Khamis, 8 September 2011

Ops Sikap gagal ? Kaji semula punca kemalangan

Ops Sikap ke 24 yang dilaksanakan selama 15 hari , iaitu lebih kurang seminggu menjelang sambutan idilfitri dan seminggu lagi selepasnya dilaporkan mencatat angka kematian sebanyak 289 kes. Ia dikatakan `terburuk' sejak ops itu diperkenalkan.
 
Dari segi laluan yang digunakan pengguna jalan raya, jalan bandaran dilaporkan  mencatat jumlah kemalangan yang tertinggi (503 kes) berbanding dengan laluan lain seperti jalan persekutuan, jalan negeri dan labuh raya. Malahan labuh raya mencatatkan jumlah kemalangan yang relatif rendah (115) berbanding dengan laluan tersebut.
 
Had kelajuan yang dibenarkan pada laluan-laluan tersebut adalah berbeza di antara satu dengan yang lain di mana kelajuan lebih tinggi di lebuh raya dan lebih rendah di jalan bandaran. 
 
Jadi, apakah logiknya punca yang membawa jalan bandaran itu mencatatkan jumlah kemalangan yang lebih tinggi sedangkan ia kawasan yang mana had kelajuannya cukup sederhana , misalnya 60km/j ; sedangkan di laluan lain lebih tinggi.
 
Apakah faktor terlalu banyak lampu isyarat itu menjadi sebahagian daripada punca utamanya ? Ditambah lagi dengan sikap pengguna yang kalut, gelojoh , ego dan sebagainya ?
 
Pada saya kedua-dua elemen (sikap & teknikal) itu ada. Lampu isyarat yang banyak boleh membawa kepada tekanan emosi kepada pengguna jalan raya. Lebih-lebih lagi penunggang motorsikal yang kebanyakannya golongan remaja dan muda. "Darah orang muda kan panas "  ?
 
Sebab itu tidaklah mengejutkan jika jumlah kemalangan, malahan kematian melibatkan penunggang/pemboceng motorsikal lebih banyak daripada yang lainnya . Pun begitu fakta sebenar ada di tangan pihak berkuasa .
 
Sekiranya apa yang saya `nampak' ini berbetulan dengan fakta sebenar yang ada pada tangan pihak berkuasa saya rasa ada baiknya jika kedua-dua elemen ini dijadikan bahan kajian dan sasaran untuk mendapat kaedah baru mengatasi kemalangan jalan raya di negara kita , terutama pada musim perayaan.
 
Misalnya kursus-kursus `tambahan' selepas kursus sebelum kelulusan lesen memandu yang sah dan intensif patut diberikan  kepada golongan berkenaan di samping mencari jalan lain sebagai alternatif kepada penyediaan lampu isyarat yang di setengah-setengah tempat atau kawasan dilihat terlalu banyak sehingga menimbulkan kesulitan dan masalah `tambahan' kepada pengguna jalan raya.

Tiada ulasan: