Sabtu, 28 Mei 2011

Bagaimana mendekati rakyat ?

Setiap kali menjelang pilihan raya program `mendekati rakyat' atau dikenali juga sebagai program `turun padang' akan bergema di sana sini di seluruh pelusuk negara. Tujuan di sebalik program seumpama itu adalah sangat jelas iaitu untuk menawan hati rakyat khususnya pengundi agar menyokong parti-parti politik tertentu yang akan bertanding pada pilihan raya yang akan diadakan itu.

Sehingga kini program tersebut dilihat lebih menjurus kepada mendekati secara fizikal iaitu dengan seseorang VIP atau VVIP turun ke lapangan menerusi majlis-majlis rasmi tertentu yang diaturkan dan memberi ucapan di samping bersalaman dengan sebanyak mungkin rakyat, berbual, bertanya khabar dan lain-lain. Selalunya habis majlis, habislah cerita itu. Pemimpin pulang dan rakyat pun pulang.

Jika ada sesuatu `janji' yang diberikan semasa ucapan, maka janji itu akan dijadikan `rujukan' oleh rakyat semasa kempen pilihan raya berlangsung dan kemungkinan sehingga ke saat membuang undi. Fenomena sebegini adalah sebagai sesuatu yang amat biasa yang dapat disaksikan sehingga kini.

Memang bagus dan baiknya program tersebut . Matlamat untuk mendapatkan kepercayaan rakyat boleh dicapai , meskipun tidak keseluruhannya. Tapi sehingga berapa lama ?

Namun ada lagi satu kaedah yang juga sangat penting tapi kini seolah-olah ia diambil pusing . Terutama bagi mereka yang kurang pengalaman dalam politik dan mementing diri sendiri . Ia tidak perlu turun padang untuk mendekati dan menawan hati nurani rakyat .

Sebaliknya ia hanya memadai dengan cara menerusi perancangan serta pelaksanaan dasar-dasar tertentu yang melibatkan secara langsung kepentingan rakyat jelata , tertutama seperti dasar-dasar yang berkaitan dengan barangan keperluan harian dan perkhidmatan yang melibatkan rakyat jelata.

Sekiranya dasar-dasar mengenai aspek-aspek tersebut dapat dilaksanakan dengan penuh timbang rasa, bijaksana, saksama dan adil kepada rakyat nescaya hati rakyat akan terpikat dan tertawan dengan kempinanan dan parti-parti yang menjadi pemerintah semasa.

Sebaliknya jika perasaan rakyat tidak diambil peduli ketika merencanakan dasar-dasar tersebut,  dikhuatiri kesannya akan menjadi sebaliknya; walaupun mungkin tidak 100 peratus. Pengalaman daripada PRU 2008 cukup membuktikan kaedah ini adalah salah satu faktor yang diabaikan sedangkan ia sangat berkesan dan amat berfaedah.  

Tiada ulasan: