Selasa, 5 April 2011

Segelas air boleh hilangkan tekanan emosi

Pada Khamis 31 Mac lalu sebuah akhbar harian melaporkan seorang isteri muda berusia 28 tahun dan sedang hamil empat bulan cedera di kepala dan badan kerana didakwa dipukul suaminya ketika dia meminta suaminya belikannya buah munggai dan lempok durian . Kejadian itu dilaporkan berlaku di sebuah kawasan di Kula Lumpur.

Dilaporkan juga bahawa sebelum kejadian itu pun si isteri telah meminta `macam-macam' kerana mungkin `mengidam', namun perimintaannya itu dipenuhi oleh suami. Jadi mungkin hari kejadian mood atau emosi suami kurang stabil yang mungkin disebabkan oleh beberapa perkara lain.

Di sini ada dua tiga perkara yang boleh kita lihat untuk dijadikan teladan dan pengajaran, terutama bagi generasi muda yang baru berkahwin.

Dalam masyarakat Melayu lama sejauh yang saya tahu sebahagian wanita mengandung atau hamil mengalami berbagai kelakuan dan idaman untuk makan dan sebagainya yang diistilahkan sebagai `mengidam'. Fenomena seperti ini didapati wujud sejak sekian lama. 

Kepercayaan masyarakat Melayu mengenai perkara ini adalah bukan si ibu yang sebenarnya berkeadaan sedemikian tetapi dikatakan `jelmaan' dari tingkah laku atau `sifat' yang ada pada bayi yang sedang dikandunginya. Lantaran itu dikatakan jika tidak dipenuhi tuntutan `mengidam' itu maka ia akan memberi kesan kepada bayi setelah dilahirkan.

Bagaimana pun itu hanya satu kepercayaan . Benar atau tidak adalah atas kehendak dan ketentuan Allah jua. Tetapi yang lebih penting untuk kita renungi di sini ialah apabila seseorang isteri ingin meluahkan sesuatu hasrat atau keinginan atau apa-apa jua perkhabaran kepada suami caranya hendaklah betul, yakni sesuai dengan keadaan dan masa.

Tidak salah bagi seseorang isteri memohon bantuan  suaminya untuk mendapatkan sesuatu, apatah lagi ketika sedang mengandung atau hamil tetapi hendaklah disesuaikan dengan masa dan keadaan.

Ketika saya masih kecil, kira-kira 50 tahun lalu saya sering dengar orang tua-tua di kampung saya mengingatkan anak-anak perempuan mereka supaya memilih masa dan keadaan yang sesuai untuk meminta atau menceritakan sesuatu kepada suami mereka, terutama yang melibatkan emosi .

Masa yang paling sesuai ialah pada waktu rehat seperti waktu malam, selepas makan dan sebagainya. Kerana waktu itu dikatakan keadaan emosi dan fikiran lebih tenang. Sebaliknya waktu suami baru pulang dari kerja atau perjalanan jauh adalah masa yang tidak sesuai kerana pelbagai keadaan boleh berlaku sebelumnya, termasuk penat disebabkan bekerja , tekanan di tempat kerja dan sebagainya, termasuk keadaan `jam' di jalan raya pada ketika ini.

Sebab itu sesetengah orang tua-tua dalam masyarakat Melayu zaman dahulu menasihatkan anak-anak perempuan agar ketika suami baru pulang dari tempat kerja dihidangkan segelas air sejuk terlebih dahulu sebelum bercakap mengenai perkara-perkara lain sehinggalah dilihat suaminya `sudah sejuk'. Tujuannya untuk mengelak perkara-perkara tidak diingini berlaku antara suami dan isteri.

Dalam zaman serba moden ini amalan-amalan seperti ini mungkin sekarang ini tidak lagi dipedulikan oleh generasi sekarang. Saya percaya amalan-amalan ini masih lagi relevan untuk dipraktikkan bagi mengelak dari berlakunya akibat tidak baik antara suami dan isteri seperti kekasaran suami terhadap isteri dan sebagainya.

Wallahu a'lam.






Tiada ulasan: