Isnin, 7 Mac 2011

Menjadi pemimpin politik, mulut kena jaga

Ketika memerhati pergolakan isu-isu semasa khususnya yang berkaitan dengan politik saya teringat bidalan Melayu lama yang berbunyi, "Kerana pulut santan binasa , kerana mulut badan binasa".

Sangat mendalam dan meluas rasanya maksud bidalan di atas. Ia masih relevan lagi rasanya meskipun pada zaman serba maju ini, bukan sahaja kepada diri seseorang semata-mata tetapi juga merangkumi institusi , pertubuhan, persatuan, entiti-entiti lain dan sebagainya.

Bagi sesuatu pertubuhan seperti politik ketelanjuran lidah yang tidak dikawal sebaik-baiknya seperti mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak terbatas skop idelogi dan kaitan isu perbincangannya dengan keperluan persekitaran oleh seseorang pemimpin boleh mendatangkan kesan buruk kepada partinya.

Tanpa melihat kepada mana-mana ideologi atau parti politik tertentu, seseorang pemimpin harus memiliki keupayaan yang tinggi dalam bercakap dan bertindak secara bijaksana dengan mengambil kira pelbagai kesesuaian dengan persekitaran budaya dan sistem nilai komuniti dan negaranya.

Sekiranya ini tidak dipedulikan atau dipandang ringin, tunggulah padah buruk akan tiba kemudiannya, jika tidak pada dirinya akan terkena parti pimpinannya. Ini kerana sesuatu kenyataan atau tingkah laku yang terpancar dari seseorang pemimpin akan dilihat atau didengar malah dinilai bukan sahaja oleh ahli fanatik partinya tetapi juga mereka yang masih tidak mmemihak kepada mana-mana parti, bahkan mungkin oleh sebahagian kecil penyokong parti lawannya.

Semua kumpulan itu sebaenarnya boleh menjadi aset kepada pengaruh sesebuah parti tetapi para pemimpin parti politik berkenaan hendaklah tahu menjaga dan mengawalnya, terutama menerusi tutur katanya atau lebih tepat kenyataannya di samping tindakannya di dalam mendepani sesuatu isu , terutama yang berkaitan langsung dengan emosi komunitinya.

Sebaliknya jika ini tidak dipedulikan, dan lebih buruk jika amalan seperti itu berpanjangan, perasaan meluat akan menerpa ke dalam hati nurani komuniti massa yang seterusnya membentuk sikap tidak menyukai partinya dan akhirnya akan tewas dengan teruknya di dalam mana-mana pilihan raya yang diadakan.

Oleh itu, para pemimpin parti-parti politik khususnya di negara yang mengamal sistem demokrasi berparlimen ini, berhati-hatilah di dalam membuat sebarang kenyataan dan tindakan agar tidak menimbulkan perasaan meluat dan benci di hati orang ramai yang akan menterjemahkannya di dalam kotak-kotak pembuangan undi ketika berlakunya pilihan raya. 

Tiada ulasan: