Rabu, 7 September 2011

Hanya dengan limpahan ramat-Nya jua

Sesungguhnya saya amat bersyukur kepada Allah SWT, Tuhan Pentadbir seluruh alam kerana memberikan saya kekuatan dan kesihatan yang baik ketika menjalankan ibadat puasa bulan Ramadan serta ibadat-ibadat lain yang berkaitan dengannya seperti mengerjakan solat tarawih, solat witir berjamaah, berbuka, bersahur, tilawah dan sebagainya pada tahun ini.

Dengan kehendak-Nya dan limpahan rahmat-Nya pada tahun ini saya mendapat kesempatan memegang puasa serta ibadat-ibadat lain yang berkaitan dengannya di Tanah Suci al-Makkah al-Mukarammah selama lebih kurang seminggu . Baki tiga minngu lagi dikerjakan di dalam negara.

Sungguh menyeronokkan ketika mengerjakan ibadat puasa serta ibadat-ibadat lain yang berkaitan dengannya di Tanah Suci. Sekalipun cuaca lebih panas dan siang lebih lama berbanding dengan negara kita, namun ia tidak merasa letih dan sebagainya. Bahkan dapat mengerjakan tawaf dan saii lagi pada jam menjelang beberapa  masuknya waktu solat Zuhur (lebih kurang pukul 12.35 tgh waktu tempatan). Saya merasakan ini satu nikmat yang cukup besar buat saya yang daif ini. Tentulah ini semata-mata dengan limpahan rahmat-Nya jua.

Kadang kala berada di dalam masjidil haram dari menjelang waktu asar hingga tamat solat tarawih , namun ia tidak terasakan masa begitu lama dan membosankan. Malah amat menyeronokkan . Masya Allah ! Begitulah limpahan rahmat-Nya.

Manakala berbuka di Masjidil Haram hanya dengan makan sama ada tiga, lima, tujuh atau sembilan biji tamar dan segelas air zamzam yang diberikan percuma oleh pihak tertentu di sana .Betul-betul mengikut sunnah. Apa tidaknya Nabi Muhammad SAW pernah bersabda supaya berbuka (puasa) dengan mengambil jumlah biji tamar secara gasal iaitu sama ada satu, tiga, lima, tujuh dan seterusnya.


Pun begitu sudah cukup untuk membekalkan tenaga bagi mengerjakan solat tarawih yang dibuat sebanyak 20 + tiga itu. Solat sunat tarawaih pula meskipun dibuat sebanyak 20 rakat tetapi tidak diselangi dengan yang lain. Jauh sekali dengan aktiviti `tazkirah' yang kini telah menjadi satu kelaziman (trend) bagi sesetengah tempat di negara kita. Saya tidak mahu mengatakan `tazkirah' itu tidak baik. Tetapi apakah ia menepati waktunya ?

Sekarang kita sekalian sedang berada di dalam bulan Syawal. Sepanjang bulan ini kita juga disunatkan (disuruh) berpuasa lagi selama enam hari. Sama ada secara berturut hari atau berselang hari, terpulang kepada kemampuan dan kesempatan masing-masing. Namun ganjarannya juga cukup besar kerana ia dikira seolah-olah berpuasa `sepanjang tahun' . Mudah-mudahan kita semua berkesempatan melakukannya insya Allah. 

Tiada ulasan: