Sabtu, 27 Ogos 2011

Selamat Hari Raya Aidilfitri - maaf zahir batin

Selamat Hari Raya (Aidilfitri) kepada semua dan maaf zahir batin. Jika ada terkasar bahasa dan ucapkata diharap tidak mengambil hati.

Selamat pulang ke kampung halaman dan selamat bertemu ayah dan ibu serta ahli kerluarga bagi mereka yang berkesempatan .

Sambutlah raya dengan seberapa sederhana yang termampu. Jangan terlalu berlebihan sehingga melanggar syariat dan sunnah. Berat dosa untuk menanggungnya.

Ingat juga bahawa sambut raya itu ibadat, bukan adat. Sambutlah cara ibadat bukan sebaliknya. Dalam ibadat ada `terma dan syaratanya' .

Pun jangan lupa , seboleh-bolehnya berpuasa pula pada hari berikutnya atau mana - mana hari sepanjang bulan Syawal selama enam hari agar memperoleh kebajikan dan ganjaran dari Allah SWT. 

Dan ingat juga bahawa mendapat keredaan Allah itu lebih baik daripada mendapat kesukaan/keseronokan gelora hawa nafsu.

Semoga berjaya pada hari raya tahun ini.  Allahu Akbar ! Allahu Akbar ! Allahu Akbar...walillahil hamd.


Selasa, 23 Ogos 2011

Seruan kepada pengguna jalan raya : hargailah Ops Sikap ke 24

Mulai hari ini hingga 6 September ini bermulalah Ops Sikap yang bertujuan untuk mengawal keselamatan orang ramai di jalan raya atau lebuh raya . Kali ini adalah yang ke 24.  

Menurut laporan media Polis Di Raja Malaysia (PDRM) akan mengerahkan 10,000 pegawai dan anggotanya di seluruh negara bagi menjayakan operasi berkenaan. Jumlah tenaga kerja ini belum lagi  termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Di samping itu, PDRM juga difahamkan akan mengguna kamera berteknologi tinggi bagi mengesan kesalahan lalu lintas yang dilakukan pemandu-pemandu kenderaan.

Berdasarkan jumlah tenaga dan peralatan yang digunakan itu tentulah kos operasinya juga amat besar selain dari tenaga kerja. Namun kesannya belum pasti lagi. Ia banyak bergantung kepada sikap pengguna jalan raya itu sendiri. Kerjasama mereka adalah sangat penting.

Pengguna jalan rayalah yang harus lebih memberi perhatian dan komitmen mereka terhadap keselamatan diri sendiri dan orang lain di jalan jalan raya di samping menghargai pengorbanan kerajaan secara umumnya dan pasukan keselamatan yang menjalankan tugas khanya.

Pengorbanan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan itu sama ada PDRM atau JPJ sudah pasti antara lainnya mereka tidak dapat bercuti seperti orang lain untuk beraya bersama dengan keluarga masing-masing.

Pengguna jalan raya juga kena ingat di samping pengorbanan jasmani dan psykologi pasukan keselamatan yang bertugas adalah juga penggunaan wang kerajaan yang banyak jumlahnya untuk membiayai operasi berkenaan. Wang kerajaan itu adalah wang rakyat juga. Wang kita !

Oleh itu, diharapkan Ops Sikap kali ini nanti akan menghasilkan natijah yang memberangsangkan dengan penurunan jumlah kemalangan dan kadar kematian berbanding operasi sebelum ini.


Ahad, 21 Ogos 2011

Pesanan kepada penceramah tazkirah; jangan ghairah sangat !

Memberi ceramah atau berucap di hadapan khalayak ramai atau apa sahaja istilahnya yang diguna pakai yang maksudnya bercakap kepada orang ramai adalah bukan kerja mudah.

Memiliki bakat sahaja tidak jadi jika tidak disertai dengan elemen-elemen seperti kemahiran bercakap, berhujah  dan sebagainya dan pada masa sama juga memerlukan kebolehan atau kemahiran berfikir secara kritis terhadap bakal khalayak pendengar yang sedang menanti .

Seseorang penceramah itu hendaklah tahu siapa yang akan menjadi khalayak pendengarnya , misalnya orang mudakah, orang tuakah, orang terpelajarkah, orang tidak terpelajarkah, lelaki sahajakah atau wanita sahajakah? atau separuh-separuhkah ?

Yang lebih penting lagi , terutama di negara kita ini apakah parti yang mereka cenderungi atau anuti ? Parti kerajaan kah, pembangkangkah , atas pagarkah ? dan sebagainya.  Kesemua ini dan banyak lagi kriteria lain yang kemunginan ada pada sejumlah besar khalayak pendengar, seseorang penceramah itu mesti tahu terlebih dahulu sebelum membuat persiapan dari segi bahan ceramah dan penampilan diri.

Penampilan diri adalah juga sangat mustahak diambil kira yang harus disesuaikan dengan majlis dan adat resam bakal khalayak pendengar yang akan ditemui. Mungkin kesalahan jarang berlaku tetapi ada juga sebahagian penceramah/pengucap melakukan sperti masuk dalam masjid/surau tidak aurat oleh penceramah wanita. 

Takkan pula misalnya datang ke masjid atau surau seperti pergi shopping atau majlis makan malam dan sebanaginya.

Untuk mengetahui semua perkara ini mestilah terlebih dahulu tanya orang yang membuat `contacs' dengan kita . Kerja ini dipanggil `analisis khlayak' sebelum majlis.

Lepas itu buat lagi analisis semasa majlis ceramah sedang berjalan untuk mengetahui sama ada cara penyamapian ceramah kita itu disukai oleh kebanyakan khalayak pendengar atau tidak; Jika didapati tidak disukai makka hendaklah diubahkannya dengan serta merta .

Ini supaya majlis itu berjalan dengan baik dan tiada kesan negatif wujud seperti ada yang `lari' keluar majlis dan sebagainya . Lebih parah lagi jika ada yang buat aduan poliis.

Jika semua itu berlaku nyatalah ia mmenunjukkan bahawa ceramah itu kita `tidak menjadi'. Lagi buruknya apabila orang kata kita `jahil' dalam memberi ceramah. Oleh itu jangan teruja sangat ketika berceramah sebaliknya perhatikan gelagat khalayak, seperti kata peri bahasa Melayu cakap siang pandang-pandang dan cakap malam dengar-dengar. 

Walau bagaimanapun sebenarnya untuk berbicara mengenai `teknik-teknik pengucapan awam' ini ia mengambil ruang dan masa yang banyak. Bagaimana pun saya ingin menyerulah kepada mereka yang  ghairah untuk berceramah, lebih-lebih lagi di dalam bulan Ramadan ini , berhati-hatilah ketika mengatur kata dan menyusun kalam agar tidak terlalu menyinggung perasan khalayak pendengar. Buatlah analiisis khalayak terlebih daulu dan laksanakan tugas itu dengan penuh jujur dan profesional. Tak kiralah apa istilah majlis yang digunakan ,seperti `tazkirah' dan sebagainya.  

Rabu, 17 Ogos 2011

Isu percubaan memurtadkan kanak-kanak: Mencegah lebih baik daripada merawatinya

Ketika membaca tulisan Zaini Hassan, seorang wartawan kanan di Utusan Malaysia dalam ruangan "Cuit"nya yang disiarkan hari ini, hati dan emosi saya amat tersentuh.

Menurut Zaini , beliau telah dihubungi oleh seorang guru sebuah sekolah rendah di ibu kota Kuala Lumpur yang mengatakan ada di kalangan muridnya yang beragama Islam pelajar tahun 1 dan 6 dapat menyanyi lagu `gereja' dengan penuh semangat . Kabarnya cik gu itu bukan beragama Islam.

Difahamkan menerusi tulisan Zaini itu kanak-kanak berkenaan mempelajari perkara itu menerusi kelas tuisyen yang dihadiri mereka .

Beberapa pihak yang berkaitan seperti jabatan Agama Islam dan jabatan Pelajaran difahmakan juga telah dihubungi mengenai keadaan itu.

Kabarnya juga kanak-kanak itu datang dari keluarga `miskin'.

Ini adalah cerita yang disampaikan kepada Zaini dan beliau dedahkan pada akhbar . Mungkin ada banyak lagi yang tidak didedahkan.

Sebagai seorang Islam cerita dan berita seumpama ini tentulah merupakan sesuatu yang sangat memilukan dan membimbangkan .

Ia kerana kita masing-masing ada zuriat , sama ada sudah besar atau masih kecil, dan pada masa sama berdepan dengan permasalahan mencari rezeki.

Apatah lagi kiranya tinggal di kota raya atau bandar-bandar besar yang taraf hidupnya amat tinggi. Pasti ruang masa untuk bersama anak-anak adalah sangat terbatas.

Namun kes ini kita harap dapat diselesaikan . Manakala kes-kes lain seumpama ini dapat didedahkan lagi dengan qudrat dan iradat Allah Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi dari semasa ke semasa .

Justeru tidak dapat delakkan lagi bahawa pihak-pihak berkuasa terutama yang berkenaan dengan agama, pertubuhan-pertubuhan (NGO) Islam hendaklah lebih bersikap pro aktif di dalam usaha mendepani isu-isu seumpama ini .

Pada masyarakat dan kita semua sama-samalah saling bekerjasama serta mengambil sikap lebih berhati-hati serta memberi lebih perhatian kepada gerak geri zuriat kita, terutama yang masih kecil. Bak kata orang bijak pandai `mencegah itu lebih baik daripada merawatinya ' . Wallahu a'lam.



Selasa, 16 Ogos 2011

Terima kasih Mufti Pulau Pinang

Terima kasih kepada Datuk Seri Hassan Ahmad, Mufti Pulau Pinang kerana sudi tampil memberi penjelasan mengenai isu `larangan' menggunakan pembesar suara di masjid dan surau di negeri itu menjelang masuk solat Subuh.

Isu ini telah menjadi tajuk perbincangan hangat di peringkat masyarakat umum Islam di Malaysia mengikut sudut pandangan dan sentimen masing-masing, sedangkan ia adalah berkaitan dengan hukum.

Seperti mana kebanyakan umat Islam sedia ketahui hukum syarak bukanlah macam hukum adat atau undang-undang negara yang siapapun boleh memperkatakannya mengikut pandangan sendiri meskipun tanpa berasas kepada keilmuan yang mendalam. Ia tidak mendatangkan dosa.

Oleh itu kesudian sohibul fadhilah DS Mufti menjelaskan kepada umum mengenai kedudukan sebenar `arahan' itu dikeluarkan kepada masjid dan surau di negeri Pulau Pinang itu sangat dinanti-nantikan oleh masyarakat Islam di negara ini.

Selepas ini diharapkan tiada lagi mana-mana pihak memperkatakan mengenainya secara melulu tanpa bersandarkan kepada keilmuan yang mendalam mengenai hukum hakam Islam atau ada kaitan dngan sentimen dengan sesuatu ideologi.

Memanglah pada permukaannya ia lebih kepada pentadbiran tetapi lebih jauh dari itu ia membabitkan hukum syarak yang bukan sahaja harus dihormati oleh masyarakat Islam tetapi oleh sesiapa juga.

Oleh itu setiap yang berkaitan dengan hukum hakam Islam umat Islam harus lebih berhati-hati ketika membincangkannya secara terbuka, manaklah pihak berwajib pula harus lebih peka dengan sensitiviti dan keadaan politik yang tidak menentu sekarang . Wallahu a'lam.

Isnin, 15 Ogos 2011

Isu agama ke isu politik ?

Sepanjang dua minggu berlalunya bulan Ramadan yang mana umat Islam keseluruhannya diwajibkan berpuasa apabila mencukupi syarat-syaratnya , timbul dua isu `besar' yang menghantui masyarakat Islam di negara ini.

Salah satunya isu jemputan `berbuka puasa' di sebuah gereja di Selangor yang menurut berita yang disiarkan media melibatkan 12 orang Muslim ketika diserbu oleh pihak berkuasa agama dan keselamatan di negeri itu. Isu itu tercetus minggu lalu dan heboh di seluruh negara. 

Keduaya isu `larangan menyiarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran beberapa minit menjelang masukya waktu solat subuh. Isu ini tercetus di Pulau Pinang beberapa hari lalu . Konon beritanya larangan itu berikutan dari arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Pulau Pinang. Ia juga heboh satu negara.

Sama ada ia satu kebetulan atau direncanakan , kedua-duanya berlaku dalam negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat (PR) yang juga merupakan parti pembangkang di Dewan Rakyat.

Kedua-dua isu itu menarik perhatian umat Islam kerana ia membabitkan kedudukan akedah seseorang Muslim dan satu lagi membabitkan kedudukan hukum iaitu dibolehkan (harus,sunat, wajib) atau sebaliknya (haram,makruh) dan sebagainya. .

Untuk mempastikkan kedudukan perkara ini tentulah pihak yang berwibawa dalam ilmu agama sahaja yang layak membincang dan merumuskannya.

Namun sebahagian dari kalangan orang Islam daripada kedua-dua parti politik terbesar orang Melayu/Islam telah tampil mengambil bahagian secara aktif.

Para pemimpin Pas dari pihak pembangkang dan Umno dari parti kerajaan msing-masing membuat kenyataan media yang seolah-olah menggambarkan mengikut kepentingan serta sudut pandangan parti masing-masing .

Yang jelasnya kedua-dua pihak adalah berpegang pada satu akidah dan mengamalkan satu syariat agama   tetapi barangkali kerana terdapatnya perbezaan ideologi politik mereka saling bercakaran antara satu sama lain yang seakan-akan menggambarkan bahawa pendirian mereka berasaskan kepentingan parti masing-masing .

Persoalan yang timbul di kalangan masyarakat biasa yang menjadi rakyat jelata yang ingin melihat sesuatu jawapan yang jelas terutama di bulan Ramadan ini terkeliru antara satu sama lain dan tertanya-tanya apakah isu yang diperbincangkan ini isu agama atau isu politik .

Sekiranya ia adalah sebenarnya isu agama, tidak bolehkah diselaraskan sahaja kesimpulan dan pendiriannya dan janganlah pula dipolitikkan semata-mata untuk menjana penghasilan keuntungan politik pada pilihan raya.

Sama ada di perigkat pusat atau di peringkat negeri kita ada agensi-agensi rasmi yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam, kenapa mereka diam sahaja dan tidak cuba merongkai isu ini secara mengikut lunas agama (syariat) di meja rundingan dan kemudiannya merumuskan kedudukan sebenar; terutama berkaitan larangan menyiarakan bacaan ayat-ayat al-Quran dan kelakuan menghadiri majlis tertentu di gereja yang tujuannya diragui.

Jsuteru lagi cepat pihak berkauas agama bertindak lagi baik untuk ummah dan syair agama (Islam) . Wallahu a'lam.  


Khamis, 11 Ogos 2011

Murtad: salah siapa ?

Isu murtad di kalangan masyarakat Islam di negara ini sebenarnya bukanlah isu baru yang berlaku di alaf baru ini, namun ia sudah didengari berlaku sejak di abad ke 20 lagi. Cuma perbezaannya barangkali isu di alaf baru ini lebih panas lagi kerana ia menarik perhatian banyak pihak dan kadang kala lebih cenderong ke arah isu politik daripada agama. Justeru `orang politik' lebih banyak memberi perhatian daripada `orang agama'. Tidak kisahlah pada sudut mana ia berada atau diletakkan. Namun kesannya adalah sama iaitu segelintir penganut Islam seolah-olah bersedia meninggalkkan agama mereka (Islam) dan imej agama Islam dicemari. 

Salah siapa ?

Jari tangan kita hendaklah tidak seharusnya secepat mungkin menghalakan ke arah orang lain tetapi lebih baik kiranya dihalakan ke arah kita terlebih dahulu.

Kita ada ulama, kita ada majlis agama, kita ada jabatan agama, kita ada pendakwah, guru agama, kita ada ustaz, kita ada masjid dan surau dan kita ada banyak lagi institusi yang berkaiatan dengan dakwah Islamiah, termasuk jabatan zakat dan baitulmal.

Namun setakat mana kita manfaatkan institusi-institusi berkenaan pada tujuan dakwah - meyebarkan Islam kepada orang lain dan memperkukuhkan serta mempertahankana akidahnya di kalangan umat Islam sendiri, kita kenalah sama tepuk dahi tanya diri kita . 

Mari kita renungkan cara kita berdakwah setakat ini.  Cara kita berdakwah rasanya agak berbeza dengan orang lain `berdakwah'.

Kita, sama ada mahu mengaku atau tidak, kita tidak turun padang dalam erti kata sebenar dalam mencari golongan sasaran atau kita tidak berusaha mengenalpasti golongan sasaran. Siapa yang harus kita awasi akidahnya dan siapa yang patut kita ubah akidahnya dan siapa pula yang kita kena perkukuhkan akidahnya ?

Semua persoalan itu harus dijawab oleh kita semua, khususnya oleh pihak-pihak yang ada kaitan dengan kerja-kerja dakwah secara langsung seperti para ulama, ustaz-ustaz, institusi-institusi keagamaan, pegawai-pegawai dan ahli jawatankuasa rumah-rumah ibadat kita dan sebagainya.

Memang kita buat aktiviti agama, kita adakan ceramah tidak henti-henti sepanjang tahun ; termasuk sepanjang bulan ramadhan yang seharusnya diutamakan aktiviti ibadat-ibadat lain kerana sepuluh bulan masa diperuntukkan untuk kita berceramah.

Tetapi kepada siapa kita harus kategorikan keutamaan berceramah atau berkuliah dan apakah pendekatan yang kita gunakan sejajar dengan latar belakang golongan sasaran kita , atau adakah kita (penceramah) pernah membuat analisis khalayak sebelum membuat sesuatu ceramah.

Berdasarkan pemerhatian , kerja itu tidak dibuat. Ini berdasarkan kebiasaannya penceramah pakai hentam sahaja ikut rasanya (self oriented) dan bukan ikut keperluan dan latar belakang khalayak (audience oriented) lantas keberkesanan mesej meragukan.

Sesetengah masjid pula mengadakan sehingga berbelas kali aktiviti ceramah (kuliah) dalam seminggu. Yang hadir ke majlis itu 90 peratus lebih adalah orang yang sama .

Tidak mampukah kita menggunakan pendekatan `pemujukan' seperti yang terdapat dalam ilmu `komunikasi'. Memujuk tidak semestinya dengan ceramah yang tidak henti-henti. Tetapi ia boleh digunakan menerusi perkara lain seperti kewangan dan kebendaan.

Menghulurkan bantuan secara berterusan kepada sasaran kemudian dalam tempoh tertentu secara berkala  di bawa ke masjid atau seumpama dan disampaikan ajaran-jaran agama sedikit demi sedikit sehingga diyakini iman atau akidah mereka sudah kukuh dan sebagainya. Teruskan usaha pemantapan akidah itu dengan cara lain pula dan sebagainya .

Sekarang ini kelihatan di mana-mana jua kita terus menerus menggunakan pendekatan yang sama di dalam berdakwah atau dalam `mempertahankan' akidah sebahagian rakan-rakan kita dari dinodai , sedangkan orang lain sentiasa menggunakan pendekatan yang lebih baik dan sistematik.

Rasanya kini wajarlah sekiranya pihak-pihak berkenaan mengubah cara pendekatan yang diamalkan selama ini  kepada cara dan pendekatan lain yang labih berkesan dan sistematik demi mempertahankan dan pada masa sama menyebarluaskan dakwah Islamiah sama ada dalam kalangan mereka yang sudah sedia beriman atau dengan mereka yang belum lagi beriman.   

Rabu, 10 Ogos 2011

Bonus raya : untuk penjawat awam persekutuan sahaja ke ?

Para pesara perkhidmatan awam Malaysia seramai lebih kurang 590,000 orang itu tentulah berasa seronok apabila Perdana Menteri dua hari lepas mengumumkan `bayaran khas' kepada mereka pertengahan bulan ini sebagai belanja hari raya.

Saya juga sebagai pesara perkhidmatan awam dan baru pulang dari tanah suci sehari sebelum berita disiarkan , kerana mengerjakan umrah tersentak membaca berita itu dan rasa amat bersyukur dengan nikmat pemberian itu.

Begitu juga rasanya dengan rakan-rakan yang masih bekerja yang akan mendapat sekurang-kurangnya RM500 atau setengah bulan gaji masing-masing. Namun difahamkan ia untuk kakitangan di bawah kerajaan persekutuan sahaja, tidak termasuk kakitangan di bawah perkhidmatan kerajaan negeri.

Bagi mereka yang bekerja di bawah perkhidmatan negeri tentulah juga turut mengharapkan bayaran sama daripada kerajaan negeri, khususnya negeri-negeri di bawah pemerintahan kerajaan pakatan rakyat. Dengar ceritanya mereka `risau' kemungkinan tidak dibayar .

Sehingga kini rasanya pengumuman mengenainya belum ada lagi. Harap-harapnya mereka juga akan mendapat habuan yang sama seperti rakan-rakan di bawah perkhidmatan kerajaan pusat.