Selasa, 29 Mac 2011

Menjadi pengacara bukan kerja mudah

Mungkin sebahagian dari kita beranggapan tugas pengacara sesuatu majlis adalah `kerja mudah'. Namun berasaskan pengalaman saya selama lebih tiga puluh tahun di dalam bidang berkaitan di samping sedikit pengetahuan yang dipelajari secara formal, saya dapati ia adalah suatu kerja yang agak sukar yang memerlukan pemerhatian, kepekaan, kecekapan menggunakan kata-kata dan sebagainya.

Ia berbeza antara satu majlis dengan yang lain. Yang formal amat berbeza dengan yang separuh formal dan tidak formal. Pengendaliannya mesti bersesuaian dengan bentuk dan jenis majlis. Lebih-lebih lagi bila mana sesuatu majlis itu tetemu utamanya  terdiri dari pemimpin atau ketua negara atau negeri. Ringkasnya orang besar-besar.

Susun atur patah-patah perkataannya mestilah bersesuaian dengan bentuk dan majlis yang dikendalikan. Tingkahlaku serta pakaian pengacaranya juga harus bersesuaian dengan bentuk dan jenis majlis. Pada minggu lepas saya berkesempatan menonton sebuah rancangan realiti tv yang dikendalikan oleh sebuah stesen tv dan disiarkan secara langsung .

Majlis itu diacara oleh dua pengacara - seorang lelaki dan seorang lagi wanita. Tetamu Utama majlis itu yang saya dapat kesan ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Mahyuddin Yasin dan Pengerusi sebuah syarikat induk bagi beberapa saluran tv di negara ini. Kedua-duanya orang besar-besar yang perlu ada penghormatan tertentu.

Tapi nampak jelas cara majlis itu diacarakan tidak begitu profesional. Pengacara wanitanya agak `over' dan tidak menyusaikan diri dengan majlis . Antara yang ketara ialah tutur katanya kelihatan seperti tidak terkawal atau dikawal, seolah-olah majlis itu majlis `makan malam' yang tidak formal. Dia kelihatan banyak `merepek dan merapu' - yang tidak sepatutnya berlaku dalam pengacaraan sebuah majlis formal seperti itu, lebih lagi bila tetamu utamanya seorang pemimpin negara dan ia pula disiarkan secara langsung. Lainlah halnya jika majlis itu tertutup atau tidak formal.  

Cara menjemput pemimpin berkenaan naik ke atas pentas juga saya lihat kurang profesional. Mengapa tidak diumumkan seperti menjemput Pengerusi (syarikat) untuk `mempersilakan serta mengiiringi YAB Timbalan Perdana Menteri naik ke atas pentas untuk melakukan upacara sekian, sekian'...Cara begini saya rasa lebih manis. Wallahu  a'lam.

Insiden itu sama ada tidak disengajakan atau sebaliknya saya berharap ia tidak berulang dan tidak dilakukan lagi oleh pihak-pihak lain yang melibatkan majlis formal yang perlu kepada pengendalian pengacaraan secara serius dan apatah lagi jika ianya disiarkan secara langsung untuk tontonan massa.

Pandangan ini adalah pandangan ikhlas demi kebaikan bersama.

Tiada ulasan: