Selasa, 28 Jun 2011

YB, orang korporat antara bernikah di Thailand

ALOR SETAR: Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) mendaftarkan semula perkahwinan 147 pasangan rakyat negara ini yang berpoligami di Thailand, termasuk membabitkan orang kenamaan (VIP) dan ahli politik sepanjang dua tahun lalu.

Pernikahan yang sebahagian besarnya dilakukan di Wilayah Songkla dan Narathiwat itu kebanyakannya membabitkan perkahwinan kedua bagi lelaki yang berumur lewat 40-an dengan pasangan wanita berusia awal 20-an, yang tidak mendapat restu isteri pertama.

Prosedur pernikahan yang mudah di Thailand termasuk membabitkan hal poligami menyebabkan ramai rakyat Malaysia memilih negara jiran sebagai tempat untuk melangsungkan perkahwinan, terutama bagi pernikahan yang bermasalah.

Sumber JAIK berkata, gagal mendapat kebenaran isteri pertama, selain menyorokkan pernikahan daripada pengetahuan isteri dikesan menjadi antara penyebab lelaki Malaysia memilih untuk bernikah di Thailand sebelum mendaftar semula perkahwinan di negara ini. Difahamkan, 49 permohonan daftar semula nikah di Thailand diselesaikan pada 2009 dan 44 kes tahun lalu.

“Kebanyakan kes berpoligami ini membabitkan lelaki berusia lewat 40-an dengan pasangan wanitanya berusia awal 20-an yang turut membabitkan orang kenamaan seperti ahli politik dan korporat," katanya.

Sumber itu menambah, aliran perkahwinan di Thailand ini dikatakan semakin meningkat tidak kira sama ada membabitkan poligami atau pernikahan kali pertama, berikutan prosedur pernikahan di Thailand yang mudah dan diyakini sah dari segi syarak.

"Dulu pasangan terdedah dengan sindiket jurunikah palsu tetapi sejak 2008, kerajaan Thailand sudah mewajibkan setiap pasangan yang mahu bernikah di Wilayah Songkla harus disempurnakan di Masjid Songkla dengan jurunikah bertauliah.

"Ini sekali gus memudahkan urusan nikah pasangan terbabit dan mengelak daripada pernikahan tidak sah atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata, pasangan yang berkahwin di luar negara tanpa kebenaran perlu memfailkan kes di mahkamah syariah di Malaysia untuk menentukan sama ada perkahwinan itu sah atau sebaliknya.

Katanya, pasangan perlu hadir di mahkamah syariah untuk mendaftar semula perkahwinan dengan membawa bukti perkahwinan seperti surat nikah untuk membuktikan siapa jurunikah, saksi dan di mana pernikahan itu berlaku.

"Mereka juga perlu mengemukakan pas sempadan atau pasport untuk membuktikan pasangan berkenaan pergi ke Thailand dan pengesahan konsul untuk membuktikan pernikahan berkenaan benar-benar berlaku,” katanya.

“Jika semua dokumen yang berkenaan lengkap serta pasangan dapat membuktikan kepada mahkamah bahawa pernikahan mereka sah dari segi hukum dan syarak, barulah perkahwinan itu boleh didaftarkan mengikut undang-undang,” katanya.    -  BERITA HARIAN



Ahad, 26 Jun 2011

Kemelut Ketua Pengarah JKR : Kesian JPA !

`Kemelut' isu jawatan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) seperti disiarkan oleh sebuah akhbar arus perdana sejak beberapa hari lalu sangat memalukan serta dilihat mencemarkan reputasi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) iaitu satu-satunya `agensi pusat' yang sangat terkenal dengan kewibawaannya dalam mengendalikan pentadbiran dan pengurusan sumber manusia termasuk penempatan, pertukaran dan malah `peminjaman' pegawai sektor awam ke sektor lain.

`Penempatan' bermaksud menempatkan seseorang kakitangan di sesebuah kementerian , jabatan atau agensi kerajaan di tempat tertentu; `penukaran' pula adalah menukarkan seseorang kakitangan ke tempat lain atas sebab tertentu seperti kenaikan pangkat dan sebagainya.

Lazim juga diamalkan ialah `peminjaman'. Ia bermakusud lebih kurang sebagai memberi pinjaman seseorang pegawai kerajaan yang masih berkhidmat (belum bersara) kepada jabatan / agensi lain dalam sektor awam atau sektor lain selain perkhidmatan awam. Wallahu a;lam. 

Semua urusan ini bukan baru bagi JPA tetapi berlaku dan sentiasa berlaku sejak berpuluhan tahun lalu. Juteru itu apabila tiba-tiba disiarkan akhbar mengenai perlantikan, penempatan dan peminjaman Ketua Pengarah JKR telah menjadi isu dan wujud `kemelut' ia sangat membengungkan . Pada masa sama kelihatan mencemarkan imej JPA.

Tulisan ini tidak bermaksud memihak kepada mana-mana pihak antara kedua KP dan `bekas' KP itu tetapi dirasakan semacam ada sesuatu yang `tak kena' di mana - mana di sebalik isu ini.

Tidak dapat dipastiakn `level' sebenar jawatan KP (JKR) itu, sama ada JUSA (Jawatan Utama Sektor Awam) atau TURUS. TURUS merupakan peringkat paling tinggi dalam sektor awam selepas jawatan Ketua Setiausaha Negara (KSN). Namun berdasarkan fakta yang disiarkan akhbar itu diyakini ia betaraf
TURUS.

Justeru `kemelut' isu ini sangat serius bukan sahaja dari segi maruah JPA tetapi juga kakitangan perkhidmatan awam keseluruhannya . Oleh itu hendaklah diseselsaikan segera dan diharap tidak berulang. Hendaknya tidak wujud benda yang `tidak kena' di dalam isu pertukaran kakitangan sektor perkhidmatan awam. Wallahu a;lam bissawab  

Sabtu, 25 Jun 2011

Mari mengundi PRU ke 13 . Pilih puak sederhana

Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 pasti semakin hari semakin dekat. Siapa yang akan memerintah negara ini selepas itu akan ditentukan pada pilihan raya berkenaan. Pastilah parti atau pihak yang mendapat undi terbanyak dialah yang akan menjadi kerajaan, baik di peringkat pusat mahu pun di peringkat negeri.

Seperti umum sedia maklum kuasa kerajaan di peringkat pusat (kerajaan pusat) adalah lebih besar daripada di peringkat negeri (kerajaan negeri). Soal-soal yang berkaitan dengan keselamatan, pertahanan, kewangan, kewarganegaraan , pendidikan, dasar luar dan beberapa lagi adalah di bawah kerajaan pusat. Manakala tanah, bekalan air, dan agama (Islam) adalah di bawah kuasa kerajaan negeri, kecuali beberapa negeri yang tidak mempunyai raja maka ursan hal ehwal agama di bawah pusat atau Yang Di Pertuan Agong.

Kebelakagan ini isu-isu mengenai keturunan dan agama nampaknya sangat menarik perhatian sesetengah pihak di kalangan parti politik. Bahkan ada yang sangat galak serta berani menyanggah undang-undang dan peraturan yang sudah diamalkan sejak merdeka lagi seperti yang berkaitan dengan status keagamaan, keturunan  di dalam pendaftaran kelahiran.

Malahan akhir-akhir ini menerusi laporan media kita dapati ada pihak yang berani mempertikaikan kerja pegawai-pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara yang didakwa kononya meletkkan status tertentu agama anak mereka seperti buddha dan sebagainya. Sedangkan mereka pula kononnya inginkan anak mereka tidak diletakkan status keagamaan pada surat beranak. Atau dengan perkataan lain `tiada agama',

Pihak-pihak tersebut nampak ketara sangat mereka ini berikap `melampau'. Andai katalah ditakdirkan parti mereka menang banyak dan dapat membentuk kerajaan pusat pada PRU ke 13 akan datang ini apalah nak jadi kepada negara ini seterusnya. Sama-samalah kita fikirkan  ! 

Oleh itu, rasanya tidaklah keterlaluan sekiranya para pengundi jangan pilih mereka pada PRU akan datang ini.  Pilihlah pihak-pihak lain yang lebih sederhana pendekatannya agar keharmonian negara dan rakyat tidak tergugat.  

Khamis, 23 Jun 2011

Ciri sistem demokrasi di Malaysia

Menteri Dalam Negeri memberitahu sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sekarang bahawa pihaknya menerima 6.147 permohonan  taraf kewarganegaraan Malaysia bagi tahun 2010 hingga 31 Mac tahun ini.

Katanya, permohonan bagi tahun 2010 itu sedang diproses dan keputusannya akan diketahui sebelum 31 Disember ini , sementara permohonan bagi tahun 2011 pula akan dikeluarkan sebelum 31 Disember 2012. (Utusan Malaysia 23Jun 2011)

Dengan itu sekiranya kesemua permohonan tersebut diluluskan nescaya akan bertambahlah lagi jumlah warganegara Malaysia yang kini dianggarkan lebih kurang 28 juta.

Di samping itu yang akan lebih menarik lagi ialah apabila mereka itu juga akan turut serta `mengimarahkan' persada politik negara dalam konteks sistem demokrasi dan sistem politik kepartian yang ada di mana pilihan raya adalah sebahagian daripada cirinya 

Saalah satu syarat yang dibenarkan secara undang-undang untuk mengundi ialah mereka yang memiliki kad pengenalan berwarna biru iaitu yang khas untuk wrganegara sahaja ,selain dari berumur 21 tahun ke atas.

Ini bermakna sesiapa yang menjadi atau diterima menjadi warganegara adalah layak membuang undi pada mana-mana pilihan raya yang diadakan.

Namun pada masa sama mereka juga adalah bebas untuk memilih mana-mana ideologi parti politik yang dikehendakinya , kerajaan atau pembangkang. Parti politik di Malaysia memang banyak. 

Inilah sistem demokrasi dan politik yang diamalkan di negara ini sejak merdeka hingga sekarang dan ia merupakan satu hakikat yang tidak boleh dinafikan. 

Rabu, 22 Jun 2011

Kedah bebas unsur JI, Salafiah

ALOR SETAR - Kerajaan negeri mengesahkan tiada sebarang maahad , pondok atau sekolah agama di negeri ini menyebar ideologi Jemaah Islamiah (JI) atau fahaman Salafiah Jihadiah .

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi Negeri, Datuk Mohamed Taulan Rasul berkata, justeru tidak timbul isu pelajar direkrut oleh mana-mana pihak bagi menyertai mana-mana kumpulan militan JI di negeri ini.

"Kita tidak pernah menerima sebarang laporan mengenai perkara ini kerana di Kedah sejak dari dahulu pengajian agama di sini bebas daripada unsur-unsur sedemikian dan kegiatan seperti itu (merekrut pelajar) tak wujud," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini (semalam)

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama pihak berkuasa sentiasa memantau perkembangan sekolah-sekolah berkenaan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada sebarang unsur yang menggugat keamanan negara dibawa masuk ke negeri ini -     Utusan Malaysia
  

Selasa, 21 Jun 2011

Kasihnya ayah membawa ke syurga

Ketika berada di pejabat pos pagi tadi kerana urusan membayar bil elektrik dan bil-bil lain saya bertemu dengan seorang kenalan yang sedang menunggu giliran ke kaunter. Semasa berbual beliau memberitahu kedatangannya untuk membaharui lesen memandu anak lelakinya yang telah tamat tempoh sejak lebih dua bulan lalu.

Katanya, dia telah beberapa kali mengingatkan anaknya supaya segera memperbahruinya kerana bimbang diambil tindakan pihak berkuasa tetapi katanya tidak diendahkan anaknya. Jadi hari ini ketika anaknya masih lagi tidur dia `mencuri' lesen anaknya itu untuk diperbaharui.

Inilah gambaran dari mungkin banyak lagi cerita serupa yang berlaku di kalangan anak-anak muda sekarang yang tidak begitu mengambil berat tentang undang-undang lalu lintas, termasuk memandu tanpa lesen yang sah.meskipun mungkin tidak berlaku kepada semua .

Salah satu sebab wujud sikap demikian , mungkin kalau kena apa-apa tindakan pun seperti denda bukan mereka yang membayarnya tetapi ibubapa yang tolong bayar.

Saya paparkan kisah ini adalah bertujuan supaya ia menjadi pengajaran kepada kita sekalian agar jangan dilakukan sedemikian rupa oleh sesiapapun dan kita mohon dilindungi Allah daripadanya  Kepada anak-anak yang masih muda atau remaja suka saya nasihatkan agar kasihanilah ibu bapa anda yang membesar anda dengan susah payah dan berhadapan dengan berbagai macam cabaran termasuk mental, jiwa, jasmani, kewangan, tekanan emosi dan sebagainya. Ikutlah nasihat ibu bapa agar hidup kita bahagia dan berkat.

Berhubung dengan `sikap' pengguna jalan raya yang dianggap menjadi sebahagian dari punca kemalangan antara lainnya adalah memandu tanpa lesen yang sah . Ia juga merupakan satu kecuaian yang patut dielakkan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kedah, M. Surrentharan memberi tahu akhbar Sinar Harian seperti disiarkan hari ini bahawa dianggarkan 70 peratus punca kemalangan jalan raya di negeri itu adalah disebabkan sikap individu sewaktu berada di jalan raya.

Manakala faktor-faktor lain adalah seperti struktur jalan , keadaan kenderaan yang dinaiki, faktor cuaca, dan haiwan yang melintas jalan tersenarai dalam 30 peratus punca kemalangan yang berlaku di negeri itu.

Isnin, 20 Jun 2011

Orang Kedah patut bersyukur

Kedah Darul Aman (KDA) . Saya rasa cukup berkat dengan gelaran itu bagi negeri Kedah, negeri kelahiran saya. Selama saya hidup di negeri ini tidak lagi saya dengar dan lihat berlaku insiden-insiden yang mengancam keamanan negeri ini , kecuali pada zaman peperangan dunia kedua dan zaman darurat (1948 - 1960) dan tidak juga berlaku kekecohan serius yang diakibatkan oleh selisih faham politik , sungguh pun di negeri ini terdapat pelbagai aliran fahaman politik sebagaimana di negeri lain juga. 

Malahan sehingga berlaku pertukaran parti politik memegang tampuk kuasa pun ( 2008 - sekarang ) ia masih terus berada dalam keadaan aman dan tenteram . Tidak banyak kelihatan berlaku permasalahan sosial , mahupun ekonomi dan politik. Ertinya rakyat secara keseluruhannya dapat hidup dengan baik dan terus mendapat nikmat `kebajikan' dan keperhatinan daripada kerajaan; baik dari kerajaan pusat mahu pun kerajaan negeri meskipun dari segi ideloginya kedua-duanya terdapat pebezaan.

Oleh itu, saya kira semua rakyat negeri KDA ini, tanpa mengira kaum, agama dan anutan politik, wajarlah bersyukur ke hadrat Allah di atas limpahan nikmat keamanan dan kesejahteraan itu.


Galak bukan Melayu perkasakan bahasa kebangsaan

Kuala Lumpur - Pertandingan Pidato 1Malaysia anjuran Jabatan Penerangan khusus untk bukan Melayu yang julung kali diadakan mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila 173 peserta mengambil bahagian.

Daripada jumlah tersebut hanya hanya seorang sahaja wakil akan dipilih mewakili setiap negeri untuk bertanding di peringkat akhir merebut kejuaraan.

Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Ibrahim Abdul Rahman berkata, pertandingan itu adalah salah satu program di bawah kempen Pembudayaan Bahasa Kebangsaan unuk memperkasakan penggunaan dalam kalangan rakyat.

Katanya, pertandingan yang terbuka hanya kepada peserta bukan Melayu berumur 18 tahun ke atas ini bertujuan meningkatkan kefasihan dan penguasaan bahasa Melayu di samping mengukuhkan semangat perpaduan masyarakat berbilang bangsa.

"Saya terharu kerana pertandingan di peringkat negeri April lalu mendapat sambutan menggalakkan dengan 71 peserta kaum Cina ,60 India dan 42 peserta dari kaum lainsperti Iban, Kadazan, Dusun dan masyarakat Siam mengambil bahagian.

"Pertandingan yang bertemakan `Gagasan 1Malaysia Wadah Perpaduan Nasional' mmberi peluang kepada para peserta meningkatkan pengetahuan dan kefahaman terhadap gagasan 1Malaysia dan dasar-dasar negara," katanya pada majlis aprisiasi bersama peserta pidato di Wisma Sime Darby,baru-baru ini.

Ibrahim berkata, penguasaan dan pembudayaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam kalangan bukan Melayu amat penting kerana ia merupakan asas kepada perpaduan bagi menyemai semangat cintakan negara.

beliau memberitahu , johan pertandingan akan dijadikan ikon jabatan dan dilibatkan dalam program anjuran jabatan dalam menyampaikan mesej kemasyarakatan dan kenegaraan .

"Pertandingan ini akan dijadikan acara tahunan dengan mensasarkan lebih banyak peneyertaan bagi mengetengahkan bakat bukan Melayu", ujarnya.

Program berkenaan merupakan kesinambungan program pidato kenegaraan yang pernah diadakan sebelum ini dan terbuka untuk semua kaum.

Johan akan menerima hadiah bernilai RM3,000 , piala pusingan , piala iringan dan sijil penyertaan. Tarikh pertandingan akhir belum dimuktamadkan dan dijangka diadakan dalam tempoh terdekat.


Petikan dari Utusan Melayu Mingguan 20/Jun/2011 

 Ulasan POK:  Teruskan dayausaha ini.  

Rupa-rupanya 661,000 ahli UMNO tidak berdaftar

Rupa-rupanya masih ada lagi ahli-ahli UMNO yang tidak mendaftar sebagai pemilih dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dilaporkan meminta semua jentera UMNO termasuk di peringkat cawangan di seluruh negara bergerak aktif bagi memastikan 661,000 ahli yang masih belum mendaftar sebagai pengundi agar berbuat demikian .

Katanya, meskipun sudah berlaku penambahan ahli namun ia masih rendah dan usaha lebih agresif perlu dilakukan terutama bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang (Utusan Malaysia) 

Pandangan Orang Kampung :  Jumlah melebihi setengah juta itu agak besar. Lebih-lebih lagi ketika berada di dalam keadaan politik yang `kritikal' .

Sungguh pun tidak dijelaskan sama ada mereka daripada golongan pengundi muda, namun semua pihak dalam parti itu tidak boleh ambil mudah.

Ahad, 19 Jun 2011

Yang mungkar tetap mungkar,yang makruf tetap makruf

Jika benar bagai dikata, maka negara kita akan menyaksikan pada 9 Julai ini tiga kumpulan yang berlainan entiti dan ideologi akan mempamerkan kehebatan dan keangkuhan masing-masing di gelanggang terbuka kota raya Kuala Lumpur, iaitu ibu negara Malaysia melalui apa yang dinamakan demontrasi membersihkan kekotoran sistem pengendalian pilihan raya di negara ini di satu pihak, manakala di satu pihak lain mendakwa kononnya untuk menyanggah pihak yang satu lagi itu.

Namun, dari satu sisi cara dan perlakuannya adalah sama yakni `berdemonstrasi' atau dengan perkataan lain ialah berarak beramai-ramai yang mana tidak terhad jumlahnya , mungkin ratus, atau ribu, atau puluh ribu atau ratusan ribu dan sebagainya.

Umum sedia maklum undang-undang di negara ini tdak membenarkan sebarang bentuk perhimpunan atau/dan perarakan , melainkan setelah mendapat kebenaran atau `permit' dari pihak berkuasa keselamatan iaitu Polis Di Raja Malaysia atau PDRM. Jika tidak perbuatan itu dikira salah kerana melanggari undang-undang negara ini.

Umum juga sedia maklum undang-undang itu sepertimana undang-undang lain digubal dan diluluskan oleh kerajaan yang memerintah menerusi sokongan suara majoriti lebih 2/3 di Dewan Rakyat dan dipersetujui oleh Parlimen.

Justeru, ia tidak begitu aneh jika yang cuba melangarinya itu datangnya dari pihak yang membangkang atau yang apa yang disebut sebagai sekutu dengannya tetapi adalah terlalu janggal jika ia dilanggari sendiri oleh pihak yang bukan sahaja mendakwa diri mereka sebagai penyokong kerajaan malah sebenarnya adalah sebahagian dari sayap parti kerajaan yang memerintah itu sendiri.

Barangkali inilah agaknya yang dikatakan `dunia' dan mungkin inilah juga agaknya apa yang dikatakan `zaman moden' yang `terbuka dan bebas' segala atau benar seperti apa yang disebut di dalam agama Islam sebagai petanda akhirnya zaman untuk makhluk Allah hidup di dunia ini , di mana anak tidak lagi mahu ikut kata ibu bapa mereka dan isteri tidak gemar menurut perintah suami, dan yang muda tidak rasa untuk hormat orang yang lebih tua dan sebagainya.

Namun yang mungkar tetap mungkar dan yang makruf tetap makruf walau berada di zaman mana sekali pun. Dan mustahak juga untuk diingat bahawa Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang adalah sebahagian daripada Prinsip Rukun Negara. Wallahu a'lam 

Sabtu, 18 Jun 2011

Kepada Pemuda Umno : Tak payahlah nak teruskan demonstrasi itu

Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishamuddin Tun Hussein , memberi `peringatan' kepada Pergerakan Pemuda UMNO agar idak meneruskan niat mereka mengadakan demontrasi pada 9 Julai ini bagi tujuan menyerahkan memorandum kepada Yang Di Pertuan Agong mengenai `cadangan membaik pulih sistem demokrasi' negara ini, kerana ia `melibatkan isu keselamatan dan juga permit'.

Akhbar itu juga pada hari ini menyiarkan kenyataan pergerakan Pemuda UMNO, bahawa pergerakan  itu `tidak akan berganjak ' dengan berpendirian mereka sekalipun pihak berkuasa keselamatan `enggan' memberikan permit perhimpunan.

Pada tarikh itu, sebelum ini dilaporkan sebuah lagi pertubuhan yang dikenali sebagai BERSIH akan mengadakan demontrasi secara besar-besaran di ibu kota yang juga difahamkan membabitkan isu yang lebih kurang sama. Setakat ini dikatakan ia tidak mendapat permit daripada pihak berkuasa keselamatan. Banyak pihak menyanggah rancangan BERSIH itu. 

Seperti maklum BERSIH dikatakan daripada pembangkang dan Pemuda UMNO pula sudah pastinya daripada kerajaan didominasikan UMNO. Jadi, sekiranya ini benar-benar berlaku pada 9 Julai ini bukan sahaja akan `bertembung' antara dua pihak yang berlainan fahaman politiknya tetapi ia menampakkan ada pihak-pihak yang semacam tidak mempedulikan undang-undang dan mementingkan keselamatan serta ketenteraman awam ! 

Bagi pihak berkuasa keselamatan pula rasanya tentulah "Berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya" meskipun mereka mampu menghadapinya 

Alahai ! Jika inilah keadaannya apa nak jadi dengan negara ini. Kepada Pergerakan Pemuda Umno saya harap tak payahlah nak teruskan demontrasi itu.

Jumaat, 17 Jun 2011

Tazkirah Jumaat : Berhati-hati dengan rakan-rakan sendiri

Saya suka memilih isu yang ringan-ringan untuk ditulis di laman blog saya ini. Padanlah dengan saya. Menulis yang ringan-ringan risikonya pun ringan-ringan juga, tapi jika memilih isu-isu yang berat-berat risikonya pun berat-berat juga. Siapalah saya ?

Pada hari ini saya ingin ketengahkan serba ringkas tentang istilah KMK yang pernah kita dengar sebelum ini. Padanya ada banyak kebaikan - teladan dan pengajaran.

Pada mulanya KMK , jika tidak silap saya, merujuk kepada kumpulan Kawalan Mutu Kerja. Ia mulanya dipraktikkan di sektor swasta , terutama sektor perkilangan. Secara ingkas tujuannya adalah untuk meningkatkan prestasi seseorang pekerja mengikut kumpulan perjawatannya. Setiap kumpulan mengadakan perbincangan atau "percambahan minda" bagi mendapatkan idea bagaimana sesuatu kerja itu dapat dipertingkatakan "mutu"nya dan sekali gus meingkatkan produktiviti. Dari sudut lain KMK mampu meningkatkan hubungan "persaudaraan" atau "persahabatan" antara satu sama lain sebagai rakan sekerja atau seunit.

Pada sekitar tahun 1980-an , kalau tak silap saya, konsep KMK ini diambil pakai dalam sektor awam dengan tujuan dan matalamat yang lebih kurang sama. Hasilnya mungkin tidak setanding dengan sektor swasta tapi tidaklah juga sia-sia mengambil pakainya  . Namun saya tak pasti sama ada ia kini masih diguna pakai lagi atau sebaliknya. Tidak mengapalah diguna pakai lagi atau tidak. Yang pentingnya ia adalah kaedah yang membnawa kebaikan .

Yang tidak mendatangkan kebaikan kepada semua orang tapi sangat mustahak dijadikan pengajaran `KMK' yang satu lagi iaitu `KMK' yang rakan-rakan saya pernah istilahkan sebagai "Kawan Makan Kawan".

`KMK' yang satu ini jika wujud , tidak kira di sektor atau arena mana sekali ia akan mendatang keburukan atau kemudaratan yang sangat teruk kepada individu atau industri tertentu. `KMK' yang satu ini tidak ada  "percambahan minda" ke arah meningkatkan mutu kerja dan produktiviti tetapi lebih kepada tipu daya , hasad dengki, khianat, fitnah dan sebagainya terhadap rakan sendiri .

Ketika hubungan baik dengan rakan , kerana rakan itu ada kedudukan tertentu,  semuanya "baik tuan/Datuk/Datuk Seri, Tan Sri " dan sebagainya ; namun apabila level "rakan" sudah berubah menjadi "musuh" maka lainlah pula ceritanya.

Bahkan yang lebih parah lagi apabila suasana berada di dalam keadaan samar-samar antara `kawan' atau `musuh'. Di depan mata dia adalah seorang `rakan' tapi di belakang mata dia tikam habis-habisan, macam tikam musuh. Sanggup memfitnah, menipu , berbohong dan sebagainya meskipun di tempat yang memerlukan bercakap benar. Suasana begini sekarang ini nampaknya semakin ketara dan bertambah. 

Oleh itu, wajarlah  kita lebih berhati-hati atau berwaspada dengan rakan-rakan , terutama ketika ada kedudukan, ada wang dan sebagainya di samping sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar mendapat perlindungan Nya daripada musibah demikian. Wallahu alam. 


Khamis, 16 Jun 2011

Pendekatan Pemuda Umno Tepat

Saya tertarik dengan pendekatan terbaru Pergerakan Pemuda Umno untuk menyediakan 20 orang peguam bagi memberi khidmat nasihat guaman percuma kepada golongan pekerja yang menghadapi masalah dalam pekerjaan mereka sekiranya mereka membuat aduan di laman web yang disediakan iaitu http://www.aduanpekerja.my/ yang baru beberapa hari dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Laman web itu diurusetiakan oleh Sekritariat Pekerja Muda , Pergerakan Pemuda Umno yang dipengerusikan oleh Nazir Hussin Akhtar Hussin.

Menurutnya, " Melalui laman web ini juga , pihak sekritariat akan menjadi perantara kepada golongan pekerja dan kesatuan dengan pihak kerajaan. Usaha ini juga dapat membantu kerajaan dalam memperhalusi segala permasalahan dalam kalangan pekerja." (Utusan Malaysia 15.06.2011)

Yang penting mesti ada `jambatan' antara kerajaan dengan rakyat . Tanpa jambatan sukarlah hubungannya . Golongan pekerja juga adalah sebahagian daripada rakyat. Dengan wujudnya `perantara' seperti ini membolehkan golongan tersebut meluahkan `jeritan batin' mereka kepada pihak yang sebenar.

Lebih dari itu mereka juga tahu ke arah mana sebenarnya hendak dilontarkan `jeritan batin' mereka itu. Peluang dan ruang ini harus dimanfaatkan. Jadi, langkah Pergerakan Pemuda Umno itu betul dan tepat. Sebenarnya tidak rugi jika kita dapat menolong orang lain termasuk membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi.


Negara Kebajikan : gaji minimum mesti RM1,000

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dijangka akan mengumumkan gaji minimum kepada pekerja-pekerja berpendapatan rendah sebelum akhir tahun ini selepas Rang Undang-Undang Majlis Konsultasi Gaji Negara dibentangkan dan diluluskan di Dewan Rakyat yang sedang bersidang sekarang dan setelah ditubuhkan Majlis Konsultasi Gaji Negera berikutnya. 

Mengikut laporan media , kesatuan-kesatuan sekerja sebelum ini seperti MTUC dan CUEPACS meminta gaji minimum untuk pekerja-pekerja golongan tersebut sebanyak RM900. Namun memandangkan taraf hidup semakin meningkat dewasa ini dan pasti akan bertambah lagi apabila program ke arah mewujudkan negara berpendapatan tinggi mencapai hasilnya.

Kini difahamkan terdapat kira-kira 35 peratus mereka yang memperoleh gaji di bawah RM700 sebulan. Dengan kadar gaji sebanyak itu pasti ia sangat-sangat tidak mampu untuk menampung keperluan hidup yang meningkat dengan cepatnya sekarang ini , meski dengan seberapa banyak berhemah dalam perbelanjaan sekalipun.

Oleh itu, eloklah kerajaan atau pun pihak berkenaan yang diberi tanggungjawab merangka gaji minimum itu menetapkan gaji minimum sebanyak RM1,000 sebulan kepada gologan pekerja yang berpendapatan rendah  yang menjadi golongansasar kepada skim gaji ini dan hendaknya mencakupi semua sektor pekerjaan dan bidang perjawatan, termasuk mereka di bahagian kaunter seperti juruwang dan sebagainya.

Ini baru benar-benar `Negara Kebajikan' . Bukan hanya retorik politik semata-mata seperti yang dilaung-laungkkan oleh pembangkang baru-baru ini. Tunjukkan kepada rakyat bahawa Barisan Nasional bukan  Pakatan Rakyat dan pemimpin Barisan Nasional tidak seperti pemimpin Pakatan Rakyat.

Rabu, 15 Jun 2011

Jangan jadi bangsa yang bodoh

Peribahasa Melayu pernah menyebut : "Orang bodoh menjadi makanan orang cerdik". Maksudnya sangat jelas: seseorang yang menjadikan dirinya, kelompoknya, masyarakatnya atau bangsanya bodoh, pastilah akan semua itu dijadikan mangsa untuk dipermainkan , di perkotak katikkan dan diperbodoh-bodohkan oleh orang lain , puak lain, kelompok lain atau bangsa lain.

Kesannya tentulah juga sangat besar. Lebih-lebih lagi jika melibatkan percaturan `politik' yang akan menentukan kedudukan `kuasa' .

Bangsa yang diperkotakkatikkan itu, lantaran kebodohannya, akan sentiasa dijadikan mangsa dan akan tunduk mengikut `telunjuk' pihak atau puak yang satu lagi itu. Pihak yang satu lagi itu akan menggunakan bermacam-macam cara dan helah , sama ada yang tersurat atau tersirat , yang jelas atau yang kabur , agar segala apa yang diingini dan kepentingannya dapat dicapainya .

Nah, jika melibatkan bangsa, agama dan negara akan hancurlah sudahnya bangsanya, agamanya dan negaranya. Mudah-mudahan barang dijauhi Allah daripada berlaku ke atas bangsaku - bangsa Melayu, agamaku - agama Islam dan negaraku- negara Malaysia. Amin, amin, ya Rabbal alamin.

Selasa, 14 Jun 2011

Isu Biasiswa : Pegawai JPA telus

Kebelakangan ini dasar penajaan dan pemberian biasiswa oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar-pelajar cemerlang telah dijadikan isu besar oleh sebahagian rakyat sebagai mengzahirkan perasaan tidak puas hati terhadap urus kerja JPA di dalam perkara tersebut. Lebih menyedihkan apabila ada pihak-pihak yang sanggup melemparkan tuduhan kononnya JPA tidak telus . Mungkin ada juga pihak mengambil kesempatan di air keruh.

JPA adalah sebahagian dari agensi kerajaan pusat yang terkenall dengan kecekapan dan profesionalismenya di dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberikan . Namun mungkin kerana kegawatan politik dan ketidakmantapan kuasa politik di dalam parti-parti `teras' kerajaan menyebabkan ia senang diambil kesempatan oleh sesetengah pihak demi untuk dijadikan modal politik mereka.

Bagaimana pun kita amat berasa bangga dengan menteri di Jabatan Perdana Menteri , Datuk Seri Mohammed Nazri Abdul Aziz kerana pada masa sama tampil menolak segala tuduhan yang boleh dianggap tidak berasas itu yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu , malah beliau telah memberi keyakinan bahawa di sana `tiada bukti kukuh' untuk mengaitkan pegawai di JPA menyalah gunakan kuasa atau tidak telus.

Syabas Datuk Seri ! Pendirian yang sebeginilah yang diperlukan demi menjaga maruah pegawai-pegawai kerajaan dan sekali gus kerajaan sendiri. Melainkan jika ada bukti kuat . Ini adalah berkaitan dengan imej - imej pegawai (agensi) kerajaan dan imej kerajaan juga. Pemimpin kerajaan serta pegawai kerajaan seharusnya komited menjaga imej ini.

Ketegasan serta keberanian di dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab sebegini adalah sesuatu yang sangat diharapi dan dihargai rakyat. Teruskan dengan keberanian dan ketegasan.

Jumaat, 10 Jun 2011

Perlukah sangatkah Umno mewujudkan sayap agama ?

Ketika ini berbangkiut isu keperluan sayap agama ditubuhkan di dalam parti Umno berikutan Pas menolak kepimpinan Ulama dalam mesyuarat agung parti itu baru-baru ini.

Persoalannya : Perlu sangatkah sayap agama diwujudkan di dalam parti Umno ?

Bagi saya ia tidak perlu dan tidak mendesak. Selagi Umno menjadi teraju pemerintahan atau kerajaan di negara ini selagi itu ia tidak perlu diujudkan.

Ini kerana dalam kerajaan sendiri sudah terdapat banyak agensi-agensi berkaitan agama ditubuhkan. Umno boleh menggunakan agensi-agensi tersebut secara langsung atau tidak langsung. Apa yang penting ialah keikhlasan memberi dan menerima nasihat dan pandangan serta kesediaan untuk mengamalkannya.

Menjadikannya `sayap' dalam parti bermakna seoalah-olah cuba mengheret ulama ke dalam arena politik secara langsung. Apa faedahnya ?

Rasanya banyak buruk dari baiknya . Segala pandangan, nasihat atau `fatwa' yang dikeluarkan mereka  mungkin sebahagiannya akan terikat dengan keperluan dan matlamat perjuangan parti. Sekiranya ini berlaku kesannya kepada masyarakat Islam umumnya sangat buruk. Apa yang sudah berlaku di dalam masyarakat Melayu/Islam di negara ini selama ini sudah cukup untuk dimengertikan. 

Allah Yang Maha Besar lagi Maha Berkuasa telah memberi petunjuk kepada kita dengan jelas bahawa memasukkan sewenang-wenangnya ulama ke dalam arena politik yang mana lebih bersifat `sekular' itu akhirnya ulama dianggap tidak relevan dengan perjuangan dan hala tuju parti semasa dan juga dianggap `tidak agresif' lantas ditolak dengan hinanya di dalam suatu majlis pertemuan besar.

Di mana maruah ulama hendak diletak ketika itu ? Bagiamanpun segala-galanya telah berlaku di depan mata kita . Maka wajarlah kita dijadikannya pedoman dan pengajaran. Allah SWT tidak menjadikan sesuatu itu dengan `sia-sia' sepertimana yang difirmankan Nya di dalam kitab suci al-Quran.

Biarlah mereka berada di dalam Majlis Fatwa Kebangsaan atau Majlis Fatwa Negeri-Negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) , Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan banyak lagi. Manfaatkan sahaja mereka dan jadikan mereka sebagai tempat rujukan jika benar-benar perlu. 

Oleh itu, maka harus lebih berhati-hati untuk membawa masuk ulama secara langsung ke dalam gelanggang politik yang kita sama-sama tahu bahawa politik itu warnanya seperti pelangi namun berpotensi untuk berubah pada bila-bila masa .


Kesimpulannya, sayap ulama tidak perlu dalam parti Umno.

Khamis, 9 Jun 2011

Politik hidup dengan isu

Benarlah seperti kata sesetengah ahli bijak pandai mengenai politik bahawa : politik itu hidupnya dengan isu. Tanpa isu politik akan mati.

Justeru pemimpin-pemimpin politik yang dianggap `berjaya' di dalam kerjaya politiknya ialah apabila dia dapat menyelesaikan isu-isu politik yang timbul dengan jayanya.

Oleh itu, jika tidak ada isu, maka kenalah dicarikan isu agar , dengan penuh harapan, isu itu akan memihak kepada dirinya dan khemah politik yang didukunginya .

Dan sekiranya sama ada dengan secara kebetulan atau memang sebenarnya isu itu memihak kepadanya atau khemah politiknya maka justeru ruang pengaruhnya pun menjadi semakin luas . 

Jadi tidak hairanlah sekiranya ada sesuatu yang kita dengar atau kita lihat itu tidak sepatutnya timbul sebagai   isu yang diperdebatkan tetapi telah bangkit menjadi isu .....dan  panas . Panas.. dek kerana ia diperdebatkan oleh khalayak-khalayak politik - sama ada penyokong atau penentang.

Maka seseorang yang mencetus sesuatu isu itu atau menerusi proksinya tiba-tiba menjadi popular atau lebih popular lagi - sesuatu yang sangat diperlukan kepada politikus, terutamanya pada waktu pilihan raya. 

Begitulah secebis kisah tentang politik............

Kedah bakal milik bijih besi

ALOR SETAR 8 Jun- Kedah bakal mempunyai hasil bumi baru ekoran penemuan bijih besi di beberapa daerah di negeri ini yang dijangka mampu menjana pendapatan mencecah jutaan ringgit.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak memberitahu, sumber hasil baharu itu dikenal pasti berada di beberapa kawasan di Kubang Pasu dan Kuala Muda sejak tahun lalu.

Katanya, kerajaan negeri kini sedang berunding dengan beberapa pihak yang berminat mengusahakan projek tersebut menerusi tawaran tender secara terbuka.

"Ada satu tempat terdapat beberapa pelabur yang berminat, malah ada di antara kawasan bijih besi itu timbul di atas tanah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.       Utusan.


ULASAN

Kami rakyat jelata mendoakan agar ianya  berjaya.

Rabu, 8 Jun 2011

Syor tukar nama kempen Sopan dan Adab

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan , Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengumumkan kempen Budi Bahasa Budaya Kita yang dianjurkan oleh kementerian itu sebelum ini akan diganti dengan kempen baru yang diberi nama kempen Sopan dan Adab.

Ia kerana dikatakan lebih sesuai dengan prinsip Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

Di sini saya ingin cadangkan agar nama itu juga ditukar kepada kempen Sopan dan Susila atau ringkasnya kempen 2S.  Rasanya ia lebih serasi lagi, namun maksudnya masih tetap sama.

Selasa, 7 Jun 2011

Harap konsep pemilihan `pemimpin masjid' tidak sama dengan pemilihan pemimpin parti politik

Membuat perubahan dalam sesuatu perkara secara umumnya tidak salah tetapi bukan untuk semua perkara dan dalam semua keadaan. Begitulah saya kira dengan perubahan yang cuba dilakukan terhadap perlantikan/ pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) kariah di Pulau Pinang .

Difahamkan perubahan yang cuba dilakukan pada pertengahan bulan ini itu ialah bahawa semua jawatankuasa kariah tidak lagi dipilih berdasarkan sistem yang pernah diamalkan sebelum ini yang mana sama ada dipilih oleh ahli-ahli kariah di dalam mesyuarat agungnya secara sepontan atau menerusi pemilihan calon yang dikemukakan oleh pentadbir surau-surau di bawah kariah masing-masing.

Saya tidak begitu tahu bagaimana sistem perlantikan atau pemilihan itu diadakan di negeri Pulau Pinang atau negeri-negeri lain di seluruh negara kerana di negara ini pentdabiran Agama Islam, termasuk pemilihan jawatankuasa msjid adalah berdasarkan mengikut kaedah tersendir bagi setiap negeri .

Di negeri Kedah misalnya, yang pernah beberapa kali saya hadir dalam mesyuarat agung kariah masjid , saya dapati pemilihan AJK kariah dilakukan di dalam mesyuarat agungnya dan `AJK tambahan' pula dilantik oleh jawatankuasa kariah yang telah dipilih itu.

Manakala `Pegawai Masjid pula dilantik oleh pihak berkuasa agama negeri menerusi kaedah temuduga serta ujian bertulis. Pegawai masjid adalah terdiri daripada Imam, Bilal dan Siak. Jumlah mereka antara satu negeri dengan yang lain juga tidak sama. Setakat pengetahuan saya di negeri Kedah Imam hanya seorang dan secara automatisnya dialah juga Pengerusi AJK kariah. Di negeri Pulau Pinang sejauh pengetahuan saya Imam ada empat hingga lima orang, termasuk yang `dilantik' oleh AJK kariah. Pengerusi AJK kariah pula
bukan Imam tetapi seseorang yang dipilih.

Memilih AJK kariah secara mesyuarat agung oleh ahli-ahli kariah berbeza dengan pemilihan secara konsep `pilihan raya'. Di dalam sistem mesyuarat agung tidak ada kempen mengempen untuk diri sendiri malah tidak ada bentuk `tawaran' diri sendiri untuk bertanding. Justeru pemilihan/perlantikan itu berdasarkan `kehendak ahli-ahli kariah' semata-mata.

Jika menggunakan sistem atau konsep pilihan raya saya rasa apa yang diamalkan selama ini lah dengan mengguna kaedah berkempen dan penawaran diri. Biasanya bila seseorang menawar diri dan diberikan pula peluang untuk berkempen dalam tempoh tertentu maka ada-ada sahajalah `isu' yang akan diguna dan bangkitkan. Masjid bukanlah gelanggangnya .

Masjid adalah `tempat sujud' . Itu adalah makna harfiah darpada perkataan tersebut. Dengan maksud lain masjid adalah tempat suci dan tempat umat Islam menyembah Allah SWT - Tuhan Yang Maha Esa- secara bersendirian dan lebih-lebih lagi berjemaah. Tujuannya untuk membina kemesraan dan untuk menghilangkan segala rasa permusuhan antara satu sama lain.

Jadi, masjid bukanlah tempatnya sama sekali untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syariat Islam termasuk umpat-mengumpat, caci mencaci, hina menghina, berprasangka antara satu dengan lain dan sebagainya yang boleh memecah belahkan umamh. Lebih-lebih lagi di dalam masid.

Hal ini pun saya pasti kebanyakan umat Islam memahaminya. . Namun jika kaedah pemilihan untuk AJK masjid itu dibuat secara berkempen dan diberikan pula tempoh tertentu saya tidak yakin yang semua elemen itu tidak akan berlaku. 

Oleh itu, saya sangat berharap eloklah jika kaedah itu dikaji semula dan diteruskan dengan kaedah `tradisi' yang pernah diamalkan sejak sekian lama sebelum ini. Apatah lagi sekiranya ia tidak menimbulkan masalah besar kepada kerja-kerja pengurusan masjid.

Janganlah hendaknya masjid dijadikan `gelanggang' berpolitik seperti mana persada politik itu sendiri. Dan elakkan di dalam pengurusam masjid itu unsur-unsur pengurusan parti politik. 

Demikianlah sejauh yang saya tahu, adanya. Wallahu a'lam.

Ahad, 5 Jun 2011

Menanti impian kerajaan perpaduan menjadi realiti

Bukan pelik tetapi ia amat memeranjatkan ! Pas sebuah parti yang ditubuhkan di sekitar awal tahun 1950-an dengan arah tujunya `memperjuangkan sebuah negara Islam' di negara ini tiba-tiba pada muktamar ke 57-nya baru-baru ini mengubah arah tuju itu kepada mewujudkan `negara berkebajikan' .

Perubahan arah tuju itu digambarkan dalam ucapan dasar kepimpinan tertingginya. Dengan terumumnya perubahan itu seolah-olah memberi gambaran bahawa ia tidak perlu lagi kepada kepimpinan ulamak di dalam parti itu yang menjadi slogan kempen selama ini dan cita-cita sebahagian besar penyokongnya.

Justeru , berikutan  itu dilihat barisan kepimpinan yang dipilih di muktamar itu kebanyakannya juga tidak lagi  terdiri daripada mereka-mereka yang digelar sebagai golongan ulamak. Mereka yang terpilih untuk barisan kempimpinan pada muktamar kali ini lebih dikenali dengan gelaran golongan profesional.

Bagi mana-mana orginasis pun apabila berlaku perubahan matlamat dan kempimpinan biasanya ia akan memberi kesan secara keseluruhan dalam entiti organisasi berkenaan termasuk program dan aktivitinya dan natijah akhir kepada ahli dan penyokongnya. Dalam konteks parti politik tentulah bangsa dan negaranya.

Sebelum ini parti itu berkeras dengan pegangan dan asas perjuangan `untuk menegakkan negara Islam' maka seperti umum termaklum UMNO yang menjadi parti persaingan politiknya sentiasa dituduh tidak Islamik, tidak memperjuangkan Islam dan sebagainya. Digambar kepada masyarakat, terutama masyarakat Islam , seolah-olah semua program yang dibuat oleh UMNO sebagai parti utama kerajaan sejak merdeka hingga kini tidak bersifat Islam atau tidak membawa kebaikan kepada Islam dan ummah.

Itu yang sering dipedengarkan kepada rakyat jelata.

PRU ke-12 pada tahun 2008 mungkin faktor yang mengubah segala-galanya . Ia mungkin bukan sekadar  telah merobah landskap politik negara ini tetapi nampaknya juga telah merobah dasar perjuangan asal dan arah tuju parti Pas juga, dari arah yang lebih kemas dan relevan (dengan namanya dan golongan sasar) kepada yang lebih longgar dan tidak relevan. 

Apakah itu satu transformasi perjuangan politiknya ?

Apa pun perubahan itu dari satu sudut ada kebaikannya kepada UMNO. Ini kerana salah satu isu yang sering dimainkan oleh parti itu terhadap UMNO seperti tersebut di atas boleh dikatakan menjejaskan pengaruh UMNO selama ini terutama pada masyarakat Melayu Islam di kampung-kampung , sama ada percaya atau tidak, itulah yang berlaku. .

Tapi nampaknya kini Pas telah mengubah perjuangan nya. Negara Islam bukan lagi matlamat perjuangannya , kalau begitu tiadalah lagi halangan untuk bercantum atau bekerajasama dengan UMNO di dalam `kerajaan perpaduan' yang dimpikan itu pada pilihan raya umum akan datang. wallahu alam.