Rabu, 27 April 2011

Keputusan Matrikulasi keluar esok

KUALA LUMPUR 26 April -  Keputusan permohonan bagi Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran Sessi 2011/2012 boleh diketahui pada khamis ini (esok)

Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, lulusan Sijil Pelajaran Malaysia yang memohon program berkenaan antara 10 Julai hingga 10 Oktober lalu boleh menyemak keputusan permohonan mereka melalui laman web http://www.moe.gov.my/ dengan memasukkan nombor kad pengenalan masing-masing. -  Utusan


Pandang Orang Kampung

Tahniah kepada mereka yang berjaya ! Tapi jangan lupa bahawa kejayaan itu adalah satu amanah daripada ibu bapa, keluarga, bangsa dan negara. Ia adalah laluan terpenting ke pusat pengajian tinggi. Jadi, apa juga kursus yang diambil hendaklah belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga mendapat kejayaan cemerlang. di dalam peperiksaan. Jangan nakal-nakal, ikut nasihat pensyarah masing-masing, hormat pensyarah, ingat masa depan sendiri, harapan ibu bapa, keluarga dan bangsa. Difahamkan setiap pengambilan mengandungi 90 peratus adalah bumiputera, manakala selebihnya kaum-kaum lain. Wujudkan suasana pesaingan yang sihat sesama sendiri. Kejarkan markah yang terbaik. Semoga berjaya ! 1 Malaysia.

Pengajaran dari isu nasi lemak

Tiba-tiba pada minggu lalu Kementerian Kesihatan membuat pengumuman nasi lemak dan berbelas-belas jenis makanan lagi dilarang dijual atau dihadkan penjualannya di kantin-kantin sekolah; bahkan di luar pagar sekolah. Puncanya isu gemuk di kalangan kanak-kanak yang dibangkitkan segelintir orang. Entah kenapa kementerian kesihatan latah sangat dengan isu itu tidak diketahui.

Ekoran tindakan kementerian kesihatan itu timbul pelbagai reaksi kurang menyenangkan dari kalangan orang ramai termasuk persatuan pengguna, persatuan ibu bapa, bekas pendidik, penjaja, penulis pojok akhbar dan sebagainya. 

Kita tidak nafi kepakaran kementerian kesihatan dalam perkara mengenai penjagaan kesihatan , namun begitu untuk sekolah dan pelajarnya ada kaedah , pendekatan dan cara lain yang boleh digunakan bagi menyelesaikan isu berkaitan meskipun isu berkaitan kesihatan. Ini kerana premis sekolah adalah di bawah tanggungjawab kementerian pelajaran . Jadi, biarlah kementerian terbabit sahaja yang membuat kenyataan atau mengeluarkan arahan , kenapa harus kementerian lain.

Oleh itu , peraturan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian kesihatan secara `perseorangan' itu agak janggal bunyinya. Lebih-lebih lagi ia berlaku secara drastik . Apa halnya ? Sedangkan sepatutnya ia menerusi sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan dan dianggotai oleh beberapa kementerian lain yang antara lainya termasuk kementerian kesihatan . Itu adalah lebih baik dan sedap bunyinya. 

Dan jawatankuasa itu pula tentulah lebih elok jika ia dipengerusikan oleh menteri pelajaran kerana perkara itu membabitkan secara langsung sekolah dan pelajar di bawah tanggungjawab kementerian berkenaan. Tetapi malangnya tidak begitu nampaknya. Apakah insiden itu kerana pada minggu lalu menteri pelajaran yang juga timbalan perdana menteri berada di luar negara, wallahu a'lam.

Namun hari ini media menyiarkan kenyataan timbalan perdana menteri yang juga menteri pelajaran bahawa larangan penjualan nasi lemak di kantin sekolah belum `dimuktamadkan lagi' dan masih perlukan lebih banyak perbincangan lagi dengan pihak-pihak berkaitan termasuk pengusaha kantin. Ini satu implikasi yang memalukan . Mana kementerian kesihatan mahu letak muka. Imejnya tercalar Inilah padahnya jika kuasa diguna tanpa pada tempatnya atau tidak berhemah.

Diharapkan insiden ini dapat dijadikan satu pengajaran di dalam mendekati sesuatu isu agar tidak berlaku pertindihan kuasa antara satu sama lain di kalangan kementerian atau agensi kerajaan yang ditertawakan oleh rakyat jelata.

Sabtu, 23 April 2011

Beri perhatian serius nasihat Mufti Perlis

Mufti Perlis menasihatkan supaya penyelesaian isu video seks yang hangat diperkatakan sekarang yang mana didakwa dilakukan oleh seorang pemimpin pembangkang itu perlu dibuat mengikut `saluran Islam'. Nasihat itu disampaiaknnya menerusi laporan akhbar Berita Harian yang disiarkan hari ini.

Sehingga kini isu itu masih hangat diperkatakan umum, terutama oleh orang-orang politik. Sekumpulan orang yang mendakwa diri mereka `Datuk T' kerana ada tiga individu yang masing-masing bergelar Datuk baru-yang mendedahkan isu itu kepada media, baru-baru ini dilaporkan media sanggup bersumpah di hadapan Kaabah, iaitu tempat suci bagi orang Islam di mana ia dijadikan kiblat untuk solat orang Islam dan terletak di dalam masjidil Haram di Mekkah al-Mukarramah.

Mufti Perlis meminta pihak terbabit (yang membuat pertuduhan dan yang kena tuduh) agar membuat penyelesaian isu tersebut dengan `cara Islam'  iaitu sama ada pihak yang dituduh tampil mengaku perbuatannya itu atau pihak yang menuduh mendatangkan empat orang saksi yang `adil' yakni bukan fasik atau bersedia menerima sebatan 80 kali (mengikut hukum syarak yang bersabit dengan perbuatan qazaf) iaitu kerana menuduh orang Islam lain berzina.

Sebagai orang Islam pandangan Mufti Perlis itu kenalah diberikan perhatian serius kerana ia mebabitkan hukum Allah, malah Mufti juga dilaporkan berkata, jika isu itu terus diperkatakan tanpa mengguna saluran syariat ia seolah-olah mempersendakan hukum syarak (wa iya zubillah).

Di samping itu kita juga sangat-sangat berharap agar mana-mana pihak, terutamanya umat Islam sendiri jangan libatkan Ka'abah dengan sewenang-wenangnya dalam mendepani isu-isu seperti ini dan masyarakat Islam di negara ini mengharap isu ini segera ditamatkan.

Isnin, 18 April 2011

Orang Melayu patut belajar dengan orang Cina

Orang Melayu patut belajar dengan orang Cina macam mana hendak membangun dan mempertahankan kelangsungan bangsanya sama ada dalam bidang ekonomi, politik, bahasa, budaya dan lain-lain.

Orang Melayu juga patut bersyukur dan merasa bangga kerana dapat bersahabat dengan orang Cina di negara sendiri, dengan tak payah membawa diri merantau ke negara China bagi mempelajari cara-cara orang Cina berfikir, bertingkahlaku dan bertindak khususnya di dalam merencana agenda kelangsungan bangsa dan budaya sendiri.

Banyak tauladan dan pengajaran yang boleh diambil oleh orang Melayu hasil dari jalinan persahabatan tersebut. Misalnya keputusan pilihan raya umum negeri (DUN) Sarawak yang baru berlangsung beberapa hari lalu dan pilihan raya umum Persekutuan beberapa tahun lalu dan beberapa pilihan raya kecil yang telah diadakan adalah dengan jelas membuktikan mereka amat konsisten dalam perjuangan menegakkan budaya dan bangsa mereka.

Sebuah parti yang dilihat jelas memperjuangkan kelangsungan bangsa dan budaya Cina di negara ini, iaitu DAP terus-terusan mendapat sokongan padu orang Cina yang dipamerkan menerusi keputusan pilihan raya -pilhan raya yang diadakan , kecil atau umum.

Apakah mustahil trend kencenderungan sebegini akan berterusan selama-lamanya atau paling dekat pada pilihan raya umum akan datang ? Orang-orang politik , terutama dari bangsa Melayu - tak kiralah kerajaan atau pembangkang - tentulah ada jawapannya .

Dan orang Melayu kena fikir lagi dan lagi apakah cara mereka memperjuangkan matlamat dan gagasan politik mereka kebelakangan ini sesuai atau tidak dengan keadaan semasa yang berwarna warni yang dipancarkan oleh sistem masyarakat majmuk negara ini . Pun terpulanglah kepada orang-orang politik untuk merencanakan langkah . 

Apakah masih ada kewajarannya orang Melayu untuk terus dan terus dengan cara suka bergaduh sesama sendiri sehingga berlarutan beberapa tahun tak habis-habis ?

Apakah pergaduhan sesama sendiri menerusi macam-macam isu itu akan menguntungkan bangsa Melayu di tanah airnya sendiri atau sebaliknya ? Fikir-fikirlah sendiri.

Selasa, 5 April 2011

Segelas air boleh hilangkan tekanan emosi

Pada Khamis 31 Mac lalu sebuah akhbar harian melaporkan seorang isteri muda berusia 28 tahun dan sedang hamil empat bulan cedera di kepala dan badan kerana didakwa dipukul suaminya ketika dia meminta suaminya belikannya buah munggai dan lempok durian . Kejadian itu dilaporkan berlaku di sebuah kawasan di Kula Lumpur.

Dilaporkan juga bahawa sebelum kejadian itu pun si isteri telah meminta `macam-macam' kerana mungkin `mengidam', namun perimintaannya itu dipenuhi oleh suami. Jadi mungkin hari kejadian mood atau emosi suami kurang stabil yang mungkin disebabkan oleh beberapa perkara lain.

Di sini ada dua tiga perkara yang boleh kita lihat untuk dijadikan teladan dan pengajaran, terutama bagi generasi muda yang baru berkahwin.

Dalam masyarakat Melayu lama sejauh yang saya tahu sebahagian wanita mengandung atau hamil mengalami berbagai kelakuan dan idaman untuk makan dan sebagainya yang diistilahkan sebagai `mengidam'. Fenomena seperti ini didapati wujud sejak sekian lama. 

Kepercayaan masyarakat Melayu mengenai perkara ini adalah bukan si ibu yang sebenarnya berkeadaan sedemikian tetapi dikatakan `jelmaan' dari tingkah laku atau `sifat' yang ada pada bayi yang sedang dikandunginya. Lantaran itu dikatakan jika tidak dipenuhi tuntutan `mengidam' itu maka ia akan memberi kesan kepada bayi setelah dilahirkan.

Bagaimana pun itu hanya satu kepercayaan . Benar atau tidak adalah atas kehendak dan ketentuan Allah jua. Tetapi yang lebih penting untuk kita renungi di sini ialah apabila seseorang isteri ingin meluahkan sesuatu hasrat atau keinginan atau apa-apa jua perkhabaran kepada suami caranya hendaklah betul, yakni sesuai dengan keadaan dan masa.

Tidak salah bagi seseorang isteri memohon bantuan  suaminya untuk mendapatkan sesuatu, apatah lagi ketika sedang mengandung atau hamil tetapi hendaklah disesuaikan dengan masa dan keadaan.

Ketika saya masih kecil, kira-kira 50 tahun lalu saya sering dengar orang tua-tua di kampung saya mengingatkan anak-anak perempuan mereka supaya memilih masa dan keadaan yang sesuai untuk meminta atau menceritakan sesuatu kepada suami mereka, terutama yang melibatkan emosi .

Masa yang paling sesuai ialah pada waktu rehat seperti waktu malam, selepas makan dan sebagainya. Kerana waktu itu dikatakan keadaan emosi dan fikiran lebih tenang. Sebaliknya waktu suami baru pulang dari kerja atau perjalanan jauh adalah masa yang tidak sesuai kerana pelbagai keadaan boleh berlaku sebelumnya, termasuk penat disebabkan bekerja , tekanan di tempat kerja dan sebagainya, termasuk keadaan `jam' di jalan raya pada ketika ini.

Sebab itu sesetengah orang tua-tua dalam masyarakat Melayu zaman dahulu menasihatkan anak-anak perempuan agar ketika suami baru pulang dari tempat kerja dihidangkan segelas air sejuk terlebih dahulu sebelum bercakap mengenai perkara-perkara lain sehinggalah dilihat suaminya `sudah sejuk'. Tujuannya untuk mengelak perkara-perkara tidak diingini berlaku antara suami dan isteri.

Dalam zaman serba moden ini amalan-amalan seperti ini mungkin sekarang ini tidak lagi dipedulikan oleh generasi sekarang. Saya percaya amalan-amalan ini masih lagi relevan untuk dipraktikkan bagi mengelak dari berlakunya akibat tidak baik antara suami dan isteri seperti kekasaran suami terhadap isteri dan sebagainya.

Wallahu a'lam.