Selasa, 23 Ogos 2011

Seruan kepada pengguna jalan raya : hargailah Ops Sikap ke 24

Mulai hari ini hingga 6 September ini bermulalah Ops Sikap yang bertujuan untuk mengawal keselamatan orang ramai di jalan raya atau lebuh raya . Kali ini adalah yang ke 24.  

Menurut laporan media Polis Di Raja Malaysia (PDRM) akan mengerahkan 10,000 pegawai dan anggotanya di seluruh negara bagi menjayakan operasi berkenaan. Jumlah tenaga kerja ini belum lagi  termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Di samping itu, PDRM juga difahamkan akan mengguna kamera berteknologi tinggi bagi mengesan kesalahan lalu lintas yang dilakukan pemandu-pemandu kenderaan.

Berdasarkan jumlah tenaga dan peralatan yang digunakan itu tentulah kos operasinya juga amat besar selain dari tenaga kerja. Namun kesannya belum pasti lagi. Ia banyak bergantung kepada sikap pengguna jalan raya itu sendiri. Kerjasama mereka adalah sangat penting.

Pengguna jalan rayalah yang harus lebih memberi perhatian dan komitmen mereka terhadap keselamatan diri sendiri dan orang lain di jalan jalan raya di samping menghargai pengorbanan kerajaan secara umumnya dan pasukan keselamatan yang menjalankan tugas khanya.

Pengorbanan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan itu sama ada PDRM atau JPJ sudah pasti antara lainnya mereka tidak dapat bercuti seperti orang lain untuk beraya bersama dengan keluarga masing-masing.

Pengguna jalan raya juga kena ingat di samping pengorbanan jasmani dan psykologi pasukan keselamatan yang bertugas adalah juga penggunaan wang kerajaan yang banyak jumlahnya untuk membiayai operasi berkenaan. Wang kerajaan itu adalah wang rakyat juga. Wang kita !

Oleh itu, diharapkan Ops Sikap kali ini nanti akan menghasilkan natijah yang memberangsangkan dengan penurunan jumlah kemalangan dan kadar kematian berbanding operasi sebelum ini.


Tiada ulasan: