kementerian dalam negeri (KDN) yang bertanggunjawab dengan kelulusan pertubuhan berkenaan maka ia akan bertambah kepada 58 buah parti politik. Melihat kepada nisbah jumlah penduduk dan suasana serta cara berpolitik sekarang jumlah itu dilihat terlalu besar.

Oleh itu cadangan sesetengah pihak supaya KDN tidak meluluskan permohonan itu adalah satu cadangan yang baik yang wajar dipertimbangkan pihak berkuasa berkenaan. Saya setuju dengan pendapat demikian.

Ini tidak bererti mengenepikan semangat demokrasi yang diamalkan tetapi apalah ertinya demokrasi jika ketika memenuhi semangat itu berlaku pelbagai unsur-unsur tidak sihat di kalangan orang ramai seperti perpecahan dan sebagainya.

Ia mungkin disebabkan tahap `sporting' dalam menghayati aspirasi berpolitik dan pengamalan sistem demokrasi sebenar belum benar-benar wujud lagi dalam hati sanubari sebahagian besar pendukung parti-parti politik di negara kita . Kegilaan mendapat pengaruh dan kuasa dilihat terlalu kuat.

Sesetengah pihak dek kerana terlalu ghairah mengejar cita-cita politik sanggup lakukan apa sahaja sehinga melibatkan akidah keagamaan, ancaman kepada ketenteraman awam, kedaulatan negara, kepentingan bangsa, keaiban dan maruah seseorang secara keterlaluan dan sebagainya. 

Semua unsur-unsur ini jika berpanjangan tidak membawa apa-apa makna kebaikan kepada negara dan rakyat.  Rakyat biasa pula semakin `pening' dan keliru dengan sesetengah `fatwa' yang sering dikeluarkan oleh sesetengah pemimpin politik; baik yang berkaitan dengan agama khususnya Islam mahupun yang berkaitan dengan soal-soal lain seperti soal-soal kenegaraan dan sebagainya.

Jadi, jika lagi banyak parti-parti politik ditubuhkan mungkin lagi banyak kekeliruan dan ketidaktentuan akan wujud di dalam masyarakat dan negara . Dengan itu cadangan menghadkan bilangan parti-parti politik itu memang wajar dilaksanakan. Ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan suasana `politiking' yang berpanjangan di dalam masyarakat.

Tiada ulasan: