Selasa, 28 Jun 2011

YB, orang korporat antara bernikah di Thailand

ALOR SETAR: Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) mendaftarkan semula perkahwinan 147 pasangan rakyat negara ini yang berpoligami di Thailand, termasuk membabitkan orang kenamaan (VIP) dan ahli politik sepanjang dua tahun lalu.

Pernikahan yang sebahagian besarnya dilakukan di Wilayah Songkla dan Narathiwat itu kebanyakannya membabitkan perkahwinan kedua bagi lelaki yang berumur lewat 40-an dengan pasangan wanita berusia awal 20-an, yang tidak mendapat restu isteri pertama.

Prosedur pernikahan yang mudah di Thailand termasuk membabitkan hal poligami menyebabkan ramai rakyat Malaysia memilih negara jiran sebagai tempat untuk melangsungkan perkahwinan, terutama bagi pernikahan yang bermasalah.

Sumber JAIK berkata, gagal mendapat kebenaran isteri pertama, selain menyorokkan pernikahan daripada pengetahuan isteri dikesan menjadi antara penyebab lelaki Malaysia memilih untuk bernikah di Thailand sebelum mendaftar semula perkahwinan di negara ini. Difahamkan, 49 permohonan daftar semula nikah di Thailand diselesaikan pada 2009 dan 44 kes tahun lalu.

“Kebanyakan kes berpoligami ini membabitkan lelaki berusia lewat 40-an dengan pasangan wanitanya berusia awal 20-an yang turut membabitkan orang kenamaan seperti ahli politik dan korporat," katanya.

Sumber itu menambah, aliran perkahwinan di Thailand ini dikatakan semakin meningkat tidak kira sama ada membabitkan poligami atau pernikahan kali pertama, berikutan prosedur pernikahan di Thailand yang mudah dan diyakini sah dari segi syarak.

"Dulu pasangan terdedah dengan sindiket jurunikah palsu tetapi sejak 2008, kerajaan Thailand sudah mewajibkan setiap pasangan yang mahu bernikah di Wilayah Songkla harus disempurnakan di Masjid Songkla dengan jurunikah bertauliah.

"Ini sekali gus memudahkan urusan nikah pasangan terbabit dan mengelak daripada pernikahan tidak sah atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata, pasangan yang berkahwin di luar negara tanpa kebenaran perlu memfailkan kes di mahkamah syariah di Malaysia untuk menentukan sama ada perkahwinan itu sah atau sebaliknya.

Katanya, pasangan perlu hadir di mahkamah syariah untuk mendaftar semula perkahwinan dengan membawa bukti perkahwinan seperti surat nikah untuk membuktikan siapa jurunikah, saksi dan di mana pernikahan itu berlaku.

"Mereka juga perlu mengemukakan pas sempadan atau pasport untuk membuktikan pasangan berkenaan pergi ke Thailand dan pengesahan konsul untuk membuktikan pernikahan berkenaan benar-benar berlaku,” katanya.

“Jika semua dokumen yang berkenaan lengkap serta pasangan dapat membuktikan kepada mahkamah bahawa pernikahan mereka sah dari segi hukum dan syarak, barulah perkahwinan itu boleh didaftarkan mengikut undang-undang,” katanya.    -  BERITA HARIAN



Tiada ulasan: