Jumaat, 6 Mei 2011

Beza antara kerajaan dan pegawai kerajaan

Beza antara kerajaan dan pegawai kerajaan mengikut sistem yang diamalkan di negara ini adalah sangat mudah. Kerajaan adalah `pembuat dasar' , undang-undang dan peraturan pentadbiran. Manakala pegawai-pegawai kerajaan adalah sebagai `pelaksana' terhadap semua perkara tersebut.

Satu lagi cirinya ialah kerajaan dipilih oleh rakyat menerusi pilihan raya dan pegawai kerajaan pula dilantik oleh sebuah badan khas yang dinamakan suruhanjaya perkhidmatan awam atau seumpama, sama ada di peringkat pusat atau di peringkat negeri.

Dari segi disiplin , moral dan peraturannya pegawai kerajaan mesti taat kepada arahan kerajaan dan segala peraturan yang dibuat, jika tidak ia akan dianggap melanggar `hukum tatertib' yang ditetapkan yang dikenali sebagai Perintah Am (GO).

Setiap dasar, undang-undang dan sebagainya dibuat oleh kerajaan menerusi institusi-institusi berbeza antara pusat dan negeri .

Di peringkat pusat lazimnya sesuatu dasar itu dibuat oleh `kabinet' atau `jemaah menteri' yang terdiri daripada menteri-menteri dan diketuai oleh perdana menteri . Undang-undang pula biasanya dibuat oleh parlimen yang merangkumi Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Yang Di Pertuan Agong.

Manakala di peringkat negeri sesuatu dasar dibuat oleh ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri yang dikenali sebagai EXCO yang diketuai oleh menteri besar atau ketua menteri dan undang-undang dibuat oleh dewan undangan negeri (DUN) masing-masing. Sedangkan pegawai kerajaan secara amnya tiada langsung terlibat. 

Oleh itu sebarang keputusan mengenai kedudukan sesuatu dasar sama ada untuk dilaksanakan sepenuhnya, sebahagian daripadanya, atau tiada langsung dilaksanakan bagi sesuatu ketika tertentu adalah tertakluk di bawah `kata putus' kerajaan, bukan pegawai kerajaan; kerana pegawai kerajaan hanya `tukang pelaksana' sahaja, termasuk yang berkaitan dengan cukai dan sebagainya.

Dengan hal demikian pemimpin kerajaan , baik di peringkat pusat atau negeri tidaklah patut meletakkan tanggungjawab `membuat keputusan' itu dan ini kepada agensi kerajaan atau pegawai kerajaan. Kerajaan mesti mengambil tanggungjawab itu. 

Pemimpin kerajaan mestilah berani dan telus untuk mengatakan bahawa (jika berlaku perubahan di dalam sesuatu dasar itu) ia adalah dibuat oleh kerajan , bukan pegawai kerajaan.

Ini perlu supaya rakyat jelata dapat tahu dengan jelas bahawa `yang ada hak' membuat keputusan mengenai sesuatu dasar itu adalah kerajaan , bukan pegawai kerajaan. Sama ada keputusan itu boleh membawa risiko (politik) atau tidak terpulanglah kepada keadaan. Rakyat akan menentukannya.  

Tiada ulasan: