Isnin, 18 April 2011

Orang Melayu patut belajar dengan orang Cina

Orang Melayu patut belajar dengan orang Cina macam mana hendak membangun dan mempertahankan kelangsungan bangsanya sama ada dalam bidang ekonomi, politik, bahasa, budaya dan lain-lain.

Orang Melayu juga patut bersyukur dan merasa bangga kerana dapat bersahabat dengan orang Cina di negara sendiri, dengan tak payah membawa diri merantau ke negara China bagi mempelajari cara-cara orang Cina berfikir, bertingkahlaku dan bertindak khususnya di dalam merencana agenda kelangsungan bangsa dan budaya sendiri.

Banyak tauladan dan pengajaran yang boleh diambil oleh orang Melayu hasil dari jalinan persahabatan tersebut. Misalnya keputusan pilihan raya umum negeri (DUN) Sarawak yang baru berlangsung beberapa hari lalu dan pilihan raya umum Persekutuan beberapa tahun lalu dan beberapa pilihan raya kecil yang telah diadakan adalah dengan jelas membuktikan mereka amat konsisten dalam perjuangan menegakkan budaya dan bangsa mereka.

Sebuah parti yang dilihat jelas memperjuangkan kelangsungan bangsa dan budaya Cina di negara ini, iaitu DAP terus-terusan mendapat sokongan padu orang Cina yang dipamerkan menerusi keputusan pilihan raya -pilhan raya yang diadakan , kecil atau umum.

Apakah mustahil trend kencenderungan sebegini akan berterusan selama-lamanya atau paling dekat pada pilihan raya umum akan datang ? Orang-orang politik , terutama dari bangsa Melayu - tak kiralah kerajaan atau pembangkang - tentulah ada jawapannya .

Dan orang Melayu kena fikir lagi dan lagi apakah cara mereka memperjuangkan matlamat dan gagasan politik mereka kebelakangan ini sesuai atau tidak dengan keadaan semasa yang berwarna warni yang dipancarkan oleh sistem masyarakat majmuk negara ini . Pun terpulanglah kepada orang-orang politik untuk merencanakan langkah . 

Apakah masih ada kewajarannya orang Melayu untuk terus dan terus dengan cara suka bergaduh sesama sendiri sehingga berlarutan beberapa tahun tak habis-habis ?

Apakah pergaduhan sesama sendiri menerusi macam-macam isu itu akan menguntungkan bangsa Melayu di tanah airnya sendiri atau sebaliknya ? Fikir-fikirlah sendiri.

Tiada ulasan: