Jumaat, 17 Jun 2011

Tazkirah Jumaat : Berhati-hati dengan rakan-rakan sendiri

Saya suka memilih isu yang ringan-ringan untuk ditulis di laman blog saya ini. Padanlah dengan saya. Menulis yang ringan-ringan risikonya pun ringan-ringan juga, tapi jika memilih isu-isu yang berat-berat risikonya pun berat-berat juga. Siapalah saya ?

Pada hari ini saya ingin ketengahkan serba ringkas tentang istilah KMK yang pernah kita dengar sebelum ini. Padanya ada banyak kebaikan - teladan dan pengajaran.

Pada mulanya KMK , jika tidak silap saya, merujuk kepada kumpulan Kawalan Mutu Kerja. Ia mulanya dipraktikkan di sektor swasta , terutama sektor perkilangan. Secara ingkas tujuannya adalah untuk meningkatkan prestasi seseorang pekerja mengikut kumpulan perjawatannya. Setiap kumpulan mengadakan perbincangan atau "percambahan minda" bagi mendapatkan idea bagaimana sesuatu kerja itu dapat dipertingkatakan "mutu"nya dan sekali gus meingkatkan produktiviti. Dari sudut lain KMK mampu meningkatkan hubungan "persaudaraan" atau "persahabatan" antara satu sama lain sebagai rakan sekerja atau seunit.

Pada sekitar tahun 1980-an , kalau tak silap saya, konsep KMK ini diambil pakai dalam sektor awam dengan tujuan dan matalamat yang lebih kurang sama. Hasilnya mungkin tidak setanding dengan sektor swasta tapi tidaklah juga sia-sia mengambil pakainya  . Namun saya tak pasti sama ada ia kini masih diguna pakai lagi atau sebaliknya. Tidak mengapalah diguna pakai lagi atau tidak. Yang pentingnya ia adalah kaedah yang membnawa kebaikan .

Yang tidak mendatangkan kebaikan kepada semua orang tapi sangat mustahak dijadikan pengajaran `KMK' yang satu lagi iaitu `KMK' yang rakan-rakan saya pernah istilahkan sebagai "Kawan Makan Kawan".

`KMK' yang satu ini jika wujud , tidak kira di sektor atau arena mana sekali ia akan mendatang keburukan atau kemudaratan yang sangat teruk kepada individu atau industri tertentu. `KMK' yang satu ini tidak ada  "percambahan minda" ke arah meningkatkan mutu kerja dan produktiviti tetapi lebih kepada tipu daya , hasad dengki, khianat, fitnah dan sebagainya terhadap rakan sendiri .

Ketika hubungan baik dengan rakan , kerana rakan itu ada kedudukan tertentu,  semuanya "baik tuan/Datuk/Datuk Seri, Tan Sri " dan sebagainya ; namun apabila level "rakan" sudah berubah menjadi "musuh" maka lainlah pula ceritanya.

Bahkan yang lebih parah lagi apabila suasana berada di dalam keadaan samar-samar antara `kawan' atau `musuh'. Di depan mata dia adalah seorang `rakan' tapi di belakang mata dia tikam habis-habisan, macam tikam musuh. Sanggup memfitnah, menipu , berbohong dan sebagainya meskipun di tempat yang memerlukan bercakap benar. Suasana begini sekarang ini nampaknya semakin ketara dan bertambah. 

Oleh itu, wajarlah  kita lebih berhati-hati atau berwaspada dengan rakan-rakan , terutama ketika ada kedudukan, ada wang dan sebagainya di samping sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar mendapat perlindungan Nya daripada musibah demikian. Wallahu alam. 


Tiada ulasan: