Ahad, 17 Julai 2011

Beberapa peristiwa di dalam bulan Syaaban untuk diingati dan dihayati

Bulan ini, bulan Syaaban. Sudahpun pertengahannya. Maka tak lama lagi iaitu kira-kira dua minggu lagi umat Islam akan menunaikan puasa sebulan dalam bulan Ramadhan.

Ketika menunaikan solat Jumaat dua hari lalu di sebuah masjid dalam daerah Seberang Prai Utara (SPU) , Pulau Pinang khatib dalam khutbahnya menyebut `dua peristiwa besar' telah berlaku di dalam bulan Syaaban semasa zaman Rasululah s.a.w. 

Dua peristiwa itu ialah perintah pertukaran qiblat bagi orang Islam iaitu dari Masjidil Aqsa di Palestin ke Masjidil Haram di Makkah oleh Allah s.w.t. Maka semenjak itu hinggalah ke hari ini dan seterusnya qiblat umat Islam , khususnya untuk solat adalah Kaabah (Baitullah) di Masjidil Haram. 

Satu lagi peristiwa yang disebut ialah berkenaan dengan bagaimana isteri Rasulullah s.a.w. , Saiditina Aisyah difitnah oleh puak-puak tertentu, dengan mendakwa beliau melakukan perkara sumbang.

Implikasi fitnah itu  terhadap diri beliau selaku isteri seorang Rasul dan baginda Rasulullah s.a.w sendiri selaku Nabi, Rasul dan suami, serta ayahanda beliau Abu Bakar Assidiq serta umat Islam seluruhnya adalah sangat besar kerana ia melibatkan maruah peribadinya, kenabian dan kerasulan serta kesucian agama Islam itu sendiri.

Berikutan itu , dengan perintah Allah SWT puak-puak yang membuat fitnah itu ditangkap dan dikenakan hukuman qazaf mengikut syariat Islam. Demikian setakat yang saya ingat. Wallahu a'lam.

.  

Selasa, 12 Julai 2011

Renungkan perumpamaan ini: api waktu kecil menjadi kawan, waktu besar menjadi lawan

Hari ini marilah kita bercakap fasal api. Dalam masyarakat Melayu lama api memainkan peranan sangat penting sebab zaman mereka tidak dibekal dengan `karan' atau bekalan elektrik dan gas untuk memasak. Jadi apilah yang digunakan sebagai bahan untuk memasak dan menerangkan rumah bila datang malam atau keadaan gelap. Api juga diguna untuk membakar sampah sarap dan rokok; bahkan sehingga ke hari ini.

Dan lebih `hebat' lagi pada zaman itu bila kejadian manusia dikaitkan dengan api seperti dikatakan "dalam diri manusia ada empat unsur iaitu tanah, air, api dan angin. Api juga pada suatu ketika dulu yang saya masih ingat lagi digunakan oleh orang tua-tua di tempat saya sebagai peduman untuk melakukan sesuatu `program' penting . Misalnya kalau hendak merisik atau meminang pun mereka mengguna `empat unsur' itu bagi memastikan sama ada tarikh untuk hari melakukan upacara jatuh pada unsur apa; jika jatuh pada api misalnya, maknanya suasana akan nanti menjadi panas dan sebagainya.

Selain itu, orang Melayu pada zaman dahulu juga memasukkan api di dalam perumpamaan untuk dijadikan pedoman atau teladan di dalam kehidupan bermasyarakat mereka seperti diumpamakan api itu"bila kecil menjadi kawan tapi bila besar menjadi lawan" atau musuh. Ia membawa maksud yang cukup simbolik dan boleh dibuat pengajaran daripadanya di antaranya secara tersurat, yang bermaksud supaya bila berhadapan dengan api janganlah terlalu leka nanti ia memusnahkan diri kita. Begitu juga jika digunakan secara tersirat.

Pada zaman ini perumpamaan itu bolehlah dikaitkan dengan pelbagai bentuk rupa kejadian atau insiden yang bersifat membawa kecelakaan atau kehancuran kepada masyarakat pada akhirnya jika ia dibiarkan berleluasa atau berterusan. Jadi sebelum ia membesar atau merebak atau berpanjangan lebih baiklah jika ia disekat. Sama ada penyekatan itu menerusi undang-undang atau lain-lain cara.

Pihak yang berkaitan dengan penguatkuasaan undang-undang, sama ada menterinya atau pegawainya hendaklah sentiasa berani bertindak dengan segera tapi penuh bijaksana lagi profesional supaya segala tindakan yang diambil itu tidak pula mendatang akibat `sampingan' yang juga nanti menyusahkan kita dan kemungkinan akan hilang pula keprcayaan orang terhadap kita.

Walau bagaimana pun api tetap api. Sifatnya yang panas dan mengganas ketika besar itu akan memusnahkan apa sahaja jika dibiarkan pada waktu kecilnya. Oleh itu berwaspadalah dengan api atau apa juga yang boleh diumpamakan sebagai api.  Kawallah dia, cegahlah dia, bertegaslah dengan dia dan janganlah biarkan dia terus membara dan membakar nanti akan segalanya terbakar . 


Khamis, 7 Julai 2011

GLC untuk siapa ya ?

Saya tertarik dengan pandangan dan komen yang diberikan oleh Timbalan Presiden Majlis Perunding Melayu, Tan Sri Muhammad Ali Hashim terhadap cadangan kerajaan untuk melupuskan pegangannya dalam syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) seperti dilapor Utusan Malaysia hari ini.

Menurut laporan itu beliau dipetik sebagai berkata , " Langkah ini jelas bertentangan dengan semangat `rakyat didahulukan'.

"Tambahan pula setelah GLC berjaya merekod prestasi menggalakkan dan berupaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara".

Menurutnya , dengan berbuat demikian kerajaan memindahkan hak milik ekuiti amanah rakyat Malaysia yang miskin dan berpendapatan rendah untuk meningkatkan kekayaan golongan pelabur saham swasta yang umumnya berpendapatan tinggi . (Utusan Malaysia);

Katanya lagi, " Sekalipun GLC bukan milik individu Melayu , ia adalah amanah yang harus dipegang untuk manfaat generasi akan datang".

Dan banyak lagi hujah-hujah beliau ( sila rujuk Utusan Malaysia hari ini di bawah tajuk : Kaji semula pelupusan 33 GLC)


Syabas Tan Sri...... Mudah-mudahan ada perhatian daripada pucuk pimpinan kerajaan.