Rabu, 9 Februari 2011

Penipuan logo halal: Umat Islam kena waspada

Laporan khas Utusan Malaysia mengenai beberapa `penipuan' logo halal yang disiarkan hari ini amat merisaukan kita sebagai umat Islam yang tinggal di sebuah `negara Islam' seperti Malaysia.

Antara yang didedahkan itu adalah lima jenis barangan yang kebanyakannya daripada jenis makanan seperti mi segera dan kicap. Mi segera dan kicap merupakan makanan yang amat digemari oleh masyarakat Islam di negara ini.

Penggunaan logo halal yang tidak halal itu menjadikan pengguna Islam mudah tertipu dari segi halal haram penggunaannya, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan makanan.

Dalam keadaan masyarakat Malaysia yang majmuk ini, sungguh pun kita ada agensi-agensi kerajaan tertentu bagi mengawal status halal haram barangan yang digunakan khasnya makanan, namun umat Islam sendiri kenalah juga ambil perhatian serius dan mesti elakkan diri daripada mengambil barangan-barangan yang diragui kesahihan halal haramnya.

Publisiti logo halal yang diiktiraf hendaklah juga ditingkatkan dari semasa ke semasa oleh pihak berkuasa terbabit seperti Jabatan Kemajuan Islam malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kpenggunaan (KPDNKK). Ini untuk memudahkan orang ramai sentiasa mengenalinya. Biarlah imej logo itu sentiasa ada dalam minda dan ingatan pengguna.

Sediakan serta perbanyakkan paparan-paparan atau billboard-billboard di merata-rata tempat yang sesuai dan strategik agar ia sentiasa dilihat dan dingatkan di dalam minda umat Islam. Rasanya ia tidak sukar. Dengan hanya menggunakan sedikit peruntukan tetapi kesannya amat baik nescaya ia tidak merugikan. Pulangannya ialah umat Islam sentiasa diperingatkan dengan cara paling mudah sebagaimana diamalkan untuk iklan barangan lain juga.

Janganlah hendaknya hanya memadai dan berpuas hati dengan program `ceramah' dan kenyataan media  sahaja tanpa ada medium lain sebagai pilihan dan pengukuhan mesej.

Tiada ulasan: