Khamis, 11 Ogos 2011

Murtad: salah siapa ?

Isu murtad di kalangan masyarakat Islam di negara ini sebenarnya bukanlah isu baru yang berlaku di alaf baru ini, namun ia sudah didengari berlaku sejak di abad ke 20 lagi. Cuma perbezaannya barangkali isu di alaf baru ini lebih panas lagi kerana ia menarik perhatian banyak pihak dan kadang kala lebih cenderong ke arah isu politik daripada agama. Justeru `orang politik' lebih banyak memberi perhatian daripada `orang agama'. Tidak kisahlah pada sudut mana ia berada atau diletakkan. Namun kesannya adalah sama iaitu segelintir penganut Islam seolah-olah bersedia meninggalkkan agama mereka (Islam) dan imej agama Islam dicemari. 

Salah siapa ?

Jari tangan kita hendaklah tidak seharusnya secepat mungkin menghalakan ke arah orang lain tetapi lebih baik kiranya dihalakan ke arah kita terlebih dahulu.

Kita ada ulama, kita ada majlis agama, kita ada jabatan agama, kita ada pendakwah, guru agama, kita ada ustaz, kita ada masjid dan surau dan kita ada banyak lagi institusi yang berkaiatan dengan dakwah Islamiah, termasuk jabatan zakat dan baitulmal.

Namun setakat mana kita manfaatkan institusi-institusi berkenaan pada tujuan dakwah - meyebarkan Islam kepada orang lain dan memperkukuhkan serta mempertahankana akidahnya di kalangan umat Islam sendiri, kita kenalah sama tepuk dahi tanya diri kita . 

Mari kita renungkan cara kita berdakwah setakat ini.  Cara kita berdakwah rasanya agak berbeza dengan orang lain `berdakwah'.

Kita, sama ada mahu mengaku atau tidak, kita tidak turun padang dalam erti kata sebenar dalam mencari golongan sasaran atau kita tidak berusaha mengenalpasti golongan sasaran. Siapa yang harus kita awasi akidahnya dan siapa yang patut kita ubah akidahnya dan siapa pula yang kita kena perkukuhkan akidahnya ?

Semua persoalan itu harus dijawab oleh kita semua, khususnya oleh pihak-pihak yang ada kaitan dengan kerja-kerja dakwah secara langsung seperti para ulama, ustaz-ustaz, institusi-institusi keagamaan, pegawai-pegawai dan ahli jawatankuasa rumah-rumah ibadat kita dan sebagainya.

Memang kita buat aktiviti agama, kita adakan ceramah tidak henti-henti sepanjang tahun ; termasuk sepanjang bulan ramadhan yang seharusnya diutamakan aktiviti ibadat-ibadat lain kerana sepuluh bulan masa diperuntukkan untuk kita berceramah.

Tetapi kepada siapa kita harus kategorikan keutamaan berceramah atau berkuliah dan apakah pendekatan yang kita gunakan sejajar dengan latar belakang golongan sasaran kita , atau adakah kita (penceramah) pernah membuat analisis khalayak sebelum membuat sesuatu ceramah.

Berdasarkan pemerhatian , kerja itu tidak dibuat. Ini berdasarkan kebiasaannya penceramah pakai hentam sahaja ikut rasanya (self oriented) dan bukan ikut keperluan dan latar belakang khalayak (audience oriented) lantas keberkesanan mesej meragukan.

Sesetengah masjid pula mengadakan sehingga berbelas kali aktiviti ceramah (kuliah) dalam seminggu. Yang hadir ke majlis itu 90 peratus lebih adalah orang yang sama .

Tidak mampukah kita menggunakan pendekatan `pemujukan' seperti yang terdapat dalam ilmu `komunikasi'. Memujuk tidak semestinya dengan ceramah yang tidak henti-henti. Tetapi ia boleh digunakan menerusi perkara lain seperti kewangan dan kebendaan.

Menghulurkan bantuan secara berterusan kepada sasaran kemudian dalam tempoh tertentu secara berkala  di bawa ke masjid atau seumpama dan disampaikan ajaran-jaran agama sedikit demi sedikit sehingga diyakini iman atau akidah mereka sudah kukuh dan sebagainya. Teruskan usaha pemantapan akidah itu dengan cara lain pula dan sebagainya .

Sekarang ini kelihatan di mana-mana jua kita terus menerus menggunakan pendekatan yang sama di dalam berdakwah atau dalam `mempertahankan' akidah sebahagian rakan-rakan kita dari dinodai , sedangkan orang lain sentiasa menggunakan pendekatan yang lebih baik dan sistematik.

Rasanya kini wajarlah sekiranya pihak-pihak berkenaan mengubah cara pendekatan yang diamalkan selama ini  kepada cara dan pendekatan lain yang labih berkesan dan sistematik demi mempertahankan dan pada masa sama menyebarluaskan dakwah Islamiah sama ada dalam kalangan mereka yang sudah sedia beriman atau dengan mereka yang belum lagi beriman.   

Tiada ulasan: