Khamis, 17 Mac 2011

Pegawai Bomba di Pulau Pinang kena pukul ?

Perbuatan menyerang , memukul, mencederakan, bahkan membunuh pegawai dan anggota polis ketika menjalankan tugas memang kita pernah mendengar ceritanya menerusi laporan media sebelum ini. Ini mungkin disebabkan sebahagian dari tugas mereka sememangnya berdepan secara langsung dengan kumpulan penjenayah dan samseng, termasuk `samseng' jalan raya.

Dan boleh dikatakan kebanyakan agensi kerajaan lain juga di negara ini yang tugasnya berdepan dengan kumpulan-kumpulan berkenaan atau yang ada kaitan dengan kumpulan berkenaan secara langsung atau tidak langsung memang besar kemungkinan akan berdepan juga dengan insiden-insiden sedemikian .  

Tetapi rasanya berita mengenai perbuatan sama terhadap pegawai dan anggota pasukan bomba dan penyelamat belum pernah kita mendengarnya selama ini. Ini mungkin kerana sebahagian besar tugas mereka adalah berdepan dengan makhluk selain dari manusia - malahan menjadi musuh kepada manusia iaitu api.

Namun beberapa hari lalu kejadian memukul anggota bomba dan penyelamat dilaporkan berlaku di suatu kawasan kebakaran di negeri Pulau Pinang . Puncanya dikatakan pegawai berkenaan enggan  mempedulikan `arahan' segelintir masyarakat setempat di tempat kebakaran.

Insiden itu agak mengejutkan kerana sebagai pegawai dan anggota bomba sudah tentulah mereka sentiasa diberikan latihan mencukupi mengenai cara serta teknik melaksanakan tugas-tugas mereka termasuk cara memadam kebakaran. Dan agak mengejutkan juga kerana selama ini di mana-mana pun di Malaysia ini, termasuk di negeri Pulaua Pianang sendiri tidak pernah dilaporkan terdapat anggota masyarakatnya memukul anggota bomba dan penyelamat.

Kebelakangan ini tiba-tiba kejadian itu berlaku. Sepatutnya masyarakat Malaysia yang sekarang ini sedang diterapkan dengan semangat 1Malaysia mampu memahami dan sedar mengenai tugas-tugas agensi-agensi kerajaan dan sewajarnya insiden seperti ini tidak berlaku . Masyarakat 1Malaysia hendaknya tidak dinodai oleh emosi berlebihan dalam apa jua keadaan dan situasi . Tidak salah rasanya kalau `nak ajar itik berenang ' tetapi biarlah kena cara dan keadaannya.



Tiada ulasan: