Ahad, 17 Julai 2011

Beberapa peristiwa di dalam bulan Syaaban untuk diingati dan dihayati

Bulan ini, bulan Syaaban. Sudahpun pertengahannya. Maka tak lama lagi iaitu kira-kira dua minggu lagi umat Islam akan menunaikan puasa sebulan dalam bulan Ramadhan.

Ketika menunaikan solat Jumaat dua hari lalu di sebuah masjid dalam daerah Seberang Prai Utara (SPU) , Pulau Pinang khatib dalam khutbahnya menyebut `dua peristiwa besar' telah berlaku di dalam bulan Syaaban semasa zaman Rasululah s.a.w. 

Dua peristiwa itu ialah perintah pertukaran qiblat bagi orang Islam iaitu dari Masjidil Aqsa di Palestin ke Masjidil Haram di Makkah oleh Allah s.w.t. Maka semenjak itu hinggalah ke hari ini dan seterusnya qiblat umat Islam , khususnya untuk solat adalah Kaabah (Baitullah) di Masjidil Haram. 

Satu lagi peristiwa yang disebut ialah berkenaan dengan bagaimana isteri Rasulullah s.a.w. , Saiditina Aisyah difitnah oleh puak-puak tertentu, dengan mendakwa beliau melakukan perkara sumbang.

Implikasi fitnah itu  terhadap diri beliau selaku isteri seorang Rasul dan baginda Rasulullah s.a.w sendiri selaku Nabi, Rasul dan suami, serta ayahanda beliau Abu Bakar Assidiq serta umat Islam seluruhnya adalah sangat besar kerana ia melibatkan maruah peribadinya, kenabian dan kerasulan serta kesucian agama Islam itu sendiri.

Berikutan itu , dengan perintah Allah SWT puak-puak yang membuat fitnah itu ditangkap dan dikenakan hukuman qazaf mengikut syariat Islam. Demikian setakat yang saya ingat. Wallahu a'lam.

.  

Tiada ulasan: