Selasa, 7 Jun 2011

Harap konsep pemilihan `pemimpin masjid' tidak sama dengan pemilihan pemimpin parti politik

Membuat perubahan dalam sesuatu perkara secara umumnya tidak salah tetapi bukan untuk semua perkara dan dalam semua keadaan. Begitulah saya kira dengan perubahan yang cuba dilakukan terhadap perlantikan/ pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) kariah di Pulau Pinang .

Difahamkan perubahan yang cuba dilakukan pada pertengahan bulan ini itu ialah bahawa semua jawatankuasa kariah tidak lagi dipilih berdasarkan sistem yang pernah diamalkan sebelum ini yang mana sama ada dipilih oleh ahli-ahli kariah di dalam mesyuarat agungnya secara sepontan atau menerusi pemilihan calon yang dikemukakan oleh pentadbir surau-surau di bawah kariah masing-masing.

Saya tidak begitu tahu bagaimana sistem perlantikan atau pemilihan itu diadakan di negeri Pulau Pinang atau negeri-negeri lain di seluruh negara kerana di negara ini pentdabiran Agama Islam, termasuk pemilihan jawatankuasa msjid adalah berdasarkan mengikut kaedah tersendir bagi setiap negeri .

Di negeri Kedah misalnya, yang pernah beberapa kali saya hadir dalam mesyuarat agung kariah masjid , saya dapati pemilihan AJK kariah dilakukan di dalam mesyuarat agungnya dan `AJK tambahan' pula dilantik oleh jawatankuasa kariah yang telah dipilih itu.

Manakala `Pegawai Masjid pula dilantik oleh pihak berkuasa agama negeri menerusi kaedah temuduga serta ujian bertulis. Pegawai masjid adalah terdiri daripada Imam, Bilal dan Siak. Jumlah mereka antara satu negeri dengan yang lain juga tidak sama. Setakat pengetahuan saya di negeri Kedah Imam hanya seorang dan secara automatisnya dialah juga Pengerusi AJK kariah. Di negeri Pulau Pinang sejauh pengetahuan saya Imam ada empat hingga lima orang, termasuk yang `dilantik' oleh AJK kariah. Pengerusi AJK kariah pula
bukan Imam tetapi seseorang yang dipilih.

Memilih AJK kariah secara mesyuarat agung oleh ahli-ahli kariah berbeza dengan pemilihan secara konsep `pilihan raya'. Di dalam sistem mesyuarat agung tidak ada kempen mengempen untuk diri sendiri malah tidak ada bentuk `tawaran' diri sendiri untuk bertanding. Justeru pemilihan/perlantikan itu berdasarkan `kehendak ahli-ahli kariah' semata-mata.

Jika menggunakan sistem atau konsep pilihan raya saya rasa apa yang diamalkan selama ini lah dengan mengguna kaedah berkempen dan penawaran diri. Biasanya bila seseorang menawar diri dan diberikan pula peluang untuk berkempen dalam tempoh tertentu maka ada-ada sahajalah `isu' yang akan diguna dan bangkitkan. Masjid bukanlah gelanggangnya .

Masjid adalah `tempat sujud' . Itu adalah makna harfiah darpada perkataan tersebut. Dengan maksud lain masjid adalah tempat suci dan tempat umat Islam menyembah Allah SWT - Tuhan Yang Maha Esa- secara bersendirian dan lebih-lebih lagi berjemaah. Tujuannya untuk membina kemesraan dan untuk menghilangkan segala rasa permusuhan antara satu sama lain.

Jadi, masjid bukanlah tempatnya sama sekali untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syariat Islam termasuk umpat-mengumpat, caci mencaci, hina menghina, berprasangka antara satu dengan lain dan sebagainya yang boleh memecah belahkan umamh. Lebih-lebih lagi di dalam masid.

Hal ini pun saya pasti kebanyakan umat Islam memahaminya. . Namun jika kaedah pemilihan untuk AJK masjid itu dibuat secara berkempen dan diberikan pula tempoh tertentu saya tidak yakin yang semua elemen itu tidak akan berlaku. 

Oleh itu, saya sangat berharap eloklah jika kaedah itu dikaji semula dan diteruskan dengan kaedah `tradisi' yang pernah diamalkan sejak sekian lama sebelum ini. Apatah lagi sekiranya ia tidak menimbulkan masalah besar kepada kerja-kerja pengurusan masjid.

Janganlah hendaknya masjid dijadikan `gelanggang' berpolitik seperti mana persada politik itu sendiri. Dan elakkan di dalam pengurusam masjid itu unsur-unsur pengurusan parti politik. 

Demikianlah sejauh yang saya tahu, adanya. Wallahu a'lam.

Tiada ulasan: