Rabu, 2 Februari 2011

Selamatkan segera pelajar Malaysia di Mesir

Halaman ini ingin merayu kerajaan Malaysia agar segera selamatkan kesemua pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Mesir kerana keadaan di negara itu dilaporkan kian meruncing di mana lebih 200,000 orang berhimpun di Kahirah menyertai tunjuk perasaan besar-besaran bagi mendesak presiden negara itu berundur setelah 30 tahun memerintah.

Bekalan eletrik, perhubungan telekomunikasi , bekalan makanan dan lain-lain dilaporkan terputus yang mana mengakibatkan kejadian jenayah seperti pecah rumah dan mencuri semakin menjadi-jadi.

Lebih 10,000 rakyat negara ini dilaporkan sedang belajar di sana dalam pelbagai jurusan pengajian. Mereka dikatakan diselumbungi perasaan cemas dan takut. Dilaporkan setakat ini 10 buah rumah pelajar kita telah dimasuki pencuri. Banyak barang-barang penting dilaporkan hilang. Terdapat juga pelajar yang kini `diserang'  gastrik dan anemia kerana kekurangan bahan makanan.

Pelajar-pelajar dilaporkan "terpaksa bergelap bagi mengelak sasaran penembak curi serta kejadian pecah rumah. Manakala stok makanan dan kad prabayar semakin berkurangan untuk menghubungi keluarga di tanah air."

Laporan media berkata, kerajaan hanya menunggu lampu hijau daripada pihak berkuasa Mesir untuk menyelamatkan rakyat Malaysia di negara yang sedang bergolak itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, beberapa rancangan utama telah dirangka oleh kemeteriannya bagi memberi bantuan segera seperti makanan dan membawa mereka keluar menerusi jalan darat.

Namun katanya, altaernatif lain yang mungkin digunakan adalah dengan membawa rakyat Malaysia keluar melalui jalan udara ke Arab Saudi.

Apa pun diharapkan kerajaan dan pihak-pihak lain juga dapat membantu dan bekerjasama menangani masalah ini.

Di Indonesia , menurut laporan media , kerajaan mengarahkan kesemua 6,200 rakyatnya termasuk 4,200 orang pelajar dibawa pulang segera. Kesemua mereka akan diterbangkan menerusi pesawat Garuda Boeng 747 yang ditempah khas oleh kerajaan.


Tiada ulasan: