Ahad, 19 Jun 2011

Yang mungkar tetap mungkar,yang makruf tetap makruf

Jika benar bagai dikata, maka negara kita akan menyaksikan pada 9 Julai ini tiga kumpulan yang berlainan entiti dan ideologi akan mempamerkan kehebatan dan keangkuhan masing-masing di gelanggang terbuka kota raya Kuala Lumpur, iaitu ibu negara Malaysia melalui apa yang dinamakan demontrasi membersihkan kekotoran sistem pengendalian pilihan raya di negara ini di satu pihak, manakala di satu pihak lain mendakwa kononnya untuk menyanggah pihak yang satu lagi itu.

Namun, dari satu sisi cara dan perlakuannya adalah sama yakni `berdemonstrasi' atau dengan perkataan lain ialah berarak beramai-ramai yang mana tidak terhad jumlahnya , mungkin ratus, atau ribu, atau puluh ribu atau ratusan ribu dan sebagainya.

Umum sedia maklum undang-undang di negara ini tdak membenarkan sebarang bentuk perhimpunan atau/dan perarakan , melainkan setelah mendapat kebenaran atau `permit' dari pihak berkuasa keselamatan iaitu Polis Di Raja Malaysia atau PDRM. Jika tidak perbuatan itu dikira salah kerana melanggari undang-undang negara ini.

Umum juga sedia maklum undang-undang itu sepertimana undang-undang lain digubal dan diluluskan oleh kerajaan yang memerintah menerusi sokongan suara majoriti lebih 2/3 di Dewan Rakyat dan dipersetujui oleh Parlimen.

Justeru, ia tidak begitu aneh jika yang cuba melangarinya itu datangnya dari pihak yang membangkang atau yang apa yang disebut sebagai sekutu dengannya tetapi adalah terlalu janggal jika ia dilanggari sendiri oleh pihak yang bukan sahaja mendakwa diri mereka sebagai penyokong kerajaan malah sebenarnya adalah sebahagian dari sayap parti kerajaan yang memerintah itu sendiri.

Barangkali inilah agaknya yang dikatakan `dunia' dan mungkin inilah juga agaknya apa yang dikatakan `zaman moden' yang `terbuka dan bebas' segala atau benar seperti apa yang disebut di dalam agama Islam sebagai petanda akhirnya zaman untuk makhluk Allah hidup di dunia ini , di mana anak tidak lagi mahu ikut kata ibu bapa mereka dan isteri tidak gemar menurut perintah suami, dan yang muda tidak rasa untuk hormat orang yang lebih tua dan sebagainya.

Namun yang mungkar tetap mungkar dan yang makruf tetap makruf walau berada di zaman mana sekali pun. Dan mustahak juga untuk diingat bahawa Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang adalah sebahagian daripada Prinsip Rukun Negara. Wallahu a'lam 

Tiada ulasan: