Khamis, 3 Februari 2011

Terima kasih kerajaan Malaysia

Kerajaan kita telah menzahirkan kesungguhannya untuk menyelamatkan semua pelajar Malaysia yang sedang menghadapi suasana sukar di Mesir ketika ini.

Kesungguhan usaha itu ditunjukkan menerusi pelbagai langkah logistik bagi membawa semua pelajar itu dari bumi Mesir ke tampat lain. Ini termasuk menggunakan kapal angkut Charlie -130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kapal laut milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pesawat-pesawat milik MAS dan Air Asia.

Langkah `penerbangan ihsan' yang diambil oleh kedua-dua syarikat penerbangan swasta itu dilihat sangat baik dan kena pada tempat dan masanya. Ia menunjukkan komitmen mereka untuk bekerjasama dengan kerajaan ketika berhadapan dengan saat-saat `cemas' seperti ni.

Langkah-langkah yang diambil itu, wajar sekali mendapat penghargaan dari semua pihak rakyat negara ini terutama ibu bapa dan waris para pelajar. Lebih-lebih lagi apabila kementerian pengajian tinggi mengumumkan bahawa dalam usaha ini `tiada pilih kasih'.

Menurut laporan media, kementerian luar menjangka kira-kira 3,000 orang pelajar akan dibawa keluar setiap hari menerusi semua jenis pengangkutan yang terlibat. Bukan senang untuk membawa jumlah sebesar lebih 10,000 orang itu.

Oleh itu, di samping kita sama-sama berdoa agar kesemua pelajar kita berada di dalam keadaan selamat kita juga rasanya patut berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi komitmen tinggi dalam mendepani masalah ini.

 

Tiada ulasan: