Rabu, 27 April 2011

Pengajaran dari isu nasi lemak

Tiba-tiba pada minggu lalu Kementerian Kesihatan membuat pengumuman nasi lemak dan berbelas-belas jenis makanan lagi dilarang dijual atau dihadkan penjualannya di kantin-kantin sekolah; bahkan di luar pagar sekolah. Puncanya isu gemuk di kalangan kanak-kanak yang dibangkitkan segelintir orang. Entah kenapa kementerian kesihatan latah sangat dengan isu itu tidak diketahui.

Ekoran tindakan kementerian kesihatan itu timbul pelbagai reaksi kurang menyenangkan dari kalangan orang ramai termasuk persatuan pengguna, persatuan ibu bapa, bekas pendidik, penjaja, penulis pojok akhbar dan sebagainya. 

Kita tidak nafi kepakaran kementerian kesihatan dalam perkara mengenai penjagaan kesihatan , namun begitu untuk sekolah dan pelajarnya ada kaedah , pendekatan dan cara lain yang boleh digunakan bagi menyelesaikan isu berkaitan meskipun isu berkaitan kesihatan. Ini kerana premis sekolah adalah di bawah tanggungjawab kementerian pelajaran . Jadi, biarlah kementerian terbabit sahaja yang membuat kenyataan atau mengeluarkan arahan , kenapa harus kementerian lain.

Oleh itu , peraturan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian kesihatan secara `perseorangan' itu agak janggal bunyinya. Lebih-lebih lagi ia berlaku secara drastik . Apa halnya ? Sedangkan sepatutnya ia menerusi sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan dan dianggotai oleh beberapa kementerian lain yang antara lainya termasuk kementerian kesihatan . Itu adalah lebih baik dan sedap bunyinya. 

Dan jawatankuasa itu pula tentulah lebih elok jika ia dipengerusikan oleh menteri pelajaran kerana perkara itu membabitkan secara langsung sekolah dan pelajar di bawah tanggungjawab kementerian berkenaan. Tetapi malangnya tidak begitu nampaknya. Apakah insiden itu kerana pada minggu lalu menteri pelajaran yang juga timbalan perdana menteri berada di luar negara, wallahu a'lam.

Namun hari ini media menyiarkan kenyataan timbalan perdana menteri yang juga menteri pelajaran bahawa larangan penjualan nasi lemak di kantin sekolah belum `dimuktamadkan lagi' dan masih perlukan lebih banyak perbincangan lagi dengan pihak-pihak berkaitan termasuk pengusaha kantin. Ini satu implikasi yang memalukan . Mana kementerian kesihatan mahu letak muka. Imejnya tercalar Inilah padahnya jika kuasa diguna tanpa pada tempatnya atau tidak berhemah.

Diharapkan insiden ini dapat dijadikan satu pengajaran di dalam mendekati sesuatu isu agar tidak berlaku pertindihan kuasa antara satu sama lain di kalangan kementerian atau agensi kerajaan yang ditertawakan oleh rakyat jelata.

Tiada ulasan: