Selasa, 17 Mei 2011

Pemuda UMNO harap RON95 tidak naik

KUALA LUMPUR 16 Mei - Pergerakan Pemuda UMNO berharap kerajaan tidak menaikkan harga petrol RON95 sebaliknya mencari jalan ke arah penjimatan dan berusaha meningkatkan hasil negara, demi memastikan kebajikan rakyat terjamin.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, usaha ke arah penjimatan kos pengurusan dan peningkatan produktiviti serta kecekapan kerajaan haruslah mendahului sebarang langkah untuk mengurangkan perbelanjaan negara seperti subsidi minyak ketika ini.

"Kami amat berharap usaha ke arah penjimatan bestari melalui kecekapan operasi, selain meningkatkan nilai aset serta sumber pendapatan negara diterokai secara serius.

"Ia perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum kerajaan mengambil sebarang tindakan untuk mengurangkan perbelanjaan negara," katanya dalam blognya, http://www.rembau.net.my hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggesa rakyat untuk bersiap sedia dengan kemungkinan kenaikan harga minyak RON95.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican juga sependapat dengan pandangan Khairy yang disifatkannya sebagai berasas.

Katanya, kerajaan perlu terlebih dahulu melihat kepada usaha penjimatan bersifat dalaman berbanding mengambil tindakan pantas mahu mengenakan beban kepada pengguna.

"Kenaikan harga petrol RON95 hanya akan memberi tekanan kepada ramai pengguna, sekali gus menyukarkan kehidupan rakyat yang menggunakan minyak tersebut terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

"Selain itu, tiada jaminan bahawa kenaikan harga minyak itu tidak akan memberi kesan langsung kepada barangan lain seperti makanan dan pengangkutan. Kami khuatir kenaikan RON95 akan memberi impak yang terlalu berat kepada pengguna," katanya. - UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: