Selasa, 12 Julai 2011

Renungkan perumpamaan ini: api waktu kecil menjadi kawan, waktu besar menjadi lawan

Hari ini marilah kita bercakap fasal api. Dalam masyarakat Melayu lama api memainkan peranan sangat penting sebab zaman mereka tidak dibekal dengan `karan' atau bekalan elektrik dan gas untuk memasak. Jadi apilah yang digunakan sebagai bahan untuk memasak dan menerangkan rumah bila datang malam atau keadaan gelap. Api juga diguna untuk membakar sampah sarap dan rokok; bahkan sehingga ke hari ini.

Dan lebih `hebat' lagi pada zaman itu bila kejadian manusia dikaitkan dengan api seperti dikatakan "dalam diri manusia ada empat unsur iaitu tanah, air, api dan angin. Api juga pada suatu ketika dulu yang saya masih ingat lagi digunakan oleh orang tua-tua di tempat saya sebagai peduman untuk melakukan sesuatu `program' penting . Misalnya kalau hendak merisik atau meminang pun mereka mengguna `empat unsur' itu bagi memastikan sama ada tarikh untuk hari melakukan upacara jatuh pada unsur apa; jika jatuh pada api misalnya, maknanya suasana akan nanti menjadi panas dan sebagainya.

Selain itu, orang Melayu pada zaman dahulu juga memasukkan api di dalam perumpamaan untuk dijadikan pedoman atau teladan di dalam kehidupan bermasyarakat mereka seperti diumpamakan api itu"bila kecil menjadi kawan tapi bila besar menjadi lawan" atau musuh. Ia membawa maksud yang cukup simbolik dan boleh dibuat pengajaran daripadanya di antaranya secara tersurat, yang bermaksud supaya bila berhadapan dengan api janganlah terlalu leka nanti ia memusnahkan diri kita. Begitu juga jika digunakan secara tersirat.

Pada zaman ini perumpamaan itu bolehlah dikaitkan dengan pelbagai bentuk rupa kejadian atau insiden yang bersifat membawa kecelakaan atau kehancuran kepada masyarakat pada akhirnya jika ia dibiarkan berleluasa atau berterusan. Jadi sebelum ia membesar atau merebak atau berpanjangan lebih baiklah jika ia disekat. Sama ada penyekatan itu menerusi undang-undang atau lain-lain cara.

Pihak yang berkaitan dengan penguatkuasaan undang-undang, sama ada menterinya atau pegawainya hendaklah sentiasa berani bertindak dengan segera tapi penuh bijaksana lagi profesional supaya segala tindakan yang diambil itu tidak pula mendatang akibat `sampingan' yang juga nanti menyusahkan kita dan kemungkinan akan hilang pula keprcayaan orang terhadap kita.

Walau bagaimana pun api tetap api. Sifatnya yang panas dan mengganas ketika besar itu akan memusnahkan apa sahaja jika dibiarkan pada waktu kecilnya. Oleh itu berwaspadalah dengan api atau apa juga yang boleh diumpamakan sebagai api.  Kawallah dia, cegahlah dia, bertegaslah dengan dia dan janganlah biarkan dia terus membara dan membakar nanti akan segalanya terbakar . 


Tiada ulasan: